Bab 44
Leo mengheret Affendi menuju ke hutan, tanpa sebarang suara. Leo mengintai Perus dan rakan-rakannya. Mereka leka berbual sambil tertawa agak kuat. Gemanya memecah.
Leo dan Affendi terus meredah hutan. Setelah agak jauh, barulah Leo memasang lampu. Mereka tidak bercakap tetapi terus juga melangkah. Ada kalanya berlari. Leo bimbang hari akan beransur siang. Mereka tidak boleh berlengah. Akhirnya pada jam lima pagi mereka tiba semula di hutan Jerangkang. Leo terus mendapatkan Pajeronya yang ditinggalkan di situ. Dia memandu laju menuju ke Kuala Lumpur.
Pukul lapan mereka tiba di Kuala Lumpur. Affendi yang tertidur di kusyen, sudah pun bangun. Dia mengulang semula kejadian malam semalam. Tidak percaya. Dia mengakui kecuaiannya, menyangka Puan Suriati hanya merancang tetapi tidak melaksanakan. Itu sangkaan mereka. Tetapi orang jahat dan busuk hati tidak dapat diramal perbuatannya! Mereka akan lebih berhati-hati selepas ini. Langkah pertama adalah membuat laporan polis.
Pihak polis berjanji akan menyiasat dan memantau pergerakan Puan Suriati.
*****
Perus membuka pintu pondok saat matahari baru saja naik. Kawan-kawannya yang lain masih tidur. Udara di hutan itu dingin dan menyenangkan.
Lena masing-masing tidur diulit mimpi. Namun jeritan Perus yang kua segera membangunkan tiga orang rakannya.
“Apa yang berlaku?” tanya Terjudi.
“Affendi dah lari! Dia dapat lepaskan diri. Tengok ni! Dinding belah belakang pondok ni dah terlopong!”
Terjudi terkejut. “Aku tak percaya! Betul-betul tak percaya!”
“Cepat cari dia! Mungkin dia masih ada dalam hutan… Dia takkan dapat keluar dari sini!”
Dari belakang pondok terlihat kesan tapak kaki. Perus memandang dengan tajam. Dia percaya ada sekurang-kurangnya dua orang. Dia memerhati ke arah semak berdekatan. Dia yakin mereka lari ke arah semak itu. Dia termenung sejenak. Ada orang tahu tempat persembunyian Affendi. Ada orang yang menyelamatkan Affendi malam tadi! Cekap! Dia yakin orang itu adalah Leo.
Sepanjang seminggu mengintip pergerakan Affendi, dia mendapati Leo memang bersama lelaki itu. Mulanya dia tidak percaya benarkah lelaki itu Leo?
Dia tidak percaya Leo masih hidup. Semua orang percaya Leo sudah mati. Bukankah kawan-kawannya memasukkan Leo ke dalam guni lalu mencampakknya ke dalam gaung sekali lagi! Dulu Leo pernah jatuh semasa bercamping dengan rakan-rakannya.
Perus memang tahu sejarah hidup Leo. Cuma dia tidak tahu asal usul Leo. Dia hanya tahu Leo jatuh ke dalam gaung dan diselamatkan oleh Mak Upeh. Leo hampir-hampir mati. Tetapi Mak Upeh berusaha mencari segala macam akar kayu untuk mengubati Leo. Akhirnya lelaki itu sembuh walaupun tubuhnya sangat kurus. Namun hasil usaha Mak Upeh, Leo tumbuh menjadi anak muda yang tegap dan kuat.
Leo! Bisik hati Perus. Jahanam! Jika Leo yang menyelamatkan Affendi pasti dia sudah jauh dilarikan. Silap-silap sudah kembali semula ke Kuala Lumpur. Tiada gunanya mencari dia di hutan. Dia memanggil kawan-kawannya supaya berkumpul di situ semula.
“Aku rasa Affendi dah selamat kembali ke Kuala Lumpur… Ada orang selamatkan dia. Aku kenal jantan tu! Aku yakin dia adalah Leo.”
“Sekarang, apa kita nak buat?” tanya Terjudi.
“Kalau Affendi dah terlepas, kita takkan dapat duit. Usahkan duit, silap-silap kita kena maki hamun dengan Puan Suriati.” Perus mengeluh.
“Lebih baik kita bersembunyi saja.” cadang Terjudi.
“Tak boleh! Tak boleh! Kita kena cari juga Leo dengan Affendi, tak kira apa yang berlaku. Tapi kita jangan beritahu Puan Suriati apa-apa. Katakan saja semuanya okey. Sekejap lagi kita ke Kuala Lumpur, ambil duit.”
“Huhhh… Aku tak berani!”
“Bodoh! Kita mesti beranilah! Kita ni penjahat.” tegas Perus.
“Kau nak duit tak?”
“Mestilah nak!”
“Sekarang jom kita balik ke kampung. Lepas makan dan bersiap-siap, kita ke Kuala Lumpur semula.”
Terjudi terpaksa bersetuju saja dengan kata-kata Perus.
*****
Mereka ke rumah Puan Suriati pada sebelah malamnya kira-kira pukul sebelas malam. Perus menuntut wang RM10,000.00 yang dijanjikannya.
“Apa buktinya kau dah culik dia?” duga Puan Suriati.
Semasa Affendi baru dihumban ke dalam pondok di hutan itu, Perus sempat merakam suara Affendi. Affendi merayu meminta tolong supaya dilepaskan. Tetapi Perus tidak mempedulikannya. Affendi menyatakan dia tahu siapa yang menculiknya jadi orang yang bertanggungjawab tidak akan terlepas daripada pihak berkuasa.
Puan Suriati diam sahaja. Dia yakin kata-kata Affendi itu hanya satu ugutan sahaja. Mana dia tahu ini semua aku punya angkara? Dia hanya meneka-neka saja! Rungutnya sendiri. Tapi tekaannya itu tepat. Tekaan tanpa bukti itu tidak boleh menyabitkan Puan Suriati dengan kesalahan jenayah.
“Okey… Okey. Aku percaya.” kata Puan Suriati sambil meletakkan sampul surat berisi duit di atas meja.
...bersambung
Bab akan datang:
Sampai bilakah Perus akan merahsiakan daripada Puan Suriati tentang Affendi?
Share this novel