Kisah 8 : Selfie

Horror & Thriller Series 7260

KELIHATAN awan gelap bergerak menuju ke arah kawasan tempat aku berehat. Budak-budak sekolah yang bermain di padang beransur-ansur pulang ke blok masing-masing kerana menjangka hujan lebat akan turun.
Angin bertiup dengan makin kencang sehingga menyebabkan sampah sarap yang dibuang di tepi tong sampah berselerakkan. Tapi aku kekal duduk di bangku kayu tepi padang. Memperhatikan dengan setia gelagat manusia lain.

Nama aku Isha. Aku anak yatim piatu, ibu dan ayah sudah lama tiada semenjak daripada aku kecil. Aku dibesarkan oleh nenek sehingga umur aku berusia 17 tahun. Selepas peperiksaan SPM, aku mula mencari kerja kerana tidak dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Lagipun aku tak minat belajar. Aku lebih suka untuk bekerja dan mempunyai duit simpanan di dalam bank. Sudah hampir 4 tahun nenek meninggal dunia, dan kini aku membawa diri. Aku menyewa di sebuah flat di pinggir kota dan tinggal bersendirian.

Bunyi guruh dengan tiba-tiba menyebabkan aku terkejut dan terus berlari ke arah tangga blok B. Hujan mulai turun dengan lebat sejurus selepas aku sampai di depan tangga.

Fuh, nasib baik sempat, kalau tak basah kuyup aku.

Hujan terus turun dengan semakin lebat. Suasana sekeliling menjadi suram dan gelap kerana waktu itu sudah hampir pukul 7.00 malam. Aku berjalan dan mula menaiki tangga. Oleh kerana flat yang aku duduk cuma ada 5 tingkat, lif tidak disediakan.

Aku tak kisah kerana sewanya murah berbanding flat-flat lain yang ada disekitar. Lagi-lagi jika menyewa di tingkat 5, sewa akan berkurangan dalam RM100 berbanding yang menyewa di tingkat 1, 2 dan 3. Aku menyewa di tingkat 5, tingkat yang paling atas.

Sampai di depan rumah, aku membuka kunci mangga di pintu. Aku berhenti seketika kerana aku seakan-akan terdengar suara lelaki sedang ketawa. Jelas bunyinya. Bunyi itu betul-betul datang dari dalam rumah aku!

Suara itu hilang beberapa saat kemudian.

Oh, bunyi TV. Aku lupa nak tutup TV tadi, fikir ku dalam hati. Setelah selesai membuka kunci, aku menyelak daun pintu dan masuk ke dalam rumah. Alangkah terkejutnya apabila aku baru teringat yang aku tak mempunyai TV.

Kelmarin aku hantar TV aku ke kedai untuk dibaiki. Rasa takut menyelubungi diri. Suara siapa aku dengar tadi? getus hati ku sambil berjalan menuju ke bilik tidur. Aku bersiap sedia untuk mandi.

Selepas mandi, aku hanya duduk di dalam bilik sambil bermain iPad. Apa lagi, sudah tentu aku ber’selfie’ kerana tengah hari tadi aku baru saja mewarnakan rambut menjadi keperang-perangan. Barulah ada style. Lagipun, teman lelaki aku memang suka aku mewarnakan rambut.

Sedar tak sedar, jam sudah menunjukkan pukul 10.00 malam. Hampir 50 keping gambar aku snap menggunakan iPad Mini milik aku ni. Gila ber’selfie’. 5 keping gambar yang paling cun aku hantar kepada teman lelaki aku menggunakan aplikasi WhatsApp yang amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia sekarang ini.

Setelah selesai menghantar gambar, aku bersiap-siap untuk tidur kerana pagi esok aku perlu ke kerja. Aku ni jenis kaki tidur awal. Tak pernah aku tidur lewat dari pukul 12.00 malam. Paling awal aku akan tidur pukul 9.00 malam. Tapi itu jarang-jarang berlaku. Tak sampai 5 minit selepas baring, aku pun tertidur di belai mimpi.

Kring! Kring! Kring!

Alarm handphone berbunyi dengan kuat mengejutkan aku. Jam menunjukkan pukul 7.00 pagi. Rutin harian aku yang sama setiap pagi. Bangun, mandi, bersiap-siap dan bancuh kopi. Begitulah setiap pagi.

Dari rumah ke tempat kerja mengambil masa setengah jam dengan menaiki motosikal. Dalam pukul 8.15 pagi setiap hari, aku akan terpacak di dalam office dan mula mengemas meja bos. Aku bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat di kota.

Masa berjalan begitu pantas. Waktu untuk lunch dah hampir dekat. Selalunya, aku akan berehat dengan seorang kawan baik aku di office yang bernama Ani. Dialah teman setia aku untuk lunch setiap hari. Kelihatan Ani berjalan menuju ke arahku.

“Isha, nak makan mana? Jomlah aku lapar ni.” Ani bertanya sambil menarik tangan aku. “Makan mana lagi. Tempat biasalah jom. Food court kesayangan kaulah,” ujar aku dengan nada bergurau.

Setelah sampai di food court, seperti selalu, aku akan memesan makanan untuk Ani dan dia akan memesan air. Belum sempat aku berlalu, Ani memanggil.

“Eh Isha, bak sini jap iPad kau. Nak main game,” ujar Ani sambil menghulurkan tangan nya. Aku mengeluarkan iPad yang selalu kubawa di dalam beg tangan dan menghulurkannya kepada Ani.

Aku berlalu ke kaunter untuk memesan makanan. Selang 20 minit selepas itu, kami bertemu kembali di meja yang dipilih oleh Ani. Ani tersengih-sengih sambil memandang aku, macam orang tak betul.

“Dah kau ni apa hal tersengih-sengih, dah gila?” bentak aku dengan perlahan. Ani masih lagi tersengih-sengih bagai orang tak siuman.

“Kau dengan siapa semalam? Boyfriend datang tak bagitau aku pun.” Ani berkata dengan nada sinis bercampur gurau.

“Ha? Masa bila pulak dia ada sini. Aku soranglah semalam. Dah kau ni kenapa?” Aku bertanya. Pelik dengan reaksi Ani. Tanpa berkata apa-apa, Ani yang masih lagi senyum menghulurkan iPad kepada aku. “Nah, tengok ni. Sorang konon,” ujar Ani dengan nada memerli.

Aku mengambil iPad lalu menghidupkan skrin. Terpapar gambar aku sedang tidur malam tadi. “Apa yang pelik dengan gambar ni? Aku ‘selfie’ semalam. Banyak gambar aku ambil. Tu pun nak kecoh,” jelas aku dengan serius.

Ani tersenyum lagi sambil berkata “Selfie kau cakap? Ni ha... gambar ni bukan kau boleh ambil sendiri pun. Jarak kau dengan iPad dalam 4 langkah. Panjang betul tangan kau kan.” Ketawa Ani berdekah-dekah sambil tunjuk gambar yang terpapar.

Aku perhatikan dengan telilti gambar itu. Eh, seingat aku, tak ada pulak aku ambil gambar macam ni. Lagipun waktu ni aku nyenyak tidur, aku berfikir.

Aku memeriksa waktu gambar itu diambil. Pukul 2.30 pagi! Pelik memikirkan gambar tersebut. Posisi gambar yang diambil memang tak logik. Seperti ada seseorang yang mengambil gambar aku menggunakan iPad sewaktu aku tidur!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience