BAB 3

Romance Completed 731

Serina dan Zaief mengangguk manakala Permaisuri Rania pula menguntum senyuman mendengar ucapan tersebut. Sesi selepas solat itu seperti sudah menjadi slot pendek kursus perkahwinan pula.
“Dalam masa yang sama, kita juga perlu mempersiapkan diri kita dengan ilmu rumah tangga. Bukan sekadar ada perasaan hendak kahwin tetapi tak tahu apa-apa tentang perkahwinan. Perkahwinan itu adalah untuk seumur hidup, bukan untuk hari pernikahan itu sahaja. Berpuluh-puluh tahun kita hendak hidup dengan pasangan kita, sebab itu kita kena minta tolong pada Allah. Hanya Allah yang tahu apa yang akan berlaku berpuluh-puluh tahun yang akan datang. Kalau kita masih berasa belum bersedia, maknanya kita masih perlu mempersiapkan diri kita,” sambung Tuanku Muhammad Danish sambil memandang kedua-dua anakandanya. Kata-kata itu bukan hanya ditujukan buat mereka berdua tetapi kepada dirinya juga. Dia juga masih belajar untuk menjadi suami yang terbaik walaupun sudah lebih dua puluh tahun usia perkahwinannya bersama Permaisuri Rania .
“Serina dan Zaief sudah ada calon ke?” celah Permaisuri Rania , dengan senyuman. Dia mengerling suaminya seketika. Kemudian, dilihatnya Serina menjeling kepada Zaief yang tiba-tiba pula mengurut leher itu. Dia sudah bertahun-tahun hidup, jadi dia faham gaya badan anakanda-anakandanya.
“Ayahanda dan bonda tak kisah siapa yang anakanda pilih. Bonda dulupun rakyat biasa sahaja,” sambung Permaisuri Rania apabila Serina dan Zaief tidak menjawab.
“Rakyat biasa yang luar biasa pada pandangan ayahanda,” sampuk Tuanku Muhammad Danish, menjeling manja ke arah permaisuri hatinya itu.
Lantas, Serina dan Zaief tersengih apabila bonda mereka menampar lembut lengan ayahandanya. Mereka berdua bahagia melihat ayahanda dan bonda mereka yang masih lagi mesra itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience