*KERETA* Honda CR-V kepunyaanku dibawa laju membelah angin malam.
Seperti diriku juga yang tidak sabar-sabar mahu sampai ke rumah Tania .
Alangkah indahnya kalau aku dan Tania punya jodoh. Segera mahu
bertentang mata dengannya. Aku tidak dapat berjauhan darinya. Sungguh!
Sekarang aku sudah sampai. Betul-betul depan rumah teres di mana dia
tinggal bersama orang tuanya. ‘Tania , abang datang,’ desis hati
miangku. Miang ini miang bertempat. Jangan salah anggap.
Aku berdehem sekejap sebelum mengetuk pintu rumah. Setelah memberi salam
aku terus ketuk pintu rumahnya. Aku tidak perlu menunggu terlalu lama
kerana Tania datang cepat membuka pintu. Dia seperti tidak sabar juga
mahu bertemu denganku.
Aku lihat dia sungguh cantik berbaju kurung. Aku suka gadis seperti ini.
Di bandar besar memang susah hendak jumpa gadis secantik Tania yang
mementingkan pakaian tradisi Melayu. Beginilah gadis idaman aku.
“Jemput masuk Encik Karl ,” pelawanya.
‘Aduhai! Kenapalah awak panggil saya ni Encik Karl . Panggil Abang pun
sudah cukup,’ hati miangku berbisik lagi. Ini sudah tahap kritikal.
“Ya, terima kasih,” balasku sambil menghulurkan sejambak bunga mawar
merah yang sebentar tadi disorokkan dibelakang. Sengaja hendak bagi kejutan.
“Untuk saya ke?” tanyanya.
Aku mengangguk sudah pasti untuk dirinya. Mana mungkin untuk orang lain
lagi. Apa yang aku tahu, Tania memang suka bunga. Terutama sekali
bunga ros merah. Aku tanya pada Watie, iaitu kawan baiknya apa kesukaan
Tania . MakaWatie beritahu bahawa Tania suka bunga. Klise, sama
kebanyakan gadis yang memang sukakan bunga. Normal.
Dalam semua perkara yang buat aku menyukainya, sifatnya yang lemah lembut buat hatiku terkunci untuknya. Aku sangat suka. Yang lain tidak penting, Aku mahu tambat hati dia. Aku tidak mahu rasa ini terbunuh mati. Malam ini aku harus menyatakan segala yang terpendam dalam sanubariku. Aku mahu
katakan aku sayang dia. Itu sahaja dan beban ini akan lepas dari memberat.
Tania mencium haruman dari bunga itu. Wajah ayunya terserlah. Dia
letakkan bunga itu dalam balang berisi air. Sudah biasa terima bunga
agaknya siap ada balang lagi. Aku mengumam sahaja sedikit kecewa. Mana
boleh buruk sangka. Mana tahu dia belum berpunya. Harap aku belum terlambat.
“Mak….” Tania memanggil ibunya yang kemungkinan berada di dapur.
Tidak berapa lama kemudian ibunya terpacul di depan aku. Ibunya masih
nampak muda. Tidak nampak beza dengan Tania . Mungkin mengamalkan petua awek muda agaknya.
“Mak, ini bos Tania, Encik Karl ,” Tania memperkenalkan aku pada ibunya.
Malu pula rasanya. Aku cuba menyembunyikan perasaan maluku ini. Dan
lantas mengulum senyum.
“Oh! Awaklah Encik Karl ya,” ucap ibunya.
Ayatnya itu seperti sahaja Tania menceritakan perihal diriku pada
ibunya. Jangan-jangan selalu mengumpat aku agaknya? Duga hati setan.
Tidak baik buruk sangka. Aku menampar hatiku sendiri dengan panahan rasa
ini.
“Ya mak cik, sayalah Encik Karl , bos kepada Tania, anak mak cik ni rajin
buat kerja,” aku memuji Tania depan ibunya.
Aku nampak pipi Tania kemerahan. Seganlah itu.
“Dia memang rajin, di rumah ni pun semua dia yang buat. Mengemas, cuci
pinggan mangkuk. Pendek kata tidak ada satu pun yang tertinggal,” puji
ibunya melebih pula.
Hendak cari calon isteri mestilah cari yang rajin. Kira baguslah Tania
rajin orangnya. Tidak hanya di pejabat malah di rumah juga dia menjaga
kebersihan. Lihat saja semua pakaiannya. Berbau harum dan wangi. Aku
menelaah sekelilingnya dan Tania masih tercegat.
“Encik Karl , inilah ibu Tania bernama Halimah ,” Tania memperkenalkan
ibunya pula pada aku. Halimah namanya. Orang nama Halimah memang
penyabar orangnya. Harap sifat itu ada pada namanya.
Halimah menoleh pada Tania . Tania kemudiannya menoleh padaku silih
berganti.
“Tania pergi buatkan air untuk Encik Karl ni,” arah Halimah . “Mari
duduk dulu Encik Karl , kenapa tercegat sahaja,” sambungnya.
Aku memang berdiri dari tadi. Sekarang baru diajak duduk. Mahu
pandai-pandai duduk mana mungkin. Bukan rumah aku. Sabar sajalah. Aku
mana tahan berdiri lama-lama. Lenguh jadinya. Ekor mataku memandang
Tania berlalu pergi ke ruang dapur.
“Encik Karl ada hati pada anak saya ke?” Satu soalan maut ditujukan pada
aku,
Serta-merta aku jadi gelabah. Kenapa tiba-tiba sahaja soalan itu
terpacul dari mulut Halimah . Dengan malu-malu aku mengangguk. Aku tidak
dapat menipu hatiku sendiri. Halimah senyum sumbing. Nampaknya seperti
mengejek. Dia menelaah aku dari atas sampai bawah.
“Encik Karl cari saja orang lain kerana saya dah ada calon untuk anak
saya, lebih kaya dari Encik Karl , malah lebih tampan. Tak ada gemuk
macam Encik Karl ni,” sungguh kurang ajar si ibu ini. Tiada langsung
ciri-ciri iru pada Tania . Aku berharap Tania bukan berperangai
seperti ibunya ini.
Aku berkecil hati serta-merta. Robek! Calar! Semua ada! Ya ALLAH! Apa
dosaku untuk mencintai? Aku sebak dari dalam. Aku sungguh berkecil hati
namun aku tetap melebarkan senyuman. Orang yang berada di depan aku
adalah si ibu pada gadis yang aku cintai.
“Encik Karl dengar tak? Lupakan Tania ,” pinta Halimah .
Aku kehilangan kata-kata, kerana tidak menyangka inilah balasannya. Aku
juga tidak menduga begini sikap ibunya. Adakah aku kewujudan aku di
dunia ini hanyalah semata-mata untuk dihina? Ya ALLAH.. KAU tebalkanlah
kesabaran dalam diriku ini. Sesungguhnya aku insan yang lemah. Hanya
padaMu aku memohon kekuatan ini. Tidak henti-henti aku memanjatkan doa
di hati.
Halimah mengecilkan anak matanya seperti mahu menelan aku. Tanpa
membuang waktu aku terus mengangkat punggung. Fizikal aku jadi halangan
cinta. Tergamak sungguh ibu Tania .
“Terima kasih di atas penghinaan ini. Saya terima seadanya kekurangan
yang ada pada diri saya, tetapi saya ada maruah. Jangan sesekali hina
makhluk yang ALLAH ciptakan di atas muka bumi ini kerana Dia lebih
Berkuasa dan Maha Mengetahui. Sekelip mata sahaja Dia akan menarik
segala nikmat yang diberikan. Sedarlah Puan Halimah ,” aku berucap
panjang dan terus berlalu pergi.
Aku kesal. Benar-benar berkecil hati. Tuhan saja yang tahu perasaan
hatiku. Aku pergi tanpa meninggalkan pesan pada Tania . Mungkin bukan
dia jodohku. Aku seorang yang gemuk! Tiada siapa yang mahukan aku. Kalau
Tania mahu sekalipun masih terdapat halangan. Iaitu dari ibu Tania
sendiri.
Hairan! Aku benar hairan kenapa Puan Halimah membenci orang sepertiku?
Tidak mengapalah, Tuhan Maha Mengetahui. Apa yang aku harapkan mungkin
Tuhan mahu jodohkan aku pada yang lebih baik dari ini. Insya-ALLAH.
Share this novel