LAFH - 18

Romance Series 665659

DANEEN tak senang duduk menanti Haqq yang sudahpun dibawa ke wad kecemasan itu. Hatinya bagai dilanda ribut ketika ini. Wajah diraup berkali-kali. Jika Haqq tak datang ke bilik hotel tadi, pasti semua ini tidak akan terjadi.

“Daneen!”

Daneen terus berdiri. Dato’ Tarmizi dan Datin Mariam bergegas datang ke arahnya.

“Daneen, macam mana dengan Haqq? Doktor cakap apa?” Terpancar riak kerisauan pada wajah lelaki itu.

“Daneen tak tahu. Haqq masih lagi dekat dalam,” balas Daneen perlahan.

“Hei perempuan! Kalau apa-apa jadi dekat anak aku, siaplah kau. Macam mana kau uruskan pelanggan dekat hotel ha? Kononnya bagus sangat. Tapi macam-macam masalah pula yang datang,” jerkah Datin Mariam.

Daneen ketap bibir. Dia tahu semua ini berpunca daripadanya juga. Sebagai pengurus hotel dia yang bertanggungjawab di atas semua yang berlaku di hotel itu. Jadi wajarlah jika semua kesalahan ini diletakkan di bahunya.

“Mariam, cuba bawa bertenang. Bukan Daneen yang minta semua ni jadi.”

Datin Mariam mencebik. Suaminya itu tak habis-habis nak membela Daneen.

“You tu tak habis-habis nak bela skandal you ni kan.”

“Mariam, please jangan mula. Kita dekat hospital ni,” tegas Dato’ Tarmizi. Isterinya itu pantang kalau bertemu dengan Daneen. Sengaja nak cari masalah. Padahal Daneen tak buat apa-apa pun.

“You masih nak bela dia lepas apa yang jadi pada Haqq?” soal Datin Mariam tak puas hati.

“Benda dah berlaku Mariam. Bukannya Daneen yang rodok pisau dekat perut Haqq sampai you nak marah dia macam ni sekali.”

“I malas nak cakap dengan you. Ingat eh kalau apa-apa jadi pada Haqq, I tak akan lepaskan dia.” Datin Mariam terus angkat kaki beredar daripada situ.

“Daneen, uncle minta maaf. Tak usah pedulilah apa yang aunty Mariam cakap.” Dato’ Tarmizi serba salah.

“Eh tak apa uncle. Lagipun memang salah Daneen. Daneen yang patut minta maaf. Disebabkan Daneen, Haqq kena tikam.”

“Bukan salah Daneen. InsyaAllah Haqq tak apa-apa. Daneen jangan risau ya.” Bahu Daneen ditepuk perlahan. Cuba menenangkan gadis itu.

Daneen tersenyum nipis. Perasaan risau masih beraja di hati. Selagi dia tak tahu keadaan Haqq, selagi itulah dia susah hati.

“Kalau Daneen nak balik berehat dulu pergilah.”

“Tak apa. Daneen boleh tunggu.”

“Okaylah kalau macam tu. Uncle nak pergi tengok aunty Mariam sekejap.” Dato’ Tarmizi meminta diri.

Daneen angguk perlahan. Dia kembali melabuhkan duduknya di kerusi yang disediakan di ruang menunggu itu. Dalam hati tidak putus-putus dia berdoa semoga Haqq baik-baik saja.

DANEEN melipat sejadah yang digunakan tadi lalu diletakkan semula ke tempat asal. Begitu juga dengan telekung yang dipakai. Digantung semula ke tempat asal.

Telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada panggilan. Laju tangannya mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam tas tangan. Tertera nama Dato’ Tarmizi di skrin telefonnya.

“Hello Daneen... Daneen dekat mana tu? Haqq baru jer keluar daripada wad kecemasan. Sekejap lagi doktor pindahkan dia ke wad biasa,” ujar Dato’ Tarmizi di hujung talian.

“Daneen dekat surau. Sekejap lagi Daneen datang sana ya.”

Panggilan terus ditamatkan. Daneen bingkas bangun dan berlalu meninggalkan surau itu. Kasut disarungkan ke kaki. Laju kakinya bergerak menuju ke wad Haqq ditempatkan. Lega hatinya apabila tahu Haqq selamat.

“KAU nak apa lagi ni?” soal Datin Mariam saat melihat Daneen.

Langkah kaki Daneen terus terhenti. “Saya nak tengok encik Haqq,” balasnya.

“Tak payah! Kaulah punca dia jadi macam tu. Sekarang ni kau sibuk pula nak melawat dia. Dia pun tak nak tengok muka tak malu kau tu. Jadi lebih baik kau balik jer lah!” hambur Datin Mariam.

“Tapi Datin...”

“Hei kau ni pekak ke? Tak faham bahasa? Kau ni memang perempuan gatal kan. Sebijik macam perangai mak kau. Laki aku kau goda, sekarang ni kau nak goda anak aku pula?”

“Datin tak ada hak nak hina arwah ibu saya.” Suara Daneen berubah tegas. Wajahnya juga tegang. Paling pantang jika ada yang menghina arwah ibunya.

Datin Mariam ketawa mengejek. “Mak borek, anak rintik. Baguslah tu. Kenapa kau tu tak ikut jer jejak mak kau tu masuk kubur sekali? Kan senang. Hati aku pun tak sakit tengok muka kau.”

“Datin!” Mencerlung mata Daneen memandang Datin Mariam. Wanita itu sudah melampau. Dadanya berombak laju menahan rasa.

“Biadab eh kau ni. Tinggikan suara dengan aku, hei kau sedar tak dengan siapa kau bercakap ni? Bila-bila masa aku boleh pecat kaulah.”

“Pecatlah. Pecatlah kalau Datin nak pecat saya pun. Saya tak kisah. Rezeki Allah dekat muka bumi ni luas. Lagipun yang beri saya rezeki tu bukan Datin tapi Allah.”

“Pandai kau bercakapkan. Tapi apa yang kau cakap tu tak seiring dengan tindakan kau. Goda jantan sana sini sebab nak hidup mewah. Kau ingat kau tak tahu?”

Daneen mengepal penumbuknya. Sabarnya sudah tak tertahan lagi.

“Dah, kau berambus! Jangan tunjukkan lagi muka kau kat sini.” Datin Mariam terus masuk ke dalam wad Haqq ditempatkan.

Daneen menghela nafas berat. Lambat-lambat kakinya bergerak meninggalkan hospital itu. Buat apa dia nak terus menunggu di situ? Datin Mariam tak akan benarkan dia bertemu dengan Haqq.

HAQQ perlahan-lahan bangun daripada pembaringannya. Mengubah posisinya kepada duduk. Disandarkan tubuh di kepala katil.

Sekejap-sekejap dia toleh ke muka pintu. Berharap Daneen datang melawatnya. Sejak daripada dia sedar semalam, dia menanti kehadiran gadis itu. Nak bertanyakan pada Dato’ Tarmizi tapi nanti apa pula kata ayahnya itu.

Tiba-tiba pintu terbuka. Haqq terus angkat wajah memandang ke muka pintu. Wajah keterujaannya tadi terus hilang sebaik melihat Zira. Sangkanya Daneen yang datang.

“Hai Haqq,” sapa Zira ceria.

“Hai.” Haqq tersenyum nipis.

“Kenapa tak makan lagi ni? Nak I suapkan?”

“Eh tak apa. I tak lapar lagi. Sekejap lagi I makan.”

“Betul ni?” Zira melabuhkan duduknya di kerusi yang diletakkan di sebelah katil Haqq.

Haqq sekadar mengangguk perlahan.

“Bila you nak balik sana?” soal Haqq.

“Kenapa you tanya? You takut tak jumpa I lagi ya?” Zira mengulum senyum.

Berbunga-bunga hatinya apabila bertemu dengan ibu bapa Haqq semalam. Datin Mariam pula melayaninya dengan begitu mesra.

“Nanti family you risau pula.”

Zira agak kecewa mendengar jawapan Haqq. Bukan ini yang dia mahu dengar daripada mulut lelaki itu.

Haqq mengerling sekilas jam di dinding. Masih menunggu kedatangan Daneen.

“You okay Haqq? Nampak gelisah jer. Kenapa?” soal Zira. Dia nampak Haqq tak senang duduk. Seperti menunggu seseorang.

“Tak ada apa-apa. I nak rehat dulu.” Haqq merebahkan semula badannya di atas katil. Mata dipejam perlahan. Sengaja nak mengelak daripada Zira sebenarnya.

Zira mengeluh perlaha. Ingatkan datang sini nak berbual dengan Haqq. Boleh pula lelaki itu tidur.

DANEEN menyusun langkah menuju ke wad Haqq ditempatkan. Di tangannya ada bubur ayam yang dimasak khas untuk lelaki itu.

Nafas ditarik dalam-dalam sebelum memulas tombol pintu. Sebaik pintu terbuka, matanya jatuh pada Zira yang sedang duduk di sisi Haqq. Haqq pula sedang tertidur.

Zira terus menoleh memandang ke arahnya. Pandangan yang tak puas hati. Jelas dia tidak senang dengan kehadiran Daneen di sini.

“Haqq tengah tidur,” beritahunya.

“I nampak,” balas Daneen.

“Dah tu, pergilah balik,” halau Zira.

“Suka hati I lah nak balik ke tak.”

Daneen meletakkan mangkuk tingkat yang dibawa tadi di atas meja tepi katil Haqq. Dipandang Haqq yang sedang tertidur itu. Lega hatinya melihat keadaan lelaki itu. Mujur saja luka yang dialami Haqq tidak dalam mana.

Zira masih memerhati Daneen. Menunggu gadis itu beredar daripada sini. Daneen mengerling sekilas ke arah Zira sebelum perlahan-lahan mengangkat kaki meninggalkan wad. Nak kejutkan Haqq dia tak sampai hati. Tak apalah tak dapat berbual dengan Haqq pun. Melihat keadaan lelaki itu baik-baik itu sudah cukup baginya.

Zira bangun daripada duduknya. Mangkuk tingkat yang Daneen bawa tadi diambil lalu dibuka untuk melihat isinya. Dia mencebikkan bibirnya melihat isi dalam mangkuk tingkat itu. Terus dibawa mangkuk tingkat itu ke sinki. Bubur ayam itu dituangkan ke dalam sinki. Bibirnya tersenyum puas melihat mangkuk tingkat itu sudah kosong. Puas hatinya.

HAQQ perlahan-lahan membuka matanya. Zira masih duduk di sisinya.

“Zira, you masih ada kat sini?” soalnya dengan suara serak.

Zira tersenyum lalu mengangguk kecil. “I nak temankan you. Mama you ada urusan.”

“It’s okay. I boleh jaga diri. Lagipun nurse dekat sini ada.”

Zira bangun daripada kerusi. “Jom makan. Mesti you lapar kan. Sekejap I basuhkan dulu sudu ni.” Sudu dan garpu dibawa ke sinki untuk dibasuh.

Haqq bangun daripada pembaringannya. Matanya terpandangkan mangkuk tingkat berwarna merah jambu di tepi katilnya. Dia kenal mangkuk tingkat itu. Laju tangannya mencapai mangkuk tingkat itu.

Benar tekaannya. Memang mangkuk tingkat itu milik Daneen. Daneen selalu membawa bekal ke pejabat. Di mangkuk tingkat itu juga ada terukir nama Daneen Qaysa.

“Daneen datang ke tadi?” soal Haqq.

Zira terus berpaling. Riak wajahnya berubah.

“Ya Daneen datang tadi,” jawabnya.

Haqq mengeluh perlahan. Boleh pula dia tertidur. Ingatkan nak pura-pura tidur jer sebab nak mengelak daripada Zira. Sekali tertidur betul-betul pula. Terlepas peluangnya untuk berjumpa dengan Daneen.

Mangkuk tingkat itu dibuka. Tapi kosong.

“Mana makanan dalam mangkuk tingkat ni?” soalnya.

Zira telan air liur. Otaknya ligat berfikir mencari jawapan. “Oh... Daneen bawa bubur tadi. Tapi bubur tu macam dah basi. Jadi I buanglah. Nanti bertambah sakit pula kalau you makan.”

Haqq berdecit perlahan. Pandangan tak puas hati diberikan pada Zira. “Lain kali jangan pandai-pandai nak buang.”

Zira ketap hujung bibirnya. Takut pula melihat renungan tajam mata helang Haqq.

DANEEN melangkah masuk ke dalam stor dimana semua barang-barang bilik hotel diletakkan di situ. Memang setiap minggu dia akan memeriksa stor itu.

Sedang leka Daneen memeriksa barang-barang yang ada, terasa ada hembusan nafas di lehernya. Meremang bulu romanya. Terus dipusing menghadap ke belakang.

“Arghhh!” Daneen hampir terjatuh namun pinggangnya sempat dipaut oleh tangan kekar itu.

Haqq.

Ya Haqq yang tiba-tiba muncul di belakangnya.

“Hey, ni I lah.” Tangannya masih berada di pinggang Daneen.

“You buat apa ha?” Daneen terus menepis tangan Haqq yang berada di pinggangnya. Dia berundur beberapa tapak ke belakang menjauhi Haqq.

Haqq tersenyum nipis. Diperhati raut wajah Daneen. Tiga hari tak bertemu dengan gadis itu membuatkan jiwanya tak tenang.

“You lari daripada hospital ke?” soal Daneen lagi.

“I tak larilah. I dah boleh discharge harini. Tak percaya, tengok ni...” T-shirt yang dipakai diselak ke atas. Mahu tunjukkan kesan luka di perutnya.

Daneen cepat-cepat menoleh ke arah lain. Terasa membahang wajahnya. Selamba saja Haqq tayang badannya. Tak tahu malu betul!

Haqq ketawa melihat reaksi Daneen. Ditarik semula bajunya ke bawah.

“Nah, mangkuk tingkat kesayangan you.” Dipulangkan kembali mangkuk tingkat milik Daneen.

Mangkuk tingkat itu bertukar tangan. Tiba-tiba Haqq merapatkan jaraknya dengan Daneen. Macam nak pecah dada Daneen dibuatnya. Sudahlah mereka berdua saja di dalam stor ini.

“Haqq...” Bergetar suaranya.

Makin seronok pula Haqq mengusik Daneen. Dirapatkan lagi jaraknya dengan Daneen sehingga tubuh Daneen tersandar pada dinding. Kali ini dia tak boleh nak lari lagi.

“I ada permintaan. Boleh you tunaikan?” Suara gemersik Haqq menampar gegendang telinga Daneen.

Lidah Daneen bagai terpasung pada lelangit ketika ini. Dada dihempas debaran.

Happy reading!

Share this novel

Asmah
2021-07-16 16:41:09 

nak minta buat bubur lagi ka sbb tak sempat makan aritu


NovelPlus Premium

The best ads free experience