Chapter 46

Mystery Completed 14816

Bab 46

Di tanah Perus sedang membakar kancil yang masuk ke dalam perangkapnya. Bau harum daging bakar itu segera dibawa angin, lalu terhidu oleh hidung Airiel. Dia bangun, duduk berlunjur di pelantaran. Saat itu dia terpandangkan Pilar yang juga menjenguk di tingkap, melihat abangnya membakar kancil.

Airiel terperanjat melihat wajah Pilar yang hodoh. Cepat-cepat Airiel turun dari pelantaran. Dia memerhati ke halaman, terperanjat sekali lagi melihat Pajero sudah tiada.

“Mana orang tua yang datang dengan aku tadi?” tanya Airiel.

“Dia dah balik, masa engkau tidur.”

“Apa? Dia tinggalkan aku sorang-sorang kat sini?” keluh Airiel.

“Macamana aku nak keluar dari sini?”

“Jangan takut. Aku ada motor.” jawab Perus.

“Baguslah! Hantar aku sekarang!”

“Kau tak mahu rasa daging kancil panggang dulu?”

Airiel menggeleng. Walaupun air liurnya cair melihat daging kancil panggang itu namun dia harus menolak. Daging itu pastilah tidak disembelih mengikut cara orang Islam. Perus bukannya beragama Islam, walaupun ada penduduk di situ yang mengakui sudah lama menganut agama Islam.

“Sekejap lagilah aku hantar. Aku lapar, nak makan dulu.” kata Perus.

Airiel tidak membantah. Dia berada di tempat orang. Jadi dia hanya diam dan menanti dengan sabar. Perus menghantarnya hingga ke tepi jalan, berdekatan Kampung Gelugor. Dari Kampung Gelugor dia menaiki teksi menuju ke bandar Temerloh.

Ketika sampai di Temerloh, hari sudah malam. Dia terpaksa bermalam di hotel sebelum balik pagi esok ke Kuala Lumpur.

Airiel sengaja membiarkan handphonenya ditutup. Dia yakin Hamzah sudah menyampaikan berita kepada Puan Suriati. Tak guna betul orang tua tu! Pasti dia ada niat tertentu. Airiel dapat rasakan sebenarnya Hamzah tidak puas hati kerana Puan Suriati memberikan saham Irfan kepadanya.

Jangkaan Airiel tidak lari langsung. Setibanya dia di kondo Irfan, Puan Suriati menelefon mengarahkan dia segera ke pejabat. Mahu tidak mahu, Airiel terpaksa pergi menemui Puan Suriati.

“Aku mahu kau kemas baju-baju kau, tinggalkan kondo Irfan! Kau dah gagal. Buat kerja senang pun gagal. Kau cari samseng tak berguna, bodoh, bahlul. Duit aku dah lesap sepuluh ribu, Affendi pula hilang entah ke mana.”

Airiel terkedu sebaik sahaja masuk ke bilik Puan Suriati dia sudah dimaki hamun.

“Puan, kalau Affendi melarikan diri sendiri, tentu dia takkan berjaya keluar dari hutan tu. Hutan tu tebal. Orang yang tak biasa boleh sesat.”

“Agh! Aku dah tak percaya lagi pada omongan kau, Airiel. Entah-entah engkau yang lepaskan Affendi, siapa tahu? Siapa tahu, engkau dapat duit yang banyak dari dia.”

“Puan! Jangan nak tuduh sembarangan. Saya tak pernah berbaik-baik dengan Affendi.”

“Tapi engkau tu kawan dia sejak sekolah dulu kan?”

“Memang saya kenal dia dah lama, tapi kami taklah rapat sangat.” Akui Airiel.

“Selama ni saya setia pada puan, tapi apa yang puan buat pada saya? Puan selalu sumpah seranah, cakap kasar dengan saya. Sudahlah! Saya dah tak tahan!”

“Kau nak aku buat macamana? Layan macam raja? Sedar sikit kau tu siapa!”

“Selama ni saya setia pada puan. Saya ikut saja rancangan puan. Kalaulah saya bocorkan rahsia puan sudah lama puan kena cekup.”

“Kau takkan berani buat macam tu sebab kau pun terlibat sama!” balas Puan Suriati sengit.

“Terlibat sama? Hei, saya tak terlibat dalam semua hal puan! Saya tahu, puan yang rancang kemalangan yang menimpa Zakuan sepuluh tahun dulu! Puan suruh Irfan buat! Irfan ikut saja kehendak puan, tapi bertahun-tahun Irfan tidak dapat lupa. Irfan tu terseksa sebenarnya. Tengoklah cara dia meninggal… Terseksa. Itu tak menginsafkan puan ke?”

Puan Suriati menjeling tajam pada Airiel.

“Berambus! Keluar!!!” jerit Puan Suriati sekuat hati.

Puan Suriati duduk termenung di mejanya. Perlahan-lahan dia menarik laci lalu mengeluarkan sepucuk pistol.

“Airiel! Aku tak boleh biarkan kau hidup!” kata Puan Suriati pada dirinya sahaja.

“Aku terpaksa hapuskan kau! Kau terlalu bahaya! Malam ni, Airiel kau akan tahulah nasib kau! Aku tak boleh tangguh-tangguh lagi!” Puan Suriati tertawa sendiri. Kuat.

Dia menekan nombor telefon Hamzah.

“Hamzah… Boleh kau tolong aku?”

“Tolong apa?” tanya Hamzah.

“Aku nak hapuskan Airiel malam ni! Kau tolong aku… Kita sama-sama pergi rumah dia malam ni. Kau bawa kereta.”

Hamzah diam.

“Sorry! Aku tak mahu terlibat! Cukuplah!” bantah Hamzah.

“Okey… Kalau kau tak mahu tolong aku, tak apa Aku akan lakukannya sendiri.”

Malam ini dia akan menghapuskan Airiel dari dunia ini.

*****

“Apa yang harus kita buat sekarang Fendi?”

“Kita tunggu dan lihat saja dulu, Leo.” kata Affendi tenang, sambil memerhati ke arah ibunya yang berbaring di atas kerusi malas.

...bersambung

Bab akan datang:

Berjayakah Puan Suriati menjalankan rancangannya untuk membunuh Airiel?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience