Bab 3
Tubuh Zakuan menggeletar. Dia mendongak ke atas. Tidak nampak lagi kelibat Irfan. Tiada juga kelibat empat orang lagi kawan-kawan mereka yang tadi sama-sama mendaki. Entah ke mana mereka menghilang. Apakah mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh Irfan terhadapnya? Apakah ini satu pakatan? Sempat hatinya bertanya pada diri sendiri. Bukankah antara mereka berenam hanya Affendi seorang teman baiknya sementara tiga orang lagi adalah kawan-kawan Irfan.
“Tolonggggg!!!” Jeritan Zakuan bergema, memenuhi gaung. Saat yang sama tubuhnya menjunam laju bersama-sama tali yang sudah terputus.
Fikiran Zakuan kosong, hampa. Tubuhnya melayang bagaikan sehelai kertas yang amat ringan. Dia tidak berupaya untuk menyelamatkan jasadnya daripada jatuh. Biarpun dia menggawang-gawangkan tangannya mencari tempat untuk berpaut tapi tiada satu apa yang pun boleh dipegang. Tiada harapan langsung. Kini dia hanya berserah kepada Sang Pencipta.
Ya Allah… serunya di dalam hati. Sesungguhnya aku adalah hakmu. Sesungguhnya Engkaulah yang memegang nasib diriku. Aku percaya dan yakin pada takdir. Sekiranya hidupku harus berakhir begini… aku redha dengan ketentuanMu.
Selama 18 tahun, tiga bulan, dua minggu dan empat hari aku menghirup nafas di dunia fana ini, aku redha sekiranya engkau ingin mengambil kembali hak yang Engkau pinjamkan kepadaku. Namun di saat-saat genting ini aku masih meminta belas ehsanMu. Selamatkanlah aku. Selamatkanlah aku daripada kejahatan dan kebejatan manusia yang dengki kepadaku.
Sepuluh Tahun Kemudian.
Amalina sibuk mengemas baju. Beberapa helai seluar jean dan seluar trek dimasukkan ke dalam beg yang besar. Dia tidak tahu berapa lama harus berada di sana. Entah sebulan atau dua bulan. Jadi dia harus membawa banyak baju. Dia membawa t.shirt, baju berlengan panjang dan juga jaket. Dia turut membawa beberapa helai seluar pendek, baju mandi dan tuala.
Jangan lupa stoking… bisik hatinya. Manalah tahu jika di sana nanti ada nyamuk. Dia tidak mahu jatuh sakit gara-gara digigit nyamuk. Tapi biasanya di dalam hutan tebal tiada nyamuk! Begitulah… Nyamuk lebih suka berada di kawasan berair dan biasanya lokasi begini adalah tempat yang didiami orang.
Amalina termenung sambil berfikir. Apa lagi ya? Jangan sampai nanti bila sudah bertolak dari rumah baru teringat ini tertinggal, itu tak bawa. Terpaksa berpatah balik. Membazir masa buat apa… Dia memeriksa senarai barang yang sudah disediakan. Tangannya pantas menandakan barang-barang yang sudah disumbatkan ke dalam beg.
Hmmm… Apalagi ya? Semuanya sudah ada. Bisiknya sendiri. Tidak sabar dia hendak memulakan projek barunya itu. Biarpun dia harus mengambil cuti tanpa gaji, tapi bagi Amalina dia tidak akan rugi apa-apa. Dia telah mendapat sponsor daripada kerajaan negeri Pahang untuk menjayakan projek ini. Dia akan cuba sedaya upaya memastikan projek ini berjaya… pulangan yang akan diterima pastilah lumayan. Jika kejayaan itu sudah dalam genggaman, dia tidak akan berfikir dua kali untuk melepaskan jawatannya sebagai wartawan.
“Jadi pergi esok?” Puan Salimah menjenguk dari muka pintu. Matanya memerhati ke arah katil yang berselerak dengan pakaian.
Amalina menoleh memandang emaknya. Dia tersenyum.
“Jadi mak…” Amalina menjawb sambil mengemas katilnya. Beg pakaian yang sudah padat dan buncit isinya diletakkan di tepi katil. Puan Salimah masuk ke bilik anak gadisnya itu, melabuhkan punggungnya di hujung katil.
“Mak risau kau nak pergi sorang-sorang dalam hutan tu,” luah Puan Salimah sambil memandang tepat ke wajah anak gadisnya.
Amalina memang gadis lasak sejak kecil. Apabila dewasa, kelasakan dan kelincahannya tidak pernah sirna. Barangkali kerana dia mempunyai empat orang abang, maka sikapnya pun tidak ubah seperti budak lelaki. Malah dia lebih berani daripada abang-abangnya sendiri. Amalina mempunyai seorang adik perempuan
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah nasib Zakuan? Adakah dia selamat?
Share this novel