MAYA menundukkan wajah, bibirnya dikemam kuat. Jari jemari halus yang dia miliki pula saling berkuisan sedari tadi. Tiga pasang mata lain di hadapan sedang merenung tepat ke arahnya, dia tahu itu. Seperti apa dirinya di mata insan-insan itu pun dia tahu.
Hina, tidak bermaruah, perempuan murah. Barang kali? Tidak pernah berlaku dalam sejarah hidup, seorang wanita datang untuk meminang seorang lelaki untuk dijadikan suami. Apalagi lelaki yang dipinang itu merupakan bekas kekasihnya sendiri. Bekas, tahu kan gelaran bekas itu wujud kerana apa? Sudah tentu kerana kebencian, ketiadaan perasaan cinta lagi, bosan, jelak, muak! Ah, persetankan semua itu! Asalkan Syahril dapat dimiliki, semua itu sudah cukup untuknya.
"Kenapa tiba-tiba ni, Maya? Kamu waras ke tak ni?" Puan Sri Rozita menyoal semula sekaligus membuatkan Maya laju memanggung wajah. Riak wanita tua yang jelas terpamer kurang senang itu dipandang penuh.
"Saya waras, Aunty. Walau apa pun yang berlaku, Syah kena berkahwin dengan saya!" Maya mula bertegas kata. Misinya harus terlaksana dengan sukses dan sempurna. Itu tekadnya.
"Cuba kamu terus-terang dengan kami, apa sebenarnya yang telah berlaku?" Tan Sri Ashdan cuba mencari tahu. Bukan baru sehari dua mengenali bekas teman wanita anak mereka itu, malah budi pekerti Maya juga sudah dihadam penuh. Bermenantukan Maya bukanlah sesuatu hal yang tidak diinginkan malah kecil tapak tangan, nyiru pun dia rela tadahkan. Tetapi persoalannya kini, mengapa tiba-tiba? Bukankah pasangan itu baru sahaja menamatkan perhubungan mereka?
"Sebab saya sedang mengandungkan anak Syahril!"
Syahril yang sedari tadi berdiam, juga menunduk ke bawah terus mengangkat wajah. Nafas yang tadinya tenang terhembus bahkan mula mengencang laju.
"Maya, apa semua ni?" lelaki itu mengherdik kuat, permukaan meja yang terdampar di hadapan ditampar kejam.
"Betul ke Syah?" Puan Sri Rozita membaling pertanyaan dengan tampang yang teramat kecewa. Telinga seorang ibu itu menunggu suara garau anak menyangkal, hati seorang ibu itu menanti anaknya memberi jawapan yang meredakan kerana dia tahu peribadi Syahril seperti apa. Tidak mungkin anak itu tega mencontengi wajahnya dengan arang yang sangat hitam dan kotor.
"Papa, mama. Syah...."
Bubbbb!
Entah bila sekujur tubuh tua itu berdiri lalu menarik tubuh anaknya dengan seluruh kudrat yang dia ada. Syahril hanya tersedar saat satu tumbukan yang paling menyakitkan menghinggapi pipi kanannya. Bukan hanya Syahril, malah dua wanita itu juga terkedu sama.
"Papa, Syah tak buat semua tu! Tu bukan anak Syah!" Syahril menjerit kuat. Tiada lagi sikap sopan seorang anak dalam dirinya.
"Dia tipu, Uncle! Saya mengandungkan anak dia! Dia dah berjanji akan berkahwin dengan saya, dia dah janji akan bertanggungjawab!" Maya memecahkan suara bicara dan tangisan. Kian lebat air matanya mengalir saat itu.
"Sampai hati korang malukan papa dengan mama macam ni, Syah! Sampai hati!" Puan Sri Rozita mencelah kecewa. Nafasnya dihela panjang, matanya juga dikatup rapat kerana mahu mengambil sedikit masa untuk berfikir sejenak di mana silapnya dalam mendidik anak kesayangan mereka itu.
"Kau ni kan... argghh!!" habis sudah akal bicaranya. Tingkat atas langsung didatangi dengan perasaan yang sangat bengang. Bagaimana Maya boleh mengandung? Jangankan menyentuh, bercium pipi sahaja pun mereka belum pernah! Senakal-nakal mereka, batas halal dan haram masih kuat dipegang.
"Uncle dengan Aunty jangan risau, saya cuma nak cakap tu je. Saya mampu jaga anak ni. Harap-haraplah, muka dia tak seiras dengan bapa dia!" terukir sebaris senyuman sinis, teralun juga sekerat ayat licik ugutan yang tersirat. Tidak perlu mengherdik atau membentak, berbicara dengan nada seperti itu sahaja sudah cukup membuatkan Tan Sri Ashdan tergugat. Lelaki tua itu paling pantang jika dikaitkan dengan soal maruah keluarga.
"Maya, Uncle merayu. Jangan sebarkan hal ni. Uncle bagi Maya duit, Maya...pergi jauh. Boleh?"
"Saya tak perlukan sesen pun harta Uncle. Harta arwah orang tua saya lebih daripada cukup. Sepuluh keturunan makan pun, belum tentu habis." Maya membalas angkuh. Angkuh? Biarlah dikatakan angkuh sekalipun kerana seperti itulah hakikatnya. Siapa yang tidak kenal Tuan Sariff, biar tidak berpangkat Tan Sri, Datuk Sri apa semua namun itulah hakikatnya.
Tan Sri Ashdan lantas meraup muka. Jatuhlah air mukanya jika masyarakat luar mendapat tahu yang anak lelakinya telah menghamilkan anak dara orang. Seorang Tan Sri yang begitu taat dalam soal agama, seorang yang begitu terkenal dengan amal kebajikannya mempunyai anak yang tidak berguna! Biarlah cacat cela keluarganya, hanya mereka sahaja yang tahu. Dia mahu sekali orang luar terus mengagungi keturunan mereka. Apa perbezaan di antara Syahril dan Datuk Adrian, sampai sekarang tidak diketahui oleh orang luar.
"Maya..."
"Tak nak, Alyia benci Daddy! Daddy sayang adik je, Daddy tak sayangkan Alyia pun!" Ketiga-tiga mereka tersentak lalu langsung berebutan pergi dari dalam perbualan berat mereka saat seorang remaja belasan tahun muncul dalam keadaan yang memberontak.
"Ya Allah, budak ni. Kenapa ni Ad?" Puan Sri Rozita terus bangun mahu mendapatkan cucu sulungnya namun remaja itu pula sudah duluan berlari ke tingkat atas bersama raungan tangis dan hentakan kaki yang kuat.
"Bergaduh dengan adik. Ad tegur, tu yang melenting macam tu. Ad naik pujuk dia dulu. Tolong saya, Pak Mail..." Datuk Adrian menjawab perlahan sambil melirik sekilas ke arah Maya bersama tundukan hormat.
"Bik, tolong ambilkan Arfan dulu! Alyia buat hal lagi tu!" Puan Sri Rozita melaungi pembantu rumah mereka. Hanya dalam beberapa saat, muncul susuk Bibik Salimah mendapatkan posisi mereka. Anak lelaki yang berumur enam tahun itu laju ditarik ke dalam pangkuan lalu dibawa pergi.
"Degil, ikut sangat perangai mak dia orang tu!" sempat Puan Sri Rozita memaki setelah kepergian Datuk Adrian. Kata-kata itu lantas membuatkan Tan Sri Ashdan laju menggelengkan kepala tanda kurang senang.
"Dahlah tu, jangan disebut pasal orang yang dah tak ada.. " Tan Sri Ashdan menegur, biar hanya dalam tahap kelantangan yang perlahan, namun amat jelas memasuki deria pendengaran Maya. Entah mengapa, saat melihat keadaan dua anak itu, hatinya menjadi tersentuh kerana seperti itulah keadaan dia dan abangnya suatu ketika dahulu. Disisihkan, dimaki malah dipukul oleh datuk dan nenek tiri.
"Maya, kita..."
"Uncle, Aunty....Maya janji akan simpan rahsia ni, tapi dengan satu syarat." cantas Maya duluan sebelum sempat Tan Sri Ashdan memberi selangan katanya. Akal kedua sudah difikirkan, jika dengan memiliki Syahril sesuatu hal yang sulit, maka mempergunakan lelaki tadi akan menjadi rancangan keduanya. Biar dianggap gila, biar dianggap tidak tahu malu dia tidak peduli. Dendam tetap sahaja dendam. Dia sudah memutuskan akan menyakiti hati Syahril semampu mungkin.
"Apa syaratnya?" Soal Tan Sri Ashdan teragak-agak, manakala Puan Sri Rozita pula turut memandang penuh ke arah Maya. Penasaran ada, bimbang juga ada.
"Izinkan saya...berkahwin dengan Datuk Adrian."
"Apa??" ternganga bulat Puan Sri Rozita dengan permintaan Maya. Namun, tiada yang tahu, diam-diam hatinya sedang berbunga senang. Enteng! Hanya dalam kiraan beberapa detik, hatinya sudah menyahut setuju. Hanya Tan Sri Ashdan sahaja yang menayang riak terkejut juga bimbang yang teramat.
"Tapi kalau Uncle dan Aunty tak setuju, saya tak akan paksa. Macam yang saya dah cakap tadi, saya mampu bela anak saya seorang diri, biarpun tak berbapak..." ujar Maya selamba bersama senyuman yang sinis dan tidak peduli. Dia seperti dapat membaca makna tayangan wajah Tan Sri Ashdan.
"Uncle memang setuju, Uncle rasa Aunty pun setuju tapi...bagi kami masa untuk berbincang dengan Ad."akhirnya Tan Sri Ashdan beranggukan berkali-kali. Wajah isterinya juga ditoleh sekilas. Hanya itu jalan yang mereka ada, kerana dia tahu Syahril dan Maya tidak mungkin akan dapat bersama. Lihat sahaja tingkah Syahril seperti apa tadi. Daripada parah menanggung malu, baik bersetuju sahaja dengan permintaan Maya. Tiada apa ruginya.
"Tapi, Maya tahukan keadaan Ad tu macam mana? Dia tak macam lelaki lain..." Puan Sri Rozita sekadar mengingatkan. Bimbang juga jika Maya tiba-tiba berubah fikiran di saat-saat akhir nanti.
"Maya tak kisah semua tu, asalkan anak ni lahir berbapak!" ujar Maya bertegas.
"Baik, Uncle akan minta persetujuan daripada Ad." Tan Sri Ashdan menakup kata dengan senyuman nipis manakala Puan Sri Rozita pula terus mendatangi posisi Maya lalu memeluk erat tubuh bakal menantunya itu.
'Mudah, sangat-sangat mudah!'
************
"Apa?? Kau nak kahwin dengan abang dia tu?? Duda anak dua? Cacat berkerusi roda pula tu. Kau waras ke tak ni Maya? Kau dahlah cantik, sempurna, bekerjaya tapi...orang macam Datuk Adrian tu yang kau nak ke kau kemaruk sangat nak gelaran Datin?" laju Eryna menepuk dahi sendiri sebaik sahaja mendengar rancangan gila sahabat baiknya itu, serta-merta juga kepalanya digelengkan tanda menentang habis-habisan.
"Aku waras, sangat waras. Kau jangan risau, Ryn dan untuk pengetahuan kau, aku tak pandang sikit pun gelaran datin tu, biar pemaisuri sekalipun apalagi harta-benda mereka. Tapi aku yakin, dengan cara ni je yang paling sesuai untuk aku balas dendam pada Syah sebab aku tahu dia bencikan Adrian sangat-sangat. Maklumlah, lain mak!" Maya memuntahkan tawa sinis. Bukan niatnya mahu mengambil kesempatan terhadap diri Datuk Adrian, namun...ada rasa lain yang membuatkan dia menjadi tertarik terhadap lelaki itu.
"Tapi kau, kau gunakan abang dia! Kau tak kesian ke dengan Datuk Adrian tu. Dahlah kurang upaya, mati bini. Anak-anak masih kecil-kecil pula tu..."
"Aku akan belajar jadi manusia yang kejam, Ryn. Aku tak nak dah fikir perasaan orang lain. Aku serik! Dendam tetap dendam!" ujar Maya tetap berkeras. Lantaklah mahu dilabelkan seperti apa sekalipun, dia tidak akan berganjak dari keputusan gilanya.
"Jangan fikir sangat dendam tu, Maya. Esok lusa susah meneran baru kau tahu. Kau tu mengandung, minggu depan jangan lupa daftarkan kandungan kau!" mati sudah kata-kata nasihat dari mulut Eryna kerana dia tahu, sikap keras kepala sahabatnya itu seperti apa namun dalam masa yang sama, dia juga yakin, Maya bukanlah seorang wanita yang kejam. Tetapi untuk mencari lebih dalam tentang rancangan sebenar wanita itu, dia juga tidak mampu.
"Aku mengidamlah Ryn, rasa nak makan laksa penang air tangan kau. Kau masakkan erk?" perut yang masih mengempis leper diusap lembut, wajah polosnya juga dicorak suci dengan harapan agar Eryna sudi menunaikan permintaan anak tekaknya.
"Mengada!" Eryna berujar sebal dan jengkel, sempat juga menjeling meluat ke arah wajah sahabatnya.
"Kau ni, tak baik tau. Hampakan permintaan ibu mengandung. Kang berliur pula anak aku nanti, aku salahkan kau!" Maya menarik muka masam lalu duduk memeluk tubuh. Hanya menunggu beberapa saat sahaja untuk dipujuk dan penantian itu langsung berakhir serta merta.
"Ye lah, ye lah! Nanti aku keluar beli bahan kejap, petang nanti aku masakkan untuk kau!" mahu tidak mahu, terpaksa juga Eryna mengalah. Walaupun mulutnya pedas berbisa, namun rasa sayangnya terhadap Maya juga selalu besar tiada tandingan.
"Thanks Ryn, sebab tu aku sayangkan kau! Kalaulah abang aku masih belum berkahwin, memang aku akan hantar rombongan meminang kau untuk abang aku!"
"Mengada, betul-betul mengada! Aku benci kau, Maya!" dengan serautan wajah geram, Eryna terus bangkit berlalu ke dapur. Tidak kuasa lagi mahu melayan Maya secara lebih-lebihan. Menyakitkan hati sahaja!
Sedikit pun Maya tidak terasa, malah semakin seronok pula dia melayan rasa geli hati. Marah-marah Eryna, namun sekalipun wanita itu tidak pernah menidakkan permintaannya malah hanya kepada Erynalah tempat Maya mengemis kasih seorang kakak atau ibu biar hakikatnya usia mereka sama sahaja seangka.
Share this novel