Bab 22
Airiel segera turun ke sungai untuk membersihkan kuali. Lima minit kemudian dia naik membawa kuali yang sudah bersih.
“Nak masak apa lagi?” tanya Amalina.
“Goreng telur, untuk tabur atas bihun,” beritahu Karim.
“Mana telurnya? Biar aku pecahkan. Nak letak bawang tak?”
“Tanya Megat. Mana kau letak telur tu semalam? Dalam kereta?” Karim memandang Megat.
Megat terpinga-pinga. Dia memandang Airiel pula.
“Kau ada beli telur ke, Airiel?”
“Buat apa beli? Aku sendiri punya pun ada,” jawab Airiel selamba, sengaja buat lawak.
Karim dan Megat ketawa terbahak-bahak. Hanya Amalina yang tidak ketawa. Wajahnya merah padam.
“Lawak apa ni?”
“Lawak pagi,” jawab Megat terus ketawa lagi.
Amalina menggigit bibir. Tak senonoh! Bisiknya di dalam hati.
Airiel bergerak ke arah Pajero lantas mengeluarkan telur yang terbungkus dengan baik di dalam beg plastik. Kemudian dia meletakkan bungkusan telur itu di hadapan Amalina.
“Pecahkanlah telur ni sehingga habis… Kau memang suka menghancurkan sesuatu yang indah kan?” katanya menyindir.
“Riel!” Amalina menyambar lengan Airiel.
Airiel menarik lengannya dari pegangan Amalina. Wajah lelaki itu ditenung. Masih ada sisa-sisa kemarahan di hatinya sehingga dapat dilihat dengan jelas di wajah.
“Execuse me!” Airiel bergerak laju meninggalkan Amalina.
Amalina bangun, mengekori Airiel yang berjalan jauh dari kawasan perkhemahan. Dia sedang menyusuri anak sungai menghala ke hulu. Tebing yang landai ditutupi batu-batu kecil memudahkan pergerakan. Airiel meranduk air cetek, terus melangkah ke bahagian tengah sungai yang cetek hanya separas lutut. Dia membiarkan seluarnya basah, sengaja tidak disingsing.
“Riel, you masih marah. Maafkan I Riel.” Amalina memohon lembut dari arah belakang lelaki itu.
Airiel tidak menoleh. Dia memandang jauh ke hulu sungai. Nampak di matanya bebayang orang. Dari jauh sudah dapat dikenalinya siapa. Leo ada di situ, sedang mencari ikan. Lelaki itu tidak berbaju. Cahaya mentari pagi yang lembut menikam belakangnya yang terdedah.
Airiel tidak berkata apa-apa. Dia memerhati sahaja aksi Leo yang sedang asyik dengan kerjanya. Jarak Leo dengan Airiel dan Amalina lebih kurang 200 meter.
“Tu! Lelaki pujaan kau!” kata Airiel, sambil memuncungkan mulutnya ke hulu sungai.
“Riel! Sudahlah,” rayu Amalina sambil memaut bahu Airiel.
“Malam tadi dia menjeritkan nama kau. Semua orang dengar!” kata Airiel lagi sambil memandang tepat ke wajah Amalina.
“I malu tahu? Mudahnya you jatuh cinta dengan sakai tu tak sampai dua minggu di sini...”
Air mata Amalina berlinangan. Tanpa sedar dia menangis teresak-esak di bahu Airiel. Airiel memaling wajahnya.
“Kenapa you menangis?”
“Kerana you tak percaya pada kejujuran I. I tak ada perhubungan apa-apa dengan dia.”
“Katakan you tak ada apa-apa perasaan pada dia.”
“Memang tak ada Riel…” jawab Amalina dengan dada bergetar.
Hati kecilnya berkata lain. Kau menipu dirimu sendiri, Alin! Amalina memejamkan matanya rapat-rapat. Dia bagaikan cuba menghapuskan bayangan wajah Leo.
Sekitar jam tiga petang, teman-teman Amalina mulai berkemas untuk bertolak pulang. Saat melihat Pajero kawan-kawannya berlepas pulang, hati Amalina benar-benar tersentuh. Jika diikutkan hatinya dia ingin pulang bersama mereka namun masih ada bersisa beberapa hari di sini sebelum kembali ke Kuala Lumpur.
“Boleh aku pinjam pensil dan kertas?” tanya Leo.
Dia berdiri tidak jauh di belakang Amalina yang sedang leka memeriksa gambar yang sudah dirakam melalui kamera videonya.
“Kertas? Nak buat apa?”
“Adalah…” jawab Leo sambil menggigit bibirnya dengan kuat.
Dia tidak suka Amalina terlalu banyak bertanya.
Leo hampir-hampir siap melakar, ketika Amalina memanggilnya untuk makan tengahari.
“Kau nak tahu apa yang aku buat dengan kertas tu,” kata Leo. Dia menghulurkan kertas yang sudah siap dilakar itu ke penatapan Amalina.
Dahi Amalina berkerut. Dia tidak sangka Leo pandai melukis. Tambah mengejutkan kerana dia kenal pada wajah yang dilukis oleh Leo.
“Macam rupa Irfan, sahabat baik Airiel.” rungut Amalina sambil memandang tepat ke wajah Leo.
“Irfan?” Dahi Leo berkerut.
Benarkah wajah ini wajah Irfan? Siapakah Irfan? Sekurangnya wajah orang yang muncul dalam mimpi-mimpinya sudah punya nama. Irfan. Siapakah dia? Bisik hati Leo tidak keruan. Tetapi mengapa? Mengapa dalam mimpi itu mereka sentiasa bertarung dan bergaduh? Apa yang mereka rebutkan? Dan mengapa tidak pernah ada orang lain dalam mimpinya itu. Irfan selalu datang dengan niat hendak membunuhnya…
“Siapa Irfan sebenarnya?” Tanya Leo, benar-benar ingin tahu.
“Irfan, sahabat baik Airiel sejak kecil. Irfan tu…” suara Amalina tersekat.
Direnungnya wajah Leo yang benar-benar dahagakan pengetahun tentang diri Airiel.
“Anak seorang ahli perniagaan yang terkenal di Kuala Lumpur. Bapanya Datuk Omar mempunyai pelbagai rangkaian syarikat, antaranya perkapalan, pengangkutan darat dan juga syarikat pembinaan. Kalau sebut saja, OMARA holdings Berhad kebanyakan orang memang tahu dan kenal dengan Datuk Omar.”
...bersambung
Bab akan datang:
Bagaimanakah Leo boleh mendapat gambaran Irfan di dalam mimpinya? Adakah leo kenal dengan Datuk Omar
Share this novel