Chapter 31

Mystery Completed 14816

Bab 31

Dia menggenggam botol ubat itu dengan tenaga yang semakin lemah. Dia berusaha untuk mengambil seulas ubat lagi, tetapi tangannya tidak berdaya lagi untuk digerakkan. Dia berbaring lemah, sambil matanya tertanjap ke siling. Bibirnya terkumat-kamit menyebut nama itu.

“Zack…Bila kau nak balik nak?”

Ada suara di sisinya. Suara yang amat dikenalinya. Wanita itu baru saja menjengah masuk.

“Abang! Abang sakit? Nak saya panggilkan doktor?”

“Tak perlu…. Takkkk payahlah! Takkk ada doktor yang boleh ubatkan aku.”

“La, Abang Omar nak mengidap saja begini?”

“Tu lah yang kau mahu, betul tak Suriati? Kau mahu aku mati kan?”

Suriati diam sahaja, dia tersenyum sinis. Dia menunggu sahaja lelaki yang tidak berdaya itu mengakhiri hidupnya. Lelaki itu semakin lemah dan nazak, sejak dia menukar ubat lelaki itu dengan sejenis dadah, delantenol.

Datuk Omar memang menghadapi masalah jantung. Dia bergantung pada ubat sekian tahun. Kini dia semakin teruk. Keadaan lebih parah apabila ubatnya ditukar. Dia hanya menunggu masa sahaja maut datang menjemput. Suriati tidak pernah kesal. Dia gembira sekiranya bekas abang iparnya itu segera dijemput maut. Kematian Datuk Omar memberi seribu nikmat kepadanya. Irfan akan mewarisi syarikat Omara Holdings Berhad. Tiada orang lain yang lebih layak selain daripada anaknya itu.

Datuk Omar tiba-tiba ketawa dalam kepahitan. Dia seperti dapat membaca apa yang dalam tempurung kepala Suriati.

“Kau ingat kau menang ya, Suriati? Kau ingat aku tak tahu pakatan kau dengan Hamzah, Irfan dan Airiel?”

“Pakatan apa maksud Abang Omar?”

“Nak rampas hak Zakuan dan aku,” balas Datuk Omar dalam nada yang susah.

Suriati ketawa.

“Memang betul telahan Abang Omar tu! Memang kami rancang nak rampas semua hak abang anak beranak. Berpuluh tahun saya tunggu abang berkahwin dengan saya. Abang tak peduli, tak pernah sedar saya cintakan abang.”

Datuk Omar mencebikkan bibirnya sahaja.

“Sekarang, baru abang tahu siapa yang ada di hadapan abang saat-saat akhir abang akan dijemput Tuhan. Bukan sesiapa. Bukan anak abang yang dah sepuluh tahun hilang tu! Tapi saya… sayalah yang ada di hadapan abang.”

Datuk Omar termengah-mengah menghela nafasnya yang semakin semput.

“Abang mesti tahu satu perkara pasal Zack. Saya yang rancang supaya Zack ikut bercamping, memanjat gunung. Saya yang rancang, supaya Zack mati di perut gunung tu!” kata Suriati penuh dengan rasa bangga.

Datuk Omar terus termengah-mengah. Suaranya sudah tergantung di udara. Dia tidak sangka. Benar-benar tidak sangka kemalangan yang menimpa anaknya ada kaitannya dengan Suriati. Suriati gelak kuat gemanya memenuhi ruang bilik itu.

Saat yang sama, Affendi menerjah dari luar terus meluru ke katil. Suriati terkejut dengan kehadiran Affendi. Ingin dihalaunya Affendi supaya segera pergi. Tetapi lelaki itu tidak berganjak. Dia terus memegang tangan Datuk Omar yang lemah.

Datuk Omar memandang sayu ke wajah Affendi. Tiada suara yang termuntah keluar. Namun bibirnya tersenyum. Senyuman yang layu, menahan kesakitan yang amat sangat. Kematian memang menyakitkan.

Seperti bunga yang direntap kasar dari akarnya, ia cepat pudar dan layu. Wajah Datuk Omar semakin hilang serinya. Matanya memandang ke atas, ke arah langit. Dan nafasnya pun putus… Jasad dan rohnya telah pun terpisah.

Affendi meraut muka lelaki tua itu, menutup kelopak matanya dengan iringan bacaan selawat ke atas nabi. Mata Affendi berair, memandang ke arah Suriati yang hanya memerhati. Tanpa belas, Suriati tersenyum. Abang iparnya sudah tiada, meninggalkan harta yang banyak, rumah gedung yang akan diwarisi oleh Irfan dan dirinya.

“Puan Suriati, kita sempurnakan jenazah uncle Omar dengan sebaik-baiknya.”

“Terpulang pada kau. Kau uruskanlah semuanya.”

“Memanglah. Ini tanggungjawab saya. Saya akan uruskan semuanya. Saya sekadar nak memberitahu puan sahaja,” balas Affendi sambil mencari kain bagi menutupi jenazah Datuk Omar.

Hati Affendi terasa amat pilu sekali. Zakuan tiada di sisi bapanya hingga ke saat akhir. Apakah benar Zakuan masih hidup dan akan kembali dalam keadaan sihat sejahtera?

Leo kecewa yang teramat sangat. Saat dia kembali ke rumah lamanya, ternyata bapanya sudah pun berpindah. Tiada sesiapa pun tahu ke mana bapanya itu berpindah. Leo menyeka airmatanya, berjalan kembali ke arah perhentian bas. Sebuah bas berhenti. Dia naik, mencari tempat duduk. Bas membawanya entah ke mana. Leo tidak tahu. Dia hanya mengikut sahaja.

“Hoi! Awak tak mahu turun?” sergah pemandu bas.

“Kita dah pusing semula ke KL.”

“Tak apa. Bawa saya ke KL semula.” Leo berkata sambil bangun lalu memasukkan duit syiling ke dalam peti yang terletak di sebelah pemandu.

Pemandu bas menggelengkan kepala. Di Kuala Lumpur ni memang ramai manusia yang pelik-pelik…. Rungut pemandu bas di dalam hatinya.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah maksud senyuman terakhir Datuk Omar tatkala memandang wajah Affendi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience