BAB 6

Thriller Completed 3138

“BAGAIMANA awak serta rakan-rakan awak yang lain tu boleh berada di situ?” Alya hanya terdiam dengan pertanyaan salah seorang anggota polis yang telah ke rumahnya untuk mengambil keterangan mengenai misteri pembunuhan ketiga-tiga gadis remaja itu.

Keadaannya turut bagaikan tak terurus. Ibunya yang duduk di sebelah hanya mampu mengusap bahu anak gadisnya itu.

“Kami menyertai aktiviti treasure hunt yang dianjurkan oleh kelab di kolej kami. Tapi entah bagaimana kami boleh tersesat di tempat tu,” ujarnya perlahan. Dia langsung tidak memandang kedua-dua anggota polis itu. Matanya hanya tertala di hadapan.

“Ketika kejadian, kemanakah kamu?” soal seorang lagi anggota polis itu.

“Saya tak tahu. Apa yang saya ingat, pada malam kejadian, saya bersama Suhada hendak mencari rumah terdekat untuk meminta bantuan manakala Hana dan Ain pula menunggu di kereta,” jawabnya satu-persatu, bagaikan robot yang dikawal oleh alat kawalan.

“Awak bersama Suhada?” Dia mengangguk.

“Habis tu, kalau awak bersama Suhada, tentunya awak tahu bagaimana kejadian ini boleh berlaku. Siapa yang bunuh Suhada?” soal anggota polis itu lagi. Alya menggeleng perlahan.

“Saya memang tak tahu macam mana kejadian itu boleh berlaku. Pada malam kejadian, sewaktu kami berjalan di pinggir hutan, tiba-tiba Suhada hilang. Saya tak tahu macam mana kami boleh terpisah sedangkan sebelum itu kami ada berbual-bual dalam perjalanan. Saya tak sedar sejak bila Suhada mulai tiada bersama saya. Tahu-tahu aja saya dah pun berada di dalam hutan tu, sedangkan sebelum tu kami berada di tepi jalan,” ucapnya panjang.

“Kawan-kawan awak semua telah mati dibunuh. Manakala awak pula terselamat. Agak pelik. Pada malam kejadian, ada awak terjumpa sesuatu yang aneh? Atau sesuatu telah berlaku ke atas diri awak?”

Alya terdiam dengan pertanyaan itu. Dadanya berombak, wajahnya yang tadinya agak tenang kini berubah menjadi pucat lesi.

Dia tampak ketakutan apabila disuruh mengingat kembali peristiwa hitam yang telah berlaku pada malam itu.

Dia mulai tersedu, lalu menjerit kuat hingga bergema ke seluruh ruang rumahnya. Kemudian dia menangis meraung-raung bagaikan orang histeria.

Kedua anggota polis itu tergamam. Ibu Alya yang duduk di sebelahnya juga tak tentu arah melihat perubahan sikap anak gadisnya itu. Lantas dia meraih tubuh Alya dalam dakapannya lalu ditenangkan anak gadisnya itu.

“Lya, sabar sayang! Maaf encik, dengan perubahan sikap anak saya ni. Dia masih trauma dengan kehilangan kawan-kawannya dan kejadian malam tu,” ucap ibu Alya bersama esakan halus.

Dia turut bersimpati malah risau dengan tekanan jiwa yang dialami oleh anak gadis tunggalnya itu semenjak kejadian malam itu.

“Hmm… kalau macam tu, tak apalah. Nanti bila-bila masa, kami akan datang lagi.”

“Encik, kalau boleh encik berdua tak usahlah paksa dia untuk ingat semula apa yang dah berlaku malam itu. Tolonglah, encik! Dialah satu-satunya anak perempuan tunggal yang saya ada. Saya tak mahu apa-apa berlaku ke atasnya. Dalam keadaan mentalnya terganggu macam sekarang ni pun, dah cukup buat saya risau. Tolonglah…” ibu Alya meraih simpati. Kedua-dua anggota polis tersebut berpandangan sesama sendiri.

“Baiklah, kami takkan paksa anak puan lagi. Pihak kami akan terus mencari bukti di tempat kejadian. Alya, kami takkan tanya apa-apa lagi. Tapi nanti bila awak dah pulih sepenuhnya dan ingin bercerita, jangan lupa hubungi kami.” Akhirnya meraka meminta diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience