BAB 6

Family Completed 801

TERKEJUT sungguh Andaq Ariff apabila dikhabarkan Mira Edora terpaksa dikejarkan di hospital. Datin Hazlyn memberitahu isterinya itu terjatuh di bilik air. Alasannya memang cukup mudah. Wajah Datin Hazlyn nampak sedih. Dia seperti serba salah. Mindanya mula berkecamuk. Andaq Ariff bertambah bimbang.

“Ma… macam mana dengan keadaan Edora?”

“Dia masih di bilik ICU…”

“ICU? Serius tu! Mama cakap tadi jatuh sikit aje…”

“Ma… Mama tengok tadi macam itulah. Agaknya doktor nak buat pemeriksaan lanjut.”

“Macam mana boleh jadi macam tu?”

“Masa kejadian tu, Mama ada di bilik atas. Tak perasanlah pulak bila Edora mencuci di bilik air tu. Tiba-tiba Mama dengar suara Edora minta tolong. Mama memang terkejut bila tengok Edora sudah tergolek di lantai bilik air. Mama panik juga sebelum hubungi pihak ambulan…”

Andaq Ariff melepaskan anak nafas resahnya. Dipatah-patahkan anak jarinya. Ada sedikit kelegaan menyelubungi dirinya saat itu. Sementara itu Datin Hazlyn mencuri pandang keluar jendela hospital. Di dadanya tetap sarat rasa bersalah yang amat sangat. Mungkinkah angkaranya tadi menyebabkan Mira Edora menerima musibahnya? Resah dan gelisahnya terus berpanjangan. Andaq Ariff nampak kekeruhan yang terpancar di wajah ibunya itu.

“Mama okey ke?”

“Err… Ma… Mama okey. Mama sebenarnya bimbang melihat keadaan Edora…”

“Nak buat macam manakan? Kalau Mama bimbang, Ariff lagilah bimbang. Kita kena redha. Sama-sama kita berdoa supaya Edora kembali pulih dan tak ada apa-apa berlaku kepadanya.”

“Tak sangka nak jadi macam ni. Salah Mama juga agaknya…”

“Sabarlah Mama. Mohon ALLAH SWT makbulkan doa kita. Tak payah nak salahkan diri Mama. Perkara dah berlaku…”

“Mama tak boleh maafkan diri Mama kalau sesuatu yang tak baik berlaku pada diri Edora…”

“Mengapa cakap macam itu? Edora yang jatuh sendiri, bukan Mama yang lakukan?”

Soalan itu tidak sempat dijawab oleh Datin Hazlyn. Dr. Maslina yang merawat Mira Edora menghampiri mereka berdua. Seketika tumpuan Andaq Ariff dan Datin Hazlyn turut mengarah kepada doktor muda itu.

“Macam mana dengan isteri saya doktor?”

“Ermm… encik banyak-banyak bersabar. Isteri encik selamat tapi kandungannya yang berusia sebulan tidak dapat kami selamatkan.”

“Ya ALLAH… Edora mengandung rupanya!”

Serta merta Datin Hazlyn mengalirkan air mata. Dia memang tidak menyangka Mira Edora mengandung rupanya. Patutlah sejak beberapa hari ini kesihatan Mira Edora agak terganggu. Kekesalan yang tumbuh di dadanya semakin tebal. Kalau tidak kerana angkaranya meletakkan sabun mandi di lantai bilik air, kemalangan itu tidak mungkin berlaku. Di wajah Andaq Ariff juga tertancap seribu satu rasa kekecewaan. Berita gembira tiba-tiba bertukar bencana.

“Pihak kami memang tak dapat berbuat apa-apa. Macam mana pun isteri encik semakin stabil. Peluang untuk dia mengandung lagi pada masa akan datang tetap cerah. Harap encik banyak-banyak bersabar. Maafkan saya sebab ada tugas. Sekejap lagi boleh encik melawat isterinya di wad wanita di aras tiga…”

“Terima kasih doktor. Terima kasih banyak-banyak!”

Dr. Maslina meninggalkan Andaq Ariff dan Datin Hazlyn dengan segaris senyuman di bibir. Mendapat tahu bahawa Mira Edora sedang mengandung membuatkan dirinya teruja. Malangnya perkhabaran gembira itu hanya buat sementara sahaja. Dia terpaksa redha menerima takdir itu. Mungkin ada hikmah yang sedang menanti di sebalik cerita sedih itu. Datin Hazlyn semakin bertambah murung. Rasa bersalahnya semakin berganda-ganda. Semua masih disimpan di lubuk hatinya. Dia benar-benar menyesal. Dia rasa bersalah yang amat sangat terhadap Mira Edora. Dia mesti menebus kesalahan itu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience