Pintu rumah di tolak dengan perlahan kerana tidak mahu membuat bising dengan kepulangan dirinya yang sudah lewat. Jarum jam lagi 10 minit menghampiri 12 tengah malam. Naura bimbang pakngah dan makngahnya akan bising kerana lewat pulang ke rumah. Selalunya dia tidak pernah pulang lewat sebegini. Hidupnya juga di kawal oleh bapa saudaranya itu.
“Naura!”
Naura baru saja menutup pintu, terkejut kerana di tegur dari arah belakang.
Naura berkalih pada susuk tubuh Puan Nisa iaitu isteri kepada bapa saudaranya yang berdiri di ambang pintu dapur.
“Makngah? Makngah tak tidur lagi?”
Naura menyoal sambil melangkah ke ruang tamu.
“Belum lagi. Baru nak naik la ni.”
Jawab Puan Nisa sambil tersenyum manis pada anak saudara suaminya itu dan kaki berjalan ke ruang tamu mendekati Naura yang nampak serba salah.
Naura pandang Puan Nisa yang sudah berdiri di hadapannya dengan senyuman. Begitu juga dengan Puan Nisa turut tersenyum melihat Naura. Wajah Puan Nisa seperti ingin memberitahu sesuatu kepada Naura, tetapi terhenti apabila terdengar suara bapa saudaranya di belakang.
“Ni… Mana Hakim? Kenapa tak ajak dia masuk jumpa dengan pakngah dulu.”
Belum sempat Puan Nisa bersuara, terdengar suara bapa saudaranya yang bernama Encik Isa sedang berjalan keluar dari arah dapur dan terus berjalan menghampiri Naura dan Puan Nisa yang sedang berdiri di tengah ruang tamu.
“Naura balik dengan grab pakngah….”
Perlahan suara Naura memberitahu kebenaran. Dia tidak pernah menipu sama sekali.
“Apa? Kamu balik naik grab, Naura? Mana perginya si Hakim tu?”
Soal Puan Nisa dengan terkejut. Raut wajah Encik Isa berubah.
“Dia tak nak balik lagi dari majlis tu makngah… Jadinya Naura balik dulu la…”
Jawab Naura dengan perlahan. Naura nampak renungan tajam Encik Isa.
“Atau kamu yang buat hal Naura?”
Teka Encik Isa sambil bercekak pinggang di hadapan Naura. Mata sudah membulat menatap ke arah Naura. Jelas sangat Encik Isa sudah marah dengan Naura.
“Tak la pakngah….”
Belum sempat Naura menerangkan apa yang terjadi, Encik Isa bersuara lagi.
“Kamu jangan buat hal Naura! Kamu sengaja kan tinggalkan majlis tu? Kamu ingat pakngah tak tahu apa yang jadi? Hah? Hakim dah call pakngah tadi. Dia cakap kamu tinggalkan dia kat majlis tadi. Katanya kamu cemburu tengok dia dengan kawan-kawannya bersembang. Hakim kata jenuh dia nak menjawab dengan kawan-kawan dan tuan rumah tadi. Dia orang semua bertanya pasal kamu.”
Terlopong mulut Naura mendengarkan cerita dari Encik Isa. Cerita yang sudah di reka dan pastinya tiada yang betul. Kenapa Hakim sanggup menuduh dirinya yang salah dan punca dari semua ni?
Cemburu?
Tiada langsung perasaan cemburu itu muncul di hatinya. Yang ada hanyalah penyesalan dan terkilan dengan jodohnya!
Allah!
“Tak betul tu pakngah! Naura…..”
Sekali lagi Naura cuba menyangkal apa yang di katakan oleh Encik Isa tetapi Encik Isa tidak berdiam dan kembali bersuara.
“Naura! Takkan Hakim bersembang dengan kawan-kawan dia pun kamu nak marah dan cemburu sampai malukan Hakim macam tu? Benda kecik je pun kamu dah cemburu tak tentu pasal! Hakim tu dah la lama-lama sekali baru ada kat sini, sesekali dia nak berborak dan berjumpa dengan kawan-kawan dia, kamu kena faham la. Jangan hal kecik kamu besarkan, Naura! Hakim tu cuba nak rapat-rapat dengan kamu, nak luangkan masa dengan kamu, tapi kamu pulak buat hal. Ingat! Dia tu bakal suami kamu, Naura! Kamu jangan macam-macam Naura! Esok pakngah nak kamu jumpa dengan Hakim minta maaf dengan dia atas kesalahan kamu tu!”
Arah Encik Isa dengan nada yang tegas. Anak mata Encik Isa tajam merenung anak mata Naura. Dah macam nak telan orang je. Memang menggerunkan Naura.
“Hah? Minta maaf?”
Naura agak terkejut dengan arahan bapa saudaranya itu. Dia tidak berpuas hati kerana dia yang harus meminta maaf. Sepatutnya Hakim yang harus memohon maaf kepadanya. Dah terbalik ni!
“Ya! Minta maaf dengan Hakim tu.” Arah Encik Isa dengan kasar.
“Tapi pakngah, bukan salah Naura! Dia yang…...”
Belum sempat Naura membela diri sekali lagi, kata-katanya di patahkan lagi dengan arahan tegas dari Encik Isa.
“Pakngah tak nak dengar apa-apa! Esok pergi jumpa dia dan minta maaf!”
Tegas dan lantang suara Encik Isa melantun di ruang tamu ini. Dalam keadaan sunyi pada tengah malam ini, suara Encik Isa bergaung kuat. Setelah berkata Encik Isa pusingkan tubuhnya dan terus melangkah dan mendaki anak tangga.
Naura menunduk.
Kolam matanya bergenang.
Apa salah dirinya?
Memohon maaf bukan kerana kesalahan dirinya sendiri. Apa ni?
“Naura….” Panggil Pua Nisa lembut.
Puan Nisa yang tadi hanya diam kini baru bersuara. Puan Nisa menggosok perlahan belakang Naura tanda memujuk. Naura angkat kepala dan memandang ke wajah Puan Nisa yang sudah beranjak berdiri di hadapanya. Nampak riak Puan Nisa rasa bersalah kerana tidak dapat membantu Naura sebentar tadi. Puan Nisa jatuh kasihan pada Naura.
Naura pula rasa sedih dan terkilan dengan sikap bapa saudaranya itu yang lebih mendengarkan kata Hakim daripada kata anak saudaranya sendiri. Sekurang-kurangnya bapa saudaranya itu dengarkan dahulu penjelasan darinya sebelum menghukum. Tetapi terus saja mengadili dengan berat sebelah.
“Naura, pergi masuk tidur dulu ye. Esok kita sembang lain. Sabarlah, esok pakngah sejuk sikit Naura terangkan pada pakngah ye. Makngah tahu Naura ada benda nak cakap tadi, tapi pakngah tak nak dengar… Dah… Naura pergi masuk bilik, tidur. Dah lewat dah ni.”
Kata Puan Nisa seperti memujuk Naura. Puan Nisa menarik tangan Naura untuk sama-sama naik ke tingkat atas rumah besar ini.
Naura tidak membantah dan hanya menurut. Dari dulu dia hanya menurut tanpa pernah membantah. Beginilah nasib dirinya yang sudah menumpang di sini. Menumpang kasih sayang setelah ibu dah ayahnya meninggal dunia ketika umurnya baru saja mencecah 13 tahun.
Ayah dan ibunya yang terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari kerja dan meninggal dunia di tempat kejadian membuatkan dirinya menjadi yatim piatu. Ketika itu, tanggungjawab untuk menjaganya teralih kepada bapa saudaranya kerana pakngahnya Isa merupakan adik kepada ayahnya. Arwah ayah mempunyai dua orang adik iaitu Encik Isa dan Encik Malik. Encik Malik ketika itu masih lagi menuntut menyebabkan tanggungjawab penjagaan Naura jatuh pada Encik Isa sepenuhnya.
Setelah pemergian ayah dan ibu Naura, Encik Isa mengambil alih syarikat kecil milik ayah Nuara. Ketika itu ayah Naura iaitu Norman baru saja menubuhkan syarikat kecil untuk pembinaan. Baru dua tahun syarikat itu di tubuhkan Norman dan Nadirah pula terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa mereka berdua.
Mengambil peluang yang ada, Encik Isa mengambil alih syarikat milik abangnya itu dan sehingga kini masih menguruskan syarikat itu tanpa rasa ingin menyerahkan semula kepada Naura kerana Naura adalah pemilik tunggal syarikat itu.
Pada Naura, dia tidak pernah ambil kisah mengenai syarikat itu kerana selama ini Encik Isa yang bertungkus lumus untuk syarikat itu sehingga syarikat itu berdiri kukuh dengan adanya tender-tender yang mengikat kontrak bertahun-tahun. Tenyata Encik Isa menguruskan dengan baik. Jadi Naura tidak pernah terdetik untuk menguruskannya sendiri. Malah pernah berniat untuk menyerahkan kepada Encik Isa suatu hari nanti.
Apa yang Naura risaukan dan kisahkan sekarang ini adalah hidupnya dan jodohnya di atur oleh bapa saudaranya itu. Sejak dulu hidupnya di atur mengikut pilihan Encik Isa. Naura tidak pernah membantah kerana semua aturan itu adalah yang baik-baik bagi dirinya.
Tetapi untuk soal jodoh juga, Encik Isa sudah mengatur dan sudah membuat pilihan. Walaupun Naura pernah membantah dan menolak dengan baik ketika Encik Isa berniat untuk jodohkan dirinya dengan Hakim yang merupakan anak kawan baiknya.
Kawan baik Encik Isa itu merupakan salah satunya pelanggan tetap di syarikat itu. Bahkan segala tender-tender besar dan projek-projek baru yang datangnya semua berasal dari syarikatnya. Malah dia merupakan orang berpangaruh dan berpangkat besar.
Maka untuk syarikat serta kemewahan yang kawan baiknya tawarkan kepada Encik Isa, kawan baiknya itu yang bernama Datuk Azmi menyatakan hasratnya untuk melamar Naura sebagai menantunya. Ingin dijadikan isteri kepada anak bongsunya yang bernama Hakim.
Hakim merupakan anak bongsu dari dua beradik. Hakim Naufal tidak memilih bidang perniagaan seperti Datuk Azmi dan abangnya sebagai kerjayanya, tetapi dia lebih berminat dengan kerjaya serta cita-citanya untuk menjadi seorang juruterbang.
Hakim berkerja dengan salah satu syarikat penerbangan Malaysia setelah lima tahun lalu. Oleh kerana itu, Hakim jarang sekali berada di tanah air kerana selalu terbang ke luar negara mengikut jadual kerjanya.
Maka dengan itu, Datuk Azmi mencarikan calon isteri untuk anak bongsunya itu yang sangat sibuk untuk memikirkan soal jodoh.
Bantahan Naura bukan di terima malah Encik Isa sering kali mengungkit jasanya yang sudah menjaga Naura ketika Naura yatim piatu. Bukan sekali di ungkit bahkan setiap kali Naura menolak apa saja permintaan Encik Isa dan setiap kali pasti di ungkit jasanya.
Kenapa harus di ungkit segala perbuatan baik?
Apalagi yang harus Naura lakukan lagi selain dari menuruti segala permintaan bapa saudaranya itu? Dia seperti lembu yang sudah di cucuk hidung dan mengikut saja ke mana arah si pengembala.
Naura mengeluh tanpa sedar.
Mata merenung siling putih di dalam bilik tidurnya itu. Bilik ini dia huni selama dia di jaga oleh Encik Isa dan Puan Nisa. Tidak dapat Naura nafikan, segala kebajikan dirinya terjaga rapi. Semua kelengkapan cukup lengkap di sediakan oleh Encik Isa dan Puan Nisa. Malah Naura juga di beri pendidikan tinggi sehingga berjaya menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina di salah sebuah universiti di Malaysia ini.
Itu sudah cukup bagi Naura, dia tahu yang Encik Isa dan Puan Nisa sayang kepadanya seperti anak sendiri. Walaupun semuanya sudah di atur oleh Encik Isa sendiri tapi untuk pilihan jodoh yang bapa saudaranya itu pilihkan untuk dirinya membuatkan Naura menolak.
Pada mula Encik Isa cadangkan untuk jodohkan dirinya dengan anak kawannya itu, Naura memilih untuk menolak. Tetapi Encik Isa memujuk.
“Naura kenal-kenal la dulu dengan anak kawan pakngah tu. Pakngah kenal budak tu dari kecik lagi. Baik budaknya. Kerja pun elok. Rupa paras pun memang tak usah cakap la… Kalau tak mana lepas nak jadi pilot tu.”
Itu pujukan Encik Isa sebelum Naura berkenalan dengan Hakim. Naura dengan rasa berat hati terpaksa juga berjumpa dengan Hakim untuk mengambil hati Encik Isa dan Datuk Azmi kawan baiknya itu. Hanya sekadar mengambil hati.
Ya! Pada awal pertemuan dengan Hakim, sangat selesa. Layanan Hakim juga baik. Rupa paras seperti apa yang Encik Isa katakan. Tampan. Berkulit putih. Kemas dan bergaya. Senyuman dia sangat menggoda. Walaupun Hakim nampak seperti nakal dengan senyumannya tetapi Naura tidak pernah kisah.
Itu adalah satu anugerah untuk Hakim kerana memiliki rupa paras yang tampan. Kerana ketika berjumpa dengan Hakim, tiada langsung sikap buruk yang di pamerkan oleh Hakim. Itu yang membuatkan Naura mula menerima Hakim.
Nak kata Naura cinta kan Hakim, rasanya masih terlalu awal untuk Naura nyatakan rasa itu tetapi Naura akan belajar untuk menerima lelaki itu dalam hidupnya. Biar cinta itu di kemudian hari.
Mungkin selepas berkahwin?
Setelah kata setuju dari Naura akhirnya mereka di ikat dengan tali pertunangan pada setahun yang lalu.
Setelah tiga bulan pertunangan mereka, Naura dapat mengesan perangai buruk Hakim. Sikap Hakim berubah.
Dulu Hakim nampak baik di matanya dan sekarang sikapnya berubah. Banyak sangat tingkah laku Hakim yang Naura tidak berkenan. Terutama sekali, setiap kali Hakim ajak bertemu apabila dia mendarat di Malaysia, Hakim suka sangat ingin menyentuh Naura dan ingin berpegangan tangan dengan Naura.
Hal itu yang membuatkan Naura tidak senang dengan sikap Hakim. Ikatan mereka hanya sebagai tunangan bukan sebagai suami isteri lagi. Masih belum halal. Naura pernah menyatakan dirinya tidak suka dengan sikap Hakim itu, tapi Hakim terus marah dan menganggap Naura leceh!
“Hakim, I tak suka la you sentuh-sentuh I. Kita bukan suami isteri. Kita baru je bertunang. I harap you jaga batas kita ni, Hakim.” Protes Naura kepada Hakim.
“Come on, Naura! You hidup zaman apa ni? I sentuh tangan you je pun. Tak luak langsung, Naura. I’m your future husband. Nanti kita dah kahwin pun I sentuh you jugak kan? Hish…Susah la kalau you sendiri tak percaya pada I. You tak mesra langsung, Naura. Banyak sangat pantang larang you ni. I fed up la kalau you selalu macam ni. Kolot!” Hakim berkata dengan nada marah dan jelas wajahnya dengan riak marah. Nada dia pun sudah meninggi.
Terbang segala ingatannya itu apabila telefon miliknya berbunyi notifikasi. Naura capai telefonnya yang terletak di meja kecil di sebelah katilnya itu. Membaca pesanan whatsapp yang di hantar oleh Hakim.
'Hai Naura. Esok kita jumpa ye. I ambil you dekat rumah pukul 11pagi.' - Hakim
Naura hanya membaca pesanan itu tanpa rasa untuk membalasnya.
Butang off ditekan dan terus gelap skrin telefonnya lalu Naura letakkan semula ke meja kecil di sebelah katilnya.
Memejamkan mata menjemput lena bertandang dan berharap mimpi yang indah menghiasi tidurnya nanti.
Lidah tidak berhenti berzikir mengingati Allah serta ingin menenangkan hati yang sudah bersalut dengan pelbagai rasa yang wujud ketika ini. Lidah terhenti apabila Naura betul-betul hanyut dalam lenanya.
Melainkan redha dengan ketentuan ini...
Share this novel