Chapter 28

Mystery Completed 14816

Bab 28

Ternyata Kamal, Airiel dan Zamri masih terus berhubung dan berkawan rapat dengan Irfan. Affendi tidak sabar untuk kembali berkumpul. Biarpun dia sedar pertemuan itu kekurangan sesuatu… Pertemuan itu pasti tanpa Zakuan.

“Engkau senang malam ni? Kita keluar, berkumpul,” cadang Affendi.

“Okey. Boleh. Memang kita dah lama tak jumpa. Elok juga berkumpul macam dulu. Aku dengan Airiel selalu berjumpa, hampir setiap malam.” Beritahu Irfan.

“Airiel juga dah join company papa aku.”

Bukan papa kau… bisik hati Affendi. Datuk Omar sebenarnya ayah kepada kawan baikku, Zakuan. Tapi sejak Zakuan tiada, lelaki itu menganggap Irfan sebagai ganti anaknya.

“Aku tahu. Aku dapat nombor kau ni pun dari dia juga… Okey, malam ni kita jumpa,” kata Affendi mengakhiri perbualan.

Sebagaimana yang dijanjikan mereka bertemu semula setelah hampir sepuluh tahun tidak bersua muka. Malam itu mereka makan malam bersama di restoran The Ship, Jalan Bukit Bintang.

“Aku rasa, hampir sepuluh tahun abang menghilangkan diri,” kata Irfan.

“Nyaris-nyaris aku tak kenal pada abang tadi… Kulit bukan main cerah. Maklum duduk kat negara orang sikit punya lama.”

“Ya ke? Aku dah bersalin kulitlah!” jawab Affendi.

“Tapi aku belum hilang dari dunia ni lagi. Yang menghilang di kalangan kawan-kawan kita, adalah Zakuan. Ingat tak? Dia hilang di hutan… sehingga hari ni tak muncul-muncul. Tapi aku timbul juga akhirnya. Aku balik selepas jemu duduk di negara orang.”

Kata-kata Affendi membuat wajah Irfan kelat, hilang serinya. Tekaknya tiba-tiba jadi kering. Kata-kata selamba Affendi itu menggugat hati dan perasaannya. Kamal, Airiel dan Zamri saling berpandangan sesama sendiri. Irfan merenung Affendi, mencari maksud yang tersirat di sebalik kata-kata itu. Entah mengapa hatinya rasa tidak senang. Affendi bagaikan sengaja hendak mengungkit cerita lama yang sudah dilupakan orang.

Meskipun orang lain sudah melupakannya, tetapi bagi Affendi peristiwa itu tetap segar dalam ingatan. Dia sentiasa terkenang pada Zakuan, hampir setiap detik. Biarpun berada jauh dari bumi Malaysia, dia tidak pernah melupakan detik hitam itu. Akibat peristiwa tragis itu juga yang membantutkan hasrat dan keinginannya untuk bercamping dan mendaki gunung. Dia bagaikan serik dan takut peristiwa berulang semula. Namun apabila kembali bertemu dengan teman-teman lamanya itu, entah mengapa keinginan itu datang lagi.

“Yalah, hujan emas di negara orang… hujan batu di negara sendiri, lebih baik di sini kan?” balas Irfan sambil tertawa kecil.

Affendi mengangguk.

“Betul,” jawabnya sepatah.

Irfan memerhati jam tangannya.

Dia ingin meminta diri. Tiba-tiba kegembiraan bertemu semula dengan Affendi hilang dibawa angin. Lelaki itu hanya mengembalikan cerita lama. Dia rasa bimbang, peristiwa itu dibongkar semula. Dia telah menjadi seorang pembunuh semata-mata kerana wang, harta dan pangkat. Dia terdorong melakukan jenayah itu kerana desakan dan permintaan ibunya sendiri. Saat itu dia langsung tidak berfikir panjang. Menyesal pun tiada gunanya. Apakah suatu hari nanti, hukuman akan tetap menjerat lehernya?

Manuskrip yang sedang ditulisnya sudah siap. Kerjanya sudah beres. Dia perlu membuat sentuhan akhir sebelum menyerahkannya pada Hashim. Lelaki itu akan datang pada hujung minggu ini. Justeru itu dia tidak boleh berlengah-lengah. Masa yang ada beberapa hari lagi ini harus dimanfaatkan sepenuhnya. Dia tidak mahu sebarang kesilapan berlaku. Dia ingin semuanya sempurna.

Dia telah memilih gambar-gambar yang baik serta menulis keterangan gambar yang akan dikepil bersekali dengan manuskrip. Peringkat paling sukar, menyusun ayat demi ayat untuk menghasilkan buku ini sudah pun berlalu. Dia sudah boleh menarik nafas lega. Dia merasakan terlepas dari bebanan.

Amalina memerhati ke arah dinding, di mana tergantung gambar Leo dengan megahnya di sana. Ahhh… mengenang jejaka yang satu ini, hatinya selalu gundah gulana. Rasa rindu sering menghimpit. Tetapi di mana harus dicari lelaki itu? Dia tidak cekal dan berani untuk meredah hutan belantara. Apakah wajar dia hanya terus menunggu sahaja?

Leo… Engkau pernah datang dalam hidupku. Entah mengapa kenangan itu tidak pernah hilang dari hatiku. Kenangan itu tetap tersemat dengan kukuh.

Aku selalu merindui hari-hari terakhir aku bersamamu. Dan kita tak pernah berani untuk mengungkapkan perasaan masing-masing sedangkan tiada salahnya buat kita saling jatuh cinta. Mencintai dan dicintai itu bukanlah satu dosa yang perlu kita kesalkan, Leo!

Datuk Omar tertawa galak. Dia menepuk bahu Affendi beberapa kali. Wajahnya benar-benar mempamerkan kegembiraan. Masakan dia lupa pada anak muda ini… sahabat baik anak lelaki tunggalnya Zakuan. Semasa Affendi memperkenalkan dirinya tadi, dia terpegun beberapa saat. Ada sedikit perubahan pada wajah anak muda itu. Wajahnya lebih dewasa, matang dan berkeyakinan.

“Fendi… uncle gembira kau dah balik. Balik terus ke ataupun balik sekejap saja?”

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Datuk Omar punya perancangan untuk Affendi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience