MAJLIS persandingan Juwita dan Zailani berlangsung dengan meriah sekali. Walaupun hanya di buat di Teratak Tun Zaleha, majlisnya tetap gemilang.
Majlis persandingan dilangsungkan pada sebelah malam atas permintaan Tuan Mansur.
Majlis persandingan diadakan selepas Isyak. Konsep moden yang menjadi pilihan Tuan Nabihah dan Zaitun benar-benar menaikkan seri majlis itu. Ramai yang memuji raja sehari itu.
Nun di suatu sudut, kelihatan sepasang mata yang ralit memerhati Juwita dan Zailani bersanding. Pedih hatinya tidak mampu digambarkan. Air mata diseka lembut.
"Lupakan Lan. Mujur dia dan isteri dia tak ambil tindakan undang-undang pada you. Kalau tak, meringkuklah you dalam penjara." Tegas sekali suara itu. Aliya kalih wajah memandang figura disebelahnya.
"I harap you takkan ganggu Lan lagi. Biarkan dia bahagia. Cukup dengan apa yang you buat. You hampir jadi pembunuh." Wajah itu tidak beriak. Dingin. Sedingin hatinya ketika itu.
"I nak ucapkan selamat tinggal. I dah minta family I untuk batalkan pertunangan kita. I minta maaf kerana tak pernah jadi yang terbaik untuk you." Azmer melangkah pergi meninggalkan Aliya. Tiada apa lagi yang perlu ditunggu.
Bertahun dia menjadi boneka buat Aliya. Sekali pun Aliya tidak pernah menghargai perasaannya. Apatah lagi, Aliya sering kali menjadikan dia sandaran melepaskan rasa di hati.
Azmer tahu dia harus buat keputusan yang tepat. Walau perit, dia harus terima. Akhirnya dia nekad memutuskan pertunangan mereka dan membawa diri jauh dari semua orang. Biar masa yang menentukan segalanya.
Melihat Azmer yang melangkah pergi, Aliya terus menuju ke keretanya. Dia tidak betah untuk terus berada di majlis itu. Hatinya terlalu sakit. Sungguh pun begitu, dia punya satu prinsip yang takkan sesekali dirobohkan. Dia takkan mengganggu suami orang. Ye... dia takkan mengganggu Zailani lagi. Cukup sampai situ.
Bodohkah dia selama ini? Menanti dan terus berharap Zailani membalas cintanya sehingga orang yang tulus mencintainya pergi meninggalkannya? Sesal yang tiada gunanya. Tiada apa yang mampu dilakukan lagi. Berasa nekad di hati, dia memandu pulang ke Kuala Lumpur. Biarlah Zailani menjadi sejarah dalam hidupnya.
Usai majlis bersanding, Zailani dan Juwita turut sama menyantuni tetamu yang hadir. Walau jelas kelihatan penat di wajah masing-masing, namun sekalipun mereka tidak mengeluh. Majlis tamat tepat jam 11:30 malam. Kelihatan Juwita dan Zailani telah pun menukar pakaian. Masih ada kerja yang perlu mereka lakukan.
Makanan untuk majlis mereka dimasak secara rewang. Zaitun masih ingin mengekalkan cara lama. Walaupun mereka mampu untuk tempah catering, namun Zaitun tetap berkeras. Katanya ketika inilah dapat mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga dan sahabat handai.
Demi keinginan bonda tersayang, Juwita turutkan saja. Sungguh dia tak nafikan betapa meriahkan Teratak Tuan Zaleha ketika itu. Andai saja nendanya masih hidup adakah dia akan dialu-alukan ke dalam keluarga itu?
Juwita segera beristifar apabila sangkaan buruk mula bersawang di mindanya. Al-fatihah disedekahkan buat Tuan Zaleha. Semoga beliau tenang di sana. Juwita melirik potret Tuan Zaleha yang tersergam indah di dinding ruang tamu.
"Sayang menung apa tu?" Teguran Zailani menyentap lamunan Juwita.
"Tunggu abang. Jom ke belakang. Banyak lagi kerja kat sana tu." Juwita menarik tangan Zailani agar turut sama melangkah ke belakang. Tersenyum Zailani dengan gelagat isterinya.
* * * * *
"SAYANG..." Terkedu Juwita saat Zailani berbisik di telinganya. Dia baru saja ingin melelapkan mata. Tangan Zailani melingkari pinggang Juwita. Meremang bulu roma Juwita ketika itu.
"Hmmm..." Juwita berusaha keras memejamkan matanya walaupun ketika itu dadanya berdegup kencang.
"Nak tidur dah ke? Tak nak layan abang?" Buntang terus mata Juwita ketika itu. Dia terus duduk. Zailani ketawa lucu melihat sikap gelabah Juwita.
"Hei... ni dah kenapa?" soal Zailani lembut apabila dia melihat Juwita tiba-tiba menunduk. Ada mendung di wajah itu.
"Ju minta maaf." Zailani tergamam. Apatah lagi apabila melihat air mata Juwita.
"Hei... kenapa ni?" Perlahan sekali suara Zailani. Bimbang Juwita terasa hati.
"Ju minta maaf sebab Ju gagal pertahankan apa yang sepatutnya jadi milik abang." Juwita mula teresak-esak. Zailani melepaskan keluhan kecil. Ini rupanya yang mengganggu emosi Juwita.
Zailani menghampiri Juwita. Wajah yang basah dengan air mata itu diusap lembut. Bibirnya mengucup lembut kedua belah mata Juwita.
"Abang tak nak sayang bazirkan air mata. Yang lepas biar lepas. Abang terima diri sayang seadanya sayang dan abang harap sayang juga sama." Tangannya menekap ke kedua belah pipi Juwita.
Tubuh Juwita terus dirangkul erat kedengaran tangisan Juwita. Zailani masih lagi memeluk. Belakang Juwita diusap lembut. Lama mereka begitu sehinggalah tangisan Juwita reda.
"Dah okey?" Juwita mengangguk sebagai jawapan. Zailani tersenyum lega.
"Dah tu. Meh tidur." Tubuh Juwita ditarik agar sama-sama berbaring. Kepala Juwita diletakkan di atas lengan kiri Zailani. Zailani tersenyum bahagia. Pinggang Juwita dipeluk erat. Terasa bahagia yang tak mampu diungkap.
Mendengar dengkuran halus Juwita membuatkan Zailani tersenyum. Pipi Juwita dikucup lembut.
"Selamat malam cinta hati abang." Akhirnya Zailani turut terlena.
Share this novel