Bab 26: Lari

Romance Series 20066

"KAU biar betul, Siti?" Hampir tersedak Mak Cik Zainab mendengar permintaan gila dari sahabat karibnya itu.

Mak Siti terus menatap tajam Mak Cik Zainab. "Kau ada nampak aku melawak ke?"

Ternganga luas mulut Mak Cik Zainab. Gila ke Siti ni? Dia ingat permintaan dia tu tadi mudah macam petik jari je ke? Bantah hati Mak Cik Zainab.

"Siti, kenapa tiba-tiba nak cepatkan perkahwinan diorang? Kalau kau nak buat perkahwinan tu bulan depan aku boleh terimalah jugak. Yang ni, minggu depan. Minggu depan tahu tak?" sembur Mak Cik Zainab tak puas hati. Perkataan 'minggu depan' tu sengaja ditekannya agar Mak Siti tu sedar apa yang dihajatnya sebentar tadi. Takut jugak kalau kawannya tu tersilap cakap.

"Ye, aku tahu tu," balas Mak Siti ringkas. Bara api dalam hatinya belum memadam kerana kemarahan terhadap anaknya itu.

Mak Cik Zainab gelengkan kepalanya. Dah gila agaknya kawannya seorang ni sampaikan perkahwinan anak sendiri pun dipaksa dipercepatkan.

"Astaghfirullah ... aku bukan apa Siti, tapi kau tahulah dengan mulut orang kampung ni. Kalau kita percepatkan majlis nikah anak kita, nanti adalah mulut-mulut busuk yang saja cari pasal. Kata anak kita terlanjurlah, apalah. Aku tak naklah, Siti."

Mak Siti menjadi gusar. Memang itu pun perkara yang bermain-main di dalam benaknya tadi tetapi apakan daya, rancangan mesti dilaksanakan. Selagi Damia itu tak berkahwin dengan Lokman, selagi tu dia tak akan tenang.

"Persetan dengan mulut orang kampung tu. Aku tak kisah. Yang penting sekarang, anak kita jadi kahwin dengan segera. Pasal kenduri, itu kita fikir lain. Aku nak diorang bernikah dulu," ujar Mak Siti.

Mak Cik Zainab urut pelipisnya. Pening mahu melayan kawannya itu. Dibilang tadi datang ke rumahnya ini mahu berbincang, ini tidak. Datang sambil menyatakan hasrat yang tak masuk akal. Lepas tu, siap memaksa terima pulak.

"Aku kecewalah dengan kau, Siti. Kau tipu aku. Kau kata Damia tu setuju dengan perkahwinan ni tapi dia dah sukakan orang lain. Dia tak bersetuju pun dengan rancangan kahwin ni sebenarnya, kan?"

"Ala, Zainab. Damia bukannya sukakan laki tu, tapi laki tu yang tergilakan Damia. Bila dia tau je yang Damia dah ada calon suami, makin terhegeh-hegeh pulak jantan tu. Kau jangan ingat laki-laki tak boleh jadi perampas," fitnah Mak Siti sambil mengetap giginya. Geram betul apabila membabitkan lelaki bernama Syafiq tu.

Tentang Syafiq memang Mak Cik Zainab sudah sedia maklum. Semuanya Lokman punya angkara. Lokman itu, semua benda mahu mengadu kepada ibunya. Kadang terasa lurus juga Lokman tu.

"Laki tu perampas ke, pisau cukur ke, aku tak peduli. Ni, pasal Damia. Damia tu tak sukakan Lokman, tau. Lokman tu bertepuk sebelah tangan je. Aku agak anak aku tu dah banyak makan hati dengan Damia," adu Mak Cik Zainab. Betul, ibu mana yang tak risaukan kebahagiaan anak sendiri.

"Zainab ... aku tahu kau risaukan Lokman. Aku pun risaukan Damia. Walaupun permintaan aku ni agak gila, tapi aku harap kau dapat pertimbangkan. Lokman pun dah setuju dengan semua ni, tinggal persetujuan dari kau je," rayu Mak Siti yang masih mengharapkan persetujuan Mak Cik Zainab.

"Aku akan setuju kalau Damia pun setuju. Kau mesti paksa anak kau lagi, kan?" teka Mak Cik Zainab. Melihat dari kesungguhan Mak Siti memujuk tadi, dia dapat mengagak sesuatu.

Mak Siti bungkam. Idea untuk berdalih tiba-tiba terputus.

"Aku dah agak kau mesti paksa Damia tu lagi ..." Mak Cik Zainab terus menepuk perlahan sofa sebelah ruang duduknya.

"Pasal Damia tu, nanti aku slow talk la dengan dia."

"Senang kau cakap, Siti. Slow talk untuk kahwin paksa? Memang taklah Damia tu nak terima. Apa kau ingat dengan paksa Damia tu kahwin dengan Lokman, diorang boleh bahagia?" bidas Mak Cik Zainab pula.

"Zainab, permintaan aku ni bukan sebarang permintaan. Aku teringin nak jadi satu keluarga dengan kau. Cakap pasal kahwin paksa, aku pun dulu kena paksa jugak. Tapi aku bahagia je dengan arwah Abang Hassan lepas kahwin. Siap ada dua anak lagi. Kau tahu, kan?"

Mak Cik Zainab tak bereaksi. Betul juga apa yang dikatakan Mak Siti. Dari zaman persekolahan dia sudah kenal sahabatnya itu, masakan dia tak tahu akan kehidupan kawannya.

Dirinyalah yang sentiasa menjadi tempat luahan Mak Siti. Dirinya jugalah yang menjadi pengapit Mak Siti ketika perkahwinan paksa itu berlangsung 29 tahun yang lalu. Dia fikir, hubungan itu hanya mampu bertahan sekerat jalan, tetapi boleh pula bertahan tanpa berlakunya penceraian. Mungkin benar bercinta selepas berkahwin lebih manis rasanya?

Nafas dihela. Terlalu berat baginya untuk memberi kata putus bagi rancangan gila itu. Rancangan itu sedang mempertaruhkan masa depan anak sendiri. Siapa saja yang tak risau.

*****

Sudah hampir setengah jam dirinya menghadap meja solek, tetapi setengah jam itulah dia menghabiskan masa untuk termenung. Matanya kian sembap kerana sisa tangisan yang belum habis mencurah.

Tak disangka, walau apa jua cara yang Damia lakukan sekalipun, dia tetap tak boleh lari dari melalui saat ini. Sepatutnya, hari ini adalah hari yang dinanti-nanti bagi setiap orang yang mahu merasainya, tetapi tidak bagi Damia.

Telefon di atas meja diambil dan dibuka log panggilan. Nama seseorang yang terpancar di skrin dia tatap. Entah mengapa, walaupun kali ini ibunya itu tidak merampas atau menghempas telefon miliknya seperti waktu lalu, tetap dia rasakan telefon itu tak berguna. Sudah banyak kali dia cuba menelefon lelaki itu, tetapi tak berjawab. Hantar pesanan teks di Whatsapp dan peti mesej pun, juga tak berbalas.

Syafiq marahkan aku ke? Syafiq dah bencikan aku ke? Tidak mungkin! Syafiq bukan macam tu. Aku kenal Syafiq tu macam mana. Dia tu tak pernah makan hati dengan hal-hal remeh macam ni. Aku pasti dia tak balas call dan mesej aku bersebab. Dan mungkin sebabnya ... adalah pasal perkahwinan aku hari ni. Luah hati Damia.

Kerana tak mahu majlis perkahwinan ini terbatal, pasti Syafiq cuba menjauhkan dirinya. Tetapi tak boleh ke kalau hanya sekali saja aku berbual buat kali terakhir dengan lelaki tu sebelum aku bergelar isteri orang? Dia dah macam gantung aku tak bertali. Damia kecewa.

Kedengaran pintu bilik dikuak, Damia cepat-cepat seka mata yang berair. Telefon diletak semula di atas meja. Lalu bedak segera ditepek halus melapisi pipinya.

"Astaghfirullah, angah. Setengah jam mak tunggu kat bawah, kamu baru nak start mekap? Kamu buat apa dari tadi? Kalau upah mak andam kan lagi cepat kerja," bebel ibunya seraya punggungnya dilabuhkan di birai katil.

Damia tak bersuara tetapi tangannya semakin ligat memperkemas wajahnya. Dia malas mahu bertekak lagi. Sepanjang minggu ini saja, entah berapa ratus kali dia sudah bertikam lidah dengan ibunya itu. Semuanya kerana pernikahan yang bakal berlangsung hari ni.

Mak Siti geleng kepalanya. Faham anaknya itu sedang melancarkan perang dingin dengan dirinya setelah apa yang berlaku.

Tetapi Damia itu, walaupun membantah keras rancangan ini tetapi akhirnya dia putuskan jua bersetuju dalam keterpaksaan. Semuanya kerana kuasa 'slow talk' Mak Siti.

"Angah ..." Mak Siti bersuara semula.

Damia pula hanya mampu melirik ibunya melalui pantulan cermin itu. Kotak suaranya umpama sudah tak berfungsi tetapi matanya jelas menunjukkan ketidakpuasan.

"Mak tahu angah tak suka dengan semua ni. Mak tahu angah benci mak setelah apa yang berlaku. Tapi biarlah kamu tahu jugak, yang mak buat semua ni demi kebahagiaan kamu. Demi masa depan kamu," sambung Mak Siti lagi.

Kerja menyisir rambut segera terbantut. Mendengar kata ibunya itu, makin membuatkannya sakit hati. Kebahagiaan? Masa depan? Huh! Semua itu hanyalah fantasi semata-mata.

Damia menoleh memandang ibunya yang sedang memasang wajah berharap. Marahnya ketika itu, hanya Allah saja yang tahu tapi segera dia hela dan lepaskan nafasnya agar kesabarannya terkawal.

"Angah tak suka Lokman tu, mak. Tapi mak yang tak faham," balas Damia dengan suara yang ditekan-tekan.

Mak Siti mengeluh. Asyik-asyik ayat sama aje anaknya ini beralasan. Kalau tak suka, lepas kahwin nanti bercambahlah rasa suka itu sedikit demi sedikit. Apa yang nak dirisaukan?

"Mak dengan arwah ayah dulu pun saling tak suka. Tapi perkahwinan kami bahagia je."

Damia pejamkan mata. Ah! Selalu sangat kalau berbincang pasal topik ini, isu tentang perkahwinan ibu dan arwah ayah dibangkitkan. Dah hampir bernanah telinga mendengar. Kalau perkahwinan dengan arwah ayah dulu lainlah ceritanya. Tu zaman dulu!

Apa yang bakal dia hadap sekarang ini ialah perkahwinan bersama Lokman! Bukan ke tu satu malapetaka? Dia bukan je tak sukakan lelaki itu tetapi rasa benci turut bersulam. Tetapi itulah, kata-kata itu hanya mampu digumam dalam hati.

Melihat Damia yang masih membisu, Mak Siti segera mendekatkan dirinya. Jari-jemarinya menyentuh lembut tangan anaknya itu.

"Lupakan jelah Syafiq tu. Mak tahu kamu ragu-ragu macam ni, sebab dia," sambung Mak Siti. Nada suaranya lembut saja tak seperti biasa. Selalunya sebut je nama Syafiq, mahu terkeluar anak tekaknya menempik.

Damia makin geram. Macam mana dia nak lupakan Syafiq sedangkan hatinya tak henti-henti melaungkan nama itu. Sepanjang minggu ini, dirinya makin tak keruan memikirkan lelaki itu.

Khabar lelaki itu pun, dia tahu dari Najihah saja. Mujurlah Najihah masih lagi mahu melayannya atas talian, kalau tidak makin menggilalah dia.

Kata-kata Najihah beberapa hari lalu kembali bermain di dalam fikiran ...

'Syafiq okey je. Awak jangan risau, Damia. Cuma biasalah, rasanya dia masih terkejut dengan apa yang berlaku,' adu Najihah.

Damia hela nafas. Dia malas mahu membahas tentang Syafiq. Malas bukan kerana benci tetapi kerana cuba menerima apa yang bakal terjadi. Selepas ini dia akan berkahwin dengan orang lain. Dia sendiri yang sudah bersetuju.

Mak Siti yang belum menerima jawapan anaknya bingkas bangun. Biarkan saja jawapan anaknya itu terluah dalam hati sendiri. Kalau mahu menunggu pun entah tahun depan baru dijawabnya.

"Mak keluar dulu. Ingat angah, kamu jangan buat hal lagi. Mak tahu kamu anak yang baik. Mak pasti kamu takkan buat hal bodoh lagi, kan?" ucap Mak Siti sambil mengusap-usap bahu Damia. "Kejap lagi keluar tau. Kejap lagi pak long dah nak datang, hantar kita kat masjid. Jangan lama sangat bermekap tu."

Damia mengangguk lemah. Seraya itu matanya hanya menghantar pemergian ibunya itu. Betul ke apa yang dilakukan olehnya ni? Adakah benar jodohnya telah ditakdirkan bersama Lokman?

*****

Syafiq hidupkan skrin telefonnya. Dilihat beberapa panggilan masuk seseorang tak dijawab. Dan apabila dibaca sahaja nama itu, hatinya ditimpa rasa gundah.

Mahu saja dia menjawab missed call tu. Mahu je dia membalas mesej yang bertalu-talu masuk tu, tetapi dia tak sanggup.

Kalau dia berbuat begitu, bukan ke dia seperti memberi harapan kepada Damia dan dirinya sendiri? Syafiq cuba menerima takdir bahawa Damia bakal menjadi milik orang lain walaupun sukar untuk menelannya.

Sudah lebih seminggu dia memutuskan untuk mengabaikan diri dari berhubung dengan Damia, dan seminggu itu jugalah rasa perit menusuk-nusuk jiwa. Kenapa dirinya sanggup melakukan tu? Bukan ke dia telah berjanji bahawa dia akan menjadi orang pertama yang berada di sisi tatkala Damia kesedihan? Syafiq tertunduk lemah.

Galeri dibuka. Gambar-gambar swafoto Damia dan dirinya menjadi santapan mata. Gambar ketika mereka berdua berada di gerai satenya dan juga gambar ketika berada di rumahnya.

Syafiq hanya mampu tersenyum mengenang kembali masa tu. Masa ketika awal perkenalan tanpa adanya rintangan biarpun kata cinta tak terungkap dan diungkap dari bibir masing-masing.

"Selamat pengantin baru, Damia," gumam Syafiq perlahan. Sebak di dada tak mampu dikawal. Lagi beberapa jam sahaja lagi gadis itu bakal menjadi isteri orang, tetapi detak jantungnya semakin tak terkawal.

Syafiq segera mengucap panjang. Dia mahukan yang terbaik buat Damia, takkan dia mahu berharap yang bukan-bukan pula. Dirinya cuba untuk menerima takdir. Ya, kau bukannya bakal suami Damia. Tetapi orang lain!

Terasa kering pula matanya kerana asyik menangisi gadis yang belum pasti menjadi miliknya. Bukan belum pasti, tetapi tak akan pun. Damia itu bukannya sebahagian dari keluarganya, tetapi kenapa dia harus menangisi gadis tu?

Wajah diraup berkali-kali. Sedar solat zuhur masih belum ditunaikan lagi. Terlalu melayan perasaan sangat sampaikan dirinya alpa untuk mengerjakan kewajipan yang dituntut oleh Allah S.W.T. Sekurang-kurangnya, dengan solat, dirinya mampu bertenang semula dari menerima rasa yang sudah mencucuk-cucuk jiwa.

Syafiq bingkas bangun dan menapak menuju ke bilik air. Usai mengambil wuduk, langkahnya terhenti di hadapan pintu bilik Syafiqah yang terbuka sedikit. Sekujur tubuh adiknya yang masih tidur itu ditatapnya dengan penuh sayu.

Kain lembap masih melekat pada dahi. Entah kenapa, sejak Syafiqah mendengar khabar bahawa Kak Damianya bakal berkahwin dengan orang lain, dia terus hilang selera. Lagi-lagi orang lain itu adalah lelaki yang pernah cetuskan masalah di depan rumah ustazahnya, lagilah dia tak sedap hati.

Semenjak batang hidung Damia sudah tak kelihatan dan sampainya khabar bahawa Damia berhenti dari kelas mengaji, tiba-tiba Syafiqah tu diuji sakit pula. Kelmarin muntah-muntah. Hari ni, demam pulak. Syafiq hanya mampu berdoa dan merintih agar mereka dapat melalui semua ini dengan hati yang terbuka. Tak apa, ini baru permulaan.

Telefon di dalam biliknya menjerit minta diangkat. Syafiq dengan lemahnya terus masuk ke dalam biliknya dan dicapai telefon itu. Disangka Damia lagi, tetapi bukan. Panggilan itu dari Najihah. Segera Syafiq angkat panggilan.

"Syafiq, demam Syafiqah dah kebah ke?" tanya Najihah penuh risau. Sudah dua hari pelajarnya tu tak hadir mengaji sebab demam. Siapa je yang tak risau.

"Okeylah sikit dari kelmarin. Biasalah, demam terkejut," gumam Syafiq bergetar. Dirinya runtun antara menerima kepedihan hatinya dan kesakitan adiknya sekali gus.

Jawapan Syafiq itu jelas mahu melunturkan kerisauan Najihah, tetapi niatnya itu tidak mampu mengubah perasaan Najihah biarpun wanita itu tidak pernah terlupa untuk menjenguk Syafiqah sepanjang dua hari ni.

"Kejap lagi saya singgah jenguk Syafiqah tau. Saya ada masak sikit untuk dia. Abi pun nak ikut melawat sekali."

"Hmm .... terima kasih, Najihah," balas Syafiq dengan nada yang datar. Bukan kerana dia tak suka Najihah menelefon tetapi perasaannya masih libang-libu tentang apa yang terjadi dan apa yang bakal terjadi.

Fikirannya masih tertumpu kepada hal lain. Syafiq segera gelengkan kepalanya berkali-kali. Dirinya ini dah angau agaknya.

Syafiq, ingat! Kau kena kuat, kau kena lupakan semua ni! Berkali-kali Syafiq cuba menasihati dirinya.

"Sama-sama, Syafiq. Saya rasa yang tu je kot saya nak bagitahu. Kalau tak ada apa-apa ..."

"Najihah!" seru Syafiq tiba-tiba.

"Ya?"

Syafiq bungkam seketika. Patut ke dia bertanya dan nyatakan hal ni kepada Najihah? Nanti apa pulak Najihah ni fikirkan. Tapi kalau dia tak berbuat demikian, semakin melarat rasa hampa yang meracuni hati.

"Saya nak cakap pasal Damia ..." Syafiq telan liur. "Awak tak pergi akad nikah dia?"

Najihah tundukkan kepalanya. Biarpun saat terakhir sebelum Damia bergelar isteri orang, Syafiq masih tak betah bertanyakan tentang gadis itu.

Tetapi bukan ke Syafiq sendiri yang mengabaikan panggilan dan pesanan teks Damia? Sebab apa dia masih lagi nak bertanya pasal Damia? Persoalan itu hanya mampu disimpan di dada. Najihah biarkan sajalah telinganya menadah apa yang bakal Syafiq utarakan.

*****

Persalinan baju pengantin berwarna putih bersih itu nampak elok dipakai Damia. Wajahnya yang anggun itu kelihatan bersinar. Dirinya cuba meleretkan senyum sepanjang berada di dalam rumah Allah ini tetapi senyumnya sudah kehilangan serinya.

Hantaran juga terhidang dan tersusun kemas di ruangan solat. Hantaran pun, tidak terlalu banyak dan tak juga sedikit. Sedang-sedang sahaja. Dah nama pun kahwin ekspres, mahu gah macam mana lagi.

Tetamu-tetamu yang menghadiri majlis akad nikah itu tak henti-henti berbual. Ada yang memuji sang mempelai, ada yang mengeluh kelewatan kadi nikah dan tak tolak kemungkinan juga jika ada di antara mereka yang mengumpat. Iyalah, tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba bernikah. Tapi biarlah, Damia tak ambil peduli. Lagipun bukan pernikahan ini yang dia mahukan!

Mak Siti yang bersimpuh di sebelahnya tidak lepas dari menggenggam tangan anaknya tu. Senyum tak lekang dari bibir. Makin tak sabar apabila lagi beberapa minit saja lagi rancangannya selama ini bakal menbuahkan hasil setelah menghadap sikap degil anaknya. Bukan senang, akhirnya saat ini akan berkunjung tiba juga.

"Zainab ..." Mak Siti berbisik memanggil kawannya yang berada di sebelah kanan Damia. Sekarang ini, hanya tubuh Damia saja yang menjadi penyekat antara mereka.

Mak Cik Zainab menjongketkan kening.

"Mana tok kadinya? Dah lambat 15 minit ni," keluh Mak Siti yang tak senang duduk. Anaknya hanya membiarkan je ucapan ibunya masuk dan keluar dari telinga.

"Sabarlah sikit, Siti. Dia on the way datang sinilah tu. Lagipun bukan majlis nikah anak kita je yang dia handle hari ni," balas Mak Cik Zainab. Bengang jugak dia dengan kawannya tu. Kalut sangat mahu berbesan sampaikan bersabar sedikit pun tak boleh.

Mak Siti mendengus. Dalam banyak-banyak majlis, majlis nikah anaknya jugaklah yang tok kadi mahu datang lambat. Selagi anaknya belum diijabkabulkan, selagi itu dirinya takkan tenang!

Damia masih diam seribu bahasa. Dia pandang seketika wajah Lokman yang siap bersongkok dan bersila tidak jauh di hadapannya. Lelaki itu sedang duduk bersama dua adiknya dan juga hadirin-hadirin lelaki yang lain.

Lokman lalu tersenyum kepadanya. Cepat-cepat Damia buang pandangan ke arah lain. Mesti lelaki itu sedang bersorak gembira sekarang ni, kan? Apa pun rancangan yang Damia lakukan, tetap saja Lokman tu akan menjadi suaminya sekejap lagi. Itulah, percaturan Allah siapa yang tahu.

Damia cuba untuk menelan kata-kata ibunya tempoh hari. Bercinta selepas berkahwin. Tetapi mampukah rasa cintanya dapat dipupuk demi Lokman, sedangkan rasa cintanya kepada lelaki lain masih belum hilang sinarnya.

Lelaki lain yang bernama Syafiq Aiman. Hatinya runtun setiap kali teringat akan lelaki itu. Betul ke dia sudah tiada arah jodoh dengan lelaki tu?

Dan tanpa sedar, kolam matanya berlinang dengan air. Air mata rindu, air mata kecewa, semuanya terkumpul dalam satu titis air mata. Dibiarkan saja air itu turun membasahi pipi.

"Angah? Kenapa ni?" tanya Mak Siti perlahan. Sengaja tak mahu Mak Cik Zainab yang rancak bersembang dengan jirannya tersedar.

Tanpa menjawab, Damia seka air mata tu dengan punggung tangan. Habis cacat segala solekan yang ditepek tadi.

Mak Siti gelengkan kepalanya. Tahu sangat punca anaknya itu menangis. "Dah, jangan nangis lagi. Habis hilang mekap cantik kamu tu," bisik Mak Siti.

"Sementara tok kadi tak datang lagi, pergi tandas dan touch up sikit mekap tu. Nak nikah kejap lagi, takkan nak tayang muka comot macam ni? Mesti tak, kan?" pesan Mak Siti. Ye la, nak tangkap gambar kejap lagi dengan muka comot macam tu, nanti orang kata apa pulak.

Damia angguk. Usai mengambil beg tangan miliknya daripada genggaman Nadia, langkahnya segera tertuju ke tandas masjid di luar. Entah macam manalah dirinya boleh menitiskan air mata waktu-waktu macam ni.

Mak Cik Zainab tertanya-tanya jugalah dengan kepergian Damia ke luar tu tetapi segera Mak Siti menerangkan. Dikatanya, Damia tu mahu membuang hajat di tandas.

Kepala Mak Cik Zainab diangguk sajalah kerana percaya. Lagipun dia faham sangat dengan perasaan Damia itu. Maklumlah, sekejap lagi mahu bergelar bini orang. Tadi pun dia sempat memegang erat tangan Damia. Sejuknya bukan main. Patutlah beria-ia mahu buang hajat.

Selepas beberapa minit berbual sesama sendiri, kelibat tok kadi datang memasuki pintu masuk ruangan solat. Cepat-cepat Mak Siti menyuruh Nadia segera memanggil Damia. Rasanya baru lima minit Si Damia itu ke tandas, tapi terasa lama pulak.

Nadia malas-malas bangun dari simpuhnya. Tandas wanita yang agak jauh itu ditujunya.

Masuk saja ke dalam tandas, sunyi je. Hanya bunyi titisan air paip yang kedengaran.

Hatinya mulai berdebar. Terdapat tiga bilik air di situ tetapi kesemua pintu terbuka luas. Diperiksanya sekali lagi. Takkanlah ...

Langkahnya laju memasuki ruang solat semula. Kelihatan wajah-wajah para hadirin yang sudah mulai berkerut-kerut mengeluh kerana lama menunggu. Lokman juga sudah siap bersemuka dengan tok kadi untuk menghadapi acara melafazkan akad.

Mak Siti menjongketkan kening berkali-kali, isyarat bertanya tentang keberadaan Damia.

Nadia terus duduk bersimpuh. Entah mengapa, jantungnya berdetak tak sekata.

Nadia memutuskan untuk membisik. Tatkala perkara itu disampaikan, membulat mata Mak Siti. Nafasnya bagaikan disekat.

"Apa? Angah lari?" Suara Mak Siti sudah tidak mampu dikawal habis memecah segenap ruang masjid itu. Pantas para hadirin saling berpandangan.

Rahangnya bergerak-gerak. Tak mungkin. Damia dah berjanji yang dia takkan buat hal lagi.

Tak mungkin!

Bersambung...

Memang betul-betul degil Damia ni. Macam-macm hal dia buat dan kali ni, dia lari dari majlis akad nikah dia pulak Memang kepala batu betul >< Rasa next eps apa yang jadi kat Damia tu? Teruskan baca hehe...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience