Bab 48

Romance Series 106380

TIGA hari berlalu, Juwita masih tidak sedarkan diri. Mengikut perkiraan doktor, sepatutnya Juwita telah lama sedar. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Saya sendiri tak pasti apa sebenarnya yang berlaku. Pesakit seolah-olah menolak untuk sedarkan diri." Doktor Khairil memulakan bicara selepas memeriksa keadaan Juwita.

Zaitun dan Zailani saling berpandangan. Tidak mengerti dengan apa yang cuba disampaikan oleh Doktor Khairil.

"Saya keluar dulu." Mereka mengangguk.

"Mak cik kalau nak balik, baliklah. Kesian Idi dengan Ida. Dorang dah nak start sekolah, kan?" Zaitun tersenyum.

"Mak cik tak boleh tinggalkan Zai dengan Ju berdua. Korang bukan suami isteri." Zailani tertunduk mendengar kata-kata Zaitun.

"Jangan risau. Mak cik tak halang Zai nak tunggu Ju sedar. Tapi mak cik tak boleh biar Zai sorang jaga Ju. Mak cik harap Zai faham." Bahu Zailani diusap lembut.

JUWITA berlari riang. Terasa tenang berada di situ. Dikelilingi bunga-bunga yang sedang mekar berkembang.

Taman itu dipenuhi dengan rama-rama pelbagai warna. Dia ketawa gembira apabila seekor rama-rama hinggap ditangannya.

Dia terlalu ralit menikmati keindahan taman itu sehingga dia terdengar namanya dipanggil.

"Ju..."

Ditoleh ke kiri dan kanan namun tidak kelihatan sesiapa di situ.

"Sini Ju." Ditoleh pula kebelakang. Namun masih tiada sesiapa.

"Mari sini Ju."

Juwita mengatur langkah. Mencari siapakah gerangan yang memanggilnya.

Dia melangkah dan terus melangkah sehinggalah bertemu anak sungai. Terdapat sebuah pokok rendang di situ.

Kakinya diatur menuju ke arah sungai. Jernihnya air sungai tu menggoda Juwita. Dia tersenyum lantas mencelupkan tangannya ke dalam sungai. Sejuk. Damai terasa hatinya.

"Ju..." Sekali lagi namanya diseru. Juwita berpaling.

"Ju..."

"Ju..."

Terlihat seseorang disebalik pohon nan rendang itu. Juwita melangkah menghampiri. Dia tergamam.

Bersihnya wajah itu. Manisnya senyumannya. Air mata Juwita jatuh membasahi pipi.

"Baba..." Dia merangkul erat tubuh Sazali. Menangis hiba dia di dalam pelukan Sazali. Betapa dia merindui.

Sazali mengusap lembut belakang Juwita meredakan tangisan si anak. Pelukan semakin erat.

"Kenapa Ju tak balik lagi? Kesian ibu risaukan Ju. Ibu tunggu Ju balik tu." Sazali masih memujuk.

"Ju tak nak balik baba. Ju tenang dekat sini. Tak ada siapa yang sakitkan Ju." Juwita meluah rasa.

"Tak boleh sayang. Tempat Ju dengan ibu. Ju tak kesian dekat ibu ke? Adik-adik macam mana?" Pelukan terlerai. Juwita mengesat air matanya.

"Ju sayang ibu. Ju sayang adik-adik. Tapi kenapa dunia kejam sangat baba?" Juwita merenung wajah Sazali. Wajah yang sentiasa dirinduinya. Lelaki yang tak pernah luput dari doanya.

"Baliklah Ju. Dunia tak kejam. Manusia yang kejam." Sazali masih memujuk. Juwita terdiam.

"Ju lupa pesan baba?" Wajah Juwita ditenung lembut. Juwita membungkam.

"Ju, Allah turunkan hujan tapi disebalik hujan tu ada pelangi. Allah turunkan ujian dan disebalik ujian itu ada hikmahnya. Ju dah lupa?" Juwita menggeleng.

"Tapi Ju tak kuat baba." Air mata Juwita mula mengalir lagi.

"Allah tahu Ju kuat. Sebab tu DIA bagi ujian ni pada Ju. Ju patut bersyukur sebab Ju antara yang terpilih. Allah uji sebab dia sayang." Sazali mengusap lembut kepala Juwita.

"Ju janji dengan baba jaga ibu dan adik-adik ye?" Juwita mengangguk lemah. Sazali lempar senyum.

"Baba tahu Ju anak yang baik. Ju balik ye. Sini bukan tempat Ju. Sampai masa kita jumpa lagi." Sazali mengusap lembut pipi Juwita lantas berlalu pergi.

"Baba... baba... jangan tinggalkan Ju baba... Ju nak baba..." Juwita menjerit. Dia cuba mengejar Sazali namun kelibat Sazali hilang dari pandangannya.

Juwita menangis hiba.

"Ju..." Terdengar suara memanggilnya lagi.

"Bangun Ju."

Gelap gelita. Suasana cerah dan damai tadi berubah menjadi gelap. Juwita panik. Dimana dia.

Dia cuba mencari jalan keluar namun hampa. Yang ada hanya kegelapan.

"Bangun Ju. Jangan putus asa. Kami semua tunggu Ju."

Suara itu...

Oh... betapa dia merindui suara itu. Betapa dia merindui tatapan mata insan itu.

Juwita memejam matanya rapat. Setelah mengambil masa dalam seminit, dia cuba membuka matanya. Namun kornea matanya menolak cahaya terang yang menerjah masuk. Ditutup kembali kelopak matanya.

Namun hanya sedetik cuma. Digagahkan juga untuk membuka mata. Atas bantuan tangannya, dia berjaya menghalang cahaya itu masuk terus mengenai kornea matanya.

"Ju..." Terdengar tangisan hiba seseorang. Juwita menoleh. Dia tersenyum melihat Zaitun yang menggenggam erat tangannya.

"Doktor... doktor..." Suasana bertukar gamat apabila seseorang memanggil doktor.

Juwita kalih pandangan kepada empunya suara. Jelas figura itu panik.

"Nurse, pesakit dah sedar." Itu bait ayat yang keluar dari mulut figura itu. Kemudian bergegas masuk seorang jururawat dan doktor menghampiri Juwita.

"Puan, tolong keluar dulu. Biar doktor check keadaan pesakit." Jururawat yang bernama Mas itu meminta Zaitun keluar. Dengan pelahan dia melepaskan genggamannya. Memberi ruang untuk Juwita diperiksa terlebih dahulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience