BAB 2

Mystery & Detective Completed 347

Cyber kafe ditinggalkan. Kudin membonceng motosikal yang ditunggang oleh
Alim. Sementara Fitri, Fared, Wan dan Mamad menunggang motosikal
masing-masing. Ngauman bunyi enjin motosikal yang hampir serentak itu
memecah sepi pagi di kawasan rumah kedai itu. Bising dan membingitkan.
Lagak mereka bagaikan mahu memulakan aksi sebelum merempit di jalan
raya. Bukan mereka tidak biasa dengan aktiviti merempit itu. Biasanya
pada malam hujung minggu aktiviti merempit itu mula mengisi ruang di
jalanraya sekitar pekan Paku Rotan itu. Mereka memang tidak serik-serik.
Malah selalu menjadi mangsa buruan pihak berkuasa. Ops Rempit yang
dijalankan oleh pihak berkuasa tetap dipandang remeh di kalangan
anak-anak muda ini.

“Alamak! Tak bukalah pulak warung ni!”

“Habis tu… macam mana sekarang?”

“Nak buat macam mana? Makan angin sajalah pagi ni!”

“Ermm… laparlah pulak!” tingkah Mamad sambil menggosok-gosok perutnya.

“Kalau macam tu, kita balik sajalah!” ujar Wan pula.

“Okeylah… esok malam jangan lupa jumpa di port kita…” Alim
mengingatkan kawan-kawan yang lain.

Masing-masing mengangguk lemah. Mungkin rasa mengantuk sudah menguasai
diri. Kata sepakat pun sudah diambil. Fitri dan rakan-rakan yang lain
telah bersedia pulang ke rumah masing-masing. Di simpang itu mereka
berpecah kepada dua kumpulan. Alim dan Kudin akan mengarah ke jalan yang
lain. Jarak antara kampung mereka cumalah 5 kilometer sahaja. Bersekolah
menengah yang sama, mereka semua akrab sejak di awal persekolahan
peringkat menengah lagi.

Ketika melalui kawasan yang agak berbukit itu, tiba-tiba enjin motosikal
yang ditunggangi oleh Alim berhenti. Suasana menjadi sepi seketika.
Angin malam terus berhembus. Gemerincing bunyi ranting buluh yang
berlaga antara satu sama lain terdengar jelas. Diikuti pula sahutan
burung jampuk sayu di ranting kayu. Di wajah bulan nampak awan berarak
kelabu. Dan di wajah Kudin, mula bersarang rasa curiga. Berada di
kawasan gelap dan mendengar bunyi yang pelbagai, hatinya bertambah
kecut. Rasa nak terkencing tetapi ditahankan juga.

“Kenapa injin mati pulak Lim?”

“Manalah aku tahu! Habis minyak kot!”

“Kenapa tak isi minyak tadi?”

“Biasa aku budget cukup…”

“Masalah kalau macam ni!”

“Memanglah masalah! Yang kau mengelabah ni kenapa?”

“Kau tanya aku kenapa? Kita ada kat mana sekarang ni? Senak perut aku
menahan kencing ni!”

“Kau yang nak kencing, apa hal dengan aku pulak?”

“Bukan sakit nak kencing lagi… dah seram sejuk rasa badan aku ni!”

“Aku tahu… kau tu penakut! Bukan tak biasa duduk dalam gelap. Pergilah
buang air kecil kat pokok buluh tu.”

“Err… temankan aku. Aku… aku tak beranilah!”

“Memang sah kau ni penakut! Cakap banyak boleh tahan… pergilah, aku ada ni!”

“Aku bukan penakut tapi aku tak biasa kencing kat situ!”

“Banyaklah alasan kau. Dah darurat nak buat macam mana? Kalau kau
sanggup tahan, tahanlah!”

“Tak guna punya kawan! Lain kali malas nak ikut kau dah!”

“Jangan lupa minta izin sebelum nak kencing tu. Cakaplah… maaf Tok, cucu
nak tumpang kencing!” ujar Alim sebelum ketawa semahunya.

Geram sungguh hati Kudin mendengar alasan demi alasan yang diberikan
oleh Alim. Ditahankan juga rasa sakit perutnya itu. Selagi dia boleh
bertahan, dia akan bertahan. Alim menggoncang-goncangkan motosikalnya
dengan harapan saki baki minyak yang ada akan turun ke bahagian bawah
tangki. Manalah tahu boleh dihidupkan enjin motosikal itu nanti.

“Kata nak kencing, pergilah!”

“Dah okey sikit perut aku ni. Nantilah…”

“Kudin… Kudin… ada jugak kawan aku yang penakut!”

“Cakaplah apa yang kau nak cakap. Ada aku kesah?”

“Kesahnya apa kita nak buat sekarang?”

“Apa lagi… tolaklah! Nak buat macam mana?”

“Ermm… nasiblah. Berpeluh kita pagi ni!”

“Habis tu, nak tinggalkan sini?”

“Ehhh… jangan cari pasal. Esok datang pasti dah hilang!”

“Tahu tak apa. Apa lagi, tolaklah!”

Ada baki lebih kurang 3 kilometer yang mesti ditempuhi sebelum sampai ke
rumah Alim. Penat menolak motosikal itu, Alim dan Kudin berhenti
seketika. Keadaan pada masa itu memang sunyi. Kebanyakan penghuni di
desa itu sedang diulit mimpi indah. Keadaan sekitar nampak samar-samar
dan diterangi cahaya bulan dari langit tinggi. Suara burung jampuk mula
bersahut-sahutan. Mata Kudin melilau melihat ke kiri dan kanan. Dadanya
berombak resah. Jantungnya berdegup kencang. Tubuhnya kembali terasa
seram sejuk. Ada sesuatu melekakan pandangannya.

“Alim... kau nampak tak apa yang aku nampak?”

“Kau nampak apa? Dalam gelap macam ni, mulut kau jangan celupar boleh tak?”

“Serius! Aku tak main-main!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience