Bab 1

Romance Completed 66067

DADANYA mengembang saat dia menghela nafas dalam-dalam menghirup udara sambil menutup matanya buat seketika sebaik sahaja dia melangkah keluar dari pesawat. Udara iklim khatulistiwa yang sangat dirinduinya itu terasa begitu nyaman sekali melalui rongga hidung mengisi ruang paru-parunya.

"Malaysia, I'm home!" desisnya sambil melakar senyuman lebar setelah dia membuka matanya.

Haba bumi yang membahang, serta merta terasa sebaik sahaja tubuhnya diterpa cahaya matahari yang sedang memancar bumi dengan terik pada ketika ini.

Sejak 10 minit lepas lagi dia berjalan ke hulu dan ke hilir di sekitar kawasan parkir di depan pintu lapangan terbang sambil melilau-lilau ke sekeliling mencari seseorang. "Mana dia ni? Aku dah pesan dah standby sini setengah jam sebelum aku sampai," gumamnya, lalu dia menyeluk beg silangnya mencari telefonnya.

"Hoi!" sergah satu suara dari belakang.

"Hoi!" latahnya sambil menyilangkan tangannya seperti gaya Ultraman. "Hisy, kau ni!" bentak Etasya dengan muka cemberut sambil mengurut dadanya. "Kau baru sampai ke? Aku cakap standby sebelum aku sampai, kan?" Daripada cara renungannya, kelihatan seperti dia hendak menelan wanita yang sedang tersengih-sengih di depannya itu hidup-hidup.

"Aku dah nampak dah kau keluar tadi, tapi perut aku pula buat hal. Aku terus racinglah pergi tandas. Halah, bukannya lama pun!" balas wanita yang berpakaian santai itu. Agak lama dia merenung wajah wanita di depannya dengan mata yang tidak berkedip.

"Kenapa kau tengok aku macam tu?"

"Kau nampak lagi cantik depan-depan macam nilah berbanding dalam video call. Nasib baik aku straight, kalau tak, aku dah mengurat dah," ujar Arini sambil ketawa kecil.

Etasya membungkam buat beberapa saat selepas mendengar kata-kata sahabatnya itu. Siapa sahaja yang tidak suka dengan pujian, tetapi pujian itu malah terasa menusuk hati. Kenangan masa lalu yang menggamit jiwa, terasa seperti sedang menikam-nikam jantungnya pada ketika ini.

"Sorry... Aku tak berniat nak buat kau terasa." Arini berdeham untuk menghilangkan rasa serba salahnya. "Dulu dengan sekarang, kau tetap cantik. Cuma, yelah. Baru ni aku tengok wajah baru kau secara berdepan, kan? Sorry tau kalau aku buat kau..."

"It's okay. Jomlah! Aku lapar ni. Tolong bawa satu beg aku tu," pintas Etasya sambil menjuihkan bibirnya ke arah beg-begnya yang saling bertindih di atas troli. Dia tidak mahu merosakkan moodnya hari ini.

Arini melepaskan keluhan, lalu dia menarik salah satu beg dari troli sambil melirik wajah sahabatnya yang kelihatan tenang dan bersahaja itu. Dia tahu wanita itu tersentap dengan kata-katanya tadi, tetapi dia benar-benar tidak berniat untuk membuat wanita itu terasa.

**

"Kau terus nak pergi interview ke, Zee?"

Etasya yang sedang menunduk sambil mengacau-ngacau air dalam gelasnya menggunakan straw, lantas mendongak memandang wajah wanita di depannya dengan mata membulat. "Aku dah balik-balik pesan kat kau, jangan panggil aku dengan nama tu lagi, kan?"

Nama itu sememangnya nama panggilannya sejak kecil, tetapi kini, nama panggilan itu membuatkan dia rasa trauma. Trauma yang terasa begitu berat sekali membebani hidupnya selama beberapa tahun ini.

"Oops! Sorry, Tasya. Aku asyik terlupa. Dah bertahun-tahun dari zaman kita belajar lagi aku panggil kau dengan nama tu, kan. Payah nak hilang. Hisy, mulut ni!" Arini menampar mulutnya sendiri kerana keterlanjurannya tadi.

Etasya ketawa kecil. "Kali ni, aku maafkan kau. Lepas ni, kalau kau panggil aku macam tu lagi, aku cili mulut kau," ujarnya dalam bahasa Korea.

"Amboi! Dah jadi orang Korea dah. Fasih betul kau cakap bahasa Korea. Kau cakap apa tu? Satu patah pun aku tak faham."

"Takde maknanya nak jadi orang Korea, Rini. Aku tetap orang Malaysia, orang Melayu, makan belacan, faham? Bergegar tembuni aku kat kampung tu kalau aku tak mengaku orang sini," hujah Etasya disusuli dengan tawa kecil.

"Tahu takpe," balas Arini yang turut ketawa.

"Kau yakin ke aku boleh dapat kerja kat situ?"

"Eh! Ni Arini, okey?" balas Arini sambil menepuk-nepuk dadanya. "Jangan risaulah. Penemu duga tu, kamceng aku. Aku dah cakap dah kat dia pasal kau. Jangan risau, segala maklumat kau untuk resume, aku dah buat siap-siap, aku dah bagi dah pun kat dia. Tinggal kau bawa diri je lagi pergi ke situ. Rasanya, tak perlu interview lagi, kot. Sebab kawan aku tu cakap, dia dah check dah resume kau dan memang menepati syarat. So, bukan istilah kabel tau! Aku cuma permudahkan urusan kau je bagi resume kau sampai terus ke meja penemu duga. Kau memang layak pun."

"Kau tak letak nama aku yang..."

"Tak! Jangan risaulah! Aku guna nama baru yang kau suruh," pintas Arini seakan-akan tahu apa yang hendak diperkatakan oleh sahabatnya itu.

"Thanks, Rini. Ni yang makin aku sayang kat kau ni! Semua ni, biar aku yang belanja," kata Etasya sambil menuding makanan dan minuman di atas meja dalam bentuk bulatan.

"Habis tu, kedai bakeri kau kat Korea tu, macam mana? Belum sampai setahun pun lagi buka, kan?"

"Ramai pekerja yang boleh diharapkan kat situ. Aku kat sini pun, sampai misi aku selesai je. Hmm... Sebenarnya, aku tak pernah anggap pun itu kedai aku. Tu kan keluarga angkat aku punya. Aku tumpang je."

"Halah! Kau punyalah tu. Kadang-kadang aku bersembang juga dengan Kyung Mi dalam telefon. Dia takde bagitahu kau ke? Dia yang bagitahu aku kedai bakeri tu, appa dia memang buka khas untuk kau."

Etasya menunduk sambil mengeluh. Ingatannya terus tertumpu kepada keluarga angkatnya yang berada nun jauh di sana. Terlalu banyak jasa yang dilakukan oleh keluarga itu terhadap dirinya. Sejujurnya, dia rasa segan, tetapi itulah hakikatnya. Dia bertuah kerana telah menjadi sebahagian daripada keluarga itu. Fikirannya mulai menerawang ke masa lalu.

Perkenalannya dengan keluarga itu terjadi ketika keluarga itu datang bercuti di Malaysia memandangkan anak perempuan mereka yang bernama Kyung Mi, melanjutkan pelajarannya di salah sebuah institusi pengajian antarabangsa di sini.

Pada suatu hari, keluarga itu datang bercuti dan berkelah di kawasan air terjun di kampungnya. Kyung Mi tergelincir dan terjatuh di kawasan air terjun yang deras dan dia tidak mampu keluar dari pusaran air di bawah air terjun tersebut.

Kebetulan, Etasya ada dengan Arini di situ, tetapi Etasya yang menyelamatkan wanita itu daripada lemas dengan cara mengikat tubuhnya pada akar tumbuhan jenis menjalar, lalu dia terjun ke dalam air menyelamatkan wanita malang itu. Dia tidak menyangka langsung bahawa wanita itu merupakan anak kepada salah seorang jutawan di Korea.

Mereka masih terus berhubung dan berkawan sehinggalah Kyung Mi tamat pelajarannya, namun hubungan persahabatan mereka masih berterusan selama beberapa tahun walaupun wanita itu sudah kembali ke tanah airnya di Korea dan ibu bapa Kyung Mi juga telah menjadikan dia sebagai anak angkat mereka. Sehinggalah berlaku satu tragedi yang menimpa dirinya dan keluarganya yang menjadi asbab bagaimana dia boleh berada di Korea selama tiga tahun.

"Hoi, mengelamun!"

Etasya tersentak kerana sergahan yang disertai dengan satu tamparan di lengannya. "Hisy, kau ni!"

"Apa yang kau menungkan tu? Kau ubah fikiran ke?" soal Arini sambil tersengih.

Keluhan kecil terpacul dari mulutnya. Soalan rakannya itu tidak terus dijawab. Jus epal hijau di gelasnya dihirup sambil memandang wanita di depannya yang sedang menanti jawapan untuk pertanyaannya tadi. "Kau ingat semudah tu ke aku nak ubah fikiran? Tiga tahun hidup aku tak tenang, Rini. Mujur tak gila je." Giginya diketap kuat sambil mengimbas kehidupannya selama tiga tahun di negara K-Pop itu.

Giliran Arini mengeluh. Permukaan meja dikuis-kuis menggunakan hujung kukunya. "Aku faham. Kalau aku di tempat kau, rasanya aku pun akan buat perkara yang sama macam kau sekarang."

"Aku nak tuntut keadilan, Rini."

Arini menyentuh tangan Etasya di atas meja seolah-olah sedang menyalurkan kekuatan. "I'm with you."

Selepas membayar makanan mereka, kedua-dua wanita itu terus menuju ke kawasan parkir. "Lepas ni, kau nak ke mana? Ke kau nak balik terus? Mesti kau letih berjam-jam duduk kat kapal, kan?"

"Tak letih pun kalau duduk kat First Class. Macam hotel," jawab Etasya. "Aku nak pergi lawat family aku."

Serta merta langkah kakinya terhenti.

"Kenapa?" soal Etasya yang turut memberhentikan langkah kakinya. Hairan melihat rakannya itu tiba-tiba berhenti. "Kalau kau tak larat nak drive pergi ke kampung aku, aku boleh je drive sendiri, tapi pinjam kereta kaulah." Rambutnya yang terjuntai ditiup angin menutupi matanya, diselitkan ke celah telinga.

"Eh, larat! Aku larat je. Okey, lepas hantar barang-barang kau ke rumah sewa, kita terus gerak," ujar Arini disusuli dengan keluhan kecil. Lantas, dia menyambung semula langkahnya yang terhenti tadi sambil memandang sisi wajah rakannya yang kelihatan tenang itu. Entah kenapa dia pula yang rasa sebak.

**

Setelah puas mencari, akhirnya dia jumpa juga kedudukan rumah baru keluarganya yang berada tidak jauh dari sebuah pohon yang rendang.

Kain selendang di kepalanya dibetulkan sebelum dia duduk mencangkung. "Assalamualaikum, ibu, ayah, adik. Kakak datang ni." Dia memberi salam kepada seisi keluarganya itu sambil menyentuh batu nisan di depannya. Tiga nama yang tertera pada batu nisan itu direnung sambil memaksa bibirnya untuk tersenyum. Satu per satu bayangan wajah muncul di layar fikirannya. Bibirnya bergetar menahan sebak.

"Maafkan kakak sebab tak pernah datang lawat korang semua. Masa majlis pengebumian pun, kakak tak dapat datang. Masa tu, kakak..." Kata-katanya terhenti di situ. Air liur yang ditelan terasa bagaikan kerikil batu. Perit terasa melalui tenggorokannya. Air mata yang ditahan-tahan sejak tadi, mulai mengalir pada kedua-dua belah pipinya. Semakin lama, semakin deras.

Arini mengusap-usap belakang Etasya untuk menenangkan sahabatnya itu dan menyalurkan kekuatan.

Dia menarik nafas dalam-dalam sambil menutup matanya buat seketika mengumpulkan kekuatan untuk meneruskan bicara. "Masa tu, kakak sendiri dalam keadaan parah. Maafkan kakak sebab tak sempat buat apa-apa untuk selamatkan korang. Kakak memang tak guna!" Suara jeritan dan raungan memanggil namanya pada malam kejadian, terngiang-ngiang di telinganya seperti kejadian itu baru berlaku semalam.

"Janganlah cakap macam tu, Tasya. Bukan salah kau. Jangan salahkan diri."

"Memang salah aku, Rini," balas Etasya sambil mencengkam baju di dadanya dan membayangkan wajah seseorang. "Aku akan pastikan kau rasa kesakitan yang aku rasa selama ni!" gumamnya sambil menggenggam tanah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience