Lirik

Horror & Thriller Series 22056

Kaki laju melangkah meninggalkan Khalil dibelakang aku. Mata aku berkaca dan air mata mengungut untuk jatuh ke pipi aku.

Ayat ayatnya terngiang ngiang dalam fikiran aku. "Aku selalu dengan kau ni pun sebab aku nak tahu siapa yang ambil Taha. Kau jangan ingat aku suka kau pula."

Jantung aku bagaikan terhenti saat dia menghamburkan kata kata itu. Untuk pertama kali aku rasa seseorang seperti Khalil datang dalam hidup aku. Aku mula bukakan hati untuk terima dia dan dia…

Dia tak pernah fikir aku sebagai apa apa pun. Bukan kawannya, bahkan mungkin seperti musuhnya.

Setelah apa yang dia buat untuk aku, semua itu tidak bermaksud apa apa? Selama ini dia ikut aku ke hulu ke hilir semata mata untuk mengorek rahsia tentang Taha yang aku sendiri pun tidak tahu?

"Una, tunggu!" Suaranya kedengaran di belakang aku.

Aku lajukan langkah aku sehingga aku nampak bas di perhentian bas. Tanpa menoleh, aku naik dan duduk di kerusi yang selalu aku duduki.

Air mata setitis dua yang mula jatuh aku seka perlahan. Aku tidak pernah menangis untuk manusia lain. Tidak pernah.

Kecuali Khalil.

Aku bodoh kerana mula menyukainya. Kerana mula selesa apabila bersamanya. Kerana mula memikirkannya sebelum aku tidur dan membayangkan suaranya sebaik aku sedar di pagi hari.

Fon telinga aku sumbatkan ke dalam telinga. Sudah lama aku tidak mendengar lagu dalam bas kerana Khalil selalu di sebelah aku dan membebel kepada aku.

Muzik selalu membuatkan aku rasa lebih baik. Teman aku selama ini sebelum lelaki tidak guna itu muncul dalam hidup aku.

Pandangan aku lepaskan ke luar tingkap dan muzik aku kuatkan supaya bunyi di sekeliling aku tidak kedengaran.

Ini mengingatkan aku tentang kisah penyanyi itu. Ya, aku pernah terpegang tangan seorang penyanyi kerana dia nyaris terjatuh di kaki lima di Universiti aku.

Namanya Yusuf.

Yusuf penyanyi muda yang mula meningkat naik dalam industri tanah air. Kebolehannya menulis lirik dan menggubah muziknya sendiri benar benar satu bonus kepadanya.

Wajahnya yang kacak dan karismanya jugak salah satu kepada faktor mengapa dia sangat digilai semua di Malaysia ini.

Aku tahu kisah di sebalik lagunya yang selalu menghiasi corong corong radio sehingga yang tidak meminatinya pun mula menyanyikan lagu itu.

Yusuf, terkenal dengan perangai keras kepalanya. Dia tidak akan mendengar kata kata orang lain kecuali dia benar benar bersetuju dengan apa yang dicadangkan.

Sehinggalah sesuatu yang amat buruk terjadi kepadanya.

Dia dilanda writer's block.

Satu baris lirik pun dia tidak mampu untuk dikeluarkan daripada otaknya yang dulu dipuji geliga. Berhari hari dia luangkan di studionya namun hampa.

"Yusuf, aku rasa kau kena rehat dulu ni." Jul menasihati Yusuf yang lingkaran bawah matanya semakin hitam kerana tidak tidur berhari hari.

"Diam." Yusuf menjawab pendek.

Jul yang jengkel dengan perangai lelaki itu menggeleng kepala beberapa kali. "Kau ni dah macam orang gila aku tengok, kau tahu tak?" Jul memeluk tubuh.

"Aku lagi rela jadi gila daripada mati." Yusuf berkias. Membuat lagu dan menyanyi ialah kehidupannya. Tanpa membuat perkara perkara ini, dia merasakan seperti dia mati.

"Aku risaukan kau saja, Yusuf." Jul menasihati.

"Ya,ya. Aku faham. Kau tak payah risau. Aku okay." Jawab Yusuf dengan sedikit nada benci dalam suaranya.

"Aku balik dulu." Jul mengutip barang barangnya dan keluar dari studio itu. Kerjanya sebagai pengurus Yusuf terasa seperti tidak dihargai. Tetapi Jul kenal dengan Yusuf sudah lama. Perangai Yusuf memang begitu namun dia sebenarnya yang baik hati cuma keras kepala.

Yusuf mengetuk kepalanya dengan pen di tangan lalu ia dilepaskan dan kepalanya dihantuk ke papan kekunci di depannya.

Tekanan yang merimaskan itu seakan akan bakal memecahkan kepalanya dan otaknya akan bersepai seperti baru ditembak.

"Yusuf, fikir, fikir." Dia menarik nafas panjang dan menghembuskannya perlahan.

Dia perlukan idea. Lagunya yang sebelum ini mendapat sambutan hebat dari banyak pihak. Bahkan menarik ribuan peminat baru daripada Indonesia, Singapura dan Brunei.

Lagu yang baru ini perlulah lebih baik dari sebelumnya. Dia tidak mahu menghampakan mereka yang berharap kepadanya. Dia tidak mahu membuat kerja sambil lewa.

Lelaki itu mencapai cawan terisi air kopi dan meneguknya hingga kosong untuk kali yang kebarapa hari ini. Dia perlukan kaffein untuk kekal jaga.

Pen tadi dicapai semula dan mula menulis beberapa rangkap lirik sebelum kertas itu diambil dan di dikeronyok dan digumpal gumpal geram lalu dibaling ke dinding penug rasa geram.

Lirik yang baru ditulisnya kedengaran tidak jujur, kedengaran kebudak budakkan. Itu bukan Yusuf.

Dia mahu semua yang mendengar rasa apa yang dia rasakan. Mahu mereka dengar melihat sendiri akan apa yang terjadi melalui bait bait liriknya.

Saat itu, pintu yang ditutup tadi tiba tiba terbuka sendiri. Yusuf tersentak.

Nafas penat dihela, kesal akan perangai Jul yang tidak reti tutup pintu rapat rapat. Punggung diangkat dan kaki menghala ke arah pintu itu untuk menutupnya.

Dan saat itu dia nampak kelibat seorang wanita di depan pintu itu.

Bangunan studionya ini dikawal rapi. Mustahil gadis ini boleh masuk sesenang ini.

"Cik, ada hal apa dekat sini? Kalau tak ada apa apa baik cik pergi sebelum saya panggil security."
Ujar Yusuf, tegas.

"Kau.. perlukan pertolongan?"

Suara gadis itu lunak bertanya. Yusuf tersentak.

"Baik cik pergi sebelum saya panggil security." Ulang Yusuf sekali lagi.

"Lirik kau… Aku boleh tolong." Kata gadis itu, kepala tertunduk, rambut menutupi wajahnya.

"Apa yang kau tahu pasal lirik?" Yusuf membuang pandangan jengkel ke arahnya.

"Aku tahu apa yang kau rasa, Yusuf." Gadis itu mendekatinya. " Aku rasa apa yang kau rasa." Dia meletakkan tangannya di dada lelaki itu.

"Dan aku akan tulis apa yang kau rasa, dan aku akan pastikan, mereka rasa apa yang kau rasa." Gadis itu akhirnya mendongak dan wajahnya yang pucat dihiasi senyuman menyeringai.

"A-apa maksud kau." Yusuf tergagap. Dia jarang berasa takut, tapi kali ini, dia benar benar takut. Aura gadis ini.. Tidak menyenangkan.

"Kau cintakan dia, bukan?" Senyumnya masih belum pudar. "Kau cintakan dia tapi kau tak boleh beritahu sesiapa ,kan? Termasuk dia sendiri?" Gadis itu bertanya lagi.

"Sepatah lagi kau bercakap, aku akan pastikan hidup kau susah, perempuan." Yusuf mula mendail nombor kecemasan untuk menelefon polis, sebelah tangan cuba menolak pintu untuk ditutup.

"Aku akan tuliskan engkau lirik yang paling indah kau pernah baca. Dan aku tak minta apa apa, aku cuma mahu tulis lirik untuk engkau. Itu sahaja." Gadis itu menahan pintu dari ditutup.

Kekuatannya itu seakan tidak disangka sangka datang daripada tubuhnya yang kecil.

"Kau yakin betul yang kau boleh tulis lirik lebih baik dari aku." Yusuf tersenyum sinis, tersembunyi perasaan takut dalam hatinya.

"Ya, aku yakin." Dia mengakat wajah dan menunjukkan senyumnya yang menyeringai akhirnya membuatkan Yusuf sedar yang dia..Tidak mempunyai mata.

Bulu roma Yusuf tegak berdiri namun dia menguatkan pendirian.

"Okay.. Kalau itu yang kau nak." Yusuf membiarkan pintu itu terbuka. Gadis itu perlahan lahan berjalan masuk, terbongkok bongkok.

Jari jemarinya yang runcing mencapai pen dan mencucuk jarinya sehingga berdarah dan dia melayang layangkan pen itu di atas kertas kosong.

"Kau cintakan dia.. Tapi kau bunuh dia, bukan?" Gadis itu berkata kata sambil menulis.

"Apa kau cakap ni?" Yusuf yang hanya melihat dari jauh merasakan kakinya seakan menggigil.

"Kau biarkan dia mati.. Sebab kau ego." Dia berkata kata dengan nada yang sama sedari tadi.

"Kau tak tahu apa yang jadi. Dia tu gila!" Yusuf gagal menyimpan perasaanya.

Kepalanya kembali kepada zamannya ketika masih bersekolah. Gadis itu.

Ros.

Dia sudah lama tahu yang Ros menyimpan perasaan terhadapnya. Yusuf tahu Ros selalu lalu di sebelah kelasnya semata mata ingin melihat wajahnya. Dia tahu Ros yang letakkan coklat di dalam lokarnya. Dia tahu Ros yang menulis lirik lagu dan selitkan di sis begnya.

Semua orang tahu Ros sukakan dia. Lebih dari segala galanya.

Satu hari, Yusuf dicabar teman temannya untuk memberitahu yang Yusuf tidak menyukainya. Yusuf yang pantang dicabar menyahut cabaran itu.

Sebenarnya, Yusuf pun sukakan Ros juga. Namun, ego lebih menguasai dirinya. Dia tidak akan kalah.

Hari itu, Yusuf berdepan dengan Ros dan tersenyum padanya dengan senyuman manisnya yang nampak gusi. Semua di kelas itu berkumpul di belakang Ros untuk mencuri curi dengar.

Walaupun Yusuf yakin mereka memang berkumpul untuk mendengar apa yang dikatakannya.

" Sebenarnya aku nak bagitau kau yang aku tahu kau suka aku tapi aku tak sukakan kau." Ujar Yusuf di depan Ros dan semua orang di kelas itu.

Ros tersentak, terkesima. Tiada kata kata mampu diucap ketika itu.

Usai itu, Yusuf hanya meninggalkan Ros sendirian, dan berlalu pergi. Malam itu Yusuf tidak mampus tidur kerana dia teringat akan gadis berambut panjang itu.

Dia benar benar cintakan dia. Kenapa dia sanggup berbuat begitu pada gadis itu? Dia sendiri tak tahu.

Esoknya sekolah gempar. Ros bunuh diri, terjun dari tingkat empat belas pangsapurinya.

Bertahun juga Yusuf menghidap depresi. Bahkan mencuba untuk membunuh diri berkali kali namun dia menemui semula cara untuk hidup.

Dia mula menulis lirik lagu dan menyanyi sehinggalah dia benar benar pulih.

"Kau… Ros ke?"Yusuf terkesima.

" Ya.. Aku Ros." Senyuman Ros terukir semula namun kali ini lebih lembut. Seperti Ros yang Yusuf kenal dahulu.

"Aku.." Air mata memenuhi kelopak mata Yusuf. "Aku minta maaf, Ros." Yusuf mula menangis.

Penyesalannya bertahun tahun kini datang kepadanya kembali.

"Aku minta maaf, ni semua salah aku." Yusuf melutut di atas lantai studio itu dan meletakkan tangan di dadanya yang sakit.

"Kalau bukan sebab aku… Kau masih hidup,Ros." Yusuf menangis semahu mahunya.

"Aku tak perlukan permohonan maaf kau." Ros tunduk di depannya.Wajahnya yang pucat tidak bermata benar benar dekat dengan wajah Yusuf.

"Katakan apa yang sebenar benarnya kau rasa tentang aku." Pinta Ros.

"Untuk kali terakhir, beritahu aku apa yang kau mahu beritahu aku selama ini." Sambungnya lagi.

Yusuf terdiam.Jeda beberapa minit sebelum mulutnya dibuka.

"Aku..Cintakan kau Ros." Yusuf melepaskan kata katanya sebelum tangisan terhambur semula.

"Dan itu, dah cukup, Yusuf." Ros mencium dahi Yusuf sebelum bunyi seperti kain terbang memenuhi pendengaran dan makhluk itu ghaib.

Yusuf menyeka air mata yang jarang jarang jatuh. Beban di atas bahunya bertahun tahun seakan akan diangkat pergi.

Kaki yang lemah dia kuatkan untuk pergi ke mejanya semula.

Lirik yang ditulis Ros tadi.. Ialah lirik yang sama Ros tuliskan untuknya dahulu ketika mereka saling jatuh cinta.

Ia benar benar indah. Benar benar meruntun hati setiap yang membacanya.

'Walau apa yang kau akan katakan, aku terima. Biarpun aku perlu mati untuk engkau, aku terima.
Kerana aku cinta, aku terima.'

Itulah salah satu rangkap dalam lirik lagu itu.

Tahun itu,Yusuf menerbitkan lagu itu, namun dia meletakkan nama Ros sebagai penulis liriknya.

Lagu itu menjulang berpuluh anugerah tahun itu dan setiap kali Yusuf menyanyikannya, Yusuf pasti menangis.

Sedar tidak sedar air mata aku mengalir saat itu. Kisah cinta memang tidak akan berakhir indah, bukan?

Seperti apa yang terjadi pada aku dan Khalil, ia takkan berakhir indah.

Aku sedaya upaya melupakannya dalam perjalanan pulang namun kata katanya kekal dalam fikiran aku.

Kalau bukan sebab Taha, sudah lama dia tinggalkan aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience