Sudah 18 hari Yahya dikebumikan selepas maut dalam satu kemalangan di satu simpang berdekatan rumahnya. Namun kesedihan isterinya Jamilah masih belum reda. Kematian suami tersayang membuatkan Jamilah bagaikan helang kepatahan sayap.
Tempat bergantung juga sudah tiada, tempat bermanja jauh sekali. Jamilah masih ingat ketika pagi kejadian, dia masih di dapur apabila Yahya memberitahu dia terpaksa ke tempat kerja lebih awal pagi ini.
Jamilah hanya sempat membancuh milo, tetapi sarapan masih terjerang di atas dapur. “Tunggu sambal tumis masak sekejap bang,” ujar Jamilah sambil menghidangkan nasi lemak yang masih berasap.
“Tak apalah Lah, tengahari nanti abang balik, abang makanlah nasi lemak tu,” ujar Yahya. Dia kelihatan begitu tergesa-gesa. Topi keledar dicapainya dan terus disarung ke kepala. Stokin dan kasut dipakai secepat kilat dan Yahya terus menuju ke tempat letak motorsikalnya.
Sebaik sahaja Yahya pergi, Jamilah menutup semula makanan di atas meja. Rengekan Sofea, anak bongsunya segera menarik perhatiannya. Jamilah mematikan api dapur dan terus ke bilik.
Sofea sudahpun bangun tetapi tangisannya sangat luar biasa dari hari-hari sebelumnya. Jamilah hairan.
Dia merasa seluruh tubuh Sofea. Tidak pula panas kalau nak dikatakan demam. Jamilah memujuk Sofea sambil menggantikan lampin. Kemudian mendukung anaknya ke dapur.
Jamilah menyuapkan telur rebus ke mulut Sofea tetapi anak kecil itu menolak. Jamilah hairan. Anaknya tidak pernah begitu sebelum ini. Jam sebelas pagi baharulah Sofea berhenti menangis.
Selepas menyusu Jamilah menidurkan Sofea di dalam biliknya. Sedang Jamilah memanaskan lauk di dapur, tiba-tiba perasaannya menjadi tidak enak.
Apabila terpandang nasi lemak Yahya di meja, perasaannya menjadi semakin tidak menentu. Deringan telefon membuatkan Jamilah tersentak.
Dia segera menjawab panggilan di ruang tamu. Ya Allah abang…tiba-tiba Jamilah menjerit sebaik sahaja mendengar berita yang disampaikan.
Share this novel