DI SUATU HARI, ketika pelajar-pelajar tingkatan 4 Sains III berada di dalam makmal sains untuk matapelajaran Kimia, tiba-tiba suasana digemparkan dengan satu letupan yang agak kuat diiringi dengan suara perempuan menjerit.
Rupa-rupanya, bahan kimia yang dipanaskan oleh Ameera ketika melakukan eksperimen telah meletup dan seterusnya mengenai wajahnya.
Terguling-guling dia di atas lantai sambil menjerit menahan pedih yang teramat perit di wajahnya. Darah merah turut mengalir di celah-celah jemari yang menutupi wajahnya.
Dalam suasana riuh itu, Ain serta dua orang rakannya hanya duduk di satu sudut sambil memerhatikan tubuh Ameera yang sudah dikerumuni pelajar-pelajar serta guru.
Mereka tersenyum puas lalu menaikkan ibu jari mereka. Tanpa mereka sedari ada sepasang mata yang memerhatikan gelagat mereka bertiga.
Di birai katil dalam sebuah wad, Ameera sekadar termenung sambil memerhatikan pemandangan luar melalui tingkap. Seluruh wajahnya masih berbalut dengan kain kasa putih. Hanya mata dan mulutnya sahaja yang dibiarkan tidak berbalut.
Kering sudah airmatanya kerana menangisi nasib malang yang sering menimpa dirinya sejak akhir-akhir ini. Jiwanya juga kosong, seperti sudah tiada semangat untuk meneruskan kehidupannya lagi.
Sedangkan ketika wajahnya sempurna pun dia sering dipersendakan, inikan pula setelah wajahnya cacat. Kini dia hanya mampu pasrah. Dalam dia sedang melayani perasaannya bersendirian, kedengaran pintu wad terbuka.
“Meera, tengok siapa yang datang ni,” kedengaran suara ibunya menyapa. Namun pandangannya tetap menghala ke tingkap. Tak ingin untuk dia melihat siapakah gerangan orang yang datang melawat itu.
“Ameera,” kedengaran namanya dipanggil. Dia terpana mendengar suara garau yang dirinduinya itu saban hari. Mujahid mengambil tempat, duduk di sebelahnya.
“Sayang,” panggilnya lagi. Lembut sekali panggilan itu.
“Kenapa awak datang, Muja?” soalnya perlahan.
“Salah ke saya datang nak melawat orang yang saya sayang?” Ameera ketawa kecil. Sinis.
“Sayang? Dalam keadaan saya macam ni pun awak masih lagi berselera nak cakap sayang pada saya?”
“Kenapa tidak?”
“Muja, saya bukan lagi Ameera yang dulu. Saya bukan lagi gadis yang awak kata sempurna dan istimewa selama ni. Saya dah tak sempurna, Muja. Wajah saya dah cacat. Hodoh! Awak pasti akan benci dan menyampah tengok rupa saya nanti,” ucap Ameera sendu.
“Ameera, walau apa terjadi sekalipun, awak tetap Ameera yang saya kenal selama ni. Awak tak perlu risau. Saya sayangkan awak bukan kerana paras rupa, tetapi kerana hati awak yang suci,” ucap Mujahid ikhlas.
“Awak, saya dah tak ada semangat nak teruskan kehidupan saya macam selalu. Saya nak berhenti sekolah!” ucap Ameera.
“Jangan! Jangan, Meera. Jangan kerana hal ini awak hancurkan masa depan awak.”
“Masa depan saya memang dah hancur pun dengan hancurnya wajah dan hati saya ni, awak! Kalau saya meneruskan persekolahan saya, awak ingat Ain dan rakan-rakannya tu akan duduk diam? Pasti lebih galak lagi mereka membuli saya. Kalau saya pindah ke sekolah lain, apa jaminannya yang saya takkan dibuli lagi? Pasti akan ada pelajar nakal yang akan mengejek dan membuli saya nanti…”
“Awak jangan risau. Segala-galanya akan selesai tak lama lagi. Lepas ni saya akan pastikan tak ada sesiapa yang boleh ganggu awak. Itu janji saya,” ujar Mujahid.
“Apa maksud awak?”
“Meera, saya tahu siapa yang punya angkara semua ni. Saya tahu siapa yang menyebabkan awak kemalangan di makmal hari tu.” Ameera memandang Mujahid di sebelahnya.
“Siapa? Siapa punya angkara? Tak mungkin Ain, Hana dan Suhada!”
“Kalau betul mereka yang buat, macam mana?” Ameera terdiam.
“Kenapa mereka tergamak buat semua ni pada saya? Apa salah saya pada mereka? Apa dosa saya, awak?” Ameera mulai tersedu.
“Awak tak salah, Meera. Mereka tu yang bermasalah. Kalau mereka selalu ejek awak nangka busuk, tapi pada saya hati mereka tu jauh lebih busuk. Sebenarnya, Ain tu ada menaruh hati pada saya. Dia tak boleh terima apabila saya memilih awak, bukannya dia. Sebab tu dia telah merancang dengan kawan-kawannya untuk membuat sesuatu supaya saya membenci awak,” terang Mujahid.
“Awak jangan risau. Perbuatan jahat mereka telahpun diketahui. Saya dah ceritakan segala-gala yang berlaku di sekolah selama ni kepada ibu dan ayah awak. Pagi tadi saya bersama mereka telah berjumpa dengan pengetua sekolah untuk melaporkan hal ni. Guess what? Ain dan rakan-rakannya telah dibuang sekolah,” sambungnya lagi.
“Awak, saya takut,” ucap Ameera tiba-tiba.
“Awak nak takut apa? Sepatutnya awak merasa lega sebab mereka dah tak belajar kat sekolah tu lagi. Lepas ni takkan ada sesiapa yang boleh kacau hidup awak lagi.
“Bukan macam tu. Saya risaukan keselamatan awak. Kalaulah mereka tahu awak yang melaporkan hal ni kepada pengetua, nanti mereka akan mengapa-apakan awak.” Mujahid tersenyum lalu memaut lembut bahu Ameera.
“Jangan risau, saya tahu jaga diri. Kalau mereka berani buat sesuatu ke atas saya, saya takkan teragak-agak untuk buat laporan polis. Okeylah, saya minta diri dulu. Awak rehatlah, ya. Jangan terlalu fikirkan sangat hal ni. Nanti kesihatan awak terganggu. Saya sayangkan awak.”
Itulah kali terakhir mereka berdua berbual mesra sebelum dia mendapat berita bahawa Mujahid telah mengalami kecelakaan di jalanraya pada keesokan harinya sehingga meragut nyawanya.
Dalam sekelip mata, dia hilang segala-galanya. Dia telah kehilangan wajahnya yang sempurna. Dia telah kehilangan cintanya. Kini dia sudah tiada sesiapa lagi melainkan kedua orang tuanya.
Dalam waktu yang sama, salah seorang bapa saudaranya yang begitu perihatin ingin membantu membiayai kos pembedahan plastik ke atas wajahnya yang cacat. Mungkin ini adalah hikmah di sebalik dugaan yang dialaminya selama ini.
Setelah selamat melakukan pembedahan pada wajahnya, dia merasakan bagai dilahirkan semula.
Wajahnya yang asal juga telah berubah secara total. Tiada lagi wajah Ameera yang sering menjadi bahan ejekan orang. Malah, namanya juga telah ditukar dari Nur Ameera ke Nur Alya. Ya, dia kini bukan lagi Ameera tetapi Alya!
Share this novel