SUASANA di luar kelihatan sunyi sepi. Hanya ada beberapa buah kenderaan sahaja yang lalu di hadapan restoran ketika ini. Mungkin kerana hari sudah pun menginjak lewat malam.
Pada ketika ini, Najwa sedang sibuk mengemas meja makan, yang ditinggalkan pelanggan yang terakhir tadi. Beberapa orang pekerja yang lain, sudah pun pulang.
Beberapa kali juga Najwa menguap. Mungkin kerana dia tidak cukup tidur malam tadi. Walaupun begitu, tangannya masih ligat mengelap meja.
Tiba-tiba sahaja telefon bimbitnya berdering. Kelam kabut Najwa mengeluarkan telefon bimbitnya dari kocek seluar. Di permukaan skrin, tertera nama Hafiz. Siapa lagi, kalau bukan kekasih hatinya. Tersenyum lebar Najwa ketika ini, apabila menerima panggilan daripada lelaki itu.
“Helo, Assalammualaikum,” ucap Najwa, sambil melabuhkan punggungnya di kerusi.
“Awak dah lupa ke?” soal Hafiz mendatar di hujung talian.
Berkerut dahi Najwa ketika ini. Apa yang dia sudah lupa? “Err, lupa apa awak? Saya tak faham.”
Kedengaran decitan halus dihujung talian. “Duitlah. Kan, awak dah janji dengan saya petang tadi? Dari tadi saya buka tutup Maybank2u saya ni, langsung tak nampak bayang duitnya.”
Najwa menepuk dahinya. Bagaimana pula dia boleh terlupa? “Hafiz, maafkan saya. Saya benar-benar terlupa sebenarnya. Lagipun saya busy hari ini. Customer tak henti-henti datang ke restoran. Sebab itulah, saya terlupa nak transfer duit dekat awak. Dan saya juga buat overtime hari ini.”
Najwa memang tidak ingat langsung akan wang yang sepatutnya dia pindahkan ke dalam akaun Hafiz hari ini. Dan dia bukannya sengaja, tetapi dia benar-benar lupa.
“Awak memang buat-buat lupa, kan? Saya ni tak terhegeh-hegehlah nak duit awak tu. Awak tu yang beria-ia nak bagi saya. Sekarang ni awak lupa pula? Kalau tak nak bagi, cakap. Tak adalah saya ni macam orang bodoh tunggu aje, dari petang tadi. Awak tahu tak, saya ni tak makan langsung? Saya lapar, awak tahu tak?” bebel Hafiz.
“Ya Allah awak, saya betul-betul minta maaf. Saya memang tak ingat langsung. Tapi kenapa awak nak marah-marah saya pula ni? Saya bukannya sengaja tak nak bagi. Selama ni pun saya bagi, kan? Bukannya saya tak bagi.”
“Sekarang ni awak nak bagi ke tak nak?” Hafiz seakan tidak mahu melayan, kata-kata Najwa tadi.
“Ya, saya akan bagi. Tapi saya tak sukalah awak marah-marah saya macam ni. Dulu awak tak ada pula nak marah-marah saya sangat.”
“Saya ni stress. Dan lagi beberapa hari aje nak exam. Saya bukannya sengaja nak marah awak.”
Najwa terdiam seketika. Perlukah dia lupakan sahaja? Sebenarnya jawapan yang diberikan Hafiz tadi, langsung tidak menggembirakan hatinya. Disebabkan tidak mahu berbalah, Najwa terus membuang rajuknya jauh-jauh.
“Hmm, tak apalah. Awak tunggu sekejap, saya transfer ya?”
“Saya tahu, saya ni tak bekerja. Saya dah selalu sangat menyusahkan awak. Kalau saya bekerja, saya tak akan minta duit dekat awak. Ni sebab saya tengah belajar, jadi saya terpaksa tebalkan wajah saya minta duit daripada awak. Awak tahukan? Saya sambung belajar ni, sebab saya nak kerja bagus. Bila saya dah kerja bagus, saya dah boleh kahwin dengan awak. Awak juga yang senang nanti,” sambung Hafiz lagi.
Rasa bersalah mula menyerbu dalam diri Najwa. Ya, dia sepatutnya faham dengan keadaan Hafiz. “Ya awak, saya tahu. Saya betul-betul minta maaf. Awak tunggu kejap ya? Saya transfer sekarang juga ya?”
“Hmm, okey.” Talian terus sahaja ditamatkan.
Terdiam Najwa ketika ini. Kekasihnya menamatkan panggilan dengan begitu sahaja? Langsung tiada ucapan terima kasih? Ataupun memberi salam?
“Eh, Awa. Kau masih berkemas lagi ke? Orang lain dah balik, kau masih dekat sini?” tegur Sasha dari arah belakang. Apron dibuka, lalu diletakkan di atas meja. Sasha merupakan sahabat baik Najwa sejak dari mereka sekolah rendah lagi. Dan mereka juga dari satu kampung.
Najwa berpaling ke arah Sasha. “Aku nak baliklah ni. Tunggu kejap, bagi aku kemas meja sikit aje lagi. Tapi aku kena transfer duit dulu dekat Hafiz. Kau siap-siaplah apa yang patut.”
“Transfer duit? Aku tengok makin menjadi-jadi si Hafiz tu? Asyik minta duit aje. Kau jangan nak lembut hati sangat Awa.” Sasha menyilangkan kedua-dua tangannya ke dada. Lagaknya benar-benar tidak berpuas hati.
“Diakan tengah study. Kalau bukan aku, siapa lagi yang nak tolong? Family dia pun bukannya orang senang.” Najwa sedang memindahkan wang sebanyak RM100 ke dalam akaun kekasihnya Hafiz. Duit di dalam akaunnya juga tidak begitu banyak yang tinggal. Nasib baiklah lusa nanti, dia akan menerima wang gajinya.
“Habis tu, family kau bukan orang senang juga, kan? Pagi mak kau menoreh. Malam pula jual burger. Ayah kau pula? Dah dekat setahun dekat pusat serenti sekarang ni. Siapa lagi yang nak tanggung adik dan mak kau? Sepatutnya kau bagi duit pada mak kau, dan bukannya pada Hafiz. Kalau sekarang ni kau dah mula bagi duit dekat dia, tak mustahil kahwin nanti, kau juga yang tanggung dia.”
Najwa mengeluh perlahan. Adakah dia bodoh, kerana begitu mempercayai Hafiz? Dia begitu menyayangi lelaki itu. Hafiz adalah cinta pertamanya. Mereka bercinta sejak dari tingkatan empat lagi. Lebih-lebih lagi, hanya Hafiz sahaja yang lulus peperiksaan SPM. Dan tidak bagi Najwa, yang hanya sekadar cukup makan sahaja.
Dan disebabkan itu jugalah, Hafiz mahu menyambung pelajarannya ke universiti. Dia tahu, Hafiz bukan saja-saja mahu meminta wang daripadanya. Lagipun, memang dia rela mahu memberikan wang kepada lelaki itu. Itu juga salah satu bukti cinta dah kasih sayangnya terhadap Hafiz.
Setelah Hafiz terpilih untuk menyambung pelajarannya di universiti di Shah Alam, Najwa dan Sasha pula, mula berhijrah ke Kuala Lumpur, dan bekerja di sebuah restoran yang tidak jauh dari pusat bandaraya.
Dan setiap hari minggu juga, jika Najwa bercuti, dia akan ke Shah Alam untuk berjumpa dengan Hafiz. Dan dia juga tidak kisah, jika dia perlu ke sana untuk berjumpa dengan kekasihnya itu.
Sasha perasankan Najwa yang dari tadi diam membisu. Mungkin dia telah melukakan hati rakan baiknya itu. “Eh, Awa. Aku tak balik rumah tau, malam ni.”
“Ha? Kenapa? Kau nak pergi mana pula?” Najwa tersedar dari lamunan.
“Kau ni pun, buat-buat tak faham pula. Aku macam biasalah, tidur rumah boyfriend aku. Esokkan aku off?” Riak wajah Sasha langsung tiada rasa malu. Baginya perkara seperti itu sudah menjadi kebiasaan untuk dirinya.
Najwa menggeleng perlahan. Sudah tidak tahu lagi, bagaimana cara untuk dia menegur sikap rakan baiknya itu. Bukannya dia tidak pernah menasihati Sasha, tetapi sudah berkali-kali. Ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Sejak mereka ke Kuala Lumpur, Sasha sudah semakin berubah, sejak berkenalan dengan seorang lelaki, yang bernama Imran. Padahal hubungan Sasha dengan Imran baru sahaja masuk enam bulan. Bagaimana Sasha begitu mempercayai Imran dengan begitu singkat? Sehinggakan Sasha tanpa segan silu tidur di rumah lelaki yang bukan mahramnya. Dan sekarang ini juga, Sasha sudah pandai menghisap rokok. Dan tudung pula, sudah lama tidak tersarung di kepalanya.
“Sha, kau dah semakin hanyut sekarang ni. Tak eloklah. Kau dengan Imran tak halal lagi. Jangan tambah dosa. Kalau macam tu, lebih baik kau nikah aje dengan Imran tu. Daripada kau buat dosa macam ni.”
“Alah, kau ni Najwa, Relax la. Aku bukannya tidur satu bilik dengan dia pun. Kita orang tidur bilik asinglah. Aku tahulah, nak jaga batas aku macam mana. Kau tak payahlah nak sibuk hal aku sangat. Sekurang-kurangnya aku tak bawa masuk boyfriend aku ke rumah kita, sebab aku masih hormatkan kau. Kau jaga aje Hafiz tu. Aku pula jaga Imran.” Sasha mendengus kasar. Dia semakin menyampah dengan nasihat daripada rakan baiknya itu. Kalau bukan disebabkan Najwa adalah rakan baiknya, sudah lama dia berambus dari rumah sewa mereka.
“Tapi Sha, aku sebagai kawan, aku perlu...”
“Sudahlah Awa. Aku tak nak dengarlah kau membebel. Kau pun apa kurangnya, bagi duit dekat kekasih kau juga, yang belum tentu jadi suami. Dah, aku malas nak bergaduh dengan kau ni. Imran dah tunggu aku dekat luar tu. Aku balik dulu. Lupa nak cakap, telur dekat rumah dah habis. Nanti kau balik, singgahlah pergi beli. Aku tahu, kau pagi-pagi mesti nak breakfast telur dengan roti, kan? Aku dah termakan tengah hari tadi. Sorry. Okeylah, aku balik dulu.”
Sasha terus mencapai beg sandangnya lalu berjalan keluar dari restoran, dan meninggalkan Najwa yang masih terkebil-kebil memandangnya. Malas dia mahu mendengar rakannya itu membebel. Nak tunjuk baiklah konon. Padahal lemah juga dengan lelaki. Dan sanggup berhabis wang pada lelaki, yang belum tentu akan dijadikan suami.
Najwa hanya memandang Sasha yang sudah berjalan keluar dari restoran. Aku tak nak kau semakin hanyut Sha...
Salahkah dia sebagai rakan, menasihati rakan baiknya itu? Dan sejak dua bulan ini juga, dia sudah tidak begitu mengenali Sasha. Najwa benar-benar rindukan Sasha yang dulu.
Matanya tidak lepas memandang Sasha yang sudah pun membonceng motosikal milik Imran. Tidak lama kemudian, pasangan kekasih tersebut, perlahan-lahan menghilang dari pandangannya.
Najwa ingat lagi, di mana Sasha sudah memberikannya amaran, supaya tidak memberitahu keluarganya di kampung. Jika Najwa memungkiri janji, persahabatan mereka yang terjalin sejak dari sekolah rendah, akan putus begitu sahaja. Najwa benar-benar tersepit.
“Eh, Najwa, tak balik lagi ke?” tegur Encik Azhar yang merupakan pengurus di restoran Najwa bekerja.
“Eh, Encik Azhar. Kejap lagi saya balik. Tengah lap meja ni, and then nak susun kerusi pula. Sikit aje lagi.”
“Sudahlah, pergilah balik. Dah pukul berapa dah ni? Bahaya awak balik sorang-sorang macam ni. Kerusi tu, biar saya ajelah yang susun. Awak balik aje dulu,” kata Encik Azhar lagi.
“Tapi... itu kerja saya encik. Takkan encik pula yang nak susun?” Najwa menggigit bibir. Takkan pula dia mahu membiarkan lelaki ini mengemas restoran?
“Tak kisahlah kerja siapa pun. Saya tak nak apa-apa jadi dekat awak. Bahaya lewat malam macam ni baru nak balik. Dengan awak pun bawa motor. Tak ada ke boyfriend awak datang ambil?”
Najwa tersenyum kelat. “Boyfriend saya study dekat Shah Alam. Memang jauh kalau dia nak datang ke sini ambil saya. Kalau dia dekat pun, dia tak ada kenderaan. Maklumlah student, kan?”
“Lah, iya ke? Ha, sudahlah. Pergilah balik. Dah lewat dah ni.”
“Baiklah, kalau dah encik suruh saya balik, saya balik ajelah ya?”
“Ha, ya. Baliklah. Elok-elok bawa motor tu.” Encik Azhar mengukirkan sedikit senyuman.
Najwa mengangguk sedikit. Beg silang diambil dari bawah kaunter, lalu dia berjalan keluar dari restoran tersebut, dan menuju ke motosikalnya.
Setelah Najwa memindahkan wang kepada Hafiz tadi, kekasihnya itu terus sahaja senyap. Tidak mahukah Hafiz mengucapkan terima kasih kepadanya? Dan sejak akhir-akhir ini juga, Hafiz semakin berubah. Tiada lagi pesanan mesej sebelum tidur. Dan tiada lagi panggilan di setiap pagi.
Kenapa awak macam dah berubah sekarang ni Hafiz? Ada apa-apa yang saya tak tahu ke? Bodoh ke saya, sebab terlalu percayakan awak? Ataupun awak memang sibuk sekarang ni? Najwa mula berteka-teki.
“Najwa!” panggil Encik Azhar.
Najwa berpaling ke arah lelaki itu.
“Elok-elok bawa motor tu. Jangan laju sangat. Lewat-lewat malam ni, banyak anjing liar.”
Najwa tersenyum. “Baik encik! Terima kasih.”
Encik Azhar angguk sedikit, sambil menyambung menyusun kerusi yang sepatutnya disusun Najwa tadi.
Najwa, terus menyarungkan topi kaledarnya di kepala. Enjin motosikal jenis Honda Wave dihidupkan. Sebelum Najwa meninggalkan kawasan itu, sempat juga dia mengerling ke arah Encik Azhar semula. Lelaki itu sedang sibuk bercakap di telefon ketika ini. Dengan siapakah dia bercakap? Bukankah tadi dia menyusun kerusi? Mungkin sedang bercakap dengan kekasih?
Bertuah kekasih dia dapat Encik Azhar. Aku ni? Makan hati aje sekarang ni. Ah, sudahlah. Malas nak fikir lagi. Lebih baik aku balik aje.
Najwa terus sahaja memulas minyak motosikalnya, lalu meninggalkan kawasan restoran tersebut. Sebelum pulang ke rumah, Najwa sudah terfikir mahu singgah di kedai serbaneka untuk membeli telur dan juga roti.
Assalammualaikum, maaf. Lupa nak beritahu, novel ni versi unlock chapter ya. Prolog - Bab 3 bacaan percuma. Masuk Bab 4, perlukan Ncoins untuk bacaan seterusnya.
Share this novel
abende siot kene bayar