Sedar tak sedar, sudah hampir sebulan aku berpuasa. Lusa pula seluruh
umat islam akan menyambut Hri Raya Aidilfitri. Aku dan keluarga sudah
berada di kampung halaman ketika ini. Kata ibu, beraya di kampung lebih
meriah berbanding beraya di bandar kerana ramai sanak saudara ada di
sini. Kata along pula, beraya di kampung banyak dapat duit raya. Aku
tidak kisah beraya di mana saja asalkan dapat makan dan kumpul duit raya!
Aku bangkit dari katil apabila terdengar suara orang
bercakap di bawah rumah atuk. Aku berdiri di hadapan tingkap dengan
tujuan mahu melihat gerangan yang sedang bercakap itu namun ketinggianku
tidak membolehkan aku untuk melihat ke bawah. Aku memandang sekeliling
bilik atuk dan mataku terhenti pada bangku di meja solek. Aku melangkah
ke meja solek lalu mengangkat bangku itu untuk dibawa ke hadapan
tingkap. Kemudian aku memanjat bangku itu dan menjengukkan kepalaku ke
bawah. Aku lihat along dan kawan-kawannya, Abang Zali dan Abang Kamal
sedang berbincang sesuatu. Aku mengambil peluang ini untuk mendengar.
“Jadi tak plan kita esok?” tanya along.
“Jadi punya. Mercun aku dah siap beli semalam, tinggal nak
bakar je,” jawab Abang Zali.
“Mercun apa yang kau beli?” tanya along lagi.
“Aku beli mercun mancis, mercun naga, mercun papan, pop-pop
pun ada.”
“Hek eleh... pop-pop pun kau beli? Tak mencabar
langsunglah mercun yang kau beli ni Li. Yang aku beli lagi gempak!”
sampuk Abang Kamal.
“Apa dia?” tanya along tidak sabar.
“Aku beli mercun das, mercun lalat, mercun rocket, mercun
mancis... barulah best sikit,” ujar Abang Kamal dengan bangganya.
“Along nak main mercun ke? Jangan main, nanti ibu marah. Ibu
cakap, bahaya main mercun, nanti jari putus,” sampukku dari tingkap bilik.
Along, Abang Kamal dan Abang Zali mendongakkan kepala ke atas.
“Alamak, kantoi! Bila masa pulak budak kecik ni ada kat situ Ril?”
tanya Abang Zali.
“Yang ibu cakap tu untuk Mia je sebab Mia budak kecik, tak
pandai main mercun. Along dah besar, pandai jaga diri. Dahlah, masuk
dalam. Tak payah nak terintai-intai orang lelaki nak bercakap.” Along
menghalauku.
“Mia bagitahu ibu yang along nak main mercun...” Aku mengugut.
“Eh Mia, jangan! Mia!”
Aku tidak mempedulikan panggilan along. Aku turun dari
kerusi lalu melangkah ke dapur untuk mencari ibu. “Ibu...” panggilku.
Perlahan-lahan aku menuruni tangga yang diperbuat daripada papan itu.
“Ya, sayang? Nak apa ni? Mia nak berbuka ke? Tinggal lagi
satu hari /je/ nak habis puasa. Tahan sikit ya?” soal ibu bertubi-tubi.
“Bukan... bukan...” Aku menyangkal sambil tangan dilarikan
ke kiri dan kanan.
“Habis tu?”
“Tadi Mia dengar along dengan kawan dia cakap, esok nak main
mercun,” ceritaku.
“Apa? Nak main mercun? Pergi panggil along sekejap,” arah ibu.
“Aku berlari ke luar rumah. “Along, ibu panggil,” kataku
sebaik saja sampai di belakang along.
“Kecohlah Mia ni... hesy!” Along menyekeh kepalaku.
Aku menjelirkan lidah lalu mengekori along dari belakang.
“Betul apa yang Mia cakap?” tanya ibu sebaik saja along
sampai di dapur.
“Mia cakap apa?” soal Along. Pura-pura tidak tahu.
“Mia cakap yang along nak main mercun esok. Betul ke?”
Along menganggukkan kepala.
“Ibu tak benarkan!”
“Tapi ibu, Kamal dengan Zali dah beli.”
“Along, mercun tu bahaya tahu tak? Tak tengok ke kat dalam
tv tu ramai yang cedera sebab benda alah tu? Along nak ke beraya kat
hospital? Nak?” marah ibu.
“Tak nak...” Along menggeleng kepala.
“Kalau tak nak, dengar cakap ibu. Jangan main mercun, ya?”
“Baiklah ibu.” Usai berjanji, along keluar semula
mendapatkan kawan-kawannya. Sebelum itu, dia sempat memberiku satu
jelingan yang paling tajam.
Heh! Tak takut pun!
Share this novel
Sya fhm lh sebab tdi Mia pregnant and then dia kmbli ke zaman knak-knak
Sya fhm lh sebab tdi Mia pregnant and then dia kmbli ke zaman knak-knak
Sya fhm lh sebab tdi Mia pregnant and then dia kmbli ke zaman knak-knak