PAGI ini Juwita bersendirian. Adik-adiknya keluar daerah menghadiri program sekolah.
Penat berjoging, Juwita melangkah perlahan sambil melakukan sedikit regangan.
Matanya tertumpu pada sepasang kekasih yang sedang asyik bermadu kasih. Dia segera menukar haluan langkahnya. Namun...
"Hei, muka tak malu Orang dah tak nak, kau terhegeh-hegeh." Juwita buat pekak telinga. Dia tak ingin sebarang drama. Cukup sudah apa yang dia terpaksa lalui sebelum ini.
Baru hendak membuka langkah memulakan lariannya, rambutnya direntap kasar.
"Auch... sakitlah." Juwita memegang pangkal rambutnya yang terikat.
"Kau memang saja ikut kami, kan?" Juwita cuba melepaskan rambutnya dari genggaman gadis itu namun, hampa.
Lantas dipusingkan tubuhnya mengadap gadis itu.
"Lebih baik kau lepaskan sebelum kau makan penerajang aku." Gadis itu ketawa.
"Berani kau nak terajang aku? Biy, you tengok janda you ni. Berani dia nak terajang i."
Belum sempat Juwita membalas, satu tamparan hinggap di pipinya. Perit, pedih... itu yang dirasakan ketika itu. Tidak rela dia menerima semua itu lagi.
Tangannya merentap kasar tangan si gadis agar melepaskan rambutnya. Cukup apa yang pernah diterimanya dulu. Dia sedaya upaya mengajar hatinya menjadi keras.
"Dayus!" Juwita menghamburkan marahnya. Bulat matanya ketika itu.
"Aku sikit pun tak kacau hidup korang. Sikit pun tak cari pasal dengan korang. Yang tak puas hati dengan aku apahal?" Turun naik nafasnya menahan amarah.
"Kau nak sangat jantan ni, kau ambil. Aku tak ingin pun. Jantan tak guna je mengharap duit perempuan. Dahlah pemalas nak kerja. Hidup aku tenang tanpa jantan ni. Hidup aku aman." Puas. Itu yang Juwita rasakan ketika itu.
Puas menghamburkan isi hatinya. Dia tak perlu berebut lelaki seperti itu. Dia tak ingin hidup dengan lelaki itu.
"Berhenti nak berlagaklah perempuan. Jangan ingat aku tak tahu kau masih ada hati dekat Adrian." Juwita ketawa mendengar kata-kata itu.
"Maisara, kau dengar sini baik-baik ye. Dulu ye aku sayangkan dia. Tapi aku bukan perempuan bodoh yang nak biar jantan ni sakitkan aku sebab tak dapat duit aku. Kau rasa kau boleh hidup dengan dia, teruskan. Dia dengan aku tak ada apa-apa ikatan pun." Juwita menarik nafas panjang.
"Kau, Adrian... jangan sampai aku kenakan tindakan undang-undang pada kau." Juwita ingin berlalu pergi apabila tubuhnya ditolak kasar sehingga dia jatuh tersungkur.
"Kau fikir kau bagus sangat?" Marah Adrian. Tangannya diangkat untuk menumbuk wajah Juwita. Segera Juwita menutup wajahnya namun, ada satu tangan lain yang menghalang Adrian dari terus mengasari Juwita.
"Bukan anak lelakilah kalau pukul perempuan, bro." Juwita kalih tangan untuk melihat apa yang berlaku. Tubuh Juwita diraih supaya bangkit. Segera Juwita berdiri.
"Jangan campur urusan aku!" Marah Adrian.
"Aku berhak campur sebab ini tunang aku. Kau fikir aku akan biar kau buat tunang aku macam ni. Aku ada bukti untuk kenakan tuduhan sengaja mencederakan Juwita. Lebih baik kau dengan betina ni berambus." Bahu Juwita dipeluk erat. Tidak mahu gadis itu dikasari lagi.
"Jom Ju. Jangan layan orang tak betul ni." Juwita ikut melangkah. Sikunya terasa sakit. Segera dibeleknya.
"Sakit?" Juwita geleng. Luka itu tidak sedalam luka di hatinya.
'Mamat ni elok pulak jalannya tak terkepit-kepit. Tak nampak macam kurita pulak.'
Juwita terus hanyut dengan khayalannya. Fikirannya masih cuba mencerna apa yang telah berlaku.
"Lan..." Entah mengapa dia rindu panggilan itu.
"Ish kau ni nok. Panggil aku, Zai. Janganlah panggil Lan. Tak sesuai tau." Zailani tayang muka cemberut.
Tak suka betul apabila Juwita memanggilnya Lan. Dia lebih selesa dengan panggilan Zai.
"Elek kau ni, tadi elok je jalan tak terkepit. Ni dah terkepit balik. Badan sikit punya sado tapi lembik." Juwita melepaskan geramnya.
"Hello... lembik-lembik aku pun, masih mampu lagi nak selamatkan kau dari jantan dayus tu tau. Apa punya jantanlah pukul pompuan. Tak fahamlah aku, nok." Juwita tersenyum nipis mendengar omelan Zailani.
"Siapa tadi tu?" soal Zailani serius. Sakit benar hatinya saat melihat Juwita dikasari mereka. Yang peliknya, hilang terus taring singa Juwita.
"Ex boyfriend and ex bff." Buntang mata Zailani mendengarnya. Zailani tarik Juwita untuk duduk di bangku yang disediakan di taman itu.
Dia segera menyeluk sakunya. Tisu basah dikeluarkan untuk membersihkan luka di siku Juwita.
"Dulu aku cintakan dia. Tapi sayangnya, aku bukan yang terbaik buat dia. Dia hanya nak ambil kesempatan je kat aku. Bila tahu kawan baik aku sendiri yang tergilakan dia, aku tinggalkan dia lepas dia kerap naik tangan kat aku." Zailani pandang Juwita lama.
"Kenapa kau biarkan dia naik tangan dekat kau?" soal Zailani tak puas hati.
"Dulu dia romantik, penyayang. Sampailah satu hari tu, dia kerap minta aku duit dengan pelbagai alasan. Mulanya aku bagi, tapi lama kelamaan aku tak bagi sebab aku pun ada tanggungjawab aku. Apatah lagi masa tu, aku masih belajar."
Jeda seketika. Juwita ambil nafas. Terasa perit untuk mengingati semula apa yang berlaku.
"Bila aku tak bagi, dia mula jadi baran. Selalu lempang aku. Tunjal kepala aku. Aku sabar sebab sayang. Cinta tu buta, kan?" Juwita ketawa kecil. Ada mutiara jernih ditubir matanya. Diseka sekilas agar Zailani tidak melihatnya.
"Tapi Allah tu Maha Berkuasa. Satu hari tu, aku dah keluar nak balik sini dari hostel aku tapi aku terpaksa patah balik sebab IC aku tertinggal. Masa tulah Allah buka mata aku."
"Aku nampak dia dengan kawan baik aku sendiri berpelukan. Paling aku sakit hati, rupanya selama ni aku diperbodohkan diorang. Orang yang aku anggap kawan, tapi rupanya bukan kawan aku. Aku bagi susu, tapi dibalas tuba."
Zailani usap lembut kekura tangan Juwita. Belum pernah dia melihat Juwita beremosi begini.
"Bagus pun kau tinggalkan dia. Kau berhak dapat yang terbaik dalam hidup kau. Dah tu, jom aku temankan kau balik." Juwita akur. Akhirnya mereka sama-sama melangkah pergi.
Dalam hati Juwita berasa amat lega apabila Allah mengirimkan Zailani sebagai penyelamatnya. Jika tidak, dia sendiri tak tahu apa yang akan berlaku kepadanya. Orang sekeliling hanya memerhati. Tiada sorang pun yang sudi membantu.
Itulah lumrah kehidupan manusia zaman kini. Hanya mampu menjadi pemerhati. Amat sukar menjumpai orang yang sudi memberi bantuan apabila seorang wanita dikasari.
Share this novel