Completed
43461
Sekeping hati Afiq Raihan retak seribu apabila mendengar nama Haiqal Iskandar yang disebut oleh Anis Raihanna. Bibirnya diketap rapat. Manakala, tangannya mengepal penumbuk. Namun, dia tetap bersabar.
Dia hanya melahirkan riak tanpa perasaan dihadapan isterinya. Seolah-olah dirinya tidak tergugat langsung dengan sebaris nama lelaki itu.
“Oh, okay. Lain kali kalau nak bergayut dekat telefon tu sekurangnya masaklah untuk aku dulu. Perut aku ni dah berbunyi dari tadi tahu tak?” kata Afiq Raihan tak puas hati.
Dia meninggalkan isterinya bersendirian. Mahu membawa diri bersama hati yang lara. Sakit itu tak terungkap rasanya. Sudahlah perut lapar ditambah pula dengan hatinya yang sakit. Allahu. Pedih!
Manakala, Anis Raihanna mengukir senyuman. Yes! Sudah terang lagi bersuluh yang Afiq Raihan sedang cemburu. Hatinya bersorak gembira.
“Yelah. Aku nak masakkan la ni. Tunggu jap. Tapi serius eh kau nak mee goreng je? Tak nak order air ke apa? Manalah tahu, boleh sejukkan hati kau yang tengah panas tu. Macam aku tak tahu kau tengah cemburu kan? Kan?” balas Anis Raihanna dengan nada mengejek.
Afiq Raihan mendiamkan diri. Dia melangkah semula ke arah isterinya. Lalu, menghampiri isterinya dengan lebih dekat. Matanya dikecilkan ke arah Anis Raihanna.
Anis Raihanna pula hanya beriak selamba. Tangan disilangkan ke dada. Kepalanya didongakkan ke arah wajah suaminya. Maklumlah, dia rendah. Bibirnya pula mengukir senyuman kemenangan.
“Betul jugak cakap kau tu. Bawak juga sebaldi air sejuk. Aku nak siram kau. Panas betul hati aku bila tengok mulut murai kau ni.” perli Afiq Raihan.
Dia menghadiahkan jelingan tajam kepada isterinya. Dia perlu berkelakuan seperti dahulu supaya Anis Raihanna kembali membencinya. Dia buat semua ni bersebab. Bukan secara suka-suka.
Anis Raihanna menjelirkan lidah. Dia langsung tak terasa dengan kata-kata suaminya. Dia yakin dia boleh kembalikan Afiq Raihan yang dulu.
“Dah, pergi buat cepat.” halau Afiq Raihan sesuka hati.
Dia merebahkan diri diatas katil semula. Mahu
berehat sebentar. Dirinya sudah tak larat mahu bertekak dengan isterinya lagi. Makin lama mereka bertekak, makin sakit hatinya dibuatnya.
“Tak naklah bawak air sejuk. Aku bawak air lain lah eh.” kata Anis Raihanna mahu memaklumkan suaminya.
“Suka hati kau lah nak bawak air apa. Air longkang pun bagus jugak kalau kau nak bawakkan.” sinis Afiq Raihan membalas.
Anis Raihanna mencebik. Aku bagi betul-betul kang baru tahu. Sabar Anis. Sabar! Kau boleh tukarkan suami kau balik macam dulu. Kau boleh! Monolog hatinya.
“Aku bawak air love you lah. Confirm sejuk hati kau kan. Yeah, aku tahu tu. Tak payah puji. ” balas Anis Raihanna selamba.
Afiq Raihan bingkas bangun dari pembaringannya tadi. Kenapa? Kenapa dengan isteri dia ni. Mengapa? Bagaimana? Boleh jadi macam tu sekali.
Anis Raihanna menahan tawa apabila melihat Afiq Raihan terpinga-pinga. Tahu pun terkejut. Dulu suami dia buat macam tu, fikir dia tak terkejut? Ha, rasakan. Sempat lagi dia membalas dendam. Langkahnya diatur menuju ke dapur. Bibirnya tak lekang dengan senyuman.
“Hana!” panggil Afiq Raihan tiba-tiba.
Serta-merta, langkah Anis Raihanna terhenti. Dia menoleh sambil mengukir senyuman. Lalu, dia mencekak pinggang.
“Apa? Nak puji aku eh. Tak apalah terima kasih.” kata Anis Raihanna terlebih dahulu.
Afiq Raihan mengeleng kepala tanda bukan itu yang dia maksudkan. Riak mukanya tegang daripada biasa.
“Kenapa kau berubah sampai macam ni, Hana?” soal Afiq Raihan serius.
Anis Raihanna menjongketkan keningnya sedikit. Dia menyilangkan tangan ke dada sebelum membalas. Satu keluhan kecil terbit dari bibirnya.
“Soalan tu sepatutnya kau tanya dekat diri kau sendiri Afiq. Kalau aku tanya kau soalan yang sama, kau takkan jawab kan? Macam tu jugak aku. Aku pun takkan jawab soalan kau tu. So, fair and square, right?” balas Anis Raihanna tenang.
Kotak suara milik Afiq Raihan bagai terkunci rapat. Kata-kata isterinya benar-benar menyentakkan dirinya. Dia memilih untuk diam tak membalas.
Anis Raihanna mengukir senyuman nipis. Dia tahu suaminya takkan mampu untuk membalas kata-katanya. Dia melangkah pergi dengan perasaan sebal.
“Siapa kata aku takkan jawab soalan tu hah? Kau nak tahu sangat kan kenapa aku berubah macam ni.” kata Afiq Raihan lagi.
Kata-kata Afiq Raihan itu menarik perhatian Anis Raihanna. Mungkinkah Afiq Raihan akan berterus terang kali ni? Dia melangkah ke arah Afiq Raihan. Lalu, mengambil tempat disebelah suaminya.
“Kenapa?” soal Anis Raihanna lembut.
Afiq Raihan menarik nafas panjang. Dia melirik ke arah isterinya yang bersebelahan dengan tubuhnya. Mata mereka bertembung buat seketika.
“Sebab aku dah tak cintakan kau, Hana.” ucap Afiq Raihan tanpa riak.
Anis Raihanna mengeluh. Bukan itu jawapan yang dia mahukan daripada mulut suaminya. Dia tahu Afiq Raihan menipu. Dia mahu suaminya berterus terang. Bukan terus menipu dia sebegini.
“Kalau itu jawapan kau, dengar pulak jawapan aku. Boleh?” pinta Anis Raihanna.
Afiq Raihan mengangguk kecil. Dia tak kisah kalau Anis Raihanna bencikan dirinya sekarang. Sebab memang itu rancangannya. Tak kira apa yang jadi, dia akan terus menipu Anis Raihanna sehingga isterinya betul-betul bencikan dirinya.
Anis Raihanna merenung wajah suaminya. Direnung wajah itu dengan penuh kasih. Dia rindu dengan belaian suaminya.
Rindu untuk bersama dengan lelaki itu seperti dulu. Jarak mereka sekarang memang dekat. Tetapi hati mereka jauh. Dia menjawab soalan suaminya sebelum melangkah pergi.
“Aku jadi macam ni sebab aku cintakan kau.”
??????
“Fiqa, panggil abang dengan Kak Anis makan. Ibu dah siapkan makanan tengah hari ni. Aidil mana?” soal Puan Zulaikha kepada Fiqa.
Fiqa yang sedang pening kepala terpaksa mengendahkan pertanyaan ibunya. Dia melabuhkan punggung di bangku kerusi terlebih dahulu. Tidak lama kemudian, baru dia menjawab soalan tersebut.
“Aidil ada dengan papa. Fiqa panggil abang dengan Kak Anis kejap eh.” balas Fiqa.
Puan Zulaikha pelik dengan anak perempuannya, Fiqa, kerana tak henti memicit kepala sedari tadi. Dia segera mendapatkan Fiqa.
“Fiqa, okay tak ni? Mama tengok dari tadi Fiqa asyik pegang kepala. Fiqa sakit kepala ke hurm?” soal Puan Zulaikha prihatin.
“Sakit sikit je ni mama. Nanti-nanti eloklah. Mama jangan risau eh? Fiqa okay. Biar Fiqa panggil abang dengan Kak Anis. Mama tunggulah kat sini.” jawab Fiqa mahu meyakinkan ibunya yang dia tak apa-apa.
Puan Zulaikha mengangguk kecil. Mungkin dia yang terlebih risau. Tetapi, isu kesihatan ni memang tak boleh diremehkan.
“Pergilah. Nanti Fiqa makan ubat ya kalau sakit lagi. Takpun nanti kita pergi klinik check.” balas Puan Zulaikha risau.
Fiqa mengangguk kecil. Dia mengatur langkah ke bilik Afiq Raihan dan Anis Raihanna. Rasa sakit kepalanya tadi makin beransur hilang. Sebaik tiba, dia mengetuk pintu terlebih dahulu.
“Hah kau nak apa? Nak cari kak Anis kau tu ke?” soal Afiq Raihan sebaik membuka pintu.
Fiqa mempamerkan riak muka menyampah. Matanya menjeling Afiq Raihan sekilas. Pandangannya diliarkan ke dalam bilik Afiq Raihan dan Anis Raihanna.
“Kau apahal intai-intai bilik aku ni? Kalau nak panggil kak Anis tu panggil jelah. Tak payahlah nak intai-intai.” kata Afiq Raihan tak puas hati.
Tanpa amaran, pintu itu ditolak kuat oleh Fiqa. Dia terus menonong masuk ke dalam mahu mencari Anis Raihanna. Kepala Afiq Raihan pula sudah terhantuk sedikit pada pintu tadi. Terkerut dahi dia menahan kesakitan.
“Kak Anis! Oh kak Anis! Mama panggil makan. Jomlah makan, kak Anis!” laung Fiqa sambil mencari Anis Raihanna didalam bilik tersebut.
Afiq Raihan mengeleng kepala. Mana nak jumpa Anis Raihanna kalau isteri dia tu keluar tadi. Haih Fiqa ni pun satu.
“Woi, kak Anis kau tak ada dalam bilik ni lah. Dia keluar tadi. Aku suruh dia masak. Kau kenapa cari dia hah? Nak kutuk aku eh?” tuduh Afiq Raihan.
Fiqa mengucap panjang. Tak sangka dia dituduh bukan-bukan. Padahal, memang itu yang dia buat sebenarnya hahaha.
“Lain kali cakaplah awal-awal. Penat aku tahu tak? Pergi makan cepat. Mama dah panggil tu.” balas Fiqa lalu meninggalkan Afiq Raihan.
“Buat macam tu pun boleh penat ke?” gumam Afiq Raihan sendirian sebelum mengikut langkah adiknya dari belakang.
Dia mengambil tempat disebelah Anis Raihanna. Namun, dia menjarakkan sedikit jarak antara mereka berdua. Anis Raihanna yang sedar dengan perbuatan suaminya segera mendekatkan kembali jarak mereka semula.
Akhirnya, Afiq Raihan mengalah. Kadang dia pelik mengapa Anis Raihanna tak pernah berhenti putus asa untuk mengembalikan semula keadaan mereka berdua.
Usai membaca doa makan, mereka sekeluarga mula menjamu selera. Yang peliknya, Fiqa tak henti-henti menambah nasi. Anis Raihanna turut sedar dengan perbuatan adik iparnya. Cuma dia malas mahu menegur. Lapar sangat agaknya.
“Fiqa, kau kebulur sangat ke? Kau makan ke melantak ni?” tegur Afiq Raihan.
Serta-merta, semua orang mengalihkan pandangan ke arah Fiqa. Fiqa menjeling tajam ke arah Afiq Raihan. Sibuk sangat tu kenapa?
“Dah aku lapar. Nak buat macam mana? Mama masak ni sedap sangat. Kan mama?” balas Fiqa tak puas hati.
Puan Zulaikha hanya mengangguk. Dia pun perasan dengan perubahan Fiqa. Selama ni, tak pernah pulak anaknya berkelakuan sebegitu. Cuma sekali sahaja dia pernah melihat anaknya makan dengan banyak itupun ketika Fiqa...
Tiba-tiba, Fiqa berlari ke singki. Dia memuntahkan segala isi perutnya. Puan Zulaikha segera mendapatkan Fiqa. Yang lain, masih terkejut dengan apa yang terjadi.
“Fiqa okay tak ni? Nak muntah lagi?” soal Puan Zulaikha selepas keadaan anaknya semakin baik.
“Fiqa, okay mama. Jangan risau.” pujuk Fiqa dia tak mahu ibunya risau tentang kesihatannya lagi.
“Fiqa...mengandung ke sayang?” soal Puan Zulaikha terus terang.
Lambat-lambat, Fiqa mengangguk. Puan Zulaikha menarik anaknya ke dalam pelukan. Bibirnya mengukir senyuman penuh makna.
“Berapa minggu dah ni? Syafiq tahu?” soal Puan Zulaikha sambil mengusap perut anaknya.
“3 minggu dah mama. Syafiq dah tahu. Kami cadang nak sekali kan majlis hari jadi Aidil dengan doa selamat untuk kandungan Fiqa ni, boleh kan mama?” jelas Fiqa teruja.
“Boleh sangat tu. Dah jom bagitahu semua orang.” ajak Puan Zulaikha.
Fiqa hanya akur dengan arahan ibunya. Dia baru nak buat kejutan pada majlis hari jadi Aidil nanti. Tetapi, nak buat macam mana dah kamtoi awal sangat.
“Tulah kau, Fiqa. Melantak lagi kan. Kan dah termuntah. Padan muka kau.” balas Afiq Raihan selamba.
Anis Raihanna mencubit sekilas lengan suaminya. Dasar mulut tak ada insurans! Matanya dijegilkan ke arah Afiq Raihan.
“Diamlah, kau. Orang mengandung memang macam ni.” balas Fiqa tak mahu kalah.
Semua orang hanya mengangguk tanda faham. Eh kejap, mengandung? Fiqa mengandung? Lagi?
“Kau mengandung, Fiqa? Anak siapa pulak ni? Syafiq dekat Langkawi kan.” seloroh Afiq Raihan.
Tak semena-mena, perutnya disiku oleh Anis Raihanna. Senak dia dibuatnya. Lengannya juga dicubit oleh isterinya.
“Kau jangan merepek boleh tak?” bisik Anis Raihanna.
Fiqa menahan diri daripada mengamuk. Puan Zulaikha dan Encik Zhafran mengeleng kepala melayan kerenah anak-anak mereka. Masing-masing dah besar panjang tapi perangai masih kebudak-budakan lagi.
“Dah, jangan gaduh. Anis dengan Afiq nanti tolong belikan barang dapur ya. Mama tak boleh nak pergi hari ni. Mama cadang nak bawak Fiqa pergi klinik. Tak apa kan kalau kamu berdua tolong beli?” pinta Puan Zulaikha.
Afiq Raihan mengeluh dalam diam. Dia tak nak semakin dekat dengan Anis Raihanna. Kenapa keadaan selalu memaksa mereka bersama sedangkan dia sendiri usaha untuk mengelakkan perkara itu berlaku.
Jodoh itu ketentuan Allah.
??????
“Hana, lepaskanlah tangan aku. Rimas tahu tak?” rungut Afiq Raihan.
Sejak dari mereka sampai di pasar raya itu, Anis Raihanna memeluk lengan suaminya. Erat seperti tak mahu dilepaskan.
“Tak nak. Biarlah aku buat macam ni. Ada aku kisah kau rimas ke tak?” jawab Anis Raihanna selamba.
Afiq Raihan mendengus kegeraman. Pasti ada saja yang isterinya mahu menjawab. Ikut perangai siapa pun dia tak tahulah. Kepala batu!
Anis Raihanna tersenyum kemenangan. Dia makin mengemaskan pelukan pada lengan suaminya. Memang sengaja dia buat begitu.
“Kuat sangat kau peluk aku ni, Hana. Kalau patah, tangan aku ni macam mana? Kalau kau ingat aku nak tinggalkan kau, memang betul pun tekaan kau tu.” kata Afiq Raihan tanpa teragak-agak.
Padahal, dia sendiri tak sanggup mengucapkan kata-kata yang mampu menguris hati isterinya. Tetapi, demi persahabatan dia dengan Haiqal Iskandar dia paksakan diri untuk berbuat demikian.
“Sebab tulah aku peluk kau kuat-kuat. Sebab aku tak nak kau tinggalkan aku.” jawab Anis Raihanna.
Afiq Raihan hanya pura-pura tak mendengar jawapan daripada isterinya. Dia takut dia semakin cinta akan isterinya. Sedaya-upaya dia mencuba untuk menghapuskan rasa cinta itu. Walaupun dia tak pernah berjaya.
“Kucing!” jerit Afiq Raihan tiba-tiba.
Anis Raihanna segera melepaskan lengan Afiq Raihan dek kerana terkejut. Dengan kesempatan itu, Afiq Raihan melarikan diri. Manakala, Anis Raihanna memejam mata kerana takut dengan kucing tersebut.
“Afiq...mana kucing tu? Dia dah pergi ke?” soal Anis Raihanna terketar-ketar.
Namun, tiada balasan daripada suaminya. Tak lama kemudian, Anis Raihanna membuka mata. Dia melilaukan pandangan ke sekeliling. Seekor kucing pun dia tak nampak. Malah bunyi dari kucing pun dia tak dengar.
Ceh. Dia dah kena tipu rupanya dengan Afiq Raihan. Matanya diliarkan ke sekeliling mahu mencari kelibat suaminya. Tahulah apa nasib lelaki itu nanti.
Sedang dia asyik mencari Afiq Raihan, dia terlanggar seseorang. Terkejut dia apabila dia baru menyedari perbuatannya.
“Ya Allah, maafkan saya, encik. Encik tak apa-apa?” soal Anis Raihanna risau.
“Eh, saya okay jer. Maaflah saya langgar awak. Saya tak sengaja.” pinta lelaki itu lagi.
Anis Raihanna makin serba salah. Bukan lelaki itu yang bersalah tapi dia yang cuai sangat berjalan tadi. Sampai tak sedar terlanggar orang.
Beg tangan Anis Raihanna yang telah tercampak ke tepi diambil oleh lelaki asing tersebut. Lalu, dihulurkan kepada Anis Raihanna. Huluran tersebut segera disambut oleh Anis Raihanna. Mereka saling berpandangan.
“Awak?” Serentak mereka berdua menyoalkan perkara yang sama.
“Kan saya dah kata kita memang berjodoh, awak.” sambung Haiqal Iskandar.
“Eh, kebetulan kot ni. Hahaha.” balas Anis Raihanna.
Setelah sekian lama, dia tak berjumpa dengan lelaki itu. Nampaknya sikap lelaki itu masih sama seperti dulu. Ramah dan mesra. Anis Raihanna menghadiahkan sebuah senyuman kepada Haiqal Iskandar.
Haiqal Iskandar sendiri tak menyangka dapat bertemu semula dengan gadis yang dicintainya. Wajah Anis Raihanna tampak lebih berseri di matanya kini. Terubat rasa rindunya selama ini terhadap gadis itu.
“Awak buat apa dekat sini? Sorang je ke? Nak pergi minum-minum ke apa? Biar saya belanja. Dah lama kan kita tak jumpa.” pelawa Haiqal Iskandar bersungguh-sungguh.
Anis Raihanna hanya mengeleng kepala tanda tak mahu. Haiqal Iskandar tersenyum penuh makna. Sikap Anis Raihanna yang tak pernah mengambil kesempatan ke atas orang lain masih sama.
“Saya datang dengan Afiq Raihan tadi. Tapi tulah, tak tahu dia pergi mana. Penat saya cari sampai terlanggar awak tu.” cerita Anis Raihanna.
Mati terus senyuman pada bibir Haiqal Iskandar. Sebaris nama itu sahaja boleh membuatkan dia sakit hati. Pada mata dia, Afiq Raihan ialah seorang pengkhianat kerana sanggup memungkiri janji mereka.
“Oh, awak saya nak ajak awak keluar boleh? Pergi rumah kawan saya. Awak boleh datang sebagai kawan saya.” dia menukar topik.
“Oh, bila tu ya?” soal Anis Raihanna mahukan kepastian.
“Hujung minggu ni.” ringkas balasan daripada Haiqal Iskandar.
Anis Raihanna menepuk dahi.
“Awak saya bukan tak nak teman awak tapi hujung minggu ni birthday party anak buah saya. Sorry, awak.” kata Anis Raihanna serba salah.
Haiqal Iskandar mengangguk tanda faham. Mungkin lain kali dia boleh ajak Anis Raihanna keluar. Mereka berdua rancak berbual-bual kosong.
Tanpa mereka sedari, Afiq Raihan memerhati mereka berdua sejak tadi. Namun, dia tak mahu menganggu mereka berdua bersembang.
Nampaknya rancangannya untuk membuatkan Anis Raihanna benci akan dirinya adalah betul. Ini semua kerana dia mahu membalas jasa Haiqal Iskandar selama ini. Sekali gus, dapat memulihkan semula persahabatan mereka berdua.
Dia mengorbankan cintanya demi kebahagiaan Haiqal Iskandar. Seperti mana Haiqal Iskandar mengorbankan cintanya kepada Anis Raihanna demi maruah keluarga mereka, seperti itu jugalah Afiq Raihan mengorbankan cintanya.
Apabila Anis Raihanna benci akan dirinya, sudah pasti Haiqal Iskandar yang akan menjadi pilihan isterinya. Dan itu yang dapat membuatkan Haiqal Iskandar bahagia.
"Demi kau, Is."
Share this novel