BAB 3 : UGUTAN

Drama Series 1931

STUDIO yang baru dijejaki dipandang sekeliling.
“Not bad,” desirnya.
Studio yang dua kali ganda besar daripada studio yang dimilikinya, buatkannya kagum. Kesemua barangan yang ada di dalam bilik itu berteknologi tinggi dan paling terkini, jadi tidak hairanlah syarikat itu mendapat jolokan syarikat rakaman paling gah dan canggih di Malaysia. Berbeza dengan apa yang dimilikinya.
Leon Shin menghempaskan tubuhnya di sofa yang sedia ada di dalam bilik itu; lalu mengimbau kembali kejadian dua bulan yang lalu, saat dia didatangi Da’in dan Fa’id.

DUA bulan lepas.
Leon Shin menunggu gerangan yang ingin bertemu dengannya di sebuah restoren. Pertemuan tertutup itu diaturkan oleh pihak sebelah sana. Sejak beberapa hari yang lalu, dia telah menerima direct message melalui Instagram daripada wakil Blue Rose Entertaiment.
Sinis dia membaca mesej itu yang ingin bertemu empat mata dengannya untuk membincangkan sesuatu. ‘Sesuatu’ yang dia tahu apa bendanya. Sudah pasti perihal dia mengutuk ‘puteri’ syarikat itu.

Pada awalnya dia tidak mahu menyetujui pertemuan itu, namun setelah dia berfikir panjang; dia menyetujuinya. Dia perlu menghadapinya dengan tenang. Dia tidak mahu dicop sebagai pengecut atau sekadar seorang keyboard warrior. Dia berani menghadapi ulah yang dilakukannya sendiri. Dia bukan seorang yang baling batu sembunyi tangan.
Pintu dikuak dari luar dan terlihat pelayan restoran itu mengiringi wakil daripada syarikat yang dikatakan itu.. Namun, alangkah terkejutnya dia saat melihat dua gerangan yang sedang melangkah mendekatinya. Mereka adalah Da'in dan Fa'id.

Da'in merupakan anak sulung kepada pengasas Blue Rose Entertainment, Dato’ Rafael dan telah menggantikan tempat ayahandanya itu setelah beliau bersara dari dunia hiburan ini. Fa'id pula anak ketiga daripada enam beradik itu dan juga merupakan seorang pelakon sensasi.

Tak tertelan liur Leon Shin melihat figura depan matanya itu. Tidak menyangka orang paling berpengaruh itu sanggup ‘mencemar duli’. Terus tegak tubuh Leon Shin berdiri menyambut dua orang tetamunya itu. Ada sedikit gerun melihat pesona yang dipamerkan oleh mereka berdua.

“Hi, I'm Da'in.”

“I’m Fa'id.”

Da'in memperkenalkan dirinya diikuti Fa'id. Mereka saling berjabat tangan. Sejuk tangan Leon Shin menyambut salam itu. Dia memang tidak menyangka wakil yang mereka katakan itu adalah boss tertinggi mereka sendiri.

“Leon Shin.” Bergetar suara Leon Shin tapi sebaik mungkin dikawalnya. Dia menenteramkan dirinya sendiri agar tidak kelihatan begitu gugup depan mereka berdua.

Da'in dan Fa'id mengambil tempat berhadapan dengan Leon Shin. Renungan Da'in sangat tajam, manakala Fa'id pula kelihatan bersahaja tetapi penuh agenda. Leon Shin buat wajah bekunya, tanda dia tidak gerun dengan kehadiran mereka.

“Tak sangka, boss besar yang turun. So… ada apa korang nak jumpa aku?” Tanpa menunggu lagi, Leon Shin bersuara dengan nada bongkaknya. Dia ingin menunjukkan yang dia tidak kisah siapa mereka; status mereka langsung tidak mengugatnya.

Dia tahu apa tujuan mereka berdua bertemu dengannya dan dia memang sudah bersiap sedia dengan apa saja kemungkinan yang akan berlaku nanti.

“Aku tak nak panjang cerita, aku cuma nak beritahu, aku suka karya kau. Lagu-lagu ciptaan kau semua boleh pergi jauh, tapi sayang…” Da'in memulakan bicara.

Berkerut dahi Leon Shin. Apa yang cuba mereka sampaikan ini?

“If kau bernaung di mana-mana syarikat rakaman sudah tentu nama kau lebih meningkat dari sekarang,” sambung Da'in dengan suara garau.

“Kan. Sayang seribu kali sayang. Bakat yang ada tak dapat dikembangkan sebab keegoan sendiri. Why kau nak bergerak secara bebas? Orang lain berebut-rebut nak masuk ke syarikat rakaman. Tapi kau… pelik…,” sindir Fa'id dengan sengihan jengkel.

Dikepal tangannya menahan diri dengan sindiran itu. Wajah Fa'id dicerlung dengan penuh kebencian.

“Sebab tu kami datang nak jumpa dengan kau sendiri. Aku nak tawarkan kau untuk jadi artis di bawah naungan kami.” Terus terang Da'in tanpa membuang masa.

Terpempan Leon Shin mendengarnya. Dia tidak salah dengarkan? Tak mungkin mereka berdua bertemunya ingin menawarkan sesuatu yang tidak masuk akal setelah apa yang dia lakukan? Memang meleset dengan apa yang dia jangkakan.

“What?! Are you serious?” Melengking terus suara Leon Shin, tidak percaya. Makin berkerut wajahnya.

“Ada nampak muka kami bergurau ke? Kami ni bukan mudah untuk tawarkan sesuatu yang berharga ni, lagi-lagi dengan orang macam kau ni. Tapi… kau antara orang yang bertuah,” tukas Fa'id pula.

“B-but… why… Are you crazy?” Tercengang-cengang Leon Shin. Tidak dapat mencerna dengan tawaran yang tidak masuk akal daripada mereka berdua itu.

Manakala Da’in dan Fa’id, riak wajah mereka tidak berubah. Tetap serius menandakan apa yang dikatakan tadi adalah benar.

“Huh… korang jangan buat lawaklah.” Leon Shin berpura-pura tertawa lalu menyambung kata-katanya, “Korang jangan nak bodohkan akulah! Aku tahu korang cuma nak pancing aku je kan? Tak mungkin kau nak aku jadi artis rakaman korang setelah apa yang aku dah buat pada syarikat dan adik kesayangan korang tu.”

“Memang betul apa yang kau buat tu menggores hati kami terutama melibatkan adik kami. Memang ikutkan hati, aku takkan berdiam diri. Tapi aku takjub dengan kau. Bagaimana kau boleh berdiri di kaki sendiri di awal karier tanpa bantuan orang lain? Itu yang buat aku tertarik walaupun attitude kau ke laut dalam,” ujar Da’in sempat menyindir.

“Kau ingat mudah ke kami nak buat keputusan ni dengan apa yang kau dah buat? Kami tanggung risiko juga. Tapi, tulah cabaran. Dan kami sukakan cabaran. Ibarat masukkan singa dalam kandang harimau, adakah mereka boleh bekerjasama atau… saling menghancurkan?” tokok Fa’id, sinis.

Terdiam sejenak Leon Shin. Otaknya laju memikirkan apa muslihat mereka yang sebenarnya.

“Aku takkan paksa kau. Aku akan berikan kau masa untuk berfikir. Cuma kau kena ingat… apa pun keputusan kau, kau akan tetap menerima habuannya,” ujar Da’in dengan nada mengugut.

Liur yang ditelan Leon Shin terasa berpasir. Dia tahu dia perlu membuat keputusan yang bijak. Tersilap percaturan, parah jawapannya.

Helaan nafas dilepaskan. Dia masih tidak tahu apakah keputusannya itu tepat. Sekali lagi dia menghempaskan nafasnya. Nasi sudah menjadi bubur; apa yang akan berlaku nanti dia akan tempuhinya tanpa gentar.

Terus dia mengeluarkan buku notanya yang sentiasa dibawa lalu dia melorek-lorekkan sesuatu di dalam buku itu. Dia mencurahkan apa yang dia rasa dan apa yang telah berlaku pada dirinya dalam bentuk lirik lagu.

SETELAH seharian dia berada di situ, keadaannya masih terkawal. Walaupun ramai yang hairan dan tertanya-tanya kenapa dia boleh diterima dalam syarikat itu, diabaikan saja. Dia berada di situ seperti yang Da’in dan Fa’id janjikan kepadanya; yang mereka akan membantunya untuk meluaskan lagi nama dan kariernya. Sesiapa yang mendengarnya sudah pasti rasa pelik. Dia sendiri sampai ke saat ini masih merasakan hal yang sama. Apa yang pasti, mereka mempunyai agenda lain yang hanya mereka saja tahu.

Pintu lift terbuka dan Leon Shin yang baru ingin melangkah masuk ke dalam lift, terkedu melihat seorang tukang bersih yang sedang mengelap dinding lift itu. Tukang bersih wanita itu yang perasan ada orang ingin memasuki ke dalam lift itu terus memberhentikan kerjanya. Dengan keadaan yang kekok, tukang bersih itu bergerak ke kiri ke kanan keresahan.

Namun Leon Shin abaikan saja kehadiran tukang bersih itu. Dia terus melangkah masuk dan butang G ditekannya. Tukang Bersih itu terkaku di hujung sudut lift itu. Leon Shin berdeham dan anak matanya melirik ke arah tukang bersih itu. Namun wajah tukang bersih itu tidak kelihatan. Dia menundukkan wajahnya ke bawah dan topi yang dipakainya menutupi hampir keseluruhan wajahnya.

Pintu lift terbuka semula dan muncul pula susuk Celine yang sedang merenggangkan pangkal lehernya.

“Hah… hai…,” sapa Celine ramah. Walaupun baru beberapa jam tadi mereka bertemu; Celine tetap menegurnya seperti mereka rapat padahal tidak.

Celine masuk ke dalam lift itu dan menyapa tukang bersih itu. Tertunduk-tunduk tukang bersih itu menyahut sapaan Celine itu. Celine berdiri di sebelah Leon Shin dan tidak lama selepas itu terdengar kekehan kecil daripadanya.

“Haih… kelakar betul. Jadi nilah orang kata jilat ludah sendiri. Ha-ha-ha… kelakar, kelakar…,” monolog Celine menyindir Leon Shin.

Leon Shin memberikan pandangan tajam melalui pantulan di pintu lift. Celine perasan itu.

“You memang takde rasa malu, kan? You dah kutuk macam-macam tapi… ada hati nak cari rezeki kat sini. Dasar manusia…”

“You pun tak payah sibuk hal orang. Jangan nak jadi kepochi sangat,” tukas Leon Shin, dingin.

“Apa tak betul I kata? You tu hipokrit. I tak fahamlah dengan orang macam you ni. Macam manalah orang boleh minat you, sanjung you… tapi perangai you… hauk.”

“Habis tu idola kau tu, tak hauk? Menghilang macam tu je, lari daripada masalah, suka mainkan hati lelaki… kau ingat tu bagus?” Naik seoktaf suara Leon Shin.

Agak terkejut Celine mendengar nada suara Leon Shin itu. Belum sempat dia membalas, bunyi detingan menandakan mereka sudah sampai ke tingkat dituju; membantutkannya. Tanpa menunggu lagi, Leon Shin terus melangkah meninggalkan Celine yang terpinga-pinga itu.

“Wei!” Pantas Celine cuba mengejar Leon Shin, meninggalkan tukang bersih itu.

Tukang bersih itu yang menjadi pemerhati dan pendengar; terdiam di dalam lift itu. Dia menaikkan sedikit wajahnya dan membiarkan pintu lift itu tertutup semula.

LAMPU di ruangan itu dihidupkan dan bilik yang dipenuhi dengan permainan arcade itu terang berderang. Bilik yang berada di tingkat enam itu memang dikhaskan untuk sesiapa saja yang bekerja di situ melepaskan tekanan. Seseorang menuju ke salah satu permainan itu dan pilihannya adalah permainan sniper.

Dalam beberapa saat, kedengaran ruangan yang tadi sunyi sepi meriah dengan bunyi tembakan yang bertalu-talu. Seorang gadis dengan renungan tajam melaraskan rifle mainan yang bersambung dengan mesin arcade itu. Terlihat saja musuhnya di skrin, bertubi-tubi dia menarik picu dan melepaskan segala perasaan yang terpendam di situ.

Selesai saja dia bermain, dia memandang skrin itu dengan pandangan yang puas. Dadanya turun naik dan helaan nafasnya kedengaran.

“Kalau aku boleh musnahkan ‘mereka’, macam aku musnahkan musuh dalam game ni... kan mudah,” monolognya dengan mata yang membara.

Share this novel

Shade
2024-12-16 18:29:35 

lain macam lepaskan geram tu author. thanks ya. love cerita ni.


NovelPlus Premium

The best ads free experience