“AAAHHH!!!” Berterbangan merpati disergah teriakan gadis pada awal pagi.
“What the hell?”
Mochi terpana. Lututnya bergegar. Dia hampir menangis dalam histeria. Bau busuk menyengat seperti campuran najis dan darah hanyir tajam menusuk sehingga ke anak tekak.
“Nooo…” Mochi tertunduk menangis tatkala menancap pemandangan yang menjijikkan di hadapannya.
“EWW... Disgusting. Siapa yang sanggup buat sampai macam tu sekali?” Hazra mengerut muka, loya dengan artikel yang dibacanya pada pagi itu. Datin Malini pula bersorak riang dan bertepuk tangan. Puas hatinya ketika karma membuat kerja.
KERETA REPORTER KONTROVERSI, MOCHI CHAN DISIMBAH NAJIS?
…Kejadian yang berkemungkinan berlaku pada malam sebelumnya dipercayai rentetan daripada artikel yang dikeluarkan penulis kontroversi itu yang bertarikh semalam. Mochi Chan, 24, menegaskan bahawa dia akan membuat laporan polis bagi mencari pelaku…
“Hahaha! Puas hati aku. Padan muka kau, Mochi belacan! Dah pandai burukkan anak aku. Sekarang, rasakan!”
“Mama... Tak baiklah...” Hazra diserang serba salah. Tidak lain, ini pastinya angkara peminat yang tidak boleh menerima kenyataan Mochi Chan. Memang benar, perkara itu menyebalkan. Namun, Hazra sendiri tidak setuju akan akibat yang perlu ditanggung oleh Mochi adalah seburuk ini.
“Berani buat, berani tanggung!” Datin Malini hanya menarik muka. Hazra menghembus nafas berat dan terus menatal skrin telefonnya.
...Dikatakan, pelaku hanya berselindung dengan nama pengguna S3CR3T_4DMIR3R yang dikikir pada pintu kereta…
“Secret admirer? Dah macam hacker anonymous pulak. Ish, seram!” Habis meremang satu badan.
Orang zaman sekarang memang tak boleh diacah bermain. Hari ini, kereta disimbah najis. Esok lusa, orang disimbah asid? Entah apa pula tindakan entiti S3CR3T_4DMIR3R ni agaknya? Itulah yang bermain di benak Hazra.
“Memanglah Mochi ni salah, tapi tak kurang melampau juga orang yang buat benda ni.” Tak semena-mena, terbit pula rasa kasihan Hazra terhadap Mochi. Sedangkan, baru semalam dia mendoakan hidup gadis itu kucar-kacir. Hari ini lain pula ceritanya.
“Dah tak payah nak kesian sangatlah Hazra oi. Kamu tu jangan nak baik sangat. Takut orang pijak kepala.” Datin Malini berlalu meninggalkan Hazra bersendirian.
“WHAT? What do you mean by that? Polis pun tak boleh buat apa-apa? Come on lah. Kata badan government dah maju, takkanlah tak ada hint langsung tentang pelaku semua ni.” Mochi memeluk tubuh. Sakit hatinya mendengar laporan daripada polis di hadapannya. “Itu, nama yang dia kikir dekat kereta I tu? Cubalah trace dekat mana-mana...”
“Miss Mochi.” Seorang pegawai polis wanita tersenyum. “Why do you think this happens?”
“Yes, of course! I tahulah salah I juga sebab tulis artikel semalam. Tapi bukan hundred percent salah I pun... Company yang suruh.”
“Nasihat saya, berhati-hati mengeluarkan kenyataan secara umum. Ini pun cik dikira beruntung hanya harta benda yang disasarkan. Kalau melibatkan nyawa?”
“Untung? Helo, tak kena dekat kau bolehlah cakap macam tu. Dahlah, nonsense lah polis dekat sini. Hmm!”
“Fans si Hazra tu bukan beratus cik kak, silap hari bulan, beratus ribu. Susah kami nak trace pelakunya hanya dengan satu username.”
“Okay, fine! Kalau macam tu, saman Hazra aje.”
“Sajalah nak tanya, boleh menang ke?” Seorang polis lelaki mencelah. “Dengan artikel panas yang cik keluarkan semalam tu lagi. Silap hari bulan, cik yang gigit jari.”
Pecah jua empangan air mata gadis itu mengalir tak tertahan.
“MORNING abang.” Datin Malini menjenguk di balik pintu pejabat suaminya yang sedikit terkuak. “Abang, nanti kita pergi shopping nak?” Dia mendekati Dato Ubaid dengan senyuman paling manis. “Abang, dengar tak ni?” Datin Malini meleret suara, namun tidak diendah. Dato Ubaid kelihatan khusyuk dengan komputer ribanya. “Abang busy hari ni. Lain kali abang teman.” Jawapan selamba Dato Ubaid membuat Datin Malini mencuka.
“Minggu lepas pun abang cakap macam tu..” Datin Malini memuncungkan bibir. Dato Ubaid menoleh ke arahnya sambil tersenyum nipis. “Sorry lah. Abang betul-betul busy bulan ni. You ajaklah kawan ke, siapa-siapa. Abang bagi duit poket lebih. Okey?” Datin Malini hanya mengangguk perlahan. Senyumannya memudar seiring dia melangkah keluar.
Rumah agam konsep moden tiga tingkat yang didiami memaksanya banyak berjalan. Datin Malini sudah termengah-mengah ketika melintasi ruang tamu. Anak matanya meliar mencari kelibat Faisal.
“Datin cari saya?” Faisal melambai di balik jendela. Datin Malini tersenyum simpul. Hilang terus lelahnya menatap wajah manis Faisal. Dia berjinjit menghampiri lelaki itu. “Hari ni, I nak pergi shopping. Faisal tolong hantarkan ya.”
“Dato tak ikut?” Soal Faisal mengusik. Datin Malini menampar lembut lengan lelaki itu.
“Datin? You alright?” Faisal mengangkat kening. Datin Malini hanya tersenyum nipis. Namun, senyumannya jelas tidak ikhlas. Dalam diam, air mata halusnya bergenang namun cepat-cepat diseka. Hatinya tersentuh kerana sang suami seakan-akan tidak memahami rajuknya.
“I teman you, nak?” Faisal mengendurkan suara, memujuk. Tangan wanita di hadapannya digenggam perlahan. Datin Malini semakin tersentuh. Kali ini, dia tidak mampu menahan sayu. Dia hanya mengangguk perlahan. “Thanks,” ucapnya dalam esak.
“My pleasure, sayang.” Faisal membisik. Jarinya mengelus pipi wanita itu. Dalam diam, Faisal mengagumi kecantikan raut Datin Malini yang seakan-akan tidak dimamah usia meski sudah menginjak 52 tahun. Garis-garis putih pada rambutnya menambah seri wanita itu. Tubuhnya juga langsing dan kulitnya cerah mulus, dihias kedutan halus yang mematangkan wajah.
Datin Malini sememangnya cukup menjaga pemakanan dan penampilannya sejak muda. Namun sayang, Datin Malini lahir 17 lebih awal daripadanya. Jikalau tidak, pasti mereka berjodoh, begitulah menurut hati kecil Faisal.
“Sayang.” Datin Malini tersentak, lantas memaling tubuh ke belakang. Faisal bertukar pucat lesi. Telapak tangan wanita itu dilepas. “Abang nak ke bandar sekejap ya.” Dato Ubaid menyarung kasut kulit hitam dengan bersahaja.
Lega. Mujur tak pecah tembelang. Sekurang-kurangnya buat masa ini, ikatan cinta terlarang antara mereka kekal tersemat rapi. Tapi, siapa yang tahu bukan? Rahsia akan jua terlerai lambat atau cepat, hanya masa penentu segala.
“FUH...” Hazra mengesat peluh yang memercik di dahi. “Jimat duit aku bulan ni.” Kotak-kotak hadiah yang sudah dibuka disusun, disatukan pada sudut. “Nice. Tak payah beli baru dah. Tunggu orang bagi je.” Hazra menghambar beberapa helai kemeja nipis yang berjaya digeledah daripada bukit hadiah. Tak kurang hebat, ada juga yang memberi kasut sport, beg dan pelbagai lagi barang berjenama lain.
“Eh?” Mata Hazra terbeliak. Satu kotak berwarna biru ultramarin berisi sekotak seluar dalam lelaki. “Saiz aku ke ni?”
Kini, tangannya ralit membelek sampul-sampul surat yang diterimanya. “Banyak betul ni. Tak terbaca semua ni.” Hazra kagum dengan kerajinan luar biasa kelab peminatnya yang bersungguh-sungguh mengatur pemberian hadiah untuknya.
“Aku masa sekolah dulu pun tak famous macam ni.” Hazra mengukir senyum. Sambil berbaring, satu-persatu sampul surat dibuka. Hazra seperti menaiki roller-coaster emosi ketika menelaah lembaran demi lembaran surat tersebut. Ada yang meluah, ada yang bercerita, ada juga sehelai dua yang menabur kebencian. Sama juga seperti kejadian meminum cuka pada hari semalam. Entah bagaimana haters boleh menyelit, dia pun tidak tahu. Ada orang kata, makin ramai sayang kita, makin ramai juga yang akan dengki. Bukankah begitu?
Hazra menonyoh matanya yang keletihan kerana tulisan-tulisan kecil. Dia meletak longgokkan surat ke tepi. Tak semena-mena, sekeping sampul putih bersaiz A5, ringkas luaran namun kandungannya sedikit tebal mendarat tepat pada urat ibu jari kakinya. Ngilu. Hazra memeluk lutut sambil menyumpah seranah.
“Surat apa berat sangat ni? Isi batu ke?” Dia mencapai sampul tersebut. Tebal dan agak keras.
“Polaroid ke?” Hazra mengoyak hujung sampul tersebut dengan berhati-hati. “Eh?” Foto-foto itu membuatnya duduk tegak. “Apa ni?”
Tiga keping foto dengan tarikh dan masa yang berbeza tertera pada sudut kepingan tersebut. “Stalker?” Sepatah dari mulut Hazra.
Foto pertama adalah foto Hazra di tempat parkir kereta di tingkat bawah tanah Ford Arena pada malam latihannya. “Wow. Ni gambar bila ni?”
Hazra merenung foto kedua iaitu kelibat dirinya ketika baru memasuki sebuah bar di bandar pada awal pagi. “Eh, ini bukan ke, sehari lepas aku kena bantai teruk dengan lembu jantan tu kan? Memalukan betul.”
Apa yang dimasukkan oleh Hazra ialah seorang petinju yang digelar lembu jantan, Hasbullah. Lebih tepat, Hasbullah The Bull.
“Ish, dia ni pun. Moment yang macam ni juga dia capture. Hantar gambar waktu aku menang dah lah.” Dia berterusan membelek foto seterusnya. “Hmm... Tarikh ni bila ya?” Foto ketiga adalah ketika dia berada di pintu masuk sebuah gim di bandar.
Kesemua gambar itu diambil daripada sudut tinggi. “Hmm, orang yang snap ni duduk dekat atas bumbung ke? Kenapa semua sudut macam ni?”
“Eh? Nanti dulu. Jangan-jangan...” Hazra menyusun tiga keping foto itu bersebelahan. “Ini... Semua ni screenshot daripada CCTV kan? Ta... Tapi, macam mana... dia boleh dapat?” Hazra mengurut dada. Hatinya masih berdebar.
“Ish. Biasalah tu paparazzi, ambil-ambil gambar curi. Tak ada apalah.” Hazra cuba bertenang, sekadar mengusir serabut dari fikiran. Dia memasukkan semula foto-foto tersebut ke dalam sampul dan menyimpannya di dalam laci. “Eh sekejap.” Laci ditarik perlahan. Hazra mengintai sampul tersebut. Di sudutnya, tertera satu nama.
S3CR3T_4DMIR3R
Pucat. Gugup. “I... ini...”
“Ini orang yang sama...” Jantungnya hampir berhenti. Darahnya berderau. “Melampau...” Hazra mencapai telefonnya.
“GOOD news!” Mochi bertepuk tangan, ceria.
“Betul ke Hazra call company kita sebab you?” Rakannya menyibuk.
“Yes! And you know what he said?”
“Dia cakap apa?”
“Dia cakap, dia nak bayarkan ganti rugi untuk kereta I. And, in return, I akan keluarkan artikel pasal ni.”
“La... Untuk apa? Kau memang tak serikkan?”
“First, sebagai permohonan maaf. Second, supaya peminat fanatik, spesies macam S3CR3T_4DMIR3R ni sedar, apa-apa tindakan melampau daripada diorang, Hazra yang kena tanggung. Dengan harapan, tak adalah berulang lagi. Itu bukan I buat cerita eh. Hazra sendiri yang sebut semua tu on call.”
“Walhal, kau yang mulakan masalah. Akhirnya, Hazra yang kena tanggung.” Sedas kata-kata itu menghiris hati Mochi. Memang terang lagi bersuluh, dia yang gatal tangan memulakan perang. Rakan Mochi lantas berlalu meninggalkannya bersendirian.
“Whatever.” Mochi menjelir lidah, malas mahu melayan. “Yang penting, I dapat kereta baru. Hihi.” Bahunya menjongket bahagia.
“THE fuck! Betul ke apa yang aku baca ni?”
“Apa masalah lelaki ni? Kenapa dia bayar ganti rugi untuk betina tu?”
“Argh! Sial!”
Klang! Deretan timba besi ditendang kasar oleh Maya.
“Sia-sia je aku balas dendam untuk kau, Hazra. Lelaki tak guna! Kenapa kau baik sangat dengan si celaka tu?” Maya serabut. Jerih-perih dia mengumpul segala darah ayam dan menggeledah tangki najis kejiranannya, semudah itu Mochi terlepas daripada pengajaran yang sepatutnya.
“Mochi Chan? Aku ingatkan, hadiah yang aku bagi kau semalam dah cukup melampau dah.” Maya menyeringai.
“Nampaknya, kau masih tamak. Berani kau heret Hazra sekali. Kau nak main-main dengan aku ya? Kau sabar. Kau tunggu.” Amarah kian membukit dalam jiwa Maya yang berkecamuk.
“Kau beruntung, Mochi. Kebetulan, tangan aku ni dah gian dengan darah.” Tangannya yang gigil membeku dikepal.
Hoodie kelabu yang bersarung pada tubuh Maya digenggam erat. “Hazra sayang. Aku buat semua ni untuk kau. Untuk kau sorang je.”
Maya tersenyum geram sambil memasukkan bangkai cicak yang baru saja dia bunuh tadi ke dalam bekas kaca.
Cak! Cak! Cak!
Share this novel