"Umi!" jerit Ariana Atilia sebaik menapak keluar dari kereta. Dia berjalan terhincut-hincut menuju ke arah Puan Sandra dan Encik Johan.
Kedua-dua orang tua itu mengeleng kepala melihat telatah anak perempuan mereka yang masih keanak-anakan. Senyuman manis tersungging pada bibir Ariana Atilia. Tangannya didepakan untuk memeluk ibu bapanya sekali gus.
Adi Ashraf pula sekadar memerhatikan gelagat isterinya sambil tersenyum kecil. Cermin mata hitam yang dipakai dibuka lalu diletakkan di poket kiri bajunya. Dia bergerak ke arah belakang kereta untuk memunggah beg pakaian mereka berdua dari dalam bonet kereta.
"Ya Allah, kenapa biarkan Adi angkat barang sorang-sorang, Lia?" tegur Puan Sandra sebaik meleraikan pelukan. Ariana Atilia hanya tersengih sebagai balasan.
"Lia, pergi tolong Adi. Kesian dia." tegur Encik Johan pula dengan lemah lembut. Ariana Atilia mengangguk tanda faham. Tak mahu mengecewakan kedua-dua ibu bapanya.
Kakinya diangkat dengan langkah yang berat ke arah suaminya. Sengaja buat-buat lambat supaya dapat mengelat daripada perlu angkat beg pakaian mereka berdua. Hehehe.
Setapak sahaja lagi langkah untuk dia tiba di situ. Adi Ashraf yang sedang sibuk mengeluarkan beg pakaian mereka menoleh ke sebelah. Matanya bertemu dengan figura isterinya yang sedang tercegat berdiri di tempat yang sama. Dah kenapa?
"Kau apahal tercegat dekat situ? Tak ada kerja lain ke?" soal Adi Ashraf sebelum kembali mengeluarkan beg pakaian mereka dari dalam bonet kereta.
"Ada. Umi dengan abah suruh aku tolong kau sebenarnya." jujur Ariana Atilia menjawab. Matanya ralit memerhatikan setiap pergerakan suaminya. Setitik peluh yang jatuh dari dahi Adi Ashraf pun dia nampak dengan jelas sekali.
"Dah tu, tunggu apalagi. Sini, tolonglah." arah Adi Ashraf. Dia mengeluh kecil apabila dia sahaja yang terpaksa buat kerja.
"Eh, aku dah tolong lah." balas Ariana Atilia selamba. Dia berpeluk tubuh. Kakinya menyepak batu kecil yang elok berada di atas tanah. Apa salah batu tu kena sepak dengan dia? Bosan punya pasal.
"Apa?" soal Adi Ashraf tak puas hati. Dengan itu, beg pakaian terakhir dikeluarkan. Dia mencekak pinggang melihat ke arah isterinya. Apa isteri dia tolong buat pun dia tak tahu.
"Sorry sikit. Aku dah tolong tengok pun dah cukup bagus tau." balas Ariana Atilia sambil menjelir lidah ke arah Adi Ashraf. Senyuman memgejek diberikan kepada suaminya sebelum melarikan diri.
Adi Ashraf mengeluh kecil. Matanya mengerling pada beg pakaian yang telah dikeluarkan. Nampaknya dia terpaksa mengangkat semua itu seorang diri. Tanpa berlengah, beg tersebut diangkat dengan terpaksa. Apalah nasib.
Ariana Atilia dengan perasaan senang hati berjalan ke arah ibu bapanya semula. Adi Ashraf yang berada di belakang dikerling sekilas. Wajah masam mencuka lelaki itu membuatkan dia tersenyum sendiri.
"Ha ni kenapa kaki berbalut ni, Lia? Umi dah pesan kan? Jaga diri. Nanti macam mana nak jaga Adi nanti?" bebel Puan Sandra bercekak pinggang. Kaki anaknya yang berbalut itu dipandang lama. Risau melihat anak perempuannya sakit.
Adi Ashraf yang berada disebelah Ariana Atilia mengukir senyuman kemenangan. Suka melihat isterinya dibebel oleh Puan Sandra. Keningnya dijongketkan sedikit ke arah Ariana Atilia.
Senyuman yang terukir dibibir Adi Ashraf membuatkan Ariana Atilia menahan diri untuk tidak menampar wajah tampan suaminya itu. Jelingan tajam diberikan kepada Adi Ashraf.
"Tak apalah. Benda nak jadi, kita nak buat macam mana kan? Kamu berdua masuklah dulu. Mesti Adi penat memandu kan? Lia, pun sama kena rehat kalau nak cepat sembuh." ucap Encik Johan tenang.
Puan Sandra mengeluh kecil. Benar apa yang dikatakan oleh suaminya. Tangannya menarik lembut lengan Ariana Atilia mengajak gadis itu masuk. Ariana Atilia tersenyum. Kenyitan mata diberikan kepada Adi Ashraf sekilas. Membuatkan lelaki itu menjulingkan mata.
"Kamu berdua duduklah dulu. Umi suruh Mak Leha bawakkan air kejap." ucap Puan Sandra kepada mereka berdua. Walaupun ditahan oleh Ariana Atilia, wanita tua itu masih berkeras untuk menghidangkan pasangan suami isteri tersebut minuman.
"Ada apa kamu berdua datang sini? Abah ingat kamu berdua ada dekat rumah besan abah tu. Baru ingat nak lawat kamu berdua hujung minggu ni. Tengok-tengok lain pula jadinya." kata Encik Johan tertanya-tanya. Wajah anak dan menantunya dipandang silih berganti.
Ariana Atilia menyiku lengan Adi Ashraf cuba memberitahu lelaki itu supaya berterus terang kepada Encik Johan. Lagipun salah suami dia sendiri juga tiba-tiba nak pindah. Bukan salah dia.
"Oh, sebenarnya abah. Kami cadang nak pindah rumah Adi. Sebab tu kami datang sini sebab Riana nak ambil barang dia, kan?" balas Adi Ashraf sambil memberikan isyarat kepada Ariana Atilia supaya isterinya mengangguk.
Riak muka tak percaya jelas terpapar pada wajah Ariana Atilia. Perkataan kami yang keluar dari mulut membuatkan Ariana Atilia mengecilkan mata kepada Adi Ashraf.
Sejak bila dia nak pindah? Dia cuma ikut suami dia je. Lagipun bukan tempat seorang isteri itu di sisi seorang suami? Kan?
Kakinya yang berbalut itu dipijak dengan sengaja oleh Adi Ashraf. Tindakannya memaksa gadis itu mengangguk laju sambil mengerutkan dahi menahan sakit. Tak guna!
"Pindah? Kenapa Riana tak duduk sini terus?" tegur Puan Sandra yang baru tiba bersama sedulang air minuman. Jelas kekeliruan tertulis pada riak wajah wanita itu.
"Sayang, biarlah dia orang. Awak janganlah risau sangat. Pandailah Adi jaga Lia nanti. Kan, Adi?" ucap Encik Johan. Dia mempelawa isterinya duduk disebelahnya.
Adi Ashraf mengangguk tanda mengiyakan kata-kata bapa mertuanya. Dia mengerling keadaan isterinya di sebelah melalui ekor mata. Jelingan tajam daripada isterinya dihiraukan.
"Jaga konon. Kaki aku yang sakit ni juga dipijaknya." gumam Ariana Atilia perlahan. Namun didengari oleh Adi Ashraf dengan jelas sekali. Kaki dia ada dua pasang kot tapi yang terseliuh tu jugaklah yang kena dengan Adi Ashraf. Dasar.
"Tapi Lia tak nak duduk dengan umi ke? Umi boleh jaga Lia, tengok Lia setiap hari." pujuk Puan Sandra kepada anak perempuannya.
Adi Ashraf terdiam. Tak tahu membalas apa kepada ibu mertuanya. Dia memandang isterinya di sebelah. Ariana Atilia segera mengambil tangan Adi Ashraf.
"Umi, Lia nak duduk dengan Adi. Lagipun Adi kan dah jadi suami Lia. Umi tahukan Lia sayangkan umi." balas Ariana Atilia kepada Puan Sandra membuatkan wanita itu tersenyum lemah.
Encik Johan yang menyedari perubahan muka isterinya memegang tangan wanita itu dengan erat. Cuba memberikan semangat kepada Puan Sandra untuk terus kuat. Dia tahu isterinya benar-benar risaukan Ariana Atilia, satu-satunya anak perempuan mereka.
Adi Ashraf melihat pegangan tangan mereka berdua. Hatinya sedikit tersentuh mendengar kata-kata gadis itu. Tak sangka dia begitu bermakna kepada isterinya.
"Umi gurau je. Saja nak tahu Lia tertipu ke tak." ucap Puan Sandra cuba menjernihkan keadaan. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada mereka berdua.
Ariana Atilia melepaskan tangan Adi Ashraf. Dia tahu apa yang sebenarnya yang dirisaukan oleh ibunya. Wajah wanita itu jelas menunjukkan segala-segalanya. Senyuman lemah dibalas kepada ibunya.
"Lia, tahu umi. Lia tahu."
??????
"Woi, sedap kau je terjah bilik orang. Adab, mana adab? Adab dekat mana hah?" marah Ariana Atilia mencekak pinggang kepada Adi Ashraf. Jarinya ditudingkan pada wajah suaminya.
Tak semena-mena, jari telunjuknya ditolak oleh Adi Ashraf. Lelaki itu meniup lembut jarinya yang menyentuh jari gadis itu tadi seperti tercalit debu habuk yang tebal. Membuatkan Ariana Atilia mendecit tak puas hati.
" Cakap dekat cermin ke tu? Kau tak ingat kau selalu terjah office aku? Aku diam je kan? So, kau pun diam je lah. Tak payah membebel macam mak nenek." perli Adi Ashraf yang sesuka hati melabuhkan punggung dihujung katil milik Ariana Atilia. Matanya diliarkan ke sekeliling bilik isterinya.
"Eh, kau-" kata-kata Ariana Atilia terhenti apabila lelaki itu meletakkan jari miliknya sendiri pada mulutnya. Gerakan zip dibuat oleh Adi Ashraf sebagai petanda untuk senyap.
Lantas, lelaki itu berdiri melihat galeri mini yang terletak pada dinding biliknya. Gambar milik Ariana Atilia dilihat satu persatu oleh Adi Ashraf dengan penuh fokus. Dari isterinya masih bayi sehinggalah menjadi seseorang yang tak berapa dewasa sekarang ni. Tch.
"Apa ni tengok gambar orang tak minta izin? Ada aku tengok gambar kau? Tak kan? Pergi sana!" kata Ariana Atilia tergesa-gesa menyembunyikan gambar-gambarnya dari pandangan lelaki itu dengan tubuhnya.
Namun dia ditolak oleh Adi Ashraf apabila lelaki itu cuba melihat gambar isterinya dengan lebih jelas. Sekeping gambar yang menunjukkan wajah gadis itu yang tembam dengan pipi gebu membuatkan Adi Ashraf tersengih.
Ariana Atilia mendengus kuat apabila ditolak oleh suaminya. Bibir Adi Ashraf yang sedang tersengih melihat ke arah sesuatu menarik perhatian Ariana Atilia. Dia cuba melihat apa yang dilihat oleh lelaki itu. Matanya dibesarkan.
"No! Jangan tengok!" jerit Ariana Atilia secara tiba-tiba. Dia cuba menutup mata Adi Ashraf daripada terus melihat gambar dia sewaktu kecil dulu. Malu!
Adi Ashraf tertawa halus. Matanya yang ditutup dengan tangan isterinya dialihkan. Ariana Atilia cuba menahan tindakan suaminya namun tidak berjaya. Anak mata Adi Ashraf melihat wajah isterinya bersama gambar itu silih berganti cuba mencari perbezaan.
"Tembam." ejek Adi Ashraf. Tangannya naik mencubit pipi gebu milik Ariana Atilia. Tindakan itu membuatkan Ariana meringis kesakitan sambil memegang pipinya. Matanya dijegilkan kepada Adi Ashraf.
"Diamlah, jahat!" bentak Ariana Atilia sambil menggosok pipinya yang sudah mula memerah. Bibirnya dimuncungkan membuatkan Adi Ashraf naik geram.
"Ha muncung la lagi bibir tu. Dah macam itik aku tengok." perli Adi Ashraf lalu melanggar bahu gadis itu dengan sengaja.
Ariana Atilia mengepal penumbuk. Belakang badan suaminya diacah ditumbuk beberapa kali cuba melepaskan geram. Nak sepak kaki ni tak elok lagi. Haih.
"Kau ada gambar lelaki lain ke hah?" soal Adi Ashraf tiba-tiba. Ariana Atilia sudah tersenyum nakal. Eleh, patut lah nak tengok semua gambar aku.
"Ada. Kejap." ucap Ariana Atilia selamba. Adi Ashraf menoleh tanda tak percaya. Niat nak bergurau, akhirnya dia yang terkena balik.
"Nah, hensem kan? Dah la baik. Ya Allah seronoknya kalau dia yang jadi suami aku kan?" ucap Ariana Atilia sambil berangan. Sekeping gambar itu dihulurkan kepada Adi Ashraf.
Lantas, gambar itu disambut kasar oleh Adi Ashraf membuatkan Ariana Atilia tahan gelak. Marah betul. Gambar pelakon lelaki korea terkenal itu dilihat oleh Adi Ashraf. Dia berdecit.
"Tak payah nak mimpi kau nak kahwin dengan dia. Kau dah kahwin dengan aku pun." balas Adi Ashraf sebelum melempar gambar tersebut ke bawah katil. Tak mahu isterinya melihat gambar lelaki lain selain dirinya. Ehhh.
"Kau ada abang?" soal Adi Ashraf lagi. Ariana Atilia mula naik hairan. Dah kenapa suami dia tanya soalan pelik-pelik ni? Rasa macam kena siasat dengan suami sendiri pulak.
"Tak. Kau kenapa banyak tanya sangat ni? Aku ni anak tunggal." jawab Ariana Atilia menyuarakan perasaannya. Dia berpeluk tubuh.
Jawapan isterinya membuatkan dia keliru. Apa yang dikatakan oleh isterinya berlawanan dengan maklumat yang diberikan oleh Alif Zafran. Namun didiamkan saja seolah-olah tiada apa apa yang berlaku.
"Tak ada apalah."
??????
"Kau pergilah kemas barang kau." kata Adi Ashraf kepada Ariana Atilia. Gadis itu melihat barangan yang perlu dibawa untuk dipindah nanti. Banyak betul.
"Ya nak kemaslah ni. Kenapa? Nak tolong?" ucap Ariana Atilia sambil mengerakkan kedua-dua belah keningnya. Dia tersengih. Mana tahu kan kalau tiba-tiba suami dia baik. Ehek.
Adi Ashraf turut mengukir senyuman yang sama. Dia mendekatkan diri kepada isterinya yang sedang berdiri tak jauh dari tempatnya. Serta-merta, mati terus senyuman Ariana Atilia sebentar. Dia berjalan ke belakang menjauhi lelaki itu.
Malangnya, langkahnya terhenti apabila belakang badannya bertemu dengan dinding bilik tidurnya. Dia sudah mula menyumpah seranah di dalam hati apabila situasi ini terjadi pada dirinya. Kenapa aku?
Adi Ashraf membongkokkan tubuhnya sehingga menyamai ketinggian isterinya. Senyuman nakal masih terukir di bibir lelaki itu. Lalu, bertukar menjadi senyuman mengejek.
"Tolong? Tolong tengok je lah." ucap Adi Ashraf kepada Ariana Atilia. Pipi isterinya dicuit membuatkan gadis itu naik geram. Tanpa serba salah, dia meninggalkan gadis itu bersendirian.
"Kenapa aku kahwin dengan dia?" gumam Ariana Atilia kepada dirinya sendiri. Mengenang nasib diri apabila mendapat suami macam Adi Ashraf. Ada sesiapa nak suami dia tak? Silakan.
Kehadiran Puan Sandra mengembalikan dia kepada realiti. Kelihatan wanita itu menghadiahkan senyuman kepada Ariana Atilia.
"Ada apa-apa yang nak umi tolong?" ucap Puan Sandra lemah lembut. Dia mengalihkan perhatian pada bilik anak perempuannya. Tak lama lagi, tiada lagi barangan milik Ariana Atilia di situ.
"Umi..." panggil Ariana Atilia cuba menarik perhatian Puan Sandra. Lengan wanita itu dipeluk dari tepi. Kepala Ariana Atilia dilentokkan pada bahu ibunya. Puan Sandra naik mengusap kepala anaknya penuh kasih.
"Umi, Lia tahu umi sedih. Lia nak mintak maaf buat umi sedih." kata Ariana Atilia serba salah. Matanya dipejamkan. Puan Sandra mengeleng.
Dia menarik wajah anak perempuannya agar memandang wajahnya. Matanya yang mula bertakung itu membuatkan Ariana Atilia semakin serba salah.
"Umi tak sedih, Lia. Umi gembira. Gembira sangat Lia dah jadi isteri Adi. Besar dah anak umi. Nakal-nakal macam ni pun Adi nak lagi. Apa yang Adi nampak pun umi tak tahulah." luah Puan Sandra sambil tersenyum.
Tangannya naik mengelus lembut pipi anak gadisnya. Ariana Atilia tertawa halus. Namun perasaan sayu yang mula menguasai Puan Sandra.
"Umi cuma takut, Lia. Umi takut umi hilang Lia. Umi tak sanggup. Cukuplah seorang. Umi tak nak Lia jadi yang kedua. Umi sayang sangat dekat Lia. Umi nak tengok Lia bahagia sebelum umi pergi." luah Puan Sandra menahan tangisan.
Ariana Atilia dibawa ke dalam pelukan Puan Sandra. Kolam air mata yang bertakung mula pecah. Berlinangan air mata pada pipi milik Puan Sandra yang dimamah usia itu. Pelukan itu dibalas oleh Ariana Atilia. Tangannya naik mengusap lembut belakang badan ibunya.
"Umi takkan hilang Lia. Lia janji."
- To be continued...-
★★★ Hello my lovely readers! So tomorrow is my birthday
Share this novel