“FAISAL!”
Faisal terkocoh-kocoh berlari di saat namanya dijerkah.
“Faisal! Ni apa banyak-banyak barang depan halaman rumah aku ni?” Datin Malini mencekak pinggang. Dia hanya bersarung baju kelawar berwarna ungu.
“Da- Datin. Selamat pagi.” Faisal menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Ini semua hadiah daripada peminat anak Datin ni,” ujarnya sambil menuding ke arah lambakan kotak beraneka saiz dan warna yang disusun di gazebo.
“Wah-wah. Bertuah punya anak.” Datin Malini memaling tubuh dan masuk semula ke dalam rumah. Dia menarik nafas dalam, memenuhkan rongga perutnya dengan udara sebelum melontarkan vokal ke pelosok rumah.
“Hazra! Turun sekarang!”
Dalam kekalutan, Hazra melompat dari katil. Dia sempat mengutip semula berus giginya yang terpelanting sebelum menyerbu keluar dari bilik. “Kenapa ni mama?” Selorohnya sambil berlari anak menuruni anak tangga.
“Pergi tengok barang-barang kamu dekat luar tu! Menyemak,” arah Datin Malini dengan nada tinggi.
“Ish mama ni. Ingatkan apalah tadi. Jerkah macam rumah terbakar.” Hazra menarik muka masam. “Mana ada orang shopping online pun. Entah-entah mama punya.” Datin Malini semakin muram mendengar reaksi anaknya. “Orang bukan budak-budak lagi. Dah tua bangka pun. Tak payahlah terpekik macam tu,” keluhnya lagi.
“Bukan budak-budak? Kamu tu dah mandi ke belum? Dah pukul 10.00 pagi ni.”
“Alahai. Hari ni kan hari Ahad. Tak relaks langsung.” Makin muncung Hazra dibuatnya. Dia perlahan-lahan berjalan ke luar pintu dan menjenguk ke laman rumah. “Mak aih. Patutlah menjerit. Menggunung rupanya.” Hazra diterpa malu sendiri melihat punca bebelan Datin Malini.
“Hazra. Kau pindahkanlah kotak-kotak ni ke bilik kau. Karang, makin bising Datin tu.” Faisal mula mengasingkan kotak tersebut mengikut saiz.
“Banyak ni bang. Tak muat bilik saya ni.” Hazra mencangkung dan mula membelek kotak yang agak panjang di hadapannya.
“Eh. Air botol pun ada? Siap ada gelas lagi.” Dia mengeluarkan botol kaca berisi cecair seperti jus. “Minum dulu bang.” Hazra menuang air ke dalam dua gelas dan menghulurkan salah satunya kepada Faisal.
“Wine ke ni?” Faisal bingung. Laju dia merampas botol kaca yang kelihatan mencurigakan.
“Entah. Ah, tak mungkinlah.” Hazra meneguk dengan rakus. Tak sampai sesaat, dia tersembur. “Masam gila. Apa ni?”
“Ni cukalah bengap. Lain kali baca dulu sebelum telan.” Faisal menunjal kepala Hazra.
“Kalau cuka, kenapa sediakan gelas sekali?”
“Prank kut.” Faisal hanya mengangkat bahu. “Kau kan ramai haters.”
“Ceh.” Hazra merenung botol tersebut. “Simpankanlah ya cuka ni. Nak pergi mandi sekejap. Nanti lepas mandi saya sambung kemas.” Hazra berlalu. Faisal menyambung urusannya mengasing kotak bersendirian.
“HAZRA! Dah baca ke belum artikel ni? Biadap betul!” laung Datin Malini sejurus muncul di muka pintu bilik Hazra. Hazra ketika itu masih berbalut tuala.
“Mama, please. Boleh tak ketuk pintu tu dulu sebelum jerkah. Terkejut Hazra. Kalau jatuh tuala ni tadi?” Hazra hanya menarik muka masam, lelah dengan perangai ibunya.
“Ni, tengok ni! Reporter si Mochi belacan ni buat hal lagi!” Datin Malini menunjuk paparan artikel atas talian daripada halaman kolumn kontroversi milik Cherry Lime Entertainment. “Kali ni, dia ni dah melampau, Hazra!”
“Hmm?” Hazra mengecilkan mata. Paparan brightness telefon pintar ibunya terlalu tinggi dan menyakitkan mata. “Aik?” Jantung Hazra bagai direntap keluar. Bibirnya menggigil tatkala membaca tajuk artikel tersebut. Serasa badannya seperti mengalirkan cas elektrik kemarahan.
KEJOHANAN IRON FIST HANYALAH PLATFORM SIA-SIA?
“... Nama petinju yang sedang meningkat naik berikutan kemenangan terbarunya, Hazra Ivan, 33, dikatakan hanyalah seperti arang habis besi binasa. Tidak sahaja menelan kos jutaan ringgit, malahan kejohanan berprestij itu dilihat tidak banyak membantu menaikkan sukan tinju di Kota Semenaja dan kurang memberi impak yang positif …”
Kandungan merapu artikel itu membuat Hazra menepuk dahi. Dalam, jerih-perih dia dan rakan satu gelanggangnya berbentur kudrat dan tenaga, rupa-rupanya masih ada tangan-tangan cerdik pandai memusing fakta dan mencari keburukan. Nama penulis Mochi Chan yang tertera di hujung artikel itu bukanlah asing buatnya.
“Tapikan, bukan ke Cherry Lime tu agensi hiburan? Kenapa nak masuk campur ulas hal sukan? Bodoh ke apa?” Datin Malini masih tidak berpuas hati. Hampa hati keibuannya apabila orang luar memburukkan imej anak lelakinya di media sedemikian.
“Dahlah tu mama. Tak payahlah baca benda-benda macam ni. Mengarut aje.”
“Eee. Kalau mama, dah kena saman dah si Mochi belacan ni. Dengan company Cherry Lime ni sekali mama saman!”
“Tak ada gunanya saman-saman diorang. Lagi menampakkan kita ni macam bersalah nanti. Biarkan aje.”
“Tengok ni. Ruangan komen pun bukan main-”
“Mama, cukuplah. Jangan baca lagi.” Hazra merampas telefon dari tangan ibunya dan memadam paparan artikel tersebut. “Nah. Mama jangan buka lagi artikel tadi. Ingat tu.” Hazra memulangkan telefon kepada Datin Malini. Dia menggosok-gosok belakang ibunya seraya memujuk.
“Yalah.” Datin Malini menghembus nafas berat. “Hazra,”
“Ya, mama?”
“Mama bangga dengan kamu.” Datin Malini tersenyum sebak.
“Terima kasih mama.” Hazra merapatkan kelopak matanya. Ibu dan anak itu berpelukan. Selepas seketika, Datin Malini berlalu.
Hazra melabuhkan punggung di atas katil. Dia mencapai telefonnya dan membuka artikel yang sama. Hakikatnya, dia hanya berpura-pura tenang di hadapannya ibunya. Hati siapa yang tidak terbakar apabila usaha dan kerja kerasnya diremeh-remehkan. “Dengki punya reporter. Aku harap hidup kau kucar-kacir lepas ni.”
Sedang jarinya rancak menatal paparan telefon, dia terhenti pada ruangan komen.
Komen daripada che.fuad34,
-Membazir je anjur sukan-sukan gini. Duit juta-juta tu baik tolong gelandangan ke, baiki infrastruktur ke, apa ke. Lepas tu barulah nak anjur sukan gini. Itu pun tak boleh pikir.-
Komen daripada pengguna abe.kirol17
-Eleh org perempuan semua menggeletis tengok lelaki macam tu. Yg alim2 tak nak pulak. Nanti mulalah ada girls yang pecah ovari bagai tengok si Hazra ni. Baru menang sekali dua, dah berlagak. Angkuh-angkuh pun tak ke mana Hazra oii. Dunia je semua ni. Nanti dah mati, kena tanam jugak. Bukan boleh bawa kubur pun blackbelt tu. Lolz.-
Hati Hazra makin mendidih. Air liurnya diteguk kasar. “Ceh. Cakap macam dia hidup lama aje” Hazra terus membaca satu per satu komen yang tertera.
Komen daripada miera.chomel23,
-Eu. Ramainya boys dekat sini yang butthurt, sakit hati dengan Hazra. Iri bilang boss. Eleyh, korang yang kutuk2 Hazra ni, nanti dekat akhirat merangkaklah cari dia minta maaf.-
“Pfft!” Tersembur tawa Hazra. Dia kini mampu tersenyum semula.
Komen daripada pengguna rashid.mokhtar677,
-Tak. Sekarang ni, apa kena mengena Cherry Lime, artikel hiburan nak criticise hal sukan? Kau orang punya reporter ni benak ke apa? Pergilah cari gosip artis, yang sibuk2 nak menyondol hal sukan dah kenapa? Pandai pulak tu mention nama Hazra. Kena saman padan muka.-
“Hahahah. Nasib baik orang yang bijak masih wujud, tak cepat termakan berita hauk macam ni.” Telefonnya sekadar dicampak ke bantal. “Lantak koranglah, tak mengganggu periuk nasi aku pun.” Hazra berbaring malas sebelum akhirnya terlelap.
“BENCI betul kau dengan si Hazra ya?” Seorang wanita mendekati Mochi Chan di meja kerjanya. Dia ketika itu sedang bersiap untuk pulang dari pejabat.
“Tak adalah benci pun. Biasa-biasa je.” Mochi melirik senyum nakal. Puas hatinya bukan kepalang lantaran artikel tulisannya mendapat sambutan luar biasa. Ah, biarlah dia dikecam. Apa yang penting, viewer artikelnya mencanak naik.
“Kau tak takut ke?” soal rakannya lagi.
“Takut apa?”
“Kau bukan tak kenal Hazra tu. Famous worldwide kut. Silap hari bulan, dia saman kau.”
“Saman ajelah. Ingat aku kisah? Company aku akan back up. Simple.”
“Weh, peminat fanatik dia dah lah ramai. Kau ni pun. Ambil mudah je.”
“Apa kau ingat, ni company tulis berita ilmiah? Nak kena beretika dan beradab? Come on lah, bukan aku menipu pun. Benda memang betul, kenyataan. Bukan salah aku, salah diorang semua jugak,” bidas Mochi sambil menjelir lidah.
“Kepala otak kau kenyataan!”
“Eleh, kau pun sebenarnya syok dekat Hazra kan? Sebab tu kau panas bila aku keluar artikel macam tu. Betul tak?”
“Nama je agensi hiburan, tapi masuk campur hal sukan. Nampak sangat kau tak ada modal dah nak menulis. Sendu.”
“Isy! Dahlah kau ni, rimaslah.” Mochi berlalu pergi meninggalkan rakannya yang masih tercengang. “Oh ya, one more thing. Kalau tak suka apa yang aku tulis, tak payah baca. Simple,” ucapnya sambil memetik jari.
“Isy, perempuan ni. Kalau sehari tak cari penyakit, tak sah. Dah kena nanti baru tahu.”
Sambil bersiul, Mochi memasuki kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna merah jambu miliknya. “Huargh...” Mochi Chan menguap seluas alam. Bekerja sehari suntuk di hadapan skrin komputer riba benar-benar memenatkan otak. “Haih, sakit belakang aku duduk membongkok lama-lama,” ujarnya sambil menggeliat malas.
“Eh! Ha’ahlah, peti sejuk aku dah kosong. Aduh, malasnya nak singgah supermarket.” Dengan wajah cemberut, Mochi menghidupkan enjin kereta. “Alang-alang tu, singgah Starbucks lah sekejap. Craving pulak.”
HARI beransur malam.
“Finally. I’m home! Time to get some rest.” Sejurus selesai memarkir kereta, Mochi berlari riang ke dalam rumah bersama-sama bungkusan barang dapur yang sudah dibeli. Sudah menjadi kebiasaan bagi keretanya diparkir di tepi jalan rumahnya yang kurang sibuk.
Di balik kegelapan malam itu, sosok seseorang memerhati gerak-geri Mochi dalam diam. “Time to get some rest ya? Tak apa, malam ni kau rest puas-puas,” bisik gerangan itu. Di tangannya, terdapat sebuah baldi besi yang diisi cecair pekat berbau hanyir.
“Dasar perempuan celaka. Kau tunggu ajelah esok pagi.” Tangkai baldi itu dipegang erat, hanya menunggu masa untuk menjalankan amanatnya.
Splash!
Share this novel