BAB 5

Romantic Comedy Completed 8105

Udara dingin yang menyapa lena tidurku kian mendesah. Kubukakan mataku perlahan-lahan. Dari celah-celah dinding papan itu sudah tampak samar-samar kecerahan siang. Aku menggeliat sambil mengucapkan kesyukuran kerana diberi kesempatan sehari lagi untuk menikmati kedamaian alam ini.

Terdengar ketuk-ketuk dari surau berhampiran menandakan suara azan akan kedengaran sebentar lagi. berkeriut pintu bilik kecil ini kutolak dari dalam. (Keanehan pertama yang kulihat di sini sewaktu mula-mula ingin memasuki kamar ini kerana pintu bilik di rumahku ditarik ke dalam tetapi pintu bilik rumah ini ditolak keluar).

Di dapur telah terang benderang. Mungkin Mak Pah sudah bangun. Selalunya orang tua itu bangun awal. Dia menyiapkan bekalan suaminya untuk ke kebun dan membungkus nasi lemak untuk diletakkan di kantin sekolah.

Mak Pah bukan orang susah sebenarnya. Suaminya pesara tentera manakala anak bongsunya menternak ayam, itik dan kambing. Baru minggu lepas, dia berura-ura untuk membina kolam ikan air tawar dengan bantuan ayahnya. Tetapi orang tua itu tidak betah duduk diam. Ada sahaja kerja yang hendak dilakukannya. Aku kagum dengan kegigihan Mak Pah.

Sebenarnya, sebelum ini aku tinggal di rumah guru yang terletak dalam perkarangan sekolah tetapi setelah teman serumahku berpindah, aku rasa takut untuk tinggal sendirian. Kebetulan, Mak Pah memiliki rumah sewa berhampiran dengan rumahnya. Jadi, aku meminta keizinan untuk menyewa di rumah itu.

Pada mulanya aku berhasrat untuk menyewa di rumah sewanya kerana Mak Pah memiliki dua buah rumah sewa tetapi rupa-rupanya rumah itu hanya sebuah sahaja yang disewakan. Sebuah lagi adalah untuk kegunaan anak sulungnya yang sekali-sekala pulang dari perantauan.

Saat kunyatakan hasrat itu, Mak Pah tidak membenarkan aku menyewa di situ. Sebaliknya, dia mengarahkan anak bongsunya, Helmi untuk berpindah ke situ manakala bilik Helmi dikosongkan untuk kegunaanku. Itu lebih selamat, katanya.

Awal-awal lagi aku membantah tetapi Mak Pah bertegas dan Helmi sendiri tidak membantah saranan ibunya. Akhirnya kuterima cadangan mereka. Dan sekarang, aku pula yang bagaikan anak tuan rumah ini. Mak Pah pula melayanku dengan baik sekali sepertimana mama melayaniku. Sekurang-kurangnya, terubat jua rinduku terhadap mama dan papa.

Sesekali cuti hujung minggu, aku menemani Mak Pah ke kebun suami dan anaknya, Helmi. Membantu mereka memberi makan ternakan meskipun ditegah. Perhubungan aku dengan mereka sekeluarga juga bertambah akrab. Lebih-lebih lagi dengan Helmi. Bagaikan ada keserasian antara kami.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience