Maisarah Nabilah meraup wajahnya. Dia terimbau kenangan silam yang begitu perit untuk ditelan. Kenangan lampau yang membuatnya menderita sehingga sekarang. Sungguh. Peristiwa hiba yang berlaku lapan belas tahun dahulu tidak akan sesekali dia lupakan.
Tidak akan! Perasaan benci terhadap papanya juga tidak akan lenyap. Peristiwa tersebut menghiasi laman mindanya tatkala dia membelek kembali buku diarinya. Keratan akhbar yang memaparkan kejadian bunuh diri di Vila Permata yang terletak di Cheras, pinggir bandar Kuala Lumpur dibacanya semula. ‘Isteri usahawan terkemuka bunuh diri’.
Berita tersebut menggemparkan Malaysia suatu ketika dahulu. Masakan tidak, Datuk Malik merupakan pengasas Garuda Holdings, syarikat gergasi di negara ini.
Kematian ibunya menjadi buah mulut masyarakat. Ada yang mengatakan ibunya sepatutnya dimasukkan ke hospital sakit jiwa. Dia teringat kembali ibunya gemar berkata seorang diri. Dia akui ibunya mengalami tekanan perasaan. Semua ini akibat perbuatan curang papanya.
Dia menyalahkan papanya atas kehilangan ibu yang tercinta. Maisarah tidak dapat melupakan kejadian seorang wanita yang agak muda datang ke vilanya dan mengakui hamil anak papa. Sampai hati papa buat mama macam ini?
Sampai hati papa buat hidup Sarah terseksa tanpa kasih sayang seorang ibu? Sehingga saat ini dia tidak akan sesekali mengakui ibu tirinya sebagai mama. Wanita itu tidak layak berada di Vila Permata. Sarah menganggap wanita itu orang asing dalam hidupnya.
“Hoi! Asal tadi kau guna kereta aku hah? Guna dahlah tak mintak izin! Kan aku dah banyak kali cakap kat kau jangan guna kereta tu! Tu kereta akulah sial!” Adeeba mengamuk. Dia geram dengan perbuatan kakak tirinya.
“Akak guna sebab nak jumpa kawan akak. Tu bukan kereta Deeba pun. Tu kan kereta papa. So, sape-sape je boleh guna kereta tu. Kau tu guna kereta nak pergi berparti je dengan kawan-kawan kau. Bersosial je!” Maisarah membalas. Semakin lama dia semakin sakit hati melayan kerenah adik tirinya. Sudahlah pakai baju menjolok mata. Seksi dan menyakitkan mata.
“Kereta tu papa dah bagi kat akulah. Kau takde hak nak pakai kereta tu lagi. Bahalol!” Adeeba menghamburkan lagi kata-kata nista. Sungguh dia amat membenci kakak tirinya. Dia tidak suka berkongsi barang dengan kakak tirinya. Dia benci!
“Yang Deeba nak marah-marah ni pehal? Akak guna sekejap je. Bukannya lama sangat pun. Lagipun, kereta lain kan ada. Guna jelah yang lain.” Maisarah meninggikan suaranya. Dia semakin marah.
“Kau ni kenapa? Aku cakap aku tak suka kau guna kereta aku! Tak faham bahasa ke? Siap kau kalau kau guna lagi kereta tu. Anak perempuan gila! Pergi matilah kau sama macam mak kau yang dah mampus tu! Mak gila bunuh diri!”
Adik tirinya terus menghinanya. Maisarah mengetap bibir tanda geram. Berani Adeeba menghina ibunya yang telah lama meninggalkan dunia? Tanpa disangka, pangg! Tangan kanannya menampar pipi adik tirinya.
“Deeba jangan sesekali nak hina arwah mama akak! Kau tu dahlah anak luar nikah!” Maisarah menjerit. Dia terlepas cakap. Dia tidak suka sesiapa mencaci arwah mamanya. Seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an muncul. Mukanya merengus tanda marah. Beg-beg kertas yang berisi baju yang baru dibelinya dicampak ke atas sofa.
“Kau dah buat apa ha dengan anak aku??” Wanita itu melenting.
“Mama, dia tampar Deeba! Perempuan sial ni dah tampar anak mama.Sakit mama. Nampak tak ni merah?” Adeeba mengadu kepada Datin Sofea. Dia merengek manja sambil memegang pipi kirinya yang telah ditampar.
“Hei betina! Kau siape nak tampar anak aku?? Kau siape?? Anak perempuan gila! Kau dengan mak kau sama-sama tak guna! Sama-sama gila! Mak kau dahlah tak de otak! Gantung dirilah..macam takde cara lain ke?? Nampak sangat nak carik publisiti! Sengaja nak cemarkan nama papa kau!”
Kepala Maisarah ditujal dengan kasar. Kata-kata Datin Sofea lebih menyakitkan daripada adik tirinya. Perlukah dia membangkitkan nama ibunya? Ibunya bunuh diri dikatakan mencari publisiti?
“Aunty yang sebabkan mama Sarah meninggal dunia. Sekurang-kurangnya mama Sarah tak merenyam dengan laki orang macam aunty!” Maisarah menjawab berani.
“Kurang ajar mulut kau! Betina biadap macam kau ni patut diajar! Tak hormat langsung kepada aku! Aku dah jadi isteri papa kau! Kau buat apa-apa pun, papa kau lebih percayakan aku. So, don’t be rude to me!”
Tangan kanannya hampir melayang untuk menampar pipi anak tirinya tetapi berjaya ditepis oleh Maisarah. Pergelutan berlaku. Tidak semena-mena Datin Sofea jatuh ke atas lantai. Dia mengaduh kesakitan. Kesakitan kecil itu tiada apa-apanya jika dibandingkan dengan kepedihan di hati Maisarah yang menangis luka.
Perempuan di hadapannyalah yang telah menghancurkan kasih sayang antara mama dan papa. Perempuan inilah yang telah menyebabkan lenyapnya satu nyawa! Datin Sofea berdiri semula.
Deruan enjin kereta kedengaran. Datuk Malik mula menapak ke dalam Vila Permata. Dia terdengar suara dua orang wanita sedang bergaduh. Dia mengagak pasti Maisarah buat hal lagi. Dia sudah penat melayan kerenah anak gadisnya itu.
Kali ini tentang hal apa pula? Dia mula pening menghadapi semua ini. Tidak habis-habis Maisarah mencari fasal dengan ibu dan adik tirinya.
“Sudah! Asyik-asyik buat hal! Dia ni kan mama tiri Sarah. Cubalah hormat sikit. Penat je papa cakap! Tapi tak pernah nak dengar! Sarah pergi naik atas!”
Datuk Malik memekik. Naik pusing kepalanya memikirkan hal yang terjadi pada hari ini. Sudahlah tadi clientnya membatalkan projek dengan syarikatnya. Di rumah, Maisarah cari fasal dengan ibu tirinya. Hari yang agak malang. Adeeba tersenyum sinis melihat Maisarah dimarahi. Dia sangat gembira melihat adegan tersebut.
“Papa tak habis-habis nak menangkan perempuan ni! Sarah benci papa!” Air matanya tumpah. Maisarah mengorak langkah dengan laju menuju ke bilik tidurnya. Pintu bilik dihempas kuat. Dia menyembamkan wajahnya ke bantal. Sekali lagi air matanya menitis kerana mereka semua. Dia berasa keseorangan di dalam Vila Permata.
Ahli keluarganya menganggapnya seperti tunggul kayu yang boleh disepak sesuka hati. Pada malam itu, tidurnya ditemani air mata duka. Saat ini, dia hanya berserah kepada Ilahi. Berharap agar masih ada sinar bahagia untuknya.
Share this novel