BAB 3 - DUNIA BARU

Romance Series 9004

BUNYI deruman kereta dan hon berselang-seli di luar tingkap. Zulaikha hanya merenung ke depan, tangan memegang stereng dengan longgar. Kotak coklat berisi beberapa dokumen projek dan barang peribadi diletak di tempat duduk belakang.

Dia tarik nafas panjang. Perlahan.

Masih ada urusan yang belum selesai di pejabat lamanya. Ada projek yang belum diserah betul-betul. Ada nama yang masih tertera sebagai “Lead Architect” di fail induk. Dia perlu selesaikan semua itu, tutup pintu dengan baik. Bukan untuk siapa-siapa. Untuk dirinya.

Tapi saat itu juga telefonnya bergetar.

Skrin menyala terang di dashboard keretanya. Satu nama terpampang.

-BIAWAK KOMODO-
Aku ambik cuti seminggu. Kau rindu aku tak?

Dia ketap bibir. Tak perlu fikir dua kali, telefonnya dihempas ke tempat duduk penumpang.

"Semak." Getusnya perlahan.

"Cuti pun nak lapor? Aku nak suruh kau jangan balik terus pun ada!"

Nafasnya naik turun. Dada terasa sesak walau pendingin hawa pada suhu 19°C. Sudah lama dia tidak dengar khabar tentang lelaki itu. Hari ini tiba-tiba muncul. Dekat mana dia sekarang pun, Zulaikha tidak pernah ambik tahu. Kerana baginya, dia sudah lama ‘Menang.’
Dia tahu Emir tak akan berhenti. Tak pernah benar-benar berundur. Lelaki itu suka ganggu waktunya, muncul tanpa diundang, lenyap tanpa salam. Entah apa niat lelaki itu, dia lansung tak mahu ambil pusing.

Kadang-kadang dia fikir, Emir pun tahu yang dia menyakitkan hati. ‘ANNOYING!’

"Kalau tak sebab Walid dan Ummi..." Suaranya perlahan, menggantung di tengah udara. Dia tahu cuma mulutnya yang setuju dengan semua cadangan Walid dan Ummi. Namun hatinya tidak ikhlas sepenuhnya.

Dia genggam stereng lebih kuat. Matanya merah, tapi masih kering.

Kereta terus meluncur ke arah bangunan pejabat ZR & Partners.

Dan jauh dalam hati, dia tahu dia tak hanya tinggalkan kerjaya… dia sedang lari daripada sesuatu yang dia tak mahu hadapi.

Bukan kerjaya.
Bukan tanggungjawab.
Tapi seseorang.

PINTU kaca terbuka perlahan. Pejabat ZR & Partners tenang seperti selalu.
Langkah Zulaikha masuk, penuh tenang tapi jiwanya bergelora.

Seketika, deruan bunyi papan kekunci, bunyi kerusi berpusing, dan derap kasut tumit perlahan-lahan terhenti.

Satu demi satu wajah memandangnya.
Ada yang tersenyum.
Ada yang mengangguk perlahan.
Ada yang berdiri, seolah-olah tak percaya.

"Cik Zuzu…"

Suaranya datang dari meja paling hujung. Aimi, arkitek junior yang pernah dibimbing Zulaikha untuk projek pertama di Shah Alam.

Aimi berjalan mendekat. Matanya sudah berkaca.

"Kami ingat Cik Zuzu takkan datang dah."

Zulaikha senyum nipis. Dia angguk.

"Datang untuk selesaikan yang belum selesai. Jangan risau, semua akan disusun baik-baik."

"Tapi Cik Zuzu.. betul ke Cik Zuzu nak pergi macam ni saja…" suara seorang lagi mencelah. Ariff, yang paling petah, paling lantang bila berdepan klien — tapi sekarang, suaranya serak.

"Cik Zuzu mentor kami. Inspirasi kami. Kalau bukan sebab Cik Zuzu, saya dah berhenti dua tahun lepas."

Zulaikha terdiam.

"Dulu saya bodoh, Cik Zuzu. Masa saya buat salah besar dalam lukisan teknikal projek MRT, semua orang hentam saya. Tapi Cik Zuzu ambil saya, duduk sama-sama tengah malam. Betulkan satu-satu. Siapa yang buat macam tu?" suara Aimi mula bergetar.

Zulaikha tunduk. Nafasnya berat. Hatinya… seperti koyak dalam diam.

"Tiap kali saya rasa tak cukup bagus jadi arkitek perempuan, saya tengok Cik Zuzu. Cik Zuzu tak pernah marah. Cik Zuzu tegas, tapi lembut. Kuat, tapi tak pernah tinggi suara. Cik Zuzu buktikan kita boleh jadi siapa pun, walau kita perempuan, walau kita diam, walau kita luka."

"Dan sekarang Cik Zuzu tinggalkan semua ni… macam tu saja?"

Zulaikha angkat wajah.

Matanya sudah basah. Tapi dia senyum juga.
Senyum yang pahit, tapi penuh cinta.

"Sebab itu… sebab semua yang kamu sebutkan itulah… saya tahu saya tak rugi bila pergi."

"Saya nak bantu orang, Aimi. Saya nak kembali belajar tentang manusia. Tentang luka dan sembuh. Tentang hidup yang tak hanya tentang bangunan dan pelan tanah."

Dia tunduk. Menghela nafas.

"Saya tak pernah menyesal jadi arkitek. Tapi saya akan menyesal… kalau tak ikut apa yang hati saya bisik."

Aimi menangis teresak kecil. Ariff tunduk, sapu air mata dengan belakang tangan.

Di saat itu, suasana pejabat menjadi sunyi.

Zulaikha peluk Aimi. Kemas dan erat.
Seperti memeluk kenangan yang tidak akan pernah padam. Kemudian menepuk lembut bahu Ariff, yang sudah dianggap seperti adiknya.

Dia kemudian melangkah ke Bilik Mesyuarat Utama, ZR & Partners. Meninggalkan seketika mereka dengan suasana penuh emosi.

Zulaikha duduk di hadapan meja panjang kayu walnut yang selama ini menyaksikan perbincangan bernas, ketegangan deadline, dan gelak tawa pasukan.

Di hadapannya, duduk Tuan Malek, Pengarah Urusan yang tenang dan strategik. Di sebelahnya, Encik Fuad, arkitek kanan yang juga mentornya sewaktu mula-mula masuk ke firma ini hampir lima tahun dahulu.

Dokumen ‘resignation’ diletakkan di atas meja.. sudah ditandatangani dan sah.

Tuan Malek renung kertas itu lama, sebelum angkat wajah memandang Zulaikha.

"Zulaikha… Saya tak tahu nak cakap apa. You are one of the most promising young architects we’ve ever had."

Zulaikha tunduk, tersenyum nipis.

Encik Fuad angkat tangan, berpeluk tubuh.

"Tapi diploma kejururawatan, Zuzu? Really? You just let go of your future like this?"

Nada suaranya keras, tapi wajahnya cemas. Ada kasih di sebalik kekesalan. Masih mengulang ayat yang dulu.

Zulaikha diam sebentar.

"Saya tahu, Encik Fuad. Saya bukan budak-budak lagi. Saya tahu nilai kerja saya di sini, dan saya hargai segalanya. Tapi saya… saya perlu buat sesuatu yang lebih dari diri saya sendiri. Sesuatu yang boleh disentuh, bukan sekadar dilihat."

"You can still touch lives here. You design hospitals. Clinics. Shelters—"

"Tapi saya tak nak reka tempat orang sembuh. Saya nak ada di situ, Encik Fuad. Pegang tangan orang yang sakit. Sapu peluh mereka. Jaga mereka macam saya jaga Walid saya."

Suasana bilik sunyi.

Tuan Malek bangun perlahan. Lelaki pertengahan usia itu menatap wajah Zulaikha seperti seorang ayah yang sedang melepaskan anak perempuannya ke dunia baru.

"Kalau satu hari nanti... awak rasa nak datang semula, Zulaikha, pejabat ni akan sentiasa terbuka. Meja awak, komputer awak... tak akan ada siapa yang duduk di situ."

Nada suaranya tenang, tapi ada getar yang hanya mereka berdua faham.

Zulaikha senyum. Senyum yang menyembunyikan berlapis emosi.. antara syukur dan terharu. Syukur dihargai dan terharu kerana disayangi.

"Tuan terlalu baik pada saya. Saya tak tahu macam mana nak balas..."

Tuan Malek hanya menggeleng perlahan. Pandangannya tetap memaut ke wajah gadis itu. Dia tahu Zulaikha tidak pernah meminta simpati. Tidak pernah mengharapkan layanan istimewa. Tapi dari hari pertama dia masuk ke firma ini, Tuan Malek sudah tahu, gadis itu bukan gadis biasa.

Dan jauh di sudut hatinya, Tuan Malek pernah menyimpan hasrat yang tidak pernah diluahkan secara terus. Pernah dia berkias dengan Zulaikha, melamarnya menjadi menantu. Tapi gadis itu menolak dengan halus dan hormat. Katanya belum bersedia.

"Saya doakan jalan awak terang, Zulaikha. Tak kira di mana awak melangkah, saya pasti awak akan beri cahaya."

Zulaikha mengangguk. Suaranya perlahan, tapi penuh makna.

"Saya takkan lupa tempat ni, Tuan. Tempat saya belajar jadi manusia."

Dan bila Zulaikha melangkah keluar dari bilik itu, dia tahu, walau bangunan tinggi mana pun pernah dia rancang, bangunan perasaan dan penghargaan inilah yang paling kukuh terpahat dalam dirinya.

Zulaikha melangkah keluar dari bilik Tuan Malek dengan kotak kecil di tangan. Setiap pasang mata yang memandangnya bukan sekadar mata seorang staf kepada senior mereka, tapi mata-mata yang pernah belajar, tertolong, dan terinspirasi oleh seorang Zulaikha.

Beberapa orang datang menghampiri. Ada yang bersalaman, ada yang sekadar tersenyum dan mengangguk, tapi semuanya berat.

“Cik Zuzu…” sapa Aida dari bahagian teknikal dengan nada manja. “Nanti kalau saya sakit, cucuk pelan-pelan ya… Jangan macam ketuk paku tu.”

Mereka ketawa kecil. Zulaikha ketawa juga, tapi matanya bergenang.

“Cik Zulaikha, kalau saya pengsan dalam LRT, boleh datang kejutkan saya dengan CPR?” usik Syafiq, si intern yang selalu kena marah sebab silap ukuran.

“Saya tak janji nak kejut hidup-hidup,” balas Zulaikha sambil mencubit lengan baju Syafiq, membuatkan semua meletus ketawa lagi.

“Lepas ni bila awak datang Kota Damansara, ingatlah kami kat sini ya…” kata Suraya, perlahan, hampir berbisik.

Zulaikha tidak mampu menjawab. Dia hanya mengangguk. Perlahan.

Kotak di tangannya terasa makin berat. Tapi langkahnya harus diteruskan.

Sebelum keluar dari pintu pejabat, dia menoleh buat kali terakhir. Setiap wajah, setiap meja, setiap fail yang tersusun rapi.. semuanya pernah menjadi sebahagian daripada dunianya.

Zulaikha menarik nafas panjang.

Dalam hatinya dia berbisik, “Bangunan yang paling indah bukan yang berdiri di atas tanah, tapi yang terbina dari kasih, dari pilihan yang jujur… dari keberanian untuk bermula semula.”

Langkahnya makin laju menuju lif. Meninggalkan satu dunia, untuk mencipta dunia yang baru

MENTARI pagi merangkak naik perlahan, menyaring kehangatan melalui sela-sela dedaun di halaman hadapan Kolej Kejururawatan Kubang Kerian. Pagi itu tenang, namun di dada Zulaikha, degupnya sedikit bergetar.

Dia melangkah masuk ke perkarangan kolej dengan langkah sederhana, tidak tergesa, tidak juga ragu. Baju kurung cotton warna pastel yang disarungnya ringkas, namun kemas. Tudung bawal polos dililit sederhana, membingkai wajahnya yang bersih tanpa solekan.
Di wajah itu, tersimpan tenang seorang wanita yang menyimpan banyak cerita namun dari mata kasar, dia kelihatan seperti pelajar belasan tahun, bukan seorang bekas arkitek berpengalaman yang pernah menongkah dunia profesional.

Hari ini, dia perlu buang segala kedudukannya yang dulu. Pangkat dan jawatannya. Hari ini sudah bermula dunia barunya.

Ingatannya kembali kepada sesi interview tiga bulan lepas.

Bilik kecil berhawa dingin. Di hadapannya duduk tiga panel penemuduga. Salah seorangnya, seorang wanita berusia lewat 40-an, beruniform biru gelap, bertanda nama Ketua Jururawat, KJ Hasniza.

"Kamu bekas arkitek?"

Zulaikha angguk, yakin.

"CGPA awak tinggi. Ada pengalaman pengurusan. Pernah mengetuai projek. Kamu pasti mahu tinggalkan dunia itu… dan masuk ke dunia ini? Dunia jururawat bukan glamor. Kadang-kadang... lebih banyak dipandang sebelah mata daripada dihargai. Kamu dah sedia?"

Zulaikha tidak menjawab dengan segera. Dia membetulkan duduknya, sebelum bersuara perlahan, tapi cukup mantap untuk menggugurkan semua keraguan.

“Saya tak tinggalkan dunia lama kerana saya gagal. Saya tinggalkan kerana saya mahu jadi sebahagian dari sesuatu yang lebih besar. Arkitek membina bangunan. Tapi jururawat... menyentuh jiwa manusia. Itu lebih agung.”

Panel terdiam. Hanya anggukan perlahan dan nota ditulis di kertas. Tiada pujian. Tapi Zulaikha tahu, dia sudah menyentuh sesuatu.

Kembali ke realiti hari ini, dia tersenyum nipis. Mungkin kerana jawapan itu, dia berada di sini, hari ini.

Di tangannya, fail pendaftaran berisi segala dokumen penting digenggam erat. Dalam hati, dia mengulang-ulang doa yang sama sejak beberapa minggu lalu — agar setiap langkahnya diberkati Tuhan.

Langkahnya terhenti apabila tiba di meja pendaftaran. Seorang gadis bertudung menutupi dada, rona biru tua, dengan blazer rasmi kolej, menyambutnya. Gayanya sederhana.. lembut, sopan dan berdisiplin. Wajahnya tenang seperti laut pagi.

"Assalamualaikum," ucapnya perlahan, tanpa senyum lebar namun dengan nada hormat.

"Waalaikumsalam." Zulaikha membalas, sedikit tunduk.

"Boleh saya tengok borang dan dokumen adik?" tanya gadis itu sambil menghulurkan tangan.

Adik.

Zulaikha terkedu sejenak, sebelum tersenyum perlahan. Sudah lama dia tidak dipanggil begitu. dan lebih lama lagi dia tidak merasa kecil dalam dunia yang memandangnya tinggi. Tapi pagi itu, dia rela jadi pelajar semula. Relakan egonya ditanggalkan satu persatu.

Tiada lagi ‘Cik Zuzu’.

“Ya, ini semua dokumen yang diminta.” Dia serahkan satu persatu.

Senior itu menyemak dengan teliti. Tidak ada pertanyaan remeh, tidak juga senyuman berbasa-basi. Semuanya dilakukan dengan efisien dan penuh tertib. Satu demi satu kertas disusun, kemudian ditanda dengan cop rasmi.

"Adik Zulaikha Zahim, kumpulan P1. Asrama Blok D. Nanti adik akan dibawa ke sana oleh fasilitator pelatih." Dia berhenti sejenak, sebelum memandang Zulaikha semula.

"Kalau ada apa-apa tak pasti, boleh tanya kami yang bertugas."

"Baik. Terima kasih," jawab Zulaikha, mengangguk sopan.

Dia melangkah pergi dengan senyuman yang masih bersisa di hujung bibir. Ada sesuatu yang menyentuh hatinya pagi itu. Mungkin bukan daripada layanan manusia tetapi dari ketenangan yang mula menjalar perlahan ke dalam dirinya. Hari pertama sebagai pelatih kejururawatan sudah bermula.

Dan dia tahu, tidak ada langkah ke belakang lagi.

Hiruk-pikuk di tempat pendaftaran ditinggalkan seketika. Suara petugas, derapan kasut, dan seretan beg roda pelatih baharu bergema dalam ruang legar kolej, tapi Zulaikha hanya fokus pada satu titik, kelibat sepasang insan yang sedang berdiri menanti di bawah teduhan pohon di tepi laluan masuk.

Dia cepat-cepat melangkah ke arah mereka, menyelak sedikit kain baju kurung cotton yang meleret di tumit. Tudung bawal sederhana yang digayakan ringkas tetap kemas membingkai wajah. Wajah yang kelihatan seperti remaja belasan tahun, bukan wanita pertengahan dua puluhan dengan sejarah hidup yang sudah berliku.

Kalau ikutkan hatinya, dia memang mahu datang sendiri.

“Ika dah besar, Ummi. Walid, biar Ika urus sendiri...” ayat yang berulang kali dituturkan sejak seminggu lalu.

Tapi degilnya kalah pada kehendak ayahnya yang satu itu. Zahim beria benar mahu menghantar, mahu melihat sendiri tempat anaknya bakal memulakan hidup baharu. Mungkin untuk tenangkan hati sendiri atau mungkin juga untuk tutup rasa bersalah yang tak pernah disebut.

Nasib baik ada driver ‘kawan’ Walid yang sanggup memandu jauh dari Kuala Lumpur ke pantai timur. Zulaikha sendiri tidak tahu siapa ‘kawan’ itu sebenarnya. Tapi kereta Alphard besar hitam yang berhenti depan rumah pagi semalam cukup untuk buat jiran-jiran jeling lebih dari sekali.

“Tak payah risau pasal tambang,” kata Zahim waktu itu, “Kawan Walid tu... dah lama kenal.”

Zulaikha hanya diam. Sudah penat bertanya.

Kini, di hadapannya, Umminya menyambut dengan senyum paling tenang yang dia pernah lihat. Seperti sudah bersedia untuk melepaskan, walaupun hatinya pasti belum benar-benar redha.

“Dah daftar?” tanya Mariam lembut.

Zulaikha mengangguk.

“Alhamdulillah, semua selesai, Ummi..”

Zahim tidak banyak cakap. Wajahnya dikeraskan sedikit, bukan kerana marah, tapi kerana sedang menahan sesuatu yang lelaki jarang pamerkan di depan anak perempuan mereka. Tangis.

“Lepas ni tinggal kat sini ke?” Zahim bertanya. Sambil matanya memandang bangunan asrama Blok D yang sudah sedikit usang. Bangunan lama.

Zulaikha mengangguk lagi. “Ni lah.. Asrama Ika..”

Mereka diam sebentar. Angin bertiup perlahan, membawa bau tanah lembap dan daun kering. Suasana itu terlalu tenang untuk sebuah perpisahan yang berat.

“Walid tak perlu susah-susah datang, Ika boleh datang sendiri sebenarnya…” katanya perlahan, hampir seperti menyesal kerana menyusahkan.

Tapi Zahim hanya menggeleng, memandang anaknya seperti sedang mencetak wajah itu dalam-dalam ke dalam memorinya.

“Selagi ada hayat Walid, selagi tu Walid akan hantar anak Walid ke mana dia nak pergi.”

Zulaikha tunduk. Dada terasa disiat.

Dia genggam tangan ayahnya, tangan kasar yang selalu menjadi tempat berpaut sejak kecil.

“Walid jaga diri…”

Dia menarik nafas dalam.
“Ika habis belajar nanti... Ika akan jaga Walid dengan tangan Ika sendiri.”

Zahim tidak jawab. Dia hanya letakkan telapak tangannya di kepala Zulaikha, menekap lembut seketika sebelum berpaling dan melangkah ke kereta. Mariam menyusul perlahan, menoleh dan memberi anggukan kecil.

Sebelum sempat benar-benar beredar, langkah Walid terhenti di sisi. Tangannya menyentuh lembut bahu Zulaikha, sapaan terakhir sebelum berpisah. Tapi bukan sentuhan itu yang menyakitkan, sebaliknya suara perlahan yang hadir bersama pesanan yang telah berkali-kali dia cuba lupakan.

“Nanti bagitahu Emir. Dia kena tahu.”

Suara Zahim tenang, tapi tegas. Seolah-olah pesanan itu satu amanah. Amanah yang tak pernah dia pinta, tak pernah dia setuju... tapi tetap ditinggalkan di pundaknya.

Zulaikha tersentak kecil, namun wajahnya cuba dikawal. Tidak mahu menunjukkan rasa. Tapi degup jantungnya berubah sebaik nama itu disebut.
Emir.

Nama yang tak pernah dia undang, tapi tetap hadir dalam setiap cerita yang tak pernah habis. Lelaki yang dia kenal terlalu lama, walaupun tidak terlalu dalam. Dan kerana itu jugalah, dia paling mahu lari.

Dia hanya mengangguk lemah. Tidak bersuara. Kerana dia tahu, melawan pun tak akan mengubah apa-apa. Zahim masih percaya pada janji lama, perjanjian antara sahabat yang tidak sempat dia sendiri mahu fahami sepenuhnya.

Dan kini dia... yang perlu menanggung akibatnya.

Dari jauh, dia menghantar pemergian Walid dan Umminya dengan mata yang kian berkaca. Tapi bukan kerana rindu semata-mata.

Hatinya membeku seketika kerana satu nama. Belum sempat dia bernafas lega, satu nada masuk ke dalam telefon bimbitnya.

“Selamat datang ke pantai timur. Jupo demo nanti.”

Zulaikha terdiam. Jari jemarinya menggigil kecil.

Belum sempat dia buang mesej itu dari layar, satu lagi masuk.

“By the way... terkejut juga... kau dah lepaskan jawatan kau... kenapa ya? Jururawat? tak hebat lansung.”

Emoji ketawa yang baginya lebih tajam daripada sindiran.

Zulaikha menggenggam telefonnya erat. Nafasnya naik turun. Dia rasa mahu baling telefon itu ke lantai, tapi dia cuma letakkannya perlahan di atas bangku batu bersebelahan. Mengeluh panjang, matanya dipejam rapat.

“Kau memang tak pernah tahu bila kau patut berhenti, Emir…”

Dia bersuara perlahan, untuk dirinya sendiri.

Hatinya membara. Tapi lebih daripada marah... dia letih.

Letih dengan kehadiran lelaki itu yang sentiasa datang bukan untuk menyembuh... tapi menambah luka.

Namun, di sebalik kemarahan yang membuak, Zulaikha tahu cepat atau lambat... dia tetap perlu berdepan dengan Emir.

Dan waktu itu... dia perlu memilih antara berdiri teguh... atau hancur sekali lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience