Rate

CHAPTER 1: Annabella

Fantasy Series 1859

SAMPUL berwarna koko diserahkan kepada pekerja-pekerjanya yang berisi gaji untuk bulan ini. Satu-persatu diserahkan kepada pekerjanya yang seramai lima orang itu. Pekerja yang terakhir menerima sampul surat tersebut, direnungnya. Timbul rasa kasihan terhadap pekerjanya itu kerana masih muda tetapi perlu bekerja untuk mendapatkan duit untuk menampung kehidupan di bandar.
“Bos, bila nak bagi duit? Tangan saya sudah gatal ni.”
“Eh, saya tidak bagi lagi? Nah!”
“Bos, kenapa tebal sampul hari ini?” Sampul berwarna koko itu ditilik. Tidak seperti biasa yang selalu dia dapat.
“Kamu kerja lebih masa minggu lepas. Tak ingat? Kamu gantikan Burn.”
“Oh, lupa! Saya ganti tempat mamat terbakar minggu lepas.”
Pap!
“Kenapa kau tepuk topi aku?” marahnya. Topi yang dipakai dibetulkan semula.
“Kau panggil siapa mamat terbakar tadi?” kata Burn. Dia sudah bercekak pinggang.
“Bukan ke maksud 'burn' tu terbakar ke?”
“Burn, Anna! Sudah, jangan bergaduh di sini. Pergi balik!”
“Encik Kent marah. Jom, kita pergi dari sini. Balik dulu, bos! Jumpa esok,” kata Burn sambil menarik lengan Annabella.
Mereka berjalan di kaki lima. Sudah menjadi kebiasaan mereka balik bersama-sama kerana mereka tinggal di kawasan perumahan yang berdekatan. Jaket yang dipakai oleh mereka dizip sampai tercekik leher. Cuaca hari ini sangat sejuk berbanding semalam.
“Sejuk gila hari ni,” ujar Burn.
“Burn, aku nak tanya kau sikit boleh?”
“Sejak bila kau jadi sopan? Sebelum ini tak pernah pun.”
“Kenapa nama kau Burn?” tanya Annabella. Sengihan terukir diwajahnya.
“Annabella!” Burn terus berlari mengejar Annabella yang sudah jauh ke hadapan. Lariannya semakin perlahan dan akhirnya dia berhenti mengejar gadis itu. Laju betul budak ni lari. Semput dia dibuatnya, gumamnya dalam hati
“Apalah, kau ni! Lari sikit sudah letih. Tak macho!” kutuk Annabella. Dia berdiri di hadapan Burn.
“Macho, macho jangan sebut. Sensitif tahu?” marah Burn.
Annabella ketawa. Dia selesa berkawan dengan Burn. Walaupun Burn tua dua tahun darinya tetapi tidak membataskan dirinya untuk terus berkawan dengan Burn. Dia kenal Burn semasa Burn bekerja separuh masa di tempat dia bekerja. Bermula dari situ, mereka kenal antara satu sama lain dan mula rapat. Hanya hujung minggu sahaja mereka boleh berjumpa kerana Burn masih belajar di universiti.
“Macam mana peperiksaan kau?” tanya Annabella.
“Sihat.”
“Aku bukan tanya kesihatan kaulah.”
“Oh, tidak ya? Aku ingat kau rindu pada aku sebab minggu lepas aku tak datang kerja.”
“Tidak ada faedah aku rindu kat kau. Suka lagi ada. Duit pun banyak masuk bila kau tak ada.”
“Kecil hati aku kau cakap macam tu,” kata Burn dengan nada merajuk.
“Gediklah kau ni,” kutuk Annabella.
“Kau sikit pun tak mahu memujuk aku.”
“Kau nampak muka ni kisah sangat?”
“Tak... Kecik lagi usus abang.”
Mereka tiba di persimpangan jalan. Arah kanan merupakan jalan ke rumah Burn manakala kiri pula jalan ke rumah Annabella. Mereka berpisah di persimpangan jalan itu.
“Esok jumpa lagi. Bye,” ujar Burn.
“Bye,” ujar Annabella.
Setelah itu, dia berjalan seorang diri. Senyuman yang terukir di wajahnya kian pudar. Dia keseorangan untuk kesekian kali. Bukan tidak biasa tapi rasa kekosongan tetap ada dalam dirinya walaupun dia cuba untuk menggembirakan hati sendiri. Annabella tiba di rumahnya. Pintu pagar dibuka.
“Lambat balik hari ni, Anna,” tegur Puan Flynn, jiran Annabella. Satu-satunya jiran yang mengambil berat tentang dirinya.
“Ya, Puan Flynn. Ada kerja banyak hari ni. Pelanggan pun ramai jadi kedai tutup lewat,” balas Annabella. Senyuman diukir kembali.
“Tunggu sekejap. Saya ada buat pai epal.” Puan Flynn masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, Puan Flynn keluar dengan memegang bekas plastik yang berisi pai epal.
“Terima kasih, Puan,” ucap Annabella apabila pai epal sudah bertukar tangan.
“Anna masuk dulu.”
“Makan tau,” pesan Puan Flynn. Dia memerhati langkah Annabella yang masuk ke dalam rumah. Dia berasa simpati terhadap nasib gadis itu.
Pai epal yang diterima dari Puan Flynn diletakkan di dalam peti sejuk. Esok pagi boleh makan. Muffin yang Puan Flynn bagi semalam ada lagi. Jadi, dia boleh makan malam ini. Setelah itu, dia terus masuk ke dalam biliknya untuk membersihkan badan.
Selepas membersihkan badan, dia menuju ke dapur. Susu dituangkan ke dalam gelas. Muffin coklat digigit. Apa yang dia makan semuanya rasa pahit dan tawar. Tiada lagi nikmat yang perlu dia rasa. Semua telah terkubur bersama kenangan.
Selesai makan malam, dia terus masuk ke dalam bilik. Dia perlu tidur awal untuk kerja esok. Namun, matanya masih lagi segar. Dia bangun dari pembaringan. Tingkap dibiarkan terbuka agar cahaya bulan dapat menembusi biliknya.
“Annabella... Mana kesayangan ayah?”
“Ayah! Anna di sini!”
“Ayah tidak nampak Anna. Kesayangan ayah ni main sorok-sorok ya?”
“Ayah! Anna di sinilah...” Annabella berusia lima tahun terlompat-lompat apabila ayagnya berpura-pura tidak dapat melihatnya.
“Mana? Tidak nampak pun.”
“Boo!” Annabella menyergah ayahnya dari belakang. Dia ketawa apabila melihat wajah ayahnya yang terkejut.
“Ini pun anak ayah!”
Annabella tersenyum kecil apabila mengingati kenangan bersama arwah ayahnya sewaktu dia berumur lima tahun. Kenapa ayah tinggalkan Anna? Sepanjang dia hidup, dia hanya kenal ayah dia je. Dia langsung tak tahu tentang ibunya. Ayahnya tak pernah bercerita tentang ibunya. Jadi, dia malas untuk bertanya.
Tiga tahun lepas merupakan tahun yang memberi kesan terhadap hidup Annabella. Ayahnya meninggal dunia disebabkan langgar lari. Dia hilang tempat bermanja, hilang tempat bergantung dan hilang kasih sayang seorang ayah. Dia terpaksa bekerja untuk menampung hidupnya. Jadi, dia bekerja di Story Cafe. Walaupun gajinya tidak seberapa tetapi dia tetap bersyukur Encik Kent sudi mengambilnya bekerja.
“Anna sangat rindukan ayah...” gumam Annabella.
Dia memejamkan mata untuk menghilangkan rasa sedih yang mula menguasai diri. Aku perlu kuat. Sudah banyak kali dia meniupkan kata-kata itu pada dirinya. Esok dia perlu tempuhi hari yang panjang lagi. Ipod yang dihadiahkan kepadanya sempena hari jadi yang ke-16 dicapai. Earphone disumbatkan ke telinga. Dia mendengar lagu kegemarannya sehingga tertidur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience