BAB 13

Romance Completed 9573

Setelah aku berkahwin, aku tidak lagi rapat dengan Faiq. Jangan haraplah aku boleh contact Faiq lagi, Sany memang tak bagi langsung. Cemburu! Tapi nasib baik Sany pun dah tak rapat-rapat dengan Zira. Kalau tak aku pun nak naik angin…

Masuk hari ini sudah genap dua minggu usia perkahwinanku dan Sany. Hubungan kami masih lagi beku. Aku masih lagi mengelak daripada mendengar penjelasan Sany. Hanya sepi yang menghuni suasana bila aku berdua dengan Sany. Aku lebih rela menjadi tunggul daripada melayan bicara Sany. Aku tahu Sany kecewa tetapi aku masih belum memaafkannya kerana memerangkapku di dalam perkahwinan ini.

Saat ini aku keseorangan di bilik. Sany berada di syarikat papanya. Rupa-rupanya Sany anak orang kaya. Anak Tan sri tapi sekalipun dia tak pernah cerita pada aku. Sikapnya yang selalu merendah diri langsung tak menunjukkan yang dia berasal dari golongan berada. Kereta yang dipakainya di kampus hanya kereta biasa-biasa saja iaitu kereta myvi. Pandai dia sembunyikan statusnya yang sebenar. Sebagai kawan baiknya pun aku tak tahu tentang hal yang satu ini.

Sedang aku mengemas katil kami, aku perasan ada surat yang berada di bawah bantalku. Sany yang letak? Dengan perasaan ingin tahu aku ambil dan mula membaca coretan di dalam surat tersebut.

Ke hadapan isteriku Nurul Hazlinda,

Abang harap warkah ini dapat menyelesaikan kemelut yang sedang terjadi dalam perhubungan kita. Hanya ini yang mampu abang lakukan kerana Lin tak mahu mendengar penjelasan dari mulut abang sendiri.

Abang faham kalau Lin terasa dengan apa yang abang pernah lakukan. Abang mengerti kalau Lin kecewa dengan tindakan abang yang pernah mengabaikan Lin suatu masa dulu. Abang tahu, semua yang Lin rasa sekarang ni berpunca daripada diri abang sendiri. Apa yang boleh abang nyatakan ialah maaf… maafkan abang kerana buat Lin menderita kerana kehilangan ‘bestfriend’ Lin dahulu. Abang tahu, ucapan maaf itu langsung tak setanding dengan rasa sakit hati Lin tetapi hanya itu yang mampu abang ucapkan.

Tahukah Lin kenapa abang bertindak demikian? Abang lakukannya bersebab. Abang dah tak boleh nak anggap Lin sekadar kawan baik abang sahaja. Abang mahukan hubungan kita lebih daripada sekadar kawan baik! Tanpa abang sedar, perasaan sayang abang buat Lin semakin bercambah. Mekar sehinggakan abang tak mampu untuk mengawalnya. Pandangan abang terhadap Lin sudah berubah. Abang mula pandang Lin sebagai seorang perempuan yang ingin abang sunting menjadi isteri . Jangan tanya abang bila masa abang mula mencintai Lin kerana abang sendiri tak sedar bila masa hati abang mula berubah mencintai Lin.

Abang cintakan Lin! Sungguh, abang cinta tetapi abang tahu yang abang tak mampu untuk memiliki Lin bila abang sedar yang Lin tak akan rasa apa yang abang rasa. Abang takut sekiranya abang meluahkan isi hati abang, Lin akan pergi dari sisi abang. Abang takut jika kita dah tak akan jadi macam dulu lagi disebabkan perasaan abang. Macam mana abang nak teruskan hidup tanpa memandang Lin kerana Lin adalah kekuatan abang. Tanpa Lin abang akan rebah.

Jadi, abang mengambil keputusan untuk menjauhkan diri seketika. Abang cuba hapuskan perasaan yang tak sepatutnya ini. Abang cuba buang rasa cinta abang pada Lin dengan mendekatkan diri pada perempuan lain. Tetapi tahukah Lin… sejauh mana pun abang pergi ingatan abang terhadap Lin tetap melekat kuat. Abang tak mampu… malah, abang rasa terseksa bila berjauhan dengan Lin.

Di saat abang ingin kembali… hati abang kecewa bila melihat Lin bersama Faiq. Abang tak benci Faiq… tapi abang cemburu bila Lin bersama dia! Mungkin Lin boleh kata yang abang ni pentingkan diri tetapi kenyataannya abang memang tak sanggup tengok Lin bersama dengan lelaki lain. Rasa cinta ini benar-benar menyeksa abang. Ingin saja abang luahkan tapi abang ego…

Jalan terakhir yang boleh abang lakukan untuk memiliki Lin ialah dengan menghantar rombongan meminang ke rumah Lin. Percaya atau tidak, abang memang yakin yang emak Lin akan terima abang dan sebagai anak yang baik abang tahu Lin akan terima pinangan abang.

Abang memang pentingkan diri kan? Tetapi lelaki yang pentingkan diri inilah yang ingin hadiahkan kebahagiaan dalam hidup Lin. Lelaki inilah yang akan menyapu air mata Lin di saat Lin kesedihan. Lelaki inilah yang akan menemani Lin menjalani hari-hari tua kelak. Dan lelaki inilah yang akan mencintai Lin selagi nyawa dikandung badan.

Tolonglah sayang… jangan pinggirkan abang dari hidup Lin. Abang merindui kemesraan kita seperti dulu. Abang rindukan senyuman Lin… abang rindukan gelak tawa Lin. Abang sedar yang perkahwinan kita tak seperti orang lain tetapi abang sentiasa berdoa agar Lin dapat terima abang. Percayalah sayang… hanya Lin yang bertakhta di hati ini dari dulu lagi, sekarang dan insyaAllah selagi abang masih bernafas di dunia ini.

Suami yang mencintaimu,
Eranshani.

Tanpa aku sedari, air mata sudah basah menuruni pipiku. Sungguh, aku tak sangka yang Sany turut mencintaiku! Rupanya kami sama-sama mencintai tetapi disebabkan masing-masing memendam rasa, terdapat banyak salah faham yang terjadi. Aku harus lakukan sesuatu agar hubungan kami kembali pulih. Aku tak nak Sany berjauh hati dengan sikapku. Mungkin aku patut menawan hatinya kembali. Pamerkan rasa cinta yang aku tanggung selama ini supaya dia tahu bahawa dia tak bertepuk sebelah tangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience