Bab 10

Romance Series 297502

HAYL meraup kasar wajahnya. Apa yang kau dah buat ni Hayl? Tanpa menunggu lama, dia terus mengejar Aileen yang sudah turun ke tingkat bawah.

“Sayang!” Hayl terus menyambar lengan Aileen. Serentak dengan itu langkah Aileen langsung terhenti.

“Sayang... Abang minta maaf. I’m sorry,” ucapnya berulang kali. Tubuh Aileen terus ditarik ke dalam dakapannya. Erat.

Aileen terus menghamburkan tangisannya di dada bidang Hayl. Teresak-esak dia menangis. Hatinya benar-benar luluh. Sudah sekian lama dia bertahan.

“Abang minta maaf. Abang gagal jadi suami yang sempurna untuk sayang.” Hayl mengeratkan lagi pelukannya. Tubir matanya bergenang. Melihat Aileen menangis teruk kerananya, hatinya turut terkesan sama. Semuanya berpunca daripadanya.

Sepatutnya daripada awal lagi dia tidak hadir ke dalam kehidupan Aileen. Jika tidak, Aileen tidak akan terseksa begini.

Semua berpunca daripada dirinya sendiri. Dirinya yang tak mampu berdamai dengan takdir. Dirinya yang masih terus hidup dengan bayangan silam.

“LEEN tahu abang lukis gambar dia waktu Leen minta abang lukis gambar Leen. Sebab tu abang tak bagi Leen tengok lukisan tu kan?” soal Aileen. Dia sudah lebih tenang ketika ini.

Lambat-lambat Hayl mengangguk. Tak mampu dia nak menafikannya lagi. Aileen sudah tahu. Malah isterinya itu melihat sendiri lukisan itu.

“Susah sangat ke untuk abang lupakan dia?” soal Aileen lagi. Dadanya dihurung sebak.

“Abang masih belum mampu nak lupakan semuanya.”

“Sebab dia cinta pertama abang?”

Hayl mengangguk lagi. Dhia lah perempuan pertama yang menghuni hatinya sampailah dia bertemu dengan Aileen. Dia sangkakan selepas berkahwin dengan Aileen dia akan serta-merta mampu melupakan Dhia. Ternyata dia silap. Isterinya itu pula yang terseksa.

“Jadi macam mana dengan Leen?”

“Abang sayangkan sayang. Abang cintakan sayang.”

Aileen menggeleng perlahan. Sayang itu mungkin. Tapi tidak cinta. Tak mungkin Hayl mampu mencintai dua orang wanita dalam masa yang sama. Jika Hayl masih mencintai Dhia, mustahil Hayl mampu untuk cintakan dia. Jika cinta pun itu hanyalah kerana kasihan. Kasihan mungkin pada Aileen yang terhegeh-hegeh mengejar cinta seorang suami.

“Sayang, abang betul-betul minta maaf. Semua ni salah abang. Kalau abang tak datang dalam hidup sayang, semua ni tak akan jadi. Kita tak akan pergi sejauh ni. Dan sayang pun tak akan terluka.” Hayl bangun daripada sofa. Dia duduk bertinggung di hadapan Aileen. Tangan isterinya itu diraih lalu digenggam erat.

Aileen memejamkan matanya sesaat. Berkaca matanya menatap wajah Hayl. Apa maksud Hayl? Adakah lelaki itu menyesal kerana dipertemukan dengannya?

“Abang menyesal kahwin dengan Leen?”

“Abang menyesal sebab dah lukakan hati sayang. You don’t deserve this pain. I’m sorry.” Hayl tunduk mencium kekura tangan Aileen.

“Leen tak pernah menyesal dengan pertemuan kita. Ya, Leen akui memang Leen kecewa bila tahu hati abang masih untuk dia. Leen sanggup tunggu sampai hati abang berubah untuk Leen. Sampai abang betul-betul lupakan dia. Tapi Leen betul-betul kecewa bila abang tak ada usaha langsung untuk lupakan dia. Kalau terusan macam ni, sampai bila-bila pun abang tak akan dapat lupakan dia.”

Hayl terdiam. Dia hilang diksi. Tiada apa yang salah dengan apa yang isterinya itu katakan. Itulah hakikatnya. Dia sendiri tidak berusaha untuk melupakan Dhia. Segala barang-barang kenangan bersama dengan Dhia masih disimpan. Sayang sangat nak buang semuanya.

“Sayang...” Tangan Hayl menangkup kedua belah pipi Aileen.

“Abang minta maaf. Abang betul-betul minta maaf.”

“Leen sayangkan perkahwinan kita. Leen tak nak kita mengalah. Tapi kalau abang sendiri tak ada usaha nak melupakan dia, apa lagi yang Leen boleh buat?” Sayu kedengaran suara Aileen. Air matanya mengalir perlahan.

“Abang minta maaf. Abang pun sayangkan perkahwinan kita dan abang tak kehilangan sayang. Please don’t give on me.”

“Abang nak mulakan hidup baru dengan Leen?”

Tanpa berfikir walau sesaat, Hayl terus mengangguk. “Abang nak hidup dengan sayang. Abang nak kita terus melayari bahtera perkahwinan ni.”

“Jadi tolong lupakan dia. Leen merayu pada abang. Lupakan dia. Dia dah jadi masa lalu yang abang tak akan dapat semula.”

Hayl mengangguk. Dia menarik Aileen ke dalam pelukannya.

“Kita sama-sama berusaha ya abang?”

“Ya. Abang akan berusaha untuk lupakan dia.” Janji sudah dilafaz.

Tiada apa lagi yang Aileen harapkan melainkan cinta suaminya itu. Dia cuma mahu hidup bahagia bersama dengan Hayl. Hanya mereka berdua.

PANG! Terteleng kepala Dhia saat ditampar lelaki yang bergelar suaminya itu. Tangisannya kedengaran. Diikuti dengan tangisan anak mereka.

“Kau nak bercerai sangat dengan aku? Baiklah. Aku ceraikan kau dengan talak tiga! Kau dengan anak kau yang cacat ni boleh berambus. Aku tak nak ada keturunan yang cacat.”

Luluh hati Dhia saat mendengar setiap baris ayat yang keluar daripada bibir suaminya itu. Tiada siapa yang pinta takdirnya begini. Salah Dhia ke jika dia melahirkan seorang zuriat yang tidak sempurna pada fizikalnya? Adilkah andai dirinya yang dipersalahkan?

“Sampai hati abang hina Aira macam tu. Aira ni darah daging abang juga. Anak kandung abang. Macam mana pun keadaan dia, abang perlu terima dia seikhlasnya. Dia sendiri tak minta dilahirkan macam ni.”

“Sekarang aku dah ceraikan aku. Antara kita dah tak ada apa-apa lagi. Sampai mati pun aku tak akan terima budak cacat ni! Korang berdua boleh pergi mati!” Usai menghabiskan bicaranya, lelaki itu terus berlalu keluar meninggalkan rumah.

Dhia terduduk di lantai. Teresak-esak dia menangis. Dadanya dicengkam kuat. Wajah Aira yang sedang tertidur di atas katil itu dipandang sayu. Anak itu tidak bersalah.

Andai saja suatu masa dahulu dia tidak meninggalkan Hayl dan berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya, pasti nasibnya tidak akan seburuk ini. Tapi takdir berkata lain, dan inilah jalan cerita kehidupannya yang perlu dia telan.

“Hei perempuan, aku nak kau keluar daripada rumah ni. Rumah ni aku akan jual.”

Dhia panggung kepala melihat lelaki itu datang kembali.

“Abang, mana Dhia dengan Aira nak duduk kalau abang nak jual rumah ni? Kasihanlah dekat kami...”

“Buat apa aku nak kesiankan kau dengan budak cacat ni? Kau pergilah tagih kesian dengan orang lain.”

Dhia memejamkan matanya. Sampai hati lelaki itu... Namun Dhia lega akhirnya dia terlepas daripada penderitaan ini. Dia sudah tidak terikat lagi dengan lelaki itu.

“ABANG, cepatlah. Cakap nak ajar Leen melukis,” gesa Aileen.

Hayl ketawa kecil. Bersungguh-sungguh Aileen meminta dia mengajar isterinya itu melukis.

“Abang bukan cikgu pendidikan seni,” seloroh Hayl.

Aileen mencebikkan bibirnya. “Kedekut!”

Hayl menghampiri Aileen yang sedang berdiri di hadapan kanvas kosong itu yang diletakkan pada easel stand. Tangan Hayl terus memegang tangan Aileen. Dia menggerakkan tangan isterinya itu di atas kanvas.

“Abang...” Aileen ketawa melihat lukisan yang terlakar di atas kanvas itu. Gambar hati.

“Kalau ni, Leen pun tahu lukis.” Aileen memusingkan tubuhnya menghadap Hayl.

Hayl tunduk. Wajahnya dirapatkan dengan wajah Aileen. Hidungnya dilagakan dengan hidung Aileen.

Tiba-tiba Aileen menolak kasar tubuhnya ke belakang. Isterinya itu terus berlari masuk ke dalam. Ditinggalkan Hayl di balkoni bilik itu sendirian.

“Sayang!” Hayl terus mengejar langkah Aileen. Isterinya itu berada di kamar mandi.

“Uwek... Uwek...” Aileen muntah semahunya. Tangannya memegang birai sinki. Seluruh isi perutnya terasa mahu tercabut.

“Sayang! Kenapa ni?” soal Hayl risau. Belakang tubuh Aileen yang terbongkok-bongkok memuntahkan isi perutnya itu diusap-usap perlahan.

Aileen menggeleng. Dia pun tidak tahu mengapa tiba-tiba dia muntah teruk begini. Nak kata salah makan, apa yang dia makan itulah Hayl makan juga. Hayl elok je. Tak ada pula lelaki itu muntah-muntah.

“Kita pergi klinik ya?” ajak Hayl. Riak kerisauan jelas terpancar di wajahnya.

“Takpalah. Sikit je ni. Leen tak sedap perut je.”

“Mana boleh biarkan je. Kenalah jumpa doktor.”

Aileen tersenyum nipis. Lucu pula melihat wajah Hayl. Dalam masa yang sama hatinya berbunga-bunga melihat keprihatinan lelaki itu.

“Leen okay je lah abang. Jangan...” Tak sempat nak menghabiskan ayatnya, tekak Aileen kembali rasa loya.

“Uwek... Uwek...” Dia muntah lagi. Tubuhnya terasa begitu lembik sekarang ni. Nak berdiri pun dia rasa tak larat. Tekaknya juga mula terasa perit. Tubir matanya bergenang.

“Sayang, kita pergi klinik.” Hayl terus mencempung tubuh lemah isterinya itu.

Kali ini Aileen tak berdaya nak membantah lagi.

“TAHNIAH, puan mengandung. Dah dua minggu.”

Dengar saja berita itu, Hayl terus memeluk Aileen. “Sayang! Kita akan jadi parents.”

Aileen terkaku. Rasa macam tak percaya dengan berita yang baru saja disampaikan itu. Dia mengandung? Ada malaikat kecil yang menghuni rahimnya? Sungguh Aileen tak terduga secepat ini mereka akan dikurniakan rezeki zuriat.

“Thank you sayang,” bisik Hayl perlahan. Terpancar riak gembiraan di wajahnya. Tidak sabar menanti kelahiran anaknya.

DHIA keluar daripada perut kereta. Setelah itu dia membuka pintu tempat sebelah pemandu pula.

“Jom sayang,” ajaknya.

Tiba-tiba badan Aira panas pula petang ini, jadi dia terus membawa anaknya itu ke klinik.

Namun langkah Dhia terhenti saat matanya terpandangkan kelibat sepasang suami isteri yang sedang berjalan keluar daripada klinik dengan wajah yang cukup gembira. Sesekali tawa mereka kedengaran.

Hayl...

“Kenapa ibu?” soal Aira.

Dhia tersentak. Tubir mata yang sudah bergenang itu laju-laju dikesat dengan belakang tangan.

“Tak ada apa Aira. Jom kita jumpa doktor.” Dia terus meneruskan langkahnya. Sempat Dhia menoleh ke belakang kembali namun kelibat pasangan tadi sudah hilang daripada pandangan matanya.

Selamat membaca semua!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience