PREVIEW BAB-BAB AKAN DATANG

Adventure Series 10459

PREVIEW 1

KESAKITAN ditahan-tahan, dengan payah dia mengheret langkah menuju pulang ke rumah. Kesan lebam dan bengkak akibat dibelasah oleh Syed Arjuna, masih menyengat pada tubuhnya. Meskipun begitu, dia tidak mengambil iktibar. Malah, dendam kesumatnya semakin membara!

Wajah Arwa Arinah terconteng resah yang bukannya kepalang. Sepatutnya pada waktu sebegini, anakanda bongsunya sudah pulang dari sekolah. Sesekali, dia mengerling ke arah anak sulungnya yang sedang mengimpal besi untuk menghasilkan sebilah pedang. Keluarganya merupakan pengimpal besi yang cukup dikenali di Kota Jenggala sejak turun-temurun.

“Ya Tuhanku! Apa yang telah terjadi kepada kamu, Kailani?” Arwa Arinah terkejut melihat keadaan anakandanya yang baru pulang itu.

“Ku dibelasah, malah kekasihku si Na’ifah telah meninggalkanku. Kesemuanya gara-gara Syed Arjuna. Dia jugalah yang memperlakukanku sebegini rupa.”

Arwa Arinah membengis mendengarkan nama Syed Arjuna yang diungkapkan oleh anaknya itu. Dia bukannya tidak mengenali akan budak yang seorang itu, yang sering mengundang musibah dan bencana di Kota Jenggala. Tatkala berlaku kemelut dalaman, nama itu pastinya akan terungkap sebagai punca tercetusnya hal berkenaan.

Dia melempar pandang ke arah anakanda sulungnya yang sedang menajamkan pedang. Khaizuran yang memahami maksud pandangan ibundanya, menganggukkan kepalanya tanda mengerti.

* * *

PREVIEW 2

“Mengapa engkau begitu payah untuk menyerah kalah? Engkau hanya melelahkan diri sendiri. Engkau akan tewas dan dihukum juga!”

“Aku tidak mudah menyerah kalah kerana aku tidak melakukan perkara terkutuk itu!”

“Usahlah engkau menegakkan benang yang basah, Syed Arjuna. Aku tetap akan bertarung dengan engkau, sehinggalah tubuhmu tidak terdaya lagi untuk bangkit!”

Lelaki itu menghayun satu tumbukan padu diiringi tempik yang memecah keheningan suasana yang hanya diterangi cahaya jamung yang mengelilingi kawasan pertempuran mereka. Tumbukan itu dielak. Namun, disusuli pula dengan tendangan ke arah perut. Syed Arjuna yang gagal mengelak, terundur beberapa tapak ke belakang.

Lelaki itu terus melompat tinggi seraya membentuk tendangan yang menjurus pada bahagian kepala Syed Arjuna. Serangan itu mengakibatkan anak muda berkenaan tercampak tubuhnya ke tanah seiring arah tendangan yang dilayangkan.

Syed Arjuna diikat kaki dan tangannya. Lelaki itu tersenyum lebar tatkala membayangkan anugerah dan gelaran pahlawan yang akan dikalungkan kepadanya atas jasa yang telah dilakukan untuk Kota Jenggala. Dirinya akan disanjung tinggi oleh masyarakat. Sementelah, itulah impian dan matlamatnya setelah mempelajari silat selama hampir satu dekad.

Kehormatan dan kemuliaan!

* * *

PREVIEW 3

Syed Arjuna seakan terjaga daripada mimpi. Pandangannya bergelintar mengamati sekeliling. Dia terkejut menyaksikan keadaan dirinya yang terikat kuat di atas sebongkah batu. Dia meronta-ronta cuba melepaskan diri, tetapi gagal.

Lelaki itu segera mendapatkan Syed Arjuna. Tali yang mengikat kaki dan tangan anak muda berkenaan dipotong menggunakan belati miliknya. Setelah itu, lelaki berkenaan segera membawa Syed Arjuna meninggalkan tempat itu. Tidak dipedulikan wanita tua berkenaan yang sedang menanggung seksa akibat tertikam kakinya sendiri.

“Tak guna!” Wanita tua itu membentak kasar.

* * *

PREVIEW 4

Akar-akar kayu menjalar keluar dari tanah, kali ini lebih banyak. Tubuh empat sekawan itu diikat seluruhnya umpama tangan-tangan aneh yang memaut sekujur tubuh. Akar-akar kayu itu mencengkam kukuh sehingga menyukarkan mereka untuk bergerak. Hatta, meronta pun tiada daya. Mereka hanya mampu menangis, berteriak dan merayu-rayu minta dilepaskan.

Perempuan itu menghentak tanah lalu muncullah sebongkah batu lalu ia automatik terbentuk menjadi sebuah kerusi. Duduk dilabuhkan di atasnya sebelum dicampak sebatang kayu ke atas tubuh seorang budak. Kayu itu bertukar menjadi seekor ular tedung yang berbisa. Teriakan dek ketakutan semakin menguasai suasana.

Sengaja dia memunculkan seekor ular sahaja untuk melihat seorang demi seorang diseksa. Itulah sumber keseronokannya. Tangisan budak-budak itu apabila mendengar jeritan rakan mereka yang sedang diseksa ibarat melodi indah di halwa telinganya kerana kekejaman terhadap kanak-kanak adalah kegemarannya sejak azali lagi.

Dalam kegirangan itu, dia menyimpan impian untuk melihat Syed Arjuna pula diperlakukan sebegitu rupa kerana budak itu baginya lebih istimewa dan menyeronokkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience