Bersara!

Romance Completed 117449

BAB 53

            “ESOK aku ada sidang media. Aku harap kau boleh datang...” Kata Harry selepas menghantar aku pulang.

            “Saya akan tengok kat TV aje.” Jawabku dengan senyuman hambar.

            “Kau mesti datang! Kalau tak aku tak akan umumkan aku akan bersara.” Ugutnya.

            Aku terdiam. Wajah Harry bertukar keruh ketika ini. Beberapa jam tadi kami sangat gembira kerana seharian keluar bersama. Aku tahu, Harry sebenarnya ingin melupakan kekecewaannya. Dia sangat berat hati untuk melepaskan dunia renang begitu sahaja.

            “Saya yakin awak boleh buat...” Aku menepuk bahunya. Memberi sedikit semangat.

            Tanpa sempat aku menyambung kata-kataku, Harry menarik aku dalam pelukannya. Dia meletakkan dagunya di bahuku. Aku menepuk belakangnya perlahan.

            “Aku sangat berat hati...” Luah Harry perlahan. Harry memejam matanya rapat. Sungguh sukar untuknya melepaskan perkara yang disukai. Sukan renang seperti sudah sebati dengan jiwanya.

            “Sabarlah... saya kan ada.” Kataku menahan sebak.

            Ketika Harry ingin meleraikan pelukan, aku memeluknya lebih erat. Harry kehairanan, tetapi dia membiarkan sahaja aku yang terus memeluknya erat. Seperti tidak mahu melepaskannya.

            ‘Selamat tinggal Harry...’ luahku dalam hati. Aku memejam mata dengan rapat menahan dari menumpahkan air mata di saat-saat begini.

            Apabila aku melangkah masuk ke dalam rumah lututku terasa lemah sehingga aku terduduk di belakang pintu. Aku menangis sambil menekup mulutku, badanku menggigil kerana menahan tangisan. Aku tidak sanggup meninggalkannya... macam mana ni? Apa harus aku lakukan?

            Aku menggagahkan diri mencapai telefon bimbit yang berbunyi minta diangkat. Aku menekup mulut kerana bimbang suara tangisanku yang masih tidak henti itu didengari.

            “Cik Aya.” Sapa satu suara yang aku cukup kenali.

            “Ya, Hanna...” Aku cuba mengawal suaraku. Tetapi air mata aku tetap mengalir membasahi kedua belah pipi.

            “Esok kan Cik Aya akan berangkat?” Soal Hanna lembut.

            “Hanna...” Aku terus melepaskan tangisan yang tidak tertanggung.

            “Kenapa Cik Aya? Kenapa ni?” Tanya hanya bertalu-talu. Nada suaranya sangat risau.

            “Macam ni Hanna... macam mana? Saya rasa sangat sakit...” Aku menekan dadaku yang terasa pedih.

            “Cik Aya...” Hanna turut menangis.

            “Saya sangat sayangkan Harry... macam mana saya nak tinggalkannya. Macam mana Hanna?” Aku meraung di situ juga.

            “Cik Aya jangan macam ni...” Hanna tidak dapat menahan sebak.

            “Saya sangat sayangkan Harry...” aku tidak mampu menahan perasaan ini lagi. Aku tidak pernah merasai sekecewa ini. Kenapa mesti aku jatuh kasih kepada orang yang salah? Mengapa aku terasa sungguh tersiksa seperti ini. Ya, Allah...

            “Saya juga merayu Cik Aya jangan tinggalkan tuan muda. Tolonglah Cik Aya... “

            “Hanna... jaga diri baik-baik. Jaga Villa Taylor baik-baik. Rose Garden juga... dan tolong jagakan tuan muda...”

            Aku hanya kedengaran suara tangisan Hanna di hujung talian. Kemudian aku memutuskan panggilan kerana aku tidak mampu berkata-kata lagi. Hanya air mataku mengalir tanpa henti...

**********

            Villa Taylor menjadi sunyi sepi apabila ketiadaan ahli keluarga Taylor yang duduk mendiami. Hanna melangkah longlai ketika menuruni anak tangga. Matanya masih merah kerana menangis sedih. Dia sangat sedih dengan kisah cinta tidak kesampaian antara tuan mudanya dan gadis pilihan hati.

            “Kita kena berkumpul segera!” Natasha tiba-tiba muncul dari arah belakangnya. Dia menarik tangan Hanna supaya menuruni anak tangga dengan lebih pantas.

            “Kenapa, Tasya?!” Soal Hanna yang kebingungan.

            “Madam Laura dalam perjalanan ke sini! Dia dah hampir sampai!” Natasya kelam kabut. “Puan Sara suruh kita bersedia menyambutnya.”

            Kereta mewah Rolls Royce berhenti di depan pintu utama Villa Taylor. Hanna berdebar apabila melihat seorang wanita keluar dari kenderaan tersebut dan berjalan masuk ke dalam rumah agam itu.

            Mereka berbaris panjang menyambut kedatangan puan besar keluarga Taylor itu. Walaupun usianya semakin meningkat kejelitaan tidak pernah terjejas. Kedatangannya mengejutkan mereka semua, kerana wanita itu jarang sekali pulang ke Malaysia jika tiada sebab-sebab tertentu.

            “Saya pulang kerana ingin menjemput tuan muda kalian ke Jepun selepas dia umumkan persaraannya.” Ujar Laura sambil tersenyum kepada semua pekerja Villa Taylor. Ramai yang tergamam kerana tidak menyangka secepat itu tuan muda mereka akan meninggalkan Malaysia. Selepas ini rumah itu akan lebih sunyi. Masing-masing menunjukkan wajah sedih terutamanya Hanna.

 *********** 

            Pagi-pagi lagi aku sudah tiba di rumah Harry. Sudah agak lama aku tidak ke sini dan ini adalah kali yang terakhir. Aku menarik nafas panjang sebelum membuka pintu rumahnya dengan kunci pendua. Aku melangkah masuk dan menukar kasutku dengan kasut yang disedediakan untuk dipakai di dalam rumah. Kasut khas untuk aku berbentuk hati yang berwarna pink. Aku yang beli sendiri suatu masa dahulu. Lama aku memandang kasut yang sudah berada di kaki aku itu. Aku tersenyum pahit.

            Aku lihat TV terpasang lalu aku mendekati ruang sofa panjang dan Harry tertidur di sofa itu dengan berkain pelikat dan baju melayu. Nampaknya dia bangun subuh dan terus menonton TV tetapi tertidur pula. Teka aku sendirian. Wajah Harry bersih ketika tidur, rambutnya juga masih basah kesan air sembahyang yang masih bersisa. Air mata aku hampir menitis di situ. Akhirnya aku membuat keputusan untuk ke dapur bagi menyiapkan sarapan untuknya buat kali terakhir.

            Dalam 30 minit aku sudah menyiapkan sarapan pagi yang ringkas untuknya. Aku menjenguk ke ruang tamu, Harry masih belum terjaga. Aku menghampirinya.

            “Awak...” Panggilku dengan lembut.

            Harry membuka mata dengan perlahan. Dia memandang aku. Aku cuba memberi senyuman yang terbaik. Harry bangun dan duduk menyandar sambil menggosok ke dua matanya.

            “Saya datang buatkan sarapan untuk awak...” Aku tersenyum. Tetapi senyuman aku mati apabila aku terlihat pingat emas Olimpiknya yang terjatuh dari badannya ketika dia bangun sebentar tadi. Harry cepat-cepat mengambil pingatnya dan berdehem beberapa kali.

            “Aku pergi mandi dulu. Lepas tu aku makan.” Kata Harry lalu bangun berdiri.

            “Awak...” Panggilku perlahan. Aku ternampak matanya sedikit bengkak. Dia menangis sepanjang malamkah?

            “Seluruh rakyat Malaysia akan mengingati jasa awak... walaupun awak tidak lagi berenang. Nama awak tetap terpahat di hati mereka.”

            Harry menunduk sedikit dengan melepaskan nafas yang lembut. “Cita-cita aku sudah tercapai. Aku sudah berjaya mendapat emas Olimpik pertama negara. Jadi, aku sudah berpuas hati. Janganlah risau.” Kata Harry sambil tersenyum.

            Aku mengangguk pantas. “Saya percaya awak boleh...” Aku cuba memberinya semangat walaupun aku sendiri hampir tumbang.

            “Selagi kau berada di sisi aku... aku tak perlukan perkara lain. Termasuklah ni...” Kata Harry sambil menunjukkan pingatnya.

            Aku menelan liur yang terasa pahit sepahit pahitnya.

            “Aku masuk bilik dulu...” Katanya perlahan. Sempat Harry menyentuh kepala aku dengan penuh kasih.

            Ketika Harry sudah menghilang ke dalam biliknya, aku terus meletakkan tangan kanan di dada kiri. “Sabarlah Aya... kau boleh. Jangan menangis depan dia. Tolonglah... aku merayu pada kau wahai jantung. Tolonglah membantu aku bernafas dengan baik!” Aku menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan.

            Hampir satu jam aku menunggu di ruang tamu akhirnya Harry keluar dengan berpakaian formal. Dia sungguh kelihatan segak setiap kali berpakaian seperti itu. Bau wangi yang terbit dari tubuhnya semerbak dan aku menyenangi wangian itu. Harry berjalan menghampiri aku.

            “Macam mana?” Soalnya meminta komenku terhadap penampilannya.

            “Macam bos kongsi gelap. Boleh tahan.” Aku sengaja mengejeknya sambil ketawa.

            Harry mengecilkan matanya merenung aku dengan tidak puas hati.

            “Gurau ajelah. Awak memang handsome sangat hari ni. Mesti menangis semua peminat awak sampai habis tisu-tisu kat kedai.” Aku sempat bergurau.

            “Kenapa kau nampak gembira aje aku nak bersara?” Soal Harry dengan curiga.

            Eh! Aku nampak gembira sangat ke? Nampaknya aku dah terlebih berlakon.

            “Bu... bukan macam tu. Kalau awak nak tahu, sayalah orang paling sedih hari ni. Tapi saya tak boleh tunjuk kat awak. Kalau tidak, siapa yang akan bagi awak semangat...” aku sebenarnya menyampaikan kebenaran yang tersirat.

            Harry hanya tersenyum. “Aku tahu...”

            “Jom kita sarapan, lepas ni saya teman awak ke sidang media tu.” Ujarku.

**********

            Hotel Paradise menjadi pilihan Harry bagi mengadakan sidang media untuk mengumumkan persaraannya dari dunia sukan renang. Ketika di pintu masuk lagi sudah ramai wartawan yang menunggu untuk merakam gambarnya sehingga pengawal terpaksa mengawal Harry dengan lebih ketat. Tidak ketinggalan para peminatnya juga hadir sehingga menggamatkan lagi suasana. Aku yang terhimpit dalam kesesakan orang ramai hampir terjatuh tetapi tangan Harry lebih cepat memaut tanganku. Tanpa sesiapa sedari Harry memegang tanganku sehingga kami tiba di bilik khas untuk VIP. Di situ Harry akan membuat persediaan akhir sebelum memulakan sesi sidang media.

            Aku juga melihat individu korporat berkaitan organisai sukan turut hadir bagi memberi sokongan kepada Harry. Nampaknya mereka sudah tahu dari awal tentang persaraan Harry cuma tidak boleh dihebohkan kepada umum sebelum masa yang sesuai. Jika Harry mengumumkan persaraannya terlalu awal setelah berakhirnya sukan Olimpik maka ramai yang mungkin tidak boleh menerimanya. Hampir dua bulan Harry menyepi dari sebarang aktiviti berkaitan sukan renang dan bercuti agak panjang, barulah dia bersedia mengumumkan perkara yang penting itu.

            Harry berjalan menghampiri aku yang duduk di tempat duduk yang di sediakan di situ. Aku bangun berdiri apabila Harry sudah berdiri di hadapan aku.

            “Awak dah nak masuk?”

            “Kami sedang tunggu seseorang yang penting untuk hadir sama dalam sidang media tu. Dia belum sampai lagi. Mungkin lebih kurang satu jam lagi.” Kata Harry yang kelihatan semakin gementar.

            “Kalau macam tu saya balik dulu. Saya minta maaf, saya ada hal penting.” Aku cuba membuang rasa gugup untuk meyakinkannya.

            Dia mengerutkan dahi. “Nak ke mana?”

            “Ayah saya... saya nak jumpa ayah saya. Dia dah nak balik ke kampung. Saya akan lihat awak kat TV aje. Saya minta maaf.” Aku cuba sedaya mungkin untuk bertenang agar Harry tidak mensyaki apa-apa. Aku juga berharap alasan aku itu tidak dicurigainya.

            “Boleh ke... lepas aku selesai semua ni... kita jumpa di Adam Taylor High School?”

            Aku tidak mengangguk mahupun menjawab sepatah pun. Aku cuma sedang berperang dengan perasaan sendiri waktu itu.

            “Kau akan jumpa dengan ayah kau lama ke?” Tanyanya lagi apabila melihat kebisuan aku.

            Aku menggeleng.

            “Kalau macam tu kita jumpa kat sana nanti. Jangan lambat! Aku akan tunggu kau sampai kau datang.” Kata Harry dengan bersungguh-sungguh.

            Air mata aku mengalir juga waktu ini. Oh... hatiku tidak sekeras kerikil.

            “Kenapa ni?” Harry kelihatan risau. Dia tidak menghiraukan orang lain yang berada di bilik itu memandang ke arah kami apabila dia menyeka air mataku.

            “Sa... saya harap awak tak bersedih...” Kataku dengan tersekat-sekat. Tanganku memegang jari-jarinya yang masih menyentuh pipiku.

            Harry tersenyum. “Aku tak akan bersedih lagi. Aku dah bersedia nak lepaskan semua ni. Lagipun kau kan sentiasa ada di sisi aku.”

            “Awak kena banyak bersabar...” Kataku lagi.

            “Jangan risau. Pergilah jumpa Encik Malik. Kirim salam kat ayah awak...”

            “Saya sayangkan awak Harry...” Luahku sepenuh perasaan.

            Harry tergamam. Buat seketika dia tidak berkata apa kerana terlalu terkejut dengan luahan hatiku di tempat seperti itu.

            “Kat sini bukan masa yang sesuai.” Bisiknya sambil tersenyum. “Kita jumpa kat sana nanti.” Kata Harry. Dia melepaskan sentuhannya di pipiku.

            “Aku akan sampai sana mungkin petang sikit, sebab lepas ni ada jamuan perpisahan sikit bersama dengan VIP. Siaran sidang media ni akan disiarkan dalam berita tengahari nanti. Kau jangan lupa tengok.” Sambungnya lagi.

            “Saya pasti akan tengok.” Janjiku. Wajah aku sudah berubah sedikit pucat. Mujurlah siaran itu tidak disiarkan secara siaran langsung, kalau tidak aku mungkin tidak sempat menontonnya.

            “Kalau macam tu, hati-hati dalam perjalanan...” Harry menepuk pipi aku dengan lembut sebelum melepaskan aku pergi.

            Aku mengangguk lemah. “Saya pergi dulu.” Aku melambai ke arahnya sambil tersenyum pahit. Harry turut membalas lambaianku. Kemudian, aku mengundur selangkah lalu memusingkan badan. Langkah kakiku sangat lemah, jika ada sesiapa melanggar aku walau sedikit pasti aku akan rebah di sini juga.

            “Aku akan tunggu kau kat sana!” Kata Harry lagi dengan lebih lantang ketika aku sedang membuka pintu untuk melangkah keluar.

            Aku masih menahan sebak di dada ketika keluar dari hotel itu. Wajahku benar-benar kelat. Aku terus membuka pintu belakang teksi yang baru menurunkan penumpang di depan pintu hotel itu. Setelah memberitahu destinasi kepada pemandu itu, aku terus melepaskan segala tangisan yang membelenggu di dada.

            “Maafkan saya... tolong maafkan saya....” Aku terus menangis sekuat hati. Aku akui aku adalah manusia paling lemah apabila melibatkan soal hati. Tetapi membuat keputusan untuk meninggalkan lelaki yang dicintai adalah sesuatu yang paling sukar namun aku masih mampu melakukannya. Pemandu teksi berbangsa India itu hanya terdiam melihat aku menangis sehinggalah aku berhenti sendiri, namu mataku masih mengalirkan air mata walaupun tanpa suara. Aku menangis di dalam hati...

            Aku menyuruh pemandu teksi itu berhenti sebentar di rumah sewa aku untuk mengambil bagasi, kemudiannya aku meneruskan perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

*********

            “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam sidang media kali ini. Saya sangat menghargai kepada semua peminat-peminat dan semua orang yang menyokong saya selama ini. Saya sedar apa yang akan saya sampaikan ini akan mengcewakan semua pihak yang mengikuti perkembangan diri saya. Walaupun masih terlalu awal, saya tetap berpuas hati dengan pencapaian saya setakat ini dan sudah pun memenuhi impian saya selama ini. Oleh itu, saya perlu melepaskannya untuk menggalas tangungjawab yang lebih besar sebagai seorang pewaris tunggal keluarga saya. Saya akan bersara dari dunia sukan renang mulai hari ini...” Ujar Harry dengan tenang sambil tersenyum.

            Para wartawan jemputan terkejut dengan apa yang baru mereka dengari, maka ramai yang merakam gambarnya tidak henti-henti. Suasana menjadi riuh sebentar apabila para wartawan berebut-rebut bertanya soalan.

            “Adakah Encik Hairy bersara kerana mengalami kecederaan?”

            “Saya tidak mengalami apa-apa kecederaan.”

            “Sila menjelaskan dengan terperinci mengapa Encik Harry membuat keputusan untuk bersara?”

            “Saya akan mengambil alih perniagaan keluarga dan kontrak saya juga sudah tamat.”

            “Adakah Encik Hairy dipaksa bersara?”

            “Tidak, saya dengan rela hati kerana impian saya sebelum ini sudah tercapai.”

            “Encik Harry tidak fikir tentang nasib sukan negara kerana kehilangan atlet terbaik seperti anda?”

            “Saya yakin ramai pelapis yang akan memecah rekod baru, saya bukan satu-satunya atlet terbaik di negara ini.”

            “Adakah Encik Hairy akan berkahwin dalam masa terdekat?”

            Harry tersenyum sebelum menjawab soalan itu. “Saya hanya akan menjawab soalan mengenai persaraan saya”

            “Di mana Encik Hairy akan menetap selepas ini?”

            “Saya akan menetap di Jepun.”

            KAKI aku melekat di situ sehingga tamat siaran sidang media persaraan rasmi Harry yang ditayangkan dalam berita tengahari. Aku juga masih melihat di skrin TV walaupun berita itu sudah bertukar ke berita sukan yang lain. Ketika itu juga suasana menjadi riuh di ruang menunggu di lapangan terbang itu. Orang ramai benar-benar terkejut mendengar berita itu. Ada yang mengeluh, ada yang merungut kecewa. Peminatnya pula yang kebetulan berada di situ bising-bising membincangkan persaraan atlet kesayangan mereka itu.

            “Aku tak percaya! Kenapa dia bersara awal sangat?!”

            “Tak kan sebab dia nak kahwin? Kau ingat tak gambar yang tersebar dia dating dengan seorang perempuan tu?”

            “Bukanlah, kan dia cakap bersara sebab nak ambil alih perniagaan keluarga. Tapi, kalau sebab perempuan tu aku memang tak akan maafkan dia!”

            “Lepas ni tak dapat tengok muka Hairy Fattah lagi! Satu dalam seribu kot nak jumpa atlet handsome nak mampus macam dia kat Malaysia ni!”

            Aku mengeluh berat. Aku perlu tinggalkan tempat ini sebelum mereka mengecam aku. Aku tidak mahu cedera sebelum tiba di destinasiku. Dengan langkah yang berat aku berjalan menuju ke tepat duduk paling hujung. Air mataku akhirnya kering sehingga tidak mampu mengalir lagi.

            “Aya!!”

            Langkah aku terhenti apabila terdengar suara orang memanggilku. Aku menoleh dengan segera.

            “Aya! Betullah, Aya...” Kata lelaki itu yang sedikit tercungap-cungap kerana berlari mendapatkan aku.

            “Oh...” aku tercegat di situ. “Encik Karl...”

            Karl tersenyum sambil menarik nafas. “Saya ternampak macam Aya dari jauh tadi. Sebab tu berlari ke sini...” Wajahnya kelihatan gembira kerana tidak menyangka akan bertemu aku di sini setelah sekian lama.

            “Encik Karl apa khabar?”

            “Baik, Alhamdulillah. Er... Aya nak ke mana?” Tanya dengan hairan.

            “Kanada...” Entah kenapa laju sahaja aku memberitahu Karl destinasi yang bakal aku tujui walaupun aku sepatutnya merahsiakannya.

            “Kanada? Wow... buat apa pergi sana? Dengan siapa?” Tanya Karl dengan teruja.

            Aku hanya tersenyum. “Boleh saya minta tolong sikit...” Aku membuat permintaan dan mengelak dari menjawab soalannya. Aku juga tidak sempat bertanya ke mana Karl ingin pergi apabila melihat dia juga bersama dengan bagasi yang agak besar.

            “Sure... apa tu Aya?”

            “Kalau berjumpa dengan Cik Sallyna... tolong sampaikan salam saya kepada dia. Dan katakan yang saya minta maaf sangat kepada dia.”

            Sekali lagi Karl mengerut dahi. “Do you have problem with her?”

            “Mungkin sangat banyak...” aku tersenyum lagi. “Tolong beritahu dia ya!”

            “Nur Marhaya? Awak kat sini?”

            Aku terkejut apabila melihat seseorang sedang berjalan semakin menghampiri aku dengan wajah yang serius!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience