Bab 71 : London - Kehilangan 1

Romance Series 404036

Februari 2019, London

"Hello bro! Long time no see. Seronok jalan-jalan makan angin?" Bersama teguran itu, terasa sentuhan lembut di bahu kanannya.

Terasa berderau darah Idris. Walau sudah menjangkakan pertemuan ini akan berlaku, tidak dia duga yang mereka akan mengekorinya hingga ke sini. Magnet peti sejuk berbentuk bas dua tingkat berwarna merah yang sinonim dengan Kota London itu diletak semula. Begitu juga dengan magnet berbentuk pondok telefon.

"Leo, kau...ada kerja dekat sini ke ?" Tanya Idris kembali.

"Ha ah bro, kerja. Kerjakan kau. Hahaha." Lain macam sinisnya nada Leo, sedikit sebanyak menggusarkan hati Idris.

Laju sahaja fikirannya melayang memikirkan keadaan isterinya di Malaysia. Terdetik rasa kurang enak di hati. Moga-moga tiada apa-apa yang bahaya berlaku pada Anis Rumaysa.

"Jom, kita pergi jalan-jalan sekejap." Leo melingkarkan tangan kanannya pada bahu Idris yang kelihatan teragak-agak untuk mengikuti Leo.

Namun dia tahu, dia tidak mempunyai pilihan lain selain dari mengikuti Leo. Kalau dulu, Leo adalah orang yang rapat dengannya. Namun setelah dia 'cuci tangan', Leo yang bagaikan saudara sudah bertukar menjadi musuh yang nyata.

Idris menarik nafas panjang sebelum menyusul Leo masuk ke dalam Limousine yang entah dari mana disewanya. Makin ketara jelas wibawa dan kuasa Leo sejak Idris menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Leo. Pintu kereta ditutup pantas oleh orang suruhan yang juga merupakan pengiring Leo.

"Leo..."

"Bro..."

Serentak mereka bersuara, dan suara keduanya juga terhenti seketika.

"Kenapa Ris, semata demi untuk seorang perempuan kau sanggup lepaskan apa yang kita ada?" Soal Leo yang dibibirnya sudah terselit sebatang cerut yang pada tekaan Idris bernilai ribuan ringgit sekotak.

"Bukan seorang perempuan semata-mata Leo. Bila aku dekat dengan dia, buat pertama kalinya aku rasa aku ada tempat yang boleh aku jadikan rumah. Tempat yang dah lama aku rindu Leo sejak umi dan papa aku tak ada." Jawab Idris santai.

"Penting sangat ke perasaan itu Ris? Kita ada segalanya. Duit dan kuasa sudah mampu mencukupkan segalanya. Perempuan? Melambak-lambak yang sanggup mendekat." Nada suara Leo naik setingkat.

"Tak sama Leo. Waktu aku ada duit dan kuasa, aku tetap tak rasa tenang. Aku masih ada rasa tak puas dengan hidup aku. Sebab itu, aku mohon jadi bomba dulu. Sebab aku tak rasa seronok dengan hidup aku.

Bila aku mampu selamatkan orang, aku rasa puas. Aku rasa hidup aku terisi. Ada kebaikan yang aku buat. Aku ada tujuan hidup. Sama macam bila aku kenal Rumaysa. Hidup aku terasa bermakna. Salah ke untuk aku cari bahagia aku sendiri Leo?" Idris menggunakan nada yang terpaling memujuk untuk menerangkan apa yang sudah lama dipendam.

"Kau percaya pada cinta?" Sebatang cerut lagi terselit pada bibir Leo.

Jelas pada pengamatan Idris bahawa Leo sedang merasa gemuruh dan berkecamuk perasaannya.

"Sebab cinta kita lahir Leo." Balas Idris perlahan.

"Bukan aku, bro!" Sangkal Leo.

"Sekeras macam mana pun kau cuba sangkal, kau tetap lahir sebab cinta." Sambung Idris.

"Cakap-cakap tentang cinta tu terlalu cliche! Sebab aku adalah manusia yang terlahir dek rakusnya nafsu manusia. Tak pernah apa yang bapak aku buat menggambarkan cinta dia pada mak aku.

Sebagaimana dua manusia boleh berkahwin tanpa cinta, seperti itu juga manusia mampu menjadi satu tanpa cinta. Simple. Aku yang tak sekolah pun tahu apa yang berlaku secara biologinya apabila manusia berkahwin.

Cinta bukan syarat untuk terhasilnya anak. So, kalau kau sekadar nak berkahwin untuk mendapat anak, kenapa mesti cari isteri atas dasar cinta? Petik jari sahaja pilih mana-mana wanita yang cantik dan jelita." Kaki kanan Leo sekarang sedang bergerak-gerak, menunjukkan betapa celaru pemikiran dirinya sekarang ini.

"Cinta memang bukan syarat untuk menghasilkan anak. Tapi bila mempunyai zuriat dengan orang yang kita cinta, lain rasanya Leo. Kau patut cuba untuk dapatkan cinta kau jugak, mungkin lepas itu baru kau faham." Idris tersenyum kecil.

Kaki Leo berhenti bergerak. Terpegun dengan ayat terakhir yang dilontarkan oleh Idris.

"No! Aku dah ikrar kan taat setia aku pada Sam. Sam satu-satunya manusia yang buat hidup aku rasa...berkuasa!" Sebotol air mineral Evian di capai dari meja di satu sudut Limousin itu.

"Seperti itu juga aku ikrarkan setia aku pada Rumaysa bersaksikan tuhan, Leo. Aku tak nak apa-apa dah. Aku cuma nak dia." Balas Idris.

"Kau ada beritahu dia tentang sejarah silam kau? Dia boleh terima?" Duga Leo.

Idris tercengang. Serba salah untuk menjawab soalan Leo. Perlahan, kepalanya digelengkan.

"Kalau dia tahu, kau rasa dia boleh terima?" Soal Leo lagi.

Sekali lagi, Idris hanya menjawab dengan gelengan. Mana-mana manusia pun tentu tidak boleh menerima sejarah silamnya, melainkan hanya mereka dari dunia yang sama.

'Rumaysa, apa agaknya yang akan jadi kalau abang beritahu sayang tentang kisah silam hidup abang?'

"Sempat lagi untuk kau tarik diri Ris. Kita kembali macam dulu. Sama-sama berkuasa. Sama-sama jadi orang kanan Sam." Pujuk Leo.

Idris terdiam lama. Suaranya bagai tersekat di kerongkong untuk dia menjawab tidak dan menolak bulat-bulat cadangan Leo tadi. Pandangan tajam dari pengawal Leo sudah cukup membuatkannya kecut perut. Inikan pula reaksi Leo setelah mendengar jawapannya.

"Kita dah sampai. Jom masuk dalam. Sekejap lagi Sam sampai."

Pintu kereta dibuka. Sempat Idris menebarkan pandangan ke sekeliling rumah agam yang tidak pernah dijejakinya selama berkhidmat di sebagai orang kanan Sam. Lambat-lambat pula kakinya melangkah masuk mengikuti langkah Leo. Masuk sahaja ke ruang tamu rumah agak itu, Leo menyuruhnya duduk sebaik sahaja pembantu rumah yang ada selesai memghidangkan air dan buah-buahan.

"Anggap sahaja rumah agam ni macam rumah kau sendiri Ris."

Leo bersandar dengan kedudukan yang paling selesa. Sebatang lagi cerut dinyalakan. Tabiat biasa Leo apabila dia sedang berdebar.

"Kalau kau sanggup kembali bersama dengan kami semula, lebih dari ini pun kau boleh dapat Ris. Macam mana, nak?" Pujuk Leo.

"Tak payah buang masa tanya soalan yang Idris sendiri pun tak tahu apa jawapannya. Kalau dia masih mahu bersama kita, dia takkan keluar tinggalkan kita." Derap kasut orang yang pernah Idris sanjungi sebelum ini memecah hening ruang tamu itu.

Leo segera berdiri, menunjukkan rasa hormatnya kepada Sam. Manakala Idris masih statik seperti tadi. Puas Leo menjegil matanya supaya Idris turut sama berdiri, namun diabaikan sahaja oleh Idris. Hanya apabila Sam melabuhkan duduknya, barulah Leo turut sama duduk.

"Seronok ada isteri? Ada kerja yang mulia, hidup macam orang yang normal?" Tanya Sam dengan senyuman yang sukar dimengertikan, namun pada Idris, senyuman itu seolah menyindirnya.

Terutama apabila Sam menyebut ayat, "hidup macam orang yang normal" itu.

"Alhamdulillah, saya bahagia." Jawab Idris setelah menelan liur yang terasa kesat.

Jantungnya berdegup laju, jangan lah Rumaysa yang menjadi sasaran Sam supaya Sam dapat memujuknya kembali ke dunia gelap itu semula.

"Dah bertaubat?" Sam tergelak sebaik sahaja dia menuturkan ayat yang pendek itu.

Idris tidak menjawab secara lisan mahupun dari gaya bahasa badannya. Cukuplah selama ini terang-terangan dia berbuat kejahatan. Allah Maha Mengetahui dengan sebaik-baiknya apa status dirinya kini.

"Yakin tuhan terima?" Sindir Sam sambil dia mengusap batu permata cincin pada tangan kanannya.

"Insya Allah." Idris mencuba untuk menghilangkan gugup dengan mengukir senyuman terpaling manisnya.

"Rugi. Masih terlalu awal untuk kembali semula kepada agama." Komen Sam.

"Mati tidak mengira usia. Perkara yang baik, harus kita percepatkan. Takut, kalau-kalau mati sebelum sempat bertaubat." Balas Idris perlahan.

Sam sempat menghambur tawa sebaik sahaja jawapan Idris singgah ke telinganya.

"Semakin bijak memberi jawapan. I like. Tatu tu macam mana? Dah hapuskan semua dengan laser?" Spontan, tangan kiri Idris melekap pada bahu kanannya sebaik sahaja Sam mengungkit mengenai hal itu.

"Macam mana kau solat dengan tatu yang masih melingkar pada tangan kau tu? Orang berdosa macam kita ni, tuhan tentu tak akan terima dah segala ibadah kita Ris. So, kenapa hendak cepat-cepat bertaubat sedangkan belum tentu tuhan terima? Baik kita sama-sama nikmati dunia." Sam menghela keluar nafas berat, merasa puas bila akhirnya dia dapat menghina gaya hidup yang dipilih Idris.

"Sebab kita berdosa lah kita perlu beribadah Sam. Sebab kita berdosa lah kita perlu memohon keampunan Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun. Sekurangnya kita mencuba, terima atau tidak itu adalah urusan Allah Sam." Balas Idris lagi.

Pranggggg!

Sekelip mata, gelas kaca berisi jus oren itu sudah berterbangan melepasi kepala Idris, tepat mengenai pintu kaca lalu berderai, retak seribu.

"Kau rasa kau dah cukup baik untuk bercakap soal tuhan dengan aku?" Soal Sam sambil berdiri dan bercekak pinggang.

"Bukan macam tu maksud saya. Selalunya kan, sebelum ini, kita sama-sama menganggap agama itu adalah hak milik mutlak orang yang alim. Sedangkan bukan begitu. Mungkin, ada sesetengah imej yang memesongkan hakikat yang sebenar.

Tapi percayalah agama dan Allah itu milik semua hamba-Nya yang mahu mencari Dia. Cukuplah Sam, semua ini, bukan apa yang kita nak. Kita seronok, tapi di dalam hati kita yang sebenarnya, hanyalah ruang kosong yang tak mampu kita isi dengan perkara selain dari agama dan Allah.

Saya buktikan kepada Sam dengan diri saya sendiri, walaupun banyak perkara jahat yang telah saya lakukan, doa-doa saya, masih ada yang Dia makbulkan. Dia masih izinkan saya berbahagia. Tanpa kita, sedikit pun kuasa Allah tidak berkurangan. Tapi untuk saya, kita, tanpa Allah, kita tak ada apa-apa." Hurai Idris panjang lebar.

"Letak dia dalam bilik kurungan. Telinga aku dah penat dengar dia membebel. Baru keluar sekejap dah rasa diri tu bagus sangat. Kalau bagus, kenapa ya kau tak berterus-terang dengan isteri kau? Aku tahu sebabnya.

Sebenarnya kau takut, kan? Kau takut tuhan mengkhianati kau dan jauhkan rasa cinta dari isteri kau kepada suaminya sendiri. Kau takut, kalau-kalau apa yang kau miliki sekarang hanyalah satu mimpi kau anggap realiti. Kan? Kita tengok, setakat mana kau mampu bertahan dengan mimpi ini!"

Sam berjalan keluar dari ruang tamu itu. Hanya pengawalnya sahaja yang berada disitu bersama Leo dan Idris. Melihat pengawal yang semakin mendekat itu, Idris berundur setapak demi setapak. Namun hampa, lincah sahaja pergerakan mereka menyerang Idris dan disuntik leher Idris dengan satu cecair kimia yang menenangkan, sebelum akhirnya dia terkulai layu dan terbaring di lantai itu

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Nor Azlina
2022-05-16 12:08:31 

lama rasanya N menyepi bila nk update lagi rindu ngan idris dan anne.


NovelPlus Premium

The best ads free experience