SUASANA majlis persandingan Mia dan Rudy berlangsung meriah dengan kedatangan tetamu yang diundang. Melepasi jam tiga petang, majlis persandingan itu masih berbaki satu jam sahaja lagi sebelum ianya tamat. Masih ada lagi tetamu yang sedang menjamu selera dan ada juga yang sibuk bergambar bersama pasangan dua sejoli itu.
Selesai sesi bergambar bersama keluarga, kini giliran rakan-rakan pengantin pula untuk mengambil gambar di atas pelamin bersama pengantin. Mia dan Rudy dilihat tenang melayan tetamu yang ingin bergambar walaupun jelas kelihatan raut wajah penat mereka.
“Sayang okay ke?” Rudy berbisik kepada Mia yang berdiri di sebelahnya. Mereka baru sahaja selesai bergambar bersama rakan-rakan sekolah Mia yang hadir sejak awal pagi tadi untuk meraikan mereka.
“Saya rasa macam nak baring je sekarang ni. Belakang badan saya sakit pulak duduk atas ni lama-lama.” ujar Mia.
“Ada satu jam je lagi. Sayang boleh tahan ke ni?” soal Rudy dengan nada agak risau.
“Hmm… Boleh la kut… Kejap je sejam tu,” ujar Mia, positif. “Awak nampak macam okay lagi je. Tak penat ke?” soal Mia semula. Nampak macam dia seorang saja yang kepenatan.
“Bontot saya rasa macam nak tercabut…” keluh Rudy perlahan. Hanya mereka berdua sahaja yang mendengar perbualan antara mereka. Pengapit masing-masing sudah melangkah ke tempat makan untuk mengambil agihan makanan untuk dibawa pulang.
“Assalamualaikum,” tiba-tiba muncul Aina di atas pentas pelamin.
“Waalaikumsalam,” serentak jawab Mia dan Rudy.
“Nampak juga batang hidung kau. Ingatkan lepas makan terus cabut je?” perli Rudy. Mana taknya, Aina datang bersama rombongan pihak lelaki tapi kelibat Aina macam tak nampak selepas rombongan pihak lelaki selesai makan dan bergambar. Rudy ingatkan Aina sudah pulang dulu.
“Aku ada je lah dari tadi. Siap tengok kau posing acah-acah model lagi,” usik Aina. Geli hati juga dia melihat Rudy ketika sesi bergambar tadi. Bukannya dia tak kenal member yang seorang itu. Bukan kaki bergambar.
Aina dan Rudy ketawa sesama mereka. Mia yang berdiri di sebelah Rudy hanya tersenyum sambil menantikan masa yang sesuai untuk mencelah. Sempat juga Mia meneliti penampilan rakan baik suaminya itu yang selama ini hanya diceritakan oleh Rudy sahaja.
“Eh lupa pulak nak kenalkan korang. Aina, ni isteri aku. Mia.” Rudy kemudian memaut pinggang Mia. “Sayang, ni lah Aina yang saya selalu cerita tu. Akhirnya dapat jugak berjumpa kan.”
Mia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Aina. Aina menyambut huluran tangan itu dengan senyuman lebar. Kedua-dua mereka mengangguk kecil sebagai tanda hormat.
“Hai, Mia. Congrats on your wedding. Rudy selalu cerita pasal you dekat I. Even masa you guys pertama kali jumpa dulu pun dia teruja cerita pasal you.”
Mia dan Rudy berpandangan, tersenyum.
“I tak sangka la perempuan cantik macam you boleh jatuh cinta dengan tenuk ni, Mia. You cantik sangat, lagi cantik dari yang I bayangkan tau?” puji Aina berlebih-lebihan.
“Terima kasih… Rudy pun ada cerita pasal bff dia tapi tu la baru sekarang kita dapat jumpa,” balas Mia dengan sopan. Tak sangka mendapat pujian sebegitu daripada Aina yang baru pertama kali ketemu.
“Agak-agaklah panggil aku tenuk depan bini aku oi.” Rudy rasa geram saja walau gelaran itu sudah biasa didengari tapi Rudy tidak mahulah Aina merosakkan imejnya depan Mia dengan gelaran sebegitu. Malulah Rudy! Isterinya cantik seperti bunga tapi dia digelar seperti tenuk.
“Kacau la kau ni, Rudy.” decit Aina, menyampah kerana Rudy cuba menghalang Aina dari berkata-kata. Matanya beralih semula memandang Mia. Senyumannya kembali.
“Bini aku ni pemalu kalau baru jumpa tapi kau tu asyik pot pet pot pet. Cakap pun laju macam kereta api. Macam mana dia nak ikut pace kau?” soal Rudy, menarik tangan Mia, lembut digenggam.
Sekali lagi Rudy menerima jelingan maut Aina. “Kau ni, aku baru nak bonding dengan Mia.” decit Aina buat kali kedua.
“Eh dah lah kau ni. Panjang pulak kau nak borak dekat sini. Tu, ramai lagi yang tunggu turn nak bergambar. Kau kalau nak bergambar dengan aku, mehlah cepat.” Laju Rudy memotong kata-kata Aina.
Rudy menuding jari ke arah tetamu yang berada di hadapan pentas pelamin. Kelihatan beberapa tetamu yang sudah beratur menunggu giliran untuk bergambar.
“Oh haah lah, lupa pulak. Takpe Mia, nanti kita berborak panjang lagi ye. Kalau you ada nak tahu apa-apa pasal Rudy nanti, bagitau je I. Don’t worry, semua pasal Rudy dalam poket I je.” Bangga Aina.
“Amboi, kau ni…” Rudy menjeling ke arah Aina yang kemudian mengambil tempat di sebelahnya untuk bergambar.
Jurugambar yang berada di hadapan pelamin bersedia untuk merakamkan gambar. Mia dan Rudy bertaut erat seperti eratnya perasaan cinta antara mereka di hari bahagia. Rudy memandang sekilas ke arah Aina yang berdiri agak jauh darinya.
“Eh, sini lah sikit. Kau kenapa jauh sangat?” Rudy menegur Aina di sebelahnya.
Mia memandang Aina selepas mendengar teguran Rudy. Aina merapatkan dirinya dengan Rudy. Ketiga-tiga mereka kemudian serentak memandang ke hadapan untuk bergambar.
MIA merenung gambar dari album kahwinnya. Mia juga mahu menyimpan gambar-gambar kahwinnya dalam album sebagai kenangan. Melihat setiap gambar yang dipotretkan buat Mia rasa bersyukur kerana dia telah bertemu dengan jodoh yang baik seperti yang dia harapkan pada usia sekarang ini. Pejam celik pejam celik, sudah sebulan dia bergelar seorang isteri.
Mia ralit melihat gambar pada setiap helaian album sehingga matanya terpaku melihat sekeping gambar.
Gambar dia, Rudy dan…Aina.
Entah kenapa perasaan Mia seperti dilanda sesuatu. Aina yang berada di sisi suaminya di dalam gambar itu. Nampak macam kekok pula melihat gambar tersebut. Pengantin lelaki berada di tengah dua perempuan cantik. Sudahlah baju yang Aina pakai tempoh hari warna yang sama dengan warna mereka. Beza cuma ton warna saja. Walau satu kebetulan tapi kekok pula bila melihat kembali.
“Buat apa tu?” suara Rudy menyapa. Mia berpaling memandang Rudy. Satu kucupan diberi pada dahi Mia.
Mia tak menjawab. Hanya senyuman terukir di bibirnya.
“Eh, gambar kita dengan Aina. Ni kena bagi dia tengok ni,” ujar Rudy sambil teruja mengeluarkan telefon bimbitnya untuk menangkap semula gambar mereka bersama Aina dan menghantar kepada perempuan itu melalui WhatsApp.
Mia lihat saja gaya Rudy sekarang ni. Bukannya mereka tidak boleh bagi soft copy pada Aina untuk buat kenangan. Fikir Mia.
“Awak paling suka gambar ni ke?” soal Mia. Entah kenapa ada rasa cemburu melihat keterujaan suaminya itu. Sedangkan ada banyak lagi gambar lain tapi suaminya tetap sibuk mencuba menangkap semula gambar itu berkali-kali sehingga rasa puas hati dengan hasilnya.
“Suka sebab Aina nampak lawak. Cover ayu je lebih.” ujar Rudy sambil tergelak kecil.
Oh! Sebab itu saja yang boleh suaminya teruja, detik Mia dalam hati.
“Hmmm…patutlah… Cemburu pula saya..” luah Mia tiba-tiba. Tak tahulah Mia sengaja berkata sebegitu untuk tarik perhatian Rudy atau memang terbit perasaan cemburunya walau sedikit.
Rudy senyum lebar. Suka pula apabila Mia mula menunjukkan sikap barunya itu.
“Carrot cake, look at me,” ujar Rudy. Rambut Mia diusap lembut. Perlahan Mia mengalih pandangan memandang Rudy. Bibirnya mendarat ke pipi kiri Mia. “Honestly, mata abang lagi suka tengok wajah sayang yang sentiasa cantik manis walau abang tahu sayang dah penat asyik bergambar,” ujar Rudy dengan romantik.
“Oh macam tu kena tayang muka cantik jelah baru suka. Muka kelakar ke, muka cover ayu semua tu tak la eh…” Makin sengaja Mia menguji Rudy.
Rudy ketawa besar. “Ala betul la sayang cemburu ni,” tanya Rudy dengan nada usikan.
“Sikit je,” balas Mia pendek.
“Sikit je?” soal Rudy. Mia mengangguk perlahan. Mata mereka saling memandang satu sama lain.
“Kenapa sikit? Awak tak sayang saya ke?” tanya Rudy lagi sambil memuncungkan bibirnya.
“Kenapa pulak cemburu sikit maksudnya tak sayang?” soal Mia pula. Hairan tiba-tiba Rudy buat reaksi sebegitu.
“Ye la, sebab cemburu tu tanda sayang. Kalau cemburu sikit maksudnya sayang tu makin kurang. Kalau cemburu sangat, maksudnya memang sayang sangat-sangat.” jelas Rudy. Tak gagal bibirnya dikekalkan muncung sepanjang penerangannya.
Mia menggeleng kepala perlahan. Hilang sudah perasaan cemburunya yang tiba-tiba muncul tadi bila mendengar kata-kata Rudy itu.
“Saya sayang awak tau… Selagi cemburu tu ada, selagi tu saya sayangkan awak…” jawab Mia. “Walau sekecil zarah sekalipun, saya sayang awak je, my lemon zest.” ujar Mia, mencubit pipi Rudy, manja.
“Sakit…” komen Rudy, menggosok-gosok pipinya. Sengaja nak tunjuk manja padahal bukan kuat pun cubitan isterinya. Mia duduk lalu terus mencium pipi Rudy yang dicubitnya.
“Sakit lagi?” tanya Mia, tersengih melihat sisi Rudy yang mengada-ngada.
Perlahan Rudy menggeleng sambil tersenyum. “Tak sakit. Bidadari saya dah hilangkan sakit yang teramat sangat tadi.” ujar Rudy dengan penuh dramatik. “Thank you, God!” jeritnya tiba-tiba.
“Hisy!” tegur Mia, ketawa sambil menepuk lengan Rudy.
“Ah… Ahh… Sakit…” cebik Rudy sekali lagi. Mia hanya menggosok lembut lengan Rudy.
“Sampai tua la macam ni?” soal Mia, memandang Rudy dengan senyuman lebar.
“Sampai tua la…” sengih Rudy. “Jom makan? Saya dah tolong hidangkan tadi.”
“Wah, terima kasih sebab tolong hidangkan makan malam…” ucap Mia, memberi satu ciuman pada pipi Rudy.
Mukanya kemerahan segan. “Kalau awak dah masak, saya tolong hidangkan lah…” jawab Rudy.
Hilang sudah fikiran Mia pasal gambar mereka bersama Aina tadi. Mungkin dia memang tak terlalu cemburu pun sekarang ini.
“WUI… Aku tak sangka Encik Razi bagi kerja last minute camtu je…” keluh Aina.
Rudy menggeleng. Peluh dilap dengan tisu yang dikitar semula sejak pagi tadi. “Wei, betul la tu… Lunch pun tak sempat. Mia call tadi pun aku terpaksa cakap dengan dia aku tak boleh jawab call.” bebel Rudy. “Rindu siot dengan Mia…” tambahnya lagi.
“Alahai… Cerita macam pergi outstation je kau ni.” komen Aina. “Weh, boleh temankan aku makan tak? Lapar wei.”
Rudy mengeluh. “Balik masak je lah. Mahal makan luar ni, banyak habis duit. Kau tu dah la single.”
“Tak boleh weh. Aku ni perempuan. Hormon lain. Aku lapar gila ni, sumpah,” alasan diberi.
“Hah! Kau ni banyak songehlah,” ujar Rudy.
“Ala, kejap je. Kau tau en aku makan tak lama. Kejap je. Kat mamak tepi tu pun okay dah, gentle,” pancing Aina dengan kedai mamak kegemaran Rudy.
Rudy mula terkena pancing. Best juga kalau kena secawan teh tarik lepas penat kena siapkan semua kerja dengan cepat.
“Please? Aku belanja kau teh tarik. Secawan? Dua cawan? Banyak mana pun no hal la…” Tepat umpan yang Aina gunakan. Teh tarik dipetik menjadi umpan kepada Rudy untuk menemaninya makan, menutup kebuluran sejak waktu tengah hari tadi.
“Yalah… yalah.. tapi tak lama eh. Karang aku yang kebulur tahan lapar nak makan masakan isteri tercinta. Karang tak teman, mulalah kau bebel je kat telinga aku esok. Ungkit, cakap aku lupa kawan la apa… Memang rasa nak hempuk je kau nanti.”
Aina sudah tersenyum gembira. Ada peneman makannya.
Setelah menapak di sebuah meja di kedai Nasi Kandar Pelita, laju Aina membuat pesanan. Teh tarik Rudy tak dilupakan. Sebaik makanan tiba, hampir semua makanan yang dipesan Aina habis.
“Weh, tolong habiskan sikit yang tu weh. Sayang la nak buang,” arah Aina.
“Aku takut la kalau aku makan, nanti aku tak termakan apa yang Mia masak… Mia dahla masak sedap gila…” kecur lidah Rudy teringatkan Mia buat kerabu megi tiga hari lepas.
Aina mengeluh kuat. “Iyelah bini kau masak sedap, tapi hati aku pulak rasa tak sedap kalau tak habis ni…” mi goreng mamak dicucuk-cucuk dengan garfu. “Dulu kau boleh je habiskan makanan aku. Perut kau tu kan tangki besar. Dah kahwin, berlagak eh kau? Tolong arr… Sikit je ni…”
Rudy menjeling-jeling Aina. “Yang kau kata mi goreng, tu, roti canai tu?” tunjuk Rudy cuba ingatkan Aina.
“Hehe… Habiskan jugak please?” suruh Aina.
Nak tak nak Rudy tolong habiskan. Dia pun tak suka pembaziran sebab itulah Rudy yang selalu tolong makan sampai habis. Dengan Mia pun sama juga. Memang dia dikelilingi dengan perempuan-perempuan yang tangki perut kecil tapi selera besar.
Hampir lima belas minit kemudian, licin semua makanan yang tidak berjaya dihabiskan oleh Aina.
“Aku gi basuh tangan jap. Tengokkan phone aku.”
“Ha, ye, ye,” jawab Aina, menyedut teh o ais limaunya. Tak lama kemudian, telefon Rudy tiba-tiba berbunyi.
Aina lihat ID pemanggil. Butang menjawab panggilan ditekan. “Hai, Mia!!! Aina ni!”
Senyap…
“Hello?” Aina pelik. “Kenapa takde suara?”
Aina menunggu juga beberapa saat tapi tiada juga sahutan dari pemanggil. Telefon bimbit Rudy terus dimatikan.
“Ni mesti tertekan kut,” fikir Aina dengan mudah.
Telefon bimbit Rudy diletakkan semula. “Eh mana pula mamat sorang ni. Takkan basuh tangan pun lama,” bebel Aina yang masih tak nampak bayang Rudy kembali ke meja mereka.
Tak lama kemudian baru Aina nampak kelibat Rudy. Beg tangannya serta telefon bimbit Rudy diambil dan terus Aina bangun pergi ke arah Rudy.
“Eh, dah bayar ke?” tanya Rudy pelik melihat Aina terus bangun tanpa pergi ke kaunter bayaran.
“Dah bayarlah. Kau tu slow sangat! Asal? Tak jadi nak suruh aku belanja ke?” perli Aina.
Rudy hanya tersengih.
“Dahlah aku gerak dulu. Kau tu pun pergilah balik cepat. Tadi beria nak balik awal jumpa bini,” perli Aina lagi.
“Yalah… jumpa esok kat ofis,” ujar Rudy sambil tersengih.
Aina tak membalas. Dia terus berjalan pergi ke keretanya dengan rasa senang hati. Balik rumah tak payah fikir nak makan sebab dah isi perut dulu. Paling seronok tak perlu dia makan seorang diri tanpa teman. Rasa senang hatinya sampai panggilan Mia tadi juga sudah dilupakannya tanpa Rudy ketahui.
Hmm apalah agaknya jadi dekat bab lepas ni ye... Rasanya Rudy selamat tak tu balik rumah nanti? Jangan lupa tinggalkan komen!
Share this novel