Elman tidak segan silu nak menjerit di rumah keluarga mertuanya ini kerana dia tahu bilik Najla ini kedap bunyi. Orang luar takkan boleh mendengar perbualan mereka. So Tan Sri Badlisham’s style. Nakkan privasi sampai semua bilik dibuat kedap bunyi!
Najla memandang sayu ke arah suaminya. Dendam sang suami kepadanya terlalu menggunung. Tapi…tegarkah dia menanggung kesengsaraan ini kalau dia sendiri tidak tahu apa punca dirinya diperlakukan sebegitu oleh Elman Putra? Najla mahukan kepastian daripada Elman. Perlahan-lahan anak matanya diangkat dan merenung kemas ke dalam anak mata coklat gelap milik suaminya.
“Najla minta maaf….Najla tak tahu apa salah Najla pada abang.”
Elman berdecit. Rasa geli hati mendengar ayat yang keluar dari mulut Najla. Tubuh kecil-molek isterinya ditolak kasar ke atas katil. Terjerit Najla melihat tingkah lakunya yang sudah bertukar ganas. Belakang bahu isterinya ditekan kasar ke tilam. Meraung Najla tatkala tangan kasar suaminya menekan belakang bahunya. Sedaya-upaya dia cuba memboloskan diri namun tidak berhasil.
“Bang, jangan tekan belakang Najla bang. Najla sakit….tolonglah bang. Najla sakit!” Rintihnya dalam tangis.
“Hei, kau jangan nak pura-pura sakit ek. Aku tekan belakang kau, bukannya perut kau. Pandang aku…pandang aku!!”
Tubuh Najla dialihkan supaya mengadapnya. Tangan sudah melekap kemas mencengkam bahu isterinya. Terperanjat Elman melihat muka putih bersih Najla sudah basah dengan air mata dengan bibir yang sudah terketar-ketar. Nampak dia dalam kesakitan yang teramat. Pelik Elman melihatnya.
“Najla sakit bang….” Rintih Najla lagi, perlahan.
Elman semakin pelik. Seketika, pandangan Elman tertancap pada kesan lebam di bahu Najla. Teruk sekali kesan lebam itu. Elman mula rasa tak sedap hati. Pegangan tangan di bahu isterinya diungkai sebelum tangan Elman menyelak T-Shirt labuh yang dipakai Najla.
Najla pejam mata. Bahunya tersenggut-senggut menahan tangis. Dia tak mahu Elman nampak lebam di belakang badannya ini. Kalau boleh dia mahu sorokkan kesakitan yang dia alami ini tanpa pengetahuan suaminya. Biarlah dia yang menanggung derita ini seorang diri.
Elman seakan tidak puas melihat lebam di bahu isterinya. Dia tahu kesan lebam itu panjang. Lalu dia menapak sebelum duduk di belakang Najla. Dengan rasa ingin tahu, T-Shirt yang dipakai isterinya disingkap hingga ke atas. Buat apa nak rasa malu? Najla isterinya. Dan dia berhak sepenuhnya ke atas Najla kini.
Sebaik sahaja belakang tubuh isterinya terdedah, Elman terus pekup mulut. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Belakang badan Najla penuh dengan kesan tali pinggang. Merah-merah. Ada yang membengkak tidak kurang juga ada antara kesan itu sudah bertukar kehitaman.
Tan Sri Badlisham? Automatik wajah bapa mertuanya singgah di fikiran Elman. Dia tidak menyangka lelaki itu sanggup melibas Najla dengan tali pinggang. Teruk lebam yang dialami Najla. Kalaulah dia di tempat isterinya, pasti dia tak tertanggung kesakitan itu. Tergamak seorang ayah yang berpengaruh dalam masyarakat memukul anaknya sebegini rupa. Ini dah dianggap kes dera!
“Maafkan Najla bang…..maafkan Najla….maafkan Najla….”
Entah berapa kali isterinya itu meminta maaf. Dia yakin, ayat itulah yang diucap Najla juga sewaktu dilibas Tan Sri Badlisham. Elman pejam mata. Tangannya kembali menurunkan T-Shirt Najla, menutupi belakang badan isterinya itu. Patutlah Najla ada bau minyak angin. Dia sangkakan kerana alahan kehamilan. Rupa-rupanya sebab…
Elman bingkas bangun dari katil. Tegak saja dia memandang Najla yang sudah berhenti menangis. Padam terus amarahnya pada Najla diganti rasa simpati yang menggunung.
Share this novel