Bab 18
“Kau semakin memahami dan kenal pada aku.”
“Aku bercakap pasal virus yang akan berjangkit. Demam selesema mudah berjangkit. Bila seseorang yang mengidap selesema batuk atau terbersin, virus akan beredar di dalam atmosfera di sekelilingnya lantas menyebarkannya kepada orang lain. Dalam soal ini, aku takut aku yang akan terkena. Aku tak mahu jatuh sakit sebelum semua kerja-kerja aku siap.”
Leo mengangguk, mulai mengerti.
“Aku harap kau hanya demam selesema kepala, iaitu infeksi yang terhad hanya kepada hidung dan tekak. Kau ada rasa tidak selesa seperti seram sejuk, sakit kepala dan tidak bermaya?”
Leo hanya menjawab dengan anggukan.
“Kalau begitu kau hanya demam selesema. Kebanyakan demam selesema akan pulih dalam masa seminggu. Tapi bahaya jika infeksi melarat akan menyebabkan laringitis, trakeaitis, sinusitis, ostitis media ataupun keradangan telinga tengah. Lebih teruk jika kau ada mengidap penyakit asma, bronkitis kronik dan infeksi telinga yang kronik. Ia mungkin mengaktivasikan semula virus Herpes simplex yang dorman….”
“Okey! Okey! Berikan aku ubat!” kata Leo sambil mengangkat tangannya.
Dia tidak mahu lagi mendengar Amalina bercakap seperti seorang pakar perubatan yang tahu segala-galanya. Sedangkan dia pun tidak begitu faham apa yang sedang dikatakan oleh perempuan itu.
Amalina segera bangun dan bergerak ke arah Pajero. Dia membawa sebuah kotak ubat. Dibukanya kotak ubat itu lalu memberikan dua butir paracetamol dan dua biji ubat selesema kepada Leo.
“Aku tak pernah melayan penyakit dengan ubat. Setiap kali sakit aku membiarkan sahaja sehingga ianya baik sendiri. Tidak perlu ubat. Kalau dah ditakdirkan akan mati… ya, mati juga!” rungut Leo sambil menelan ubat-ubat yang diberikan oleh Amalina dengan muka yang kelat.
“Setiap yang hidup akan mati. Tiada sesiapa pun yang akan terkecuali. Tapi harus mati dengan wajar. Bukannya sengaja menyerah dan membiarkan tubuh tidak berubat.”
“Okeylah. Kau menang. Lain kali aku akan panggil kau Doktor Amalina!” Leo bersuara sedikit sinis, tidak mahu membantah kata Amalina lagi.
Amalina mencegilkan matanya ke arah Leo. Namun sorotan mata lelaki itu lemah sekali. Dia kelihatan benar-benar tidak bermaya.
Leo terjaga apabila terdengar suara riuh. Dia terpinga-pinga sambil memerhati sekeliling. Ada empat buah Pajero tidak jauh kawasan perkhemahan Amalina. Suara orang berbual terdengar kuat dan galak sekali. Dia melonjakkan tubuh untuk bangun. Tubuhnya terasa sedikit segar. Dia menyapu hidungnya. Kering. Tiada hingus lagi. Tekaknya juga tidak lagi merasa perit. Dia meraba-raba dahi. Kepanasan yang dialaminya pagi tadi sudah hilang. Suhu badannya kembali normal.
Memang ajaib! Demamnya hilang dalam hanya beberapa jam. Dia tertidur dalam tempoh yang lama. Perutnya terasa pedih. Lapar. Dan bau makanan yang dibawa angin ke situ membuat seleranya datang. Dia memerhati ke arah dapur Amalina yang tidak berasap. Matanya tercari-cari di manakah Amalina. Namun kelibat Amalina tidak dilihatnya ada di bawah kanopi.
Leo menggeliat malas. Dia bergerak ke arah sungai untuk mencuci mukanya yang terasa lekit. Saat dia turun ke sungai dilihatnya beberapa orang gadis sedang mandi manda. Suara mereka terjerit berceridau bagaikan burung, terkejut dengan kehadirannya. Leo pura-pura tidak peduli. Dia turun agak jauh dari mereka bagi membersihkan wajahnya. Ketika dia naik ke darat semula, dilihatnya Amalina ada di bawah kanopi.
“Kau dah bangun? Lapar? Ini ada makanan, baru dimasak. Makanlah!” kata Amalina sambil meletakkan sepinggan nasi, sayur kubis goreng dan ayam berlada di atas meja tempat mereka selalu makan.
“Siapa yang datang?” tanya Leo tidak sabar.
...bersambung
Bab akan datang:
Siapakah yang datang menyertai mereka di hutan itu?
Share this novel