Bab 59 : Selamat

Romance Series 406411

Aneesa terdiam, manakala Fauziah menepuk dahinya mendengarkan cerita dari Idris. Arshad pula melepaskan keluhan berat. Sememangnya berat, malah lebih serius kes ini jika dibandingkan dengan kes Azlan dulu.

"Saya minta maaf sangat-sangat dengan mak, dengan ayah. Saya tahu kalau orang kampung tahu, imej dan maruah keluarga mak dan ayah dah tercemar. Saya mengaku ini adalah salah saya sepenuhnya." Idris menuturkan ayat itu lambat-lambat.

"Pada kami ni tak penting sangat. Idris kena terangkan pada Anis semua ni. Dua tiga hari ni, memang dia pun muram. Idris pun tahu kan sejarah dia dengan Azlan macam mana. Ayah bukan apa, takut dia fikir semua lelaki tu sama je." Balas Arshad.

"Sebab tu saya balik ayah. Kalau nak diikutkan, hal urusan berkenaan dengan klinik itu belum selesai lagi. Tapi saya tahu, adalah lebih penting untuk saya terangkan semuanya pada Anis secara berdepan. Bukan sekadar bercakap melalui telefon.

Lagi pun, Anis macam tak nak bercakap dengan saya. Dia asyik mengelak je dari bercakap dengan saya. Tak balas mesej. Kalau balas pun sepatah dua je. Tapi tak apa, saya faham. Insya Allah, saya akan bincang dengan dia baik-baik." Jam tangan dijeling, jam menginjak ke pukul dua petang.

Waktu begini lah selalunya isterinya tiba dirumah, mengikut kata Arshad. Hati yang berdebar-debar membuatkan Idris tidak senang duduk. Menyedari riak resah pada wajah Idris, Arshad mewakili Fauziah dan Aneesa memohon diri untuk keluar ke pasaraya.

Sebaiknya, mereka berdua ditinggalkan untuk berbicara berdua. Kalau ada ahli keluarga yang lain, tentu ada perasaan yang ditahan dari diluahkan. Tentunya juga terbantut hasrat mereka untuk berbaik dengan seikhlas hati.

"Kita keluar ni betul-betul ke tipu-tipu ayah?" Tanya Aneesa dari tempat duduk belakang.

"Eh betul-betul lah. Tipu-tipu apanya?" Soal Arshad sambil memasang tali pinggang keledarnya.

"Yalah, takutlah kalau-kalau ayah cakap dengan Idris nak keluar pergi pasaraya, tapi kita pergi melepak dekat taman mana-mana ke. Panas ni ayah. Elok juga kalau kita pergi pasaraya betul-betul kan?" Aneesa memberikan cadangan.

"Mak rasa elok kita pergi mall besar tu. Sejuk pun sejuk. Boleh beli barang dapur sikit sambil jamu mata tengok emas." Sahut Fauziah.

Tengok emas? Yakin ke mereka berdua ini mahu tengok sahaja tanpa membeli? Silap-silap, lengkap satu set anak dan mak memborong.

"Kalau bab membeli, tak payah suruh. Tak payah berlakon. Laju aje buat kerjanya. Ini nasib baik demi Anis. Kalau tak, lebih baik ayah duduk rumah je dari biarkan poket ayah dikorbankan." Arshad sudah menggelengkan kepalanya, ligat kepala anak dan isterinya berfikir untuk mengosongkan poketnya.

"Ini lah pengorbanan ayah yang Neesa dan mak akan kenang sepanjang hayat. Kan mak?" Bahu Arshad diurut perlahan, memujuk.

*****

"Kereta ayah tak ada? Pergi mana? Tingkap pun bertutup je semuanya. Semua orang tak ada ke apa ni?" Bebel Anis sebaik sahaja kereta yang dipandunya memasuki laman rumah.

Kebanyakan masanya, hanya Anne bersama ibubapanya yang tinggal dirumah ini. Adik lelakinya Anas sudah mula bekerja di Gebeng dan tinggal di hostel yang disediakan kerana dia malas berulang-alik dek jarak yang menghampiri 35KM sehala itu.

Anif pula memohon untuk tinggal di asrama sekolah sebagai persediaan awal untuk dia menempuhi peperiksaan SPM pada hujung tahun ini. Aneesa pula balik ke rumah Fauziah selang dua minggu, bergilir-gilir dengan rumah ibu mentuanya.

Kebetulan kali ini, Aneesa ada dirumah Fauziah. Sudah hampir seminggu lamanya dek kerana dia melayan perasaan mengidamnya. Pelbagai jenis hidangan dimasaknya bersama Fauziah. Itu jugalah yang menjadi menu makan tengahari, kadangkala membawa ke makan malam bagi mereka berempat.

"Assalamualaikum. Mak, oh mak? Kak Long? Ayah?" Pintu dibuka, dan sebaik sahaja Anne menjejakkan kaki ke dalam rumah, satu persatu nama ahli keluarganya diseru.

Tiada yang menyahut. Beg kerja diletakkan di atas sofa di ruang tamu. Anne yang berkira-kira mahu melepak sebentar di sofa terbantut hasratnya tatkala teringat diri yang belum lagi menunaikan solat Zuhur. Jam pula menghampiri ke pukul tiga petang.

Lambat baliknya hari ini, gara-gara mesyuarat tergempar yang diadakan oleh Panitia Bahasa Inggeris bersempena Karnival Bahasa yang bakal diadakan pada minggu hadapan. Kalau ayah tahu, mahu berdarah telinga di bebelnya. Lantas, langkah kaki diatur ke bilik. Tanpa dia tahu bahawa ada yang sedang menunggu.

"Oh mak kau aku terkejut!" Terkeluar latahnya yang sudah lama tidak beraksi dek kerana terlalu terkejut.

Idris yang terpana melihatkan aksi latah isterinya terdiam seketika. Hilang segala apa yang dirancang untuk diucapkan apabila bersua mata dengan buah hatinya yang sudah pun berubah riak wajahnya apabila menyedari kehadiran Idris disitu.

"Assalamualaikum." Sapa Idris.

"Waalaikumussalam." Beg tangan disangkut sahaja pada tiang yang dikhaskan untuk menggantungkan beg tangannya.

"Sayang..."

"Saya nak pergi bilik air dulu. Nak solat. Saya tak solat lagi." Anne memotong percakapan Idris sebelum perbualan mereka menjadi lebih panjang.

"Okey." Balas Idris.

Menunggu masa berlalu pasti akan terasa bagaikan begitu lama. Sabar lah hati. Sekejap lagi kita bincangkan segalanya sehingga selesai semuanya.

"Awak balik hari ni sebab apa?" Suara Anne lembut sahaja menyapa telinganya yang sudah hampir terlelap tatkala berbaring sementara menunggu isterinya selesai menunaikan solat.

"Nak jumpa sayang. Nak terangkan semuanya." Balas Idris dengan pandangan mata yang redup.

"Nak terangkan sebab awak nak kahwin dengan sepupu awak tu ke?" Tanya Anne lagi sambil melipat sejadah dan digantung kan pada rak gantung pada dinding biliknya.

"Ish mestilah tak. Tak perlu kahwin. Abang tak salah."

"Tapi kan ibu cakap klinik awak kena serbu malam tu?" Soal Anne.

"Ibu tak beritahu ke yang kami bukan berdua je dalam klinik tu?" Soal Idris kembali dengan penuh tanda tanya.

Anne menggelengkan kepalanya. Idris bukan berdua-duaan? Jadi Idris, selamat? Suaminya selamat dari tuduhan melakukan perkara yang bukan-bukan?

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

norsila
2022-02-19 06:16:06 

aikk yoke slmt ? eeemmm


NovelPlus Premium

The best ads free experience