JAM LOCENG berdering kuat, membangunkan seluruh manusia yang sedang nyenyak tidur. Bantal yang mulanya digunakan sebagai alas kepala bertukar posisi. Natrah menekup wajah dan telinga dengan bantal. Dia tersenyum lebar saat suasana selesa dan nyaman dirasakan ketika itu.
Tidur yang sempat terganggu sebentar tadi disambung semula. Arghh! Lega rasanya saat tiada pengacau atau pengganggu lenanya. Namun itu hanya untuk beberapa saat sahaja.
"Nur Natrahhhhhhh!!! Kau tak bangun lagi, aku tenyeh-tenyeh muka kau dengan lesung ni!"
Wajah Natrah berubah kelat. Alaaa, tak syok betullah!! Ni yang aku malas ni! Singa mana pulak yang lepas pagi-pagi buta ni?!
Selimut yang membaluti tubuhnya ditarik kasar.
"Ya Allah! Anak dara apa macam ni haa? Bilik bersepah sana-sini, pinggan, cawan berterabur atas meja. Oii Ara!! Kau nak buat bilik ni jadi tempat pembuangan sampah ke? Bangun aku cakap!"
Tubuh lemah Natrah ditarik. Dia menuruti, namun hanya sesaat. Tubuhnya kembali layu di atas katil.
"Ohh.. kau nak melawan aku ye? Kau tunggulah nasib kau kejap lagi" Nabihah sudah tersenyum sinis. Dia berlalu ke dapur dan kembali semula ke bilik dengan membawa segayung air. Tanpa membuang masa, air tersebut disimbah ke atas tubuh badan Natrah.
Menggelupar dan menggigil kesejukan Natrah dibuatnya. Dia terduduk di atas katil dengan mata yang terbuka luas.
"Tak guna punya Bihah!! Oii, yang kau main simbah-simbah ni apasal?" Natrah menengking dengan wajah mencuka.
Reaksi Natrah mengundang tawa di bibir Nabihah. Haaaa, baru padan muka kau! Lawan lagi cakap kakak kau ni!
"Oi anak dara! Pi tengok jam sana. Pukul berapa dah? Kau ingat, kau tu anak raja ke? Anak orang kaya? Yang tak perlu kerja tapi duit tiap-tiap hari datang menyembah kau?" bebel Nabihah sambil bercekak pinggang.
Dia tak punya saudara lain kecuali si pemalas Natrah ini! Namun itulah satu-satunya darah dagingnya yang masih hidup. Walaupun Natrah kadang-kadang tak serupa manusia, tetapi dia tetap sayang.Natrah bekerja siang dan malam untuk menyara kehidupan mereka.
Nabihah sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki yang baru berusia lapan tahun, iaitu Ayish. Suaminya sudah lama meninggal dunia, dua tahun yang lepas kerana kemalangan di tempat kerja. Meskipun duit pampasan arwah suaminya beratus ribu di dalam bank, namun Natrah melarang untuk kegunaan peribadi. Katanya, duit itu untuk menyara pembelajaran Ayish nanti. Setakat makan pakai mereka bertiga, dia masih mampu menampungnya.
Dia dan Nabihah tak punya tahap pelajaran yang tinggi. Disebabkan itulah, Natrah tak mahu Ayish menjadi seperti mereka berdua. Biarlah dia berkorban untuk masa depan Ayish yang cerah. Nabihah juga bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Puan Ramona, janda kaya yang baik hati. Gajinya sebulan cukup-cukup untuk menampung mereka dan membantu pendapatan Natrah.
"Yelah-yelah! Aku bangunlah ni! Ayish mana?"
"Tu haa.. Tengah sarapan"
"Tak sekolah ke?"
Haaa, ni satu lagi sikap Natrah yang Nabihah tak suka. Pelupa nauzubillah!
"Umur kau baru 23 kan? Belum tua, belum nyanyuk lagi. Hari ni hari minggu. Mana ada orang sekolah?"
"Alaa, orang gurau jelah! Tu pun nak marah. Kau ni cepat sangat nak melatah! Karang muka tu nampak tua, padahal umur masih muda!" usik Natrah lagi seraya berlalu ke bilik air. Dia boleh tahan dengan macam-macam perkara tapi bebelan si Nabihah, dia surrender!
"Haishhh, mangkuk hayun punya adik! Dahlah bilik bersepah, ni siapa nak kemas kalau bukan aku?! Untung tau, kau jumpa kakak yang baik macam ni. Kalau tak, berulat bersemutlah bilik kau ni. Nak harap kau yang bersihkan, memang taklah!" sempat lagi Natrah membebel.
"HAA EIRFAN! Nak ke mana tu? Mehlah duduk sarapan dulu dengan atok" pelawa Tuan Kassim setelah melihat kelibat Eirfan menuruni anak tangga. Dia yang lengkap berpakaian formal mencuri pandangan mata-mata yang ada di situ.
Datin Jenny, kacukan Belanda dan Siam, mummy tiri kepada Eirfan. Isteri pertama dari Datuk Elias. Memiliki wajah yang cantik dan sempurna, namun sayang wajahnya tidak mampu meniru sekeping hatinya yang sentiasa busuk dan jahat pada orang, apalagi pada Eirfan. Baginya, Eirfan adalah penghalang kepada kejayaan anak kandungnya, Ehsan.
Dia membenci Eirfan kerana ibu kandung Eirfan adalah isteri kedua suaminya. Sekaligus, perampas kepada kebahagiaan keluarga kecilnya. Atilia adalah ibu kepada Eirfan. Wanita kampung yang kolot itu adalah pilihan arwah ibu mertuanya.
Jika bukan kerana permintaan ibu mertuanya, suaminya tidak mungkin akan mengahwini wanita kampung itu. Gara-gara tidak punya anak hasil dari perkahwinan mereka, suaminya dipaksa kahwin dengan Atilia. Setelah tiga bulan perkahwinan, Eirfan muncul di dalam rahim Atilia. Perasaan bencinya semakin meluap-luap kerana itu.
Dan sejak Atilia mengandung, dia sering disindir oleh ibu mertuanya gara-gara tak punya keturunan. Untung saja dia punya suami yang sentiasa menyayanginya. Terbukti, Datuk Elias lebih menyayanginya berbanding Eirfan. Sejak Eirfan lahir, sedikit pun Datuk Elias tak pernah mengendongnya atau memberikannya kasih sayang.
Dan kasih sayang itu semakin kuat sejak dia disahkan hamil setelah empat tahun usia Eirfan. Dan ketika itu, Atilia sudah pun meninggal dunia gara-gara kanser tulang yang dihidapnya.
Tak lama selepas itu, lahirlah Ehsan sebagai penyeri rumah tangga mereka. Segala-gala yang diinginkan oleh Ehsan akan segera dipenuhi. Malah kasih sayang Datuk Elias jelas terpancar kepada anaknya yang satu itu. Eirfan dibiarkan keseorangan. Itu pun masih juga diberi kesenangan dan menumpang hidup di banglo tersebut kerana ihsan Tuan Kassim. Jika bukan kerana ayah mertuanya, sudah lama dia menghalau Eirfan dari situ.
"Takpelah tok. Eirfan sarapan kat cafe je. Dah lewat ni" balas Eirfan dengan senyuman memekar di wajah.
"Aikk, hari cuti macam ni pun kerja ke?" sindir Datin Jenny.
"Sajalah tu, nak mengampu atok dan daddy!" sahut Ehsan pula. Kebencian yang ditebarkan oleh Datin Jenny kini meresap ke dalam jiwa Ehsan. Baginya, Eirfan tak layak berada di rumah itu. Tak layak juga berdampingan dengan mereka dan tak layak menumpang kesenangan mereka.
"Ehsan! Jenny! Eirfan pun cucu aku! Takde siapa yang boleh halang dia untuk ke mana-mana" sergah Tuan Kassim dengan suara diktatornya. Maklum sajalah, bekas komander!
Kalau dengan Eirfan, dia mudah lembut hati. Cucu yang satu itu tak pernah mengecewakannya. Selalu taat pada perintahnya dan tak pernah melawan. Berbeza dengan Ehsan yang agak keras hati dan degil. Terlalu dimanjai oleh orang tuanya menyebabkan sikap baiknya terhakis.
Ehsan dan Datin Jenny sama-sama mencebirkan bibir. Pak diktator sudah bersuara, tiada siapa berani melawan!
"Kata sayang atok. Kalau sayang atok, turutlah apa dia nak. Ke kamu nak dilemparkan dengan red carpet ,baru nak dengar kata?" Datuk Elias pula menyetir. Entah kenapa setiap melihat wajah itu, dia jadi teringat akan arwah Atilia. Dia tak sukakan Atilia. Perkahwinan yang terjadi hanya untuk memenuhi permintaan arwah ibunya. Dan kewujudan Eirfan juga kerana memenuhi kemahuan ibunya. Bukan kerana cinta, bukan kerana sayang!
Dengan langkah yang longlai, Eirfan menghayun kaki ke arah mereka. Nafasnya dihela perlahan. Bukan dia saja-saja tak nak berkumpul dengan mereka. Tetapi setiap kali berkumpul seperti itu, dia harus menahan sabar dengan sindiran dan cacian mereka. Apa boleh buat, jika bukan kerana Tuan Kassim, sudah lama dia cabut dari situ!
BUNYI HON motorsikal membuatkan wajah Natrah lebar dengan senyuman. Jika bunyi itu menyapa gegendang telinganya, dia tahu gerangan dua manusia pelik itu. Anas dan Fatin! Sahabat karibnya dari kecik sampai sekarang!
"Hello nyah!" sapa Anas sambil menolak motorsikalnya ke tepi pangkin. Fatin sudah turun dari motorsikal. Dia duduk di atas pangkin.
"Nyah kepala hotak engkau!!" Natrah menghempuk bahu Anas dengan tangannya.
"Berapa kali dah aku cakap. Kau jangan nak bawak motor buruk kau kat sini. Kau tengok tu, asal datang sini je, mesti dia buat hal" omel Natrah sambil bercekak pinggang.
"Jual jelah motor buruk kau tu. Habis cerita!" sambung Natrah lagi.
"Bab jual-menjual, tu bukan urusan aku. Ni motor bapak aku siot! Karang aku jual, tak pasal-pasal dengan aku sekali dia lambung atas langit" sahut Anas. Dia turut melabuh punggung bersebelahan dengan Fatin.
"Apasal korang datang ni?" tanya Natrah. Dia berdiri di antara kedua sahabatnya itu.
"Ek elehh!! Ek eleh! Ek elehh!!" tukas Anas dengan wajah meluatnya.
"Kau kan, aku tibai dengan kain ni ,baru tahu!" bentak Natrah sambil melibas-libas kain sarung milik Nabihah. Dia baru saja selesai menjemur kain di ampaian.
"Ara!Anas! Dahlah tu! Korang ni, tak habis-habislah nak gaduh! Asal jumpa je gaduh, tak penat ke?" Fatin, ala-ala bidadari jelmaan manusia jutaan lelaki itu tiba-tiba menyampuk. Sifatnya juga agak lemah lembut.
"Yelah-yelah!" sahut Natrah. "Ni aku nak tanya, kenapa korang datang sini? Ada hot news ke?" Natrah mengendurkan nada suaranya. Karang kena ceramah lagi, naya dia! Pagi tadi, dah cukup dia kena kaw-kaw dengan Nabihah tu! Ampunn!!
"Ala, saja lepak dengan kau. Nak kacau kau. Kau sejak kerja company besar tu kan, kau dah lupa erk dengan kitaorang?" sindir Anas, namun nadanya kedengaran merajuk saja.
"Alaaa, ni yang aku malas ni! Dia buat sinetron pulak pagi-pagi ni" Natrah pula menyetir.
"Hampeh! Ingatkan nak pujuk!" keluh Anas.
"Untung kau kan, dapat offer kerja kat situ. Company besar, mesti gaji pun besar kan?" sampuk Fatin, sengaja menukar topik perbualan. Kakau tak, sampai ke malamlah kedua sahabatnya itu bertelingkah!
Natrah mengeluh panjang. Punggung dihenyak di antara kedua sahabatnya.
"Hmm. Besar jugaklah. Aku nak tolong kakak aku. Dia yang besarkan aku dari kecik sampai sekarang. Dia sanggup korbankan masa depan dia demi nak tengok aku senang. Aku ni, pelajaran taklah tinggi mana. Tapi in Shaa Allah, dengan kudrat yang Allah bagi, aku nak guna untuk balas segala yang kakak aku dah buat. Lagipun dia ada Ayish kan? Aku tak nak Ayish membesar macam kitaorang. Takde pelajaran, masa depan"
Sejak dilahirkan, ibu dan bapanya meninggal dunia. Sejak dari hari itu, Nabihahlah yang menggalas segala tugas dan tanggungjawab untuk menyara kehidupan mereka. Lantaran kurang kasih sayang dan perhatian, dia sering ponteng kelas hanya untuk bekerja. Seawal usia 14 tahun lagi, dia sudah pandai mencari duit dan melakukan banyak pekerjaan seperti mencuci pinggan mangkuk di kedai makan, berjual burger malam hati. Bahkan dia pernah bekerja sehingga larut malam bagi membantu Nabihah.
Pada mulanya, rahsianya itu selamat. Tetapi setelah perjumpaan ibu bapa dan guru, segala temberangnya pecah. Guru kelas memaklumkan akan ketidakhadirannya ke sekolah sudah hampir sebulan. Teruk dia dimarahi oleh Nabihah. Selepas insiden itu, dia sudah serik untuk memancing kemarahan Nabihah. Namun berganjak saja usia 17 tahun, dia buat hal lagi.
Dan kali ini, Nabihah memberi dia dua pilihan sama ada mahu terus belajar atau bekerja saja. Natrah memilih untuk bekerja kerana minatnya dalam pelajaran sudah tiada.
"Yelah kan. Aku tengok kak Bihah tu setiap hari kerja kat rumah janda tu. Kesian jugak. Tapi apa boleh buat, kalau tak cari duit, mana nak datang nasi kan?"
Natrah mengerut dahi dengan perumpaan Anas itu. Betul ke perumpaan dia tu?
"Kak Bihah kerja sekarang kan?" tanya Fatin.
"Aah. Kenapa?"
"Bawak Ayish pergi rumah aku. Kak Senah masak macam-macam kat rumah. Sampai tak larat nak habiskan" cadang Fatin. Selain memiliki wajah yang cantik dan keperibadian yang menarik, Fatin juga anak orang kaya. Dan dia tidak pernah berkira untuk berkongsi segala kesenangan itu dengan sahabatnya.
"Betul ke ni?" Anak mata Anas bersinar-sinar.
"Yelah. Jom"
"Wahh, baiknya kau Fatin!"" Anas mencubit pipi Fatin. Dan saat itu, hati Fatin berdebar-debar dan seakan melayang. Senyuman Anas yang manis itu juga terbias dari anak matanya.
"KAU ni kan, tak habis-habis dengan Lee Min Ho kau tu kan? Macamlah mamat Korea tu pandang kau!" cemuh Anas sambil buat muka hitam manisnya itu.
"Pandang tak pandang, yang penting aku suka dia" bidas Fatin dengan sengihannya. Anas menggeliat kegelian.
Dia tahu persis akan obses Fatin dengan mamat Korea itu. Malah, segala lagu dan drama Lee Min Ho dihafal dan ditonton berulang kali. Sampai dia pun naik jemu! Dan di dalam kejemuan itu, dia dan Natrah berkongsi rasa!
"Kau tak payahlah nak sindir dia! Dia tu kalau pasal Lee Min Ho, bernanah lubang telinga pun dia sanggup terima!" Natrah menambah perencah pula. Ayish yang sudah lena di atas sofa ditepuknya perlahan. Melihatkan keadaan Ayish itu, dia pula yang terasa dibuai mimpi. Sudah berapa kali agaknya dia menguap.
"Lantak koranglah!" Fatin mula sengal. Dia tahu, jika hal berkaitan dengan artis pujaannya itu, Natrah dan Anas akan berpadu menyerangnya.
"Yang penting, aku dapat tatap wajah si macho ni. Ohh oppa! Saranghae" ujar Fatin sambil memeluk foto Lee Min Ho. Serentak itu, punggungnya dihenyakkan bersebelahan dengan Anas.
"Saranghae! Saranghae! Tu je ke perkataan Korea yang kau tahu?" bidas Anas lagi. Mula menyampah dengan sifat obses Fatin itu.
Fatin sekadar buat muka. Foto Lee Min Ho ditatap lagi. Sambil dia buat mini lovenya itu.
"Korang percaya cinta tak?" Tiba-tiba Fatin menyoal. Wajah selamba Anas dipandang. Begitu juga dengan reaksi membosankan dari Natrah. Laju saja tangannya menikam sebiji bantal ke arah Natrah. Terkejut sahabatnya itu dibuatnya.
"Aku tanya ni!" Giliran Anas pula dicubitnya. Geram tak sudah dengan sahabatnya dua orang itu!
"Tanya jelah! Tak perlulah nak tunjuk gigitan nyamuk kau tu! Lengan aku ni jugak yang jadi mangsa" keluh Anas.
"Jawablah" gesa Fatin. Wajah Anas dipandang.
Mahu tak mahu, terpaksa juga Anas berikan respon. Risau pulak kalau gigitan nyamuk kali kedua bakal melayang ke tubuh badannya.
"Percaya jugaklah!" kata Anas. Wajahnya cemberut memikirkan ayat selanjutnya. Biar Fatin puas hati dan dia dapat larikan diri!
"Tu je?" Fatin mengeluh hampa.
"Yelah, aku percayalah cinta! Kalau tak, takdenya kita ni lahir kat dunia. Cinta orang tua, jadikan kita manusia. Cinta pada Allah, jadikan kita hambaNya. Lagipun, setiap manusia perlukan cinta dan kasih sayang untuk tetap berjuang dalam hidup kan?"
Fatin tersenyum lebar. Entah kenapa perasaannya lain macam saja saat menatap mata hazel milik Anas itu. Tidaklah kacak mana Anas itu, tetapi sedap mata memandang!
"Kau suka perempuan yang macam mana?" tanya Fatin lagi.
Soalan itu secara automatiknya membuatkan anak mata Anas beralih ke arah Natrah. Gadis yang dikenalinya sejak dari darjah 4 lagi. Dia tahu sikap gadis itu. Segala masalah dan luahan hati telah mampu dibaca. Walaupun Natrah agak kasar, tetapi hatinya cukup selesa dengan penampilan itu.
"Entahlah. Aku suka perempuan yang apa adanya" sahut Anas, muka bernada serius. Dan perempuan itu adalah Natrah!
Jawapan Anas membuatkan Fatin tersengih. Dia faham maksud kata-kata lelaki itu. Dia menoleh pula ke arah Natrah yang hampir terlelap di hujung sana. Perlahan-lahan derap kaki diatur bagi mendekati si sahabat.
"Ara!!" sergah Fatin sambil ketawa.
"Oo mak kau jatuh longkang!"
Fatin tergelak dengan reaksi Natrah itu. Punggungnya laju saja dilabuhkan di hadapan Natrah.
"Bodohlah kau ni!" gusar Natrah lalu menguap.
"Anas dah bagi jawapan dia. Now, your turn"
"Jawapan apa?" tanya Natrah acuh tak acuh.
"Kau percaya cinta tak?"
"Engkau ni kan, kalau ye pun syok gila kat mamat Korea tu sekalipun, tak payahlah nak bercakap hal cinta dengan aku! Eee gelilah!!" ujar Natrah dengan aksi menggeliatnya itu.
"Jawab jelah! Apa susah? Ke kau takut?"Anas mula menyetir.
"Takut apa?"
"Takut jatuh cinta!" sahut Anas sambil mengekek.
Natrah ketap bibir. Pandangan semacam dari Anas itu menyakitkan hatinya.
"Siapa cakap aku takut? Masalahnya aku tak pernah bercinta!" akui Natrah.
"Pernah sukakan seseorang?" tanya Fatin lagi.
"Pernah"
Anas menjeling dengan jawapan daripada Natrah.
"Siapa?" tanya Fatin lagi. Tak menyabar!
"Ayish! Dia je satu-satunya yang tahan dengan perangai lasak aku"
Jawapan itu membuatkan Fatin menepuk dahi sendiri. Sahlah, minah ni tak tahu erti cinta!
"Itu bukan cinta. Itu namanya sayang, cik Natrah oi!"
Natrah membisu. Dia memikirkan sesuatu. Jika ditanya erti cinta, rasa-rasanya satu sahaja pengertiannya.
"Bagi aku, cinta tu setia"
Fatin mendengar penuh minat. Sedangkan Anas yang tidak ambil kisah, mulai memasang telinga. Keningnya bergerak-gerak.
"Bagi aku, cinta tu setia tak kira macam mana sekalipun keadaan kau. Ala, tak kisahlah dia kaya ke miskin ke. Yang penting, dia sayangkan aku. Aku ni pun bukannya orang senang. Sama-sama melengkapi, saling memahami. Itu yang penting untuk sebuah hubungan yang berpanjangan. Dan itu cinta bagi aku" Natrah mengakhiri pendapatnya dengan senyuman.
"Wujud ke orang yang macam tu?" Fatin bertanya sambil menggaru tengkuknya.
"Entah!" sahut Natrah pendek.
"Dah tu, kenapa kau cakap macam tu?"
"Saja, nak puaskan hati kau" Natrah tergelak dengan jawapan sendiri.
Fatin naik geram! Rambut pendek Natrah ditarik. Tak duduk diam, Natrah turut membalas segala perilaku Fatin. Kedua mereka asyik bergelak tawa. Masing-masing tidak mahu mengalah.
Dalam diam, Anas perhatikan tingkah laku mereka. Namun hatinya hanya tertumpu pada seraut wajah cantik milik Natrah. Perwatakan yang kasar tetapi hatinya baik. Dan Natrah seorang gadis yang apa adanya!
'Cinta itu setia?' Hmmm... Anas mengukir senyuman penuh makna.
ENAM TAHUN LEPAS...
KELAS 5 AMANAH cukup terkenal dengan pelajarnya yang nakal. Tidak kiralah lelaki mahupun perempuan, semuanya bisa memeningkan kepala para guru. Dalam keriuhan suasana kelas itu, Natrah yang nyenyak lena di dalam kelas dikejutkan dengan suara Badli, pelajar yang terkenal dengan sikap nakalnya. Bahkan dia juga suka membuli.
"Oi perempuan! Bangun!!" Meja Natrah dihempas dengan kedua telapak tangannya. Sekaligus mengejutkan Natrah dari lenanya. Dia menguap-nguap di hadapan Badli.
Kelas yang riuh tadi mulai lengang. Siapa saja yang tak mengenali Badli? Ayahnya seorang anggota polis. Ibunya pula ahli jawatankuasa PIBG sekolah, dan juga merupakan penyumbang terbesar di dalam sekolah itu. Cari pasal dengan Badli, memang satu silap besar!
"Kau ni apasal?" rungut Natrah dengan mata yang masih tertutup.
"Kau masih tanya lagi?? Kau kan yang laporkan aku ke Cikgu Wan semalam?"
"Ohh cikgu hensem tu erk? Ehh aku lapor kau pasal apa erkk?"
Natrah pura-pura tidak tahu. Padahal dia hanya sengaja bermain dengan emosi Badli. Semalam, ketika membuat rondaan di tandas lelaki dan perempuan, dia ternampak kepulan asap di dalam salah satu bilik di tandas lelaki. Dia yang sememangnya pengawas yang terkenal dengan sikap berani dan penuh curiousity itu segera memeriksa bilik tersebut.
Ketika itu, wajahnya tayang senyum Joker tatkala berjaya menangkap Badli dan empat orang rakannya yang 'seronok' sangat merokok di dalam bilik itu.
Dia tahu, Badlilah ketua mereka! Dipulasnya kolar baju Badli dan ditariknya keluar. Diheret sehingga ke bilik Cikgu Wan, iaitu guru disiplin di sekolah itu. Berdepan saja dengan Cikgu Wan, kau tahulah nasib kau! Kalau tak koma, kau mati terus!! Ha ha ha...
"Kau laporkan aku kat Cikgu Wan kan?" Badli sudah menggumpal penumpuk. Bibir diketap sambil amarah di tahan dalam hati. Gara-gara kejadian itu, dia teruk dimarahi oleh ayahnya sendiri.
"Ohh kau tahu kesalahan kau! Apasal kau nak marah? Kalau kau marah, maksudnya betullah kau bersalah kan?"
"Kau jangan ingat kau perempuan aku takut!" Anak mata Badli sudah kemerahan.
Seluruh kelas sudah panas! Mana tidaknya, tiada sesiapapun yang berani menentang Badli kecuali si kurus kecil Natrah itu. Badannya kecil dan pendek, tetapi keberaniannya sangat di luar kemampuan!
"Dan kau jangan ingat, satu sekolah gerunkan kau! Aku tak takutlah dengan kau!" bentak Natrah lantas berdiri menghadap Badli. Dia menatap wajah kemerahan itu dengan berani.
"Kau ni, memang tak guna tahu tak?! Dasar anak yatim takde mak ayah! Sebab tu kau kurang ajar kan, sebab kau takde didikan dari mak ayah kau!" Badli mencaci.
"Woii, Bad! Dahlah tu! Yang kau lebih-lebih sangat tu kenapa?" bisik Azrul ke telinga Badli. Dia gerun saat melihat wajah serius Natrah itu.
"Kurang ajar kau kan?!" Natrah tidak mahu mengalah. Dia paling pantang jika ada yang menyebut nama orang tuanya. Biarpun dia tidak pernah tahu gerangan orang tuanya atau mengenali mereka, namun dia tidak akan membenarkan sesiapapun menghina mereka.
"Kaulah kurang ajar!" Badli bertindak kasar dengan menolak tubuh Natrah sehingga gadis itu terjatuh di atas lantai.
Natrah tak menyerah kalah. Dia bangkit dan menumbuk wajah Badli. Pada mulanya, Badli mampu untuk melawan namun kekuatan yang dimiliki oleh Natrah tidak setanding dengan dirinya. Dia rebah di atas lantai.
"APA nak jadi dengan kau ni? Tak habis-habis nak menyusahkan aku! Kau tu baru je 17 tahun, bukannya 71 tahun! Ada hati nak jadi samseng. Sedar sikit diri tu perempuan!"
Marah Nabihah sudah sampai ke kemuncaknya. Dia menerima panggilan telefon daripada pihak sekolah dan mengatakan kejadian yang telah berlaku. Dia dapat mengagak apa yang telah terjadi. Kerana dia kenal siapa Nur Natrah yang telah dijaga dari usia bayi lagi.
"Kalau tahu perangai kau macam ni, baik aku campak je kat dalam semak. Biar kau kena pungut dengan orang jahat. Nak sangat jadi jahat kan!" bebel Nabihah lagi. Pening betul nak hadap adik yang satu itu! Nama je perempuan, tetapi perangai lasaknya mengalahkan lelaki!
Cikgu Wan hanya memerhati sahaja pertelingkahan kecil mereka. Dia juga tidak mampu berbuat apa-apa sementelah itu adalah luar kuasanya. Berdoa sahajalah agar ibu bapa Badli tidak mengenakan tindakan yang berat. Kerana apa yang telah dilakukan oleh Natrah sangat bertentangan dengan peraturan sekolah, meskipun Badli yang memulakan dulu.
Badli dengan orang tuanya sudah keluar dari bilik pengetua. Saat berpapasan dengan Natrah, sempat lagi dia hadiahkan jelingan maut buat gadis itu.
"Puan Nabihah. Saya nak mintak maaf di atas keterlanjuran anak lelaki saya. Tak sepatutnya dia ejek dan caci Natrah macam tu sekali. Saya benar-benar mintak maaf" Encik Badrul memohon maaf terlebih dahulu. Baginya, semua yang terjadi adalah berpunca daripada Badli sendiri. Jika Badli tidak buat hal, pasti perkara seperti ini tidak akan berlaku. Dia tidak menyalahkan Natrah sama sekali kerana dia tahu Natrah hanya menjalankan tugasnya.
"Dah kenapa pulak you yang kena mintak maaf? You tak nampak ke muka anak kita ni? Hampir nak hancur dibuatnya! Kalau terjadi apa-apa, I saman budak perempuan ni! Perempuan tak serupa perempuan!! Memalukan betul!" cemuh Puan Salmiah pula. Matanya asyik ke atas ke bawah melihat Natrah yang hanya menundukkan wajah itu.
"You yang salah!" tengking Encik Badrul, namun dalam suara yang dikawal. "You manjakan sangat anak you ni! Anak dah jelas-jelas buat salah, you boleh cakap takde apa-apa lagi? Kalau bukan disebabkan hati ni, dah lama budak ni I campak masuk pusat juvana! Biar dia tahu erti kehidupan sebenar. Apa yang Natrah buat pada dia, baru sedikit. Kalau kena ke I, dah berbalam-balam lebam pada muka dan badan dia! Anak tak sedar dek untung!" Encik Badrul pula yang melenting.
Puan Salmiah lantas mendiamkan diri. Segan dan malu rasanya dimarah sebegitu oleh suaminya sendiri. Apatah lagi di hadapan mereka semua. Jatuh air mukanya!
"Macam nilah encik ,puan. Kami pun nak mintak maaf di atas apa yang telah Natrah buat. Saya janji, benda ni takkan berlaku lagi. Dan kalau berlaku lagi, saya sendiri akan seret dia keluar dari sekolah ni" Nabihah memberi jaminan. Kemarahannya mereda tatkala Encik Badrul juga menghulur salam kemaafan. Itu bererti Encik Badrul tidak pernah menyebelahi anaknya sendiri.
Perbualan mereka hanya mampu disaksikan oleh Cikgu Wan sendiri. Dia tahu ,Natrah seorang pelajar yang lasak dan kasar. Dia juga seorang pelajar yang bijak dan cerdik. Tidak hairanlah jika dia kerap terpilih untuk meyertai beberapa pertandingan sekolah. Namun, kerana kurang didikan kedua orang tuanya, dia jadi seakan tak menentu saja. Pertama kali dia menjejakkan kaki ke situ, dia tahu Natrah sangat berbeza daripada pelajar lain. Dia ingat lagi ketika kali pertama bertemu dengan Natrah di luar pagar sekolah.
Dia terkejut kerana seorang pelajar perempuan sepertinya memukul dua orang pelajar lelaki yang badannya lagi gagah dari Natrah sendiri. Mulanya, dia fikirkan Natrah hanya membuli tetapi tidak. Dua orang pelajar lelaki itu mengintip di tandas perempuan. Kebetulan pula, kegiatan mereka dihidu dan ditangkap oleh Natrah. Sebelum dihantarkan ke bilik disiplin dan dihadapkan ke bilik pengetua, Natrah bertindak mengajari mereka terlebih dahulu.
Dan, itu sangat di luar akal warasnya kerana pelajar lelaki tersebut tidak menyebut atau memetik nama Natrah di hadapan pengetua. Bermula dari saat itu, dia tertarik pada keperibadian seorang Nur Natrah. Bukan tertarik kerana perasaan asmara. Tetapi kerana ketrampilannya.
"Natrah... Natrah..." Cikgu Wan menggeleng kepala sambil tersengih.
"Cikgu panggil saya ke?" Kebetulan tanpa disedari Natrah berdiri betul-betul di hadapannya. Dia mendongak memandang Natrah yang terpinga-pinga menatapnya.
Wajah Cikgu Wan kemerahan. Cermin mata yang dipakai diselesakan keadaannya.
"Takde.. Bila masa saya sebut nama awak?" nafi Cikgu Wan dengan wajah yang serius.
"Ohh okay!" Natrah tertawa kecil. Cover malu!
cerita baru ;) kali ni, tak bnyak episod.. harap terhibur ^^
Share this novel