Bab 3

Romance Series 29528

“LAIN kali, dress kitorang jangan lipat. Ambil hanger dan sangkut.”

“Yup. And susun baju kitorang ikut warna ya. Jangan nak campur-campur.” Rafidah bercekak pinggang.

Ucap terima kasih pun tak. Dian diam.

“Okay kakak. Dian nak masuk bilik dulu. Nak rehat.” Dian berjalan longlai.

“Eh, eh. Nanti dulu.” Rafidah menahan. “Tu, berus mekap aku tu. Siapa nak cuci?”

“Kenapa mesti Dian yang kena buat?”

“Eh, mulut tu… Jangan nak melawan ya. Kitorang lagi tua tau!”

“Betul tu. Ini semua untuk melatih kau jadi rajin. Nanti dah kahwin, tak payah ambil orang gaji…” Hamidah dan Rafidah saling berbalas jelingan. Puas hati mereka lihat Dian makin mencuka.

“Dah, jangan tercegat lagi. Pergi cuci ni.” Mahu tak mahu, Dian mengambil sahaja bekas berisi berus mekap yang dihulur oleh Hamidah.

PUAN JASMIN berjalan melenggang ke dapur. “Kau kenapa menangis malam-malam?” soalnya sambil berjalan ke rak cawan. Tekaknya dahaga minta dibasahkan.

“Mama…”

“Apa dia?”

“Kakak… Dia buli Dian…” Adu Dian padanya.

“Buli apa?” Puan Jasmin layan acuh tak acuh.

“Kakak suruh-suruh Dian buat itu ini. Ini pun, diorang suruh basuhkan berus mekap.” Baru sahaja dia nak tumpang bermanja dengan mama barunya, berdekah tawa Puan Jasmin sampai sakit perut.

“Aduhai kau ni. Tolong je la kakak-kakak kau tu. Apa salahnya, kan dapat pahala. Mengadalah kau ni.” Puan Jasmin jadi serabut dengan hal-hal kecil seperti ini.

Dian hampa dan melihat Puan Jasmin terus berlalu dengan tawanya. Kalaulah ibu masih ada, mesti dia akan pujuk.

Loket yang bergantungan di lehernya digenggam. Rindu ibu.

JAM sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Encik Hilmi menolak pintu.

“Assalamualaikum.”

“Ayah dah balik…” Dian berlari anak dan terus memeluk ayahnya. Puan Jasmin yang terlena di sofa pun terus terjaga.

Bangun-bangun saja, nampak muka manja budak Dian tu. Tapi dikawal muka menyampah, takut Encik Hilmi perasan pula. “Oh, bila abang balik? Saya terlena pulak,” ujarnya sambil mengesat mata.

“Awak pergi rehat dalam bilik dulu ya. Nanti saya datang.” Encik Hilmi tersenyum penat memandang isterinya itu.

“Yalah.” Perlahan Puan Jasmin bangun dan masuk ke bilik. Kantuknya tak hilang lagi, berjalan pun dengan mata tertutup.

“Ayah…”

“Ada apa Dian? Kenapa muka Dian ni?” Risau Encik Hilmi melihat wajah Dian yang agak sembap.

“Tadi, kakak-kakak tu suruh Dian macam-macam. Dian pun tak tahu kenapa diorang suruh Dian buat semua tu…” Bila Dian ingat balik, rasa nak menangis pun ada.

“Tak apa Dian. Nanti ayah tegur diorang ya. Ni, dah lewat ni. Dian pergi masuk tidur dulu.” Perlahan Encik Hilmi menggosok belakang badan Dian seperti mahu memujuk dan memberi rasa sayangnya.

“Terima kasih. Saaayang ayah.” Ayah dan anak itu berpelukan erat.

DAH awal pagi, tapi bilik tidur Hamidah dan Rafidah diisi tawa mengilai. Mentang-mentanglah esok hujung minggu, mereka tidur lewat.

“Helo, I punya Jungkook lagi handsome okay!”

“Euw, sorry. Aku tak minat muka Korealah.” Hamidah meniarap dengan majalah artis di tangannya. “Kalau aku suka yang maco macam Henry Cavill.”

“Eleh, bukannya lelaki tu nak dekat kau pun.” Rafidah menjelir lidah.

Geram, bantal yang melapik tubuh Hamidah pantas diayun ke muka kembarnya.

“Isy, apa ni? Sakitlah!”

Tok! Tok! Tok!

Serentak kembar itu memandang ke arah pintu.

“Hamidah, Rafidah. Buka pintu ni sekejap.” Suara Encik Hilmi kedengaran dari luar. Mereka cuak.

“Kuat sangat ke suara kita Mida?” Mereka berdua berpandangan dan tidak bergerak.

“Kaulah pergi jerit tadi.” Mereka mula salah menyalahkan antara satu sama lain.

“Dah kau pukul aku… Pergilah bukakan pintu.” Rafidah menolak bahu Hamidah.

Hamidah bangun dan menuju ke pintu bilik. “Isy! Sekejap ayah.”

Encik Hilmi sudah terpacak di depan pintu. Direnungnya wajah kembar itu bersilih ganti.

“Ayah… Tengok ni…” Rafidah cepat-cepat mencapai sebatang berus mekap yang bulunya hampir tercabut. “Dian rosakkan berus mekap Fidah.”

“Fida dengan Mida suruh Dian buat apa?” soal Encik Hilmi lembut tapi tegas. Rafidah memandang Hamidah, tapi dia menunduk. Encik Hilmi masih merenung tajam menanti jawapan.

“Mida ni, dia suruh Dian lipat baju dia…”

“Eh???” Terkejut Hamidah. Laju dia mengangkat muka kerana nama dia seorang dipetik.

“Apa ni… Fida yang suruh… Baju dia pun ada. Siap suruh Dian basuh berus mekap dia lagi…”

Encik Hilmi mengangguk. Bila seorang cuma menyalahkan satu sama lain, yang lagi seorang ikut buka cerita. Terus pecah tembelang.

“Maksudnya, korang berdua suruh Dianlah ya? Kenapa tak boleh buat sendiri?”

Tiada jawapan. Mereka hanya menunduk.

“Lepas ni, jangan nak suruh-suruh Dian buat kerja korang lagi. Dah besar, kan? Sepatutnya, korang jadi contoh untuk Dian sebab dia lagi muda. Bukannya buli dia macam ni.” Panjang lebar Encik Hilmi membebel. Geram dengan perangai kembar itu yang asyik mengambil kesempatan. “Dah lewat malam ni. Pergi tidur, jangan nak mengilai-ilai lagi.”

Pintu ditutup. Eee, geramnya aku dengan Dian. Dekat sekolah orang sayang, dekat rumah pun orang sayang.

“APA? Dia marah korang?”

“Ha’ah mama… Kitorang yang kena marah,” adu dua orang kembar tidak seiras ini. Sengaja dia melaporkan hal ini kepada mama mereka agar Dian akan dimarahi pula. Kalau Dian ada Encik Hilmi, mereka ada Puan Jasmin.

Puan Jasmin menarik nafas dalam. Isy Dian ni, sebab dia mengadu, anak-anak aku yang kena marah. Tajam matanya memandang Dian yang leka membaca buku.

Kau sabar ya, perempuan. Pantang aku orang sentuh anak-anak aku!

PAGI Ahad, Encik Hilmi mengambil cuti sehari kerana hari itu hari istimewa.

“Dian.”

Dian yang sedang membaca di bilik tidurnya menoleh ketika namanya dipanggil. “Ada apa ayah? Masuklah.”

Encik Hilmi seperti menyembunyikan sesuatu di belakangnya.

“Ayah ada something nak bagi ni…”

Dian yang berbaring terus duduk tegak. Teruja. “Apa dia ayah?”

“Surprise!” Encik Hilmi menghulur sebuah buku cerita berkulit keras yang berwarna biru. “Happy birthday Dian!”

“Wah! Dian dah lama nak buku ni. Terima kasih ayah!” Teruja sungguh Dian memandang buku yang kini berada di tangannya. Ayahnya selalu tahu untuk membahagiakan dia dan selalu tahu apa yang disukainya.

Mereka erat berpelukan. Hampir saja Dian menitiskan air mata. Ayah memang terbaik. Aku sayangkan ayah!

“HMM…” Dua pasang mata memerhati penuh rasa cemburu. Kemudian, mereka berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum sinis.

“Mama, mama!” Rafidah separa berbisik menghampiri Puan Jasmin di dapur. Hamidah hanya mengikut macam belangkas. “Mama, tadi kan… Kitorang nampak yang ayah bagi hadiah dekat Dian.” Laju mulut Rafidah bercerita. Pantang betul dia lihat Dian dilayan baik.

Puan Jasmin merapati anak-anak gadisnya untuk berbisik. “Hancurkan hadiah tu. Buat macam kononnya jadi sendiri. Jangan sampai dia tahu.”

RAFIDAH dan Hamidah duduk rapat di sofa. Mereka tak berani nak pandang mana-mana, apatah lagi nak pandang wajah Encik Hilmi yang muram. Puan Jasmin turut duduk di samping anak-anak gadisnya.

“Apa teruk sangat result SPM korang berdua ni? Macam mana nak sambung belajar? Kalau nak buat rayuan pun susah tau.”

Puan Jasmin tak senang duduk. “Awak janganlah nak salahkan anak-anak saya pulak. Dah takdir diorang dapat result macam tu, nak buat macam mana?”

“Jadi nak salahkan takdir ke? Itulah, suruh belajar betul-betul tak nak. Asyik dengan majalah artis dan gosip-gosip je,” keluh Encik Hilmi sambil menahan geram melihat keputusan itu.

Hamidah diam. Rafidah pula mengetap gigi. Mentang-mentang Dian pandai, diorang buat apa pun tak jadi salah.

“Haisy!” Encik Hilmi yang baru berdiri hendak berlalu cepat-cepat ditahan Puan Jasmin. “Awak, nantilah dulu…”

“Apa lagi?”

“Kalau anak-anak kita tak dapat mohon universiti awam, awak hantarkan diorang masuk kolej. Kesian Fida dengan Mida, nak sangat belajar bisnes.”

Lama dia berfikir. Bukan tak mahu hantar ke kolej, tapi kalau budak-budak tu bermalas-malasan lagi, rugi duit je. Bukan murah yurannya. Tapi, Encik Hilmi juga tak mahu berbalah tentang hal ni.

“Yalah. Nanti saya daftarkan kolej untuk diorang berdua. Tapi dengan syarat, belajar betul-betul.” Keterangan yang melegakan, tapi turut disertai amaran oleh Encik Hilmi yang membuat kembar itu bertambah sakit hati.

DIAN memandang ayahnya yang nampak gusar. Dengan secawan kopi di tangan, Dian menghampiri ayahnya.

“Hmm, harumnya…” Encik Hilmi menoleh ketika tercium aroma kopi. Kemudian, dia menatap wajah Dian yang manis tersenyum.

“Ayah nampak stres. Ada apa-apa ke yang Dian boleh bantu?” Mereka duduk bersebelahan.

“Bukan apa. Ayah cuma risau dengan kakak-kakak kamu tu.” Tergeleng lemah Encik Hilmi. Bagaimanalah keputusan hanya boleh cukup-cukup makan saja. Tidak belajar langsung ke mereka?

Dian mengangguk. Kasihan juga dengan Rafidah dan Hamidah walaupun mereka melayannya kurang baik.

“Dian?” Lembut panggilan ayahnya sambil mencapai tangan halus Dian.

“Ya ayah?” Encik Hilmi termenung jauh seketika. Hatinya terasa hiba.

Pandangan mereka anak beranak bertaut. Lalu, Encik Hilmi alihkan ke arah lain. “Dian tolong jaga diri Dian, selalu utamakan diri sendiri dan selalu berbuat baik. Dalam masa yang sama Dian kena tolong ayah untuk jaga apa yang kita ada pada hari ini. Ayah bangga dengan Dian yang selalu utamakan berbuat baik dengan semua orang. Dian sama macam arwah ibu Dian.”

Dian memandang Encik Hilmi dengan perasaan campur-baur. Dia sedih bila teringatkan arwah ibunya dan dalam masa yang sama bangga.

“Ibu pesan buat baik sentiasa. Sebab menghukum tu kerja Tuhan,” kata Dian sambil tersenyum.

Encik Hilmi mengangguk dan tersenyum. Ya, itulah yang sering dikatakan oleh isterinya. Lama matanya memandang rantai yang dipakai anaknya itu dan matanya jatuh pada loket.

“Simpan rantai dan loket itu elok-elok. Arwah ibu suka rantai dan loket ini,” pesan Encik Hilmi dan dalam masa yang sama Dian terus sorokkan dan masukkan ke dalam baju.

PUAN JASMIN membantu Encik Hilmi memperkemas baju yang disarung pada tubuh Encik Hilmi. Sememangnya Puan Jasmin memegang rekod bersih sebagai seorang isteri di mata Encik Hilmi. Sopan santun, lemah lembut, rajin, dan pandai melayannya.

“Fida. Mida. Sini sekejap.” Encik Hilmi memanggil. Serentak kembar itu datang dengan senyuman hambar. “Ayah nak minta maaf tau sebab tegur kamu semalam. Ayah dah uruskan pendaftaran kolej, nanti korang berdua belajar elok-elok ya. Banggakan mama dan ayah. Boleh?” Nasihat Encik Hilmi. Mereka dua ini masih muda remaja perlukan nasihat selalu.

“Boleh ayah. Terima kasih!” Serentak si kembar itu merangkul tubuh Encik Hilmi. Girangnya hati tak terkata, tak lama lagi nak menempuh alam baru, nak masuk kolej. Yeay!

Puan Jasmin juga tersenyum. Dapat juga anak-anaknya sambung belajar. “Awak tu, pergi kerja elok-elok. Jaga diri.”

Encik Hilmi memandang Dian dengan pandangan sayang. Daripada raut wajah itu terselit wajah arwah isterinya. Rindunya kepada arwah isterinya itu.

Bagai memahami Dian terus saja menuju ke Encik Hilmi. “Ayah.”

Terus saja Encik Hilmi memeluk erat tubuh Dian. Entah, terasa tak puas pula memeluk anaknya yang satu ini. Lama mereka berpelukan.

“Dian, jaga diri baik-baik. Dian selalu ada ayah dan ibu dalam diri Dian. Takkan hilang benda tu. Dian tetap satu-satunya anak ayah dan ibu. Terima kasih sebab jadi anak yang sangat baik.” Encik Hilmi membisik ke telinga Dian dan membuat gadis itu sebak.

Mata-mata yang memerhati Dian dan Encik Hilmi mula merasa meluat melihat keakraban dua beranak itu. Bagaikan mahu saja mereka memuntahkan isi perut mereka.

“HAISY… Banyak lumpur. Ni mesti sebab hujan dua hari berturut. Macam mana ini bos?” Lee memandang Encik Hilmi dengan wajah gusar. Banyak kerja yang terbantut kerana cuaca tak menentu.

“Tak apa Lee. Cakap dengan yang lain, kita tunda dulu sampai cuaca dah baik. Bahaya ni kalau bekerja keadaan macam ni.” Encik Hilmi juga risau selepas melihat keadaan sekeliling. Keselamatan pekerja juga perlu diambil kira kerana ini adalah mega projek yang semestinya memakan masa dan wang.

Lee mengangguk dan bersetuju dengan Encik Hilmi. “Okeylah bos. Nanti saya cakap dengan diorang.”

“Okey, saya nak tengok-tengok kawasan ni dulu.” Encik Hilmi terus berjalan di kawasan itu. Langkahnya perlahan kerana laluan yang berlumpur itu agak licin. Lee meninggalkannya bersendirian untuk memaklumkan arahan Encik Hilmi kepada pekerja lain.

Bunyi kuat dari bahagian atas. Encik Hilmi terus mendongak. Sebuah bongkah konkrit meluncur laju dan jatuh ke bawah.

Bom!!!

“Woi!!! Bunyi apa tu Lee???”

Lee berlari ke arah bunyi itu dan disertai pekerja kontraktor yang lain.

“Ah!!! Itu…” Giginya terketar-ketar. Encik Hilmi tiada di pandangan.

“Bos!!!”

TALKIN yang dibaca imam tadi sangat menyentaknya kerana dia tahu dan kenal nama yang menjadi sebutan itu. Selang setahun dia kini menjadi yatim piatu. Gelaran yang sangat berat dan tersangat pilu. Air mata yang mengalir tanpa henti tidak sekali dia cuba untuk sekat, hanya esakan saja dia menahannya.

Ini bukan tentang kekuatan tetapi tentang penerimaan. Dia sedang menghadam setiap satu yang terjadi, semua ini terlalu pantas untuknya. Apa lagi yang tinggal untuknya di dunia ini?

Tanah merah di hadapannya dipandang, kali ini tiada hujan seperti pengebumian ibunya mungkin Tuhan tahu tiada siapa lagi yang akan memayunginya seperti sebelum ini. Orang ramai mula beransur pulang memberi ruang kepada Dian untuk berdamai dengan sebuah kehilangan.

Dadanya terasa sempit dan ketat. Nafasnya mula tersekat dan akhirnya dia menghamburkan segala tangisan dan kesedihan sehingga kakinya tidak kuat dan membawa ia merebah melutut pada bumi. Tangan kanannya memegang dada kirinya, sakit. Sakit sangat sebuah kehilangan.

Esakan Dian bersenandung pilu membuatkan tiada lagi yang pilu selain kehilangan orang tua dan menjadi yatim piatu pada usianya mahu mengenal dunia.

Puan Jasmin bersama Rafidah dan Hamidah di sampingnya, hanya memandang dari kejauhan. Tak sampai hatinya nak memujuk Dian. Sedih? Entah, lebih kepada sebaliknya. Bagi mereka biasalah nak bersedih jika ada orang meninggal. Esok, lusa lupalah tu.

“INI Puan Jasmin ya? Balu kepada Encik Hilmi,” tanya seseorang dari luar pagar dan Puan Jasmin terus menjemput tetamu itu masuk ke ruang taman yang mempunyai kerusi dan meja untuk bersantai.

“Ya saya.” Puan Jasmin duduk sopan di hadapan lelaki segak berkot itu. Kehadiran peguam maksudnya tak lain. Hal wasiat.

“Saya Encik Irshad, peguam yang menguruskan hal wasiat Encik Hilmi ke atas puan sekeluarga.” Nah, kan benar telahan Puan Jasmin.

Puan Jasmin hanya mengangguk dengan wajah paling sedih.

“Puan ni, isteri kedua Encik Hilmi bukan? Dan Encik Hilmi ada seorang anak kandung yang bernama Dian Hana.” Peguam itu menyusun soalan.

“Ya betul. Kasihan budak tu.” Puan Jasmin mengesat air mata yang mengalir. “Baru hilang ibu, sekarang hilang ayah. Saya tak dapat nak gambar apa perasaan dia sekarang.” Tersekat-sekat suaranya menahan sebak.

“Sabar puan. Saya tahu, ini perkara yang berat untuk puan sekeluarga.” Encik Irshad menenangkan Puan Jasmin sambil mata meliar melihat sekeliling rumahnya. Dari tadi dia tidak nampak wajah satu-satunya anak perempuan arwah Encik Hilmi.

Puan Jasmin mengangguk kepala dan terus menyeka wajahnya dengan sapu tangan. Dia perasan akan perbuatan Encik Irshad.

“Err, encik. Boleh saya tahu? Rumah ni, jatuh atas nama siapa?”

Terkejut Encik Irshad ditanya begitu, tapi dia turutkan saja. “Mana Dian ya? Saya perlu baca wasiat ini di hadapannya kerana dia adalah pemegang harta pusaka dan wasiat ayahnya.”

Bulat mata Puan Jasmin. Kering terus air matanya. Biar betul? “Ah, Encik Irshad. Pasal rumah ni, encik jangan sebut dulu.”

“Tak boleh macam tu puan. Itu tanggungjawab saya untuk…” Terdiam Encik Irshad bila Puan Jasmin memotong percakapannya sambil mengenyitkan mata seakan-akan menggoda juga.

“Tapi Dian bawah umur lagi. Takut dia berat nak dengar semua tu. Rumah ni banyak kenangan dia, nanti lagi dia sedih. Lagipun ni, dia memang tak keluar bilik. Tak nak jumpa sesiapa dan tak mahu makan dan minum. Saya tak nak ada pengebumian yang seterusnya.” Puan Jasmin pula yang seperti mengugut.

Encik Irshad mengerut muka. “Tapi puan…”

“Encik. Saya tak minta izin tau.”

Encik Irshad tersenyum sumbing. Lama dia berfikir sebelum memandang semula Puan Jasmin penuh makna. “Boleh puan. Tapi…” Jarinya mengetuk-ngetuk meja memberi isyarat. Puan Jasmin sekelip mata faham.

“Baik, saya faham. Berapa yang Encik Irshad nak?” Puan Jasmin juga memulakan langkah godaannya bersertakan wang. Siapa saja boleh menolak?

PUAN JASMIN mengintip Dian di ruang celahan pintu. Ralit dia berfikir. Dia nekad dengan ideanya yang mahu mengawal segala apa yang ada di rumah ini termasuk segala tindak-tanduk Dian. Dia tidak mahu dihalau keluar dan tidak berkuasa lagi. Yang penting dia tidak mahu hidup susah.

Bacaan wasiat tadi banyak yang ditukar secara tidak rasmi. Yang penting rumah besar ini dikatakan adalah milik Puan Jasmin. Namun, ketika itu wajah Dian hanya kosong dan entah dia dengar ataupun tidak.

Puan Jasmin menuju ke dapur dan membancuh air coklat dan dia meletakkan satu pil ubat yang akan membuatkan Dian tidak sedarkan diri dan rebah. Ini adalah caranya untuk mengawal segala yang ada di rumah ini serta harta yang diwariskan kepada Dian.

Rancangannya adalah…

“Aku akan buat kau macam kau ada sakit yang teruk dan kena bergantung dengan aku Dian. Mungkin sakit yang sama macam mak kau dulu?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience