Jam sudah menunjukkan pukul 7 malam namun lampu di bilik Pengarah Urusan Gemilang Holdings masih kekal menyala. Elman Putra masih setia bersandar di kerusi. Matanya sedari tadi tidak berkelip-kelip merenung bangunan KLCC yang terletak bersebelahan dengan pejabatnya. KLCC sudah mula bermandi cahaya. Indah sungguh pemandangannya waktu itu namun sedikit pun tidak menarik perhatian Elman. Mata saja melekap ke situ tapi fikirannya kala ini lebih tertumpu kepada Najla di rumah.
Hampir dua bulan mereka tinggal bersama, belum pernah sekalipun Elman menegur Najla. Dingin saja layanannya kepada isterinya itu. Kalau sewaktu di Jepun dulu mereka selalu menghabiskan masa bersama, berkelah dan menelaah buku di bawah pohon sakura di Yoyogi Park, tetapi setelah berumahtangga ini, perasaan Elman terhadap Najla hambar, tidak seperti dulu.
Mungkin kerana terjerat dengan perkahwinan kilat ditambah-tambah keadaan Najla yang sudah berbadan dua, membuatkan Elman jijik untuk mendekati Najla. Belum masuk lagi cerita Najla menyebarkan perkara buruk di belakangnya. Itu saja sudah cukup membuatkan Elman berapi.
“Bos, saya nak balik dah. Bos tak balik ke?” Tanya Filzah, setiausaha Elman. Elman menegakkan badan. Wajah setiausahanya dipandang tidak beriak.
“Kejap lagi saya balik. Saya…ada benda nak buat.”
“Erm, baiklah. Kalau macam tu saya balik dulu ye bos. Jumpa esok. Sayonara bos.” Filzah tersengih. Teruja nak berbahasa Nihongo dengan bosnya. Elman nama saja belajar di Jepun tapi kedekut nak cakap Jepun dengannya.
“Jaa mata ne (Jumpa nanti).” Balas Elman perlahan. Mekar terus senyuman Filzah. Seronok kerana akhirnya dapat juga dia mendengar bosnya cakap Nihongo. Tanpa menunggu lama, langkah terus diatur meninggalkan ruang pejabat itu.
Sepeninggalan Filzah, Elman mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Skrin Iphone 5s itu disentuh dengan jari. Terpacul gambar dia dengan Najla di bawah pohon sakura yang sedang berkembang di Yoyogi Park. Saat itu, cinta mereka baru saja berputik….
“Elman..esok kan birthday Elman. Elman nak hadiah apa ek dari Najla?” Tanya Najla manja. Elman yang sedang berbaring di sisi Najla merenung kekasih hatinya dengan rasa cinta yang membuak-buak.
“Kita di bawah pohon sakura sekarang kan, darl? Kalau Elman request something sweet boleh tak?”
“Something sweet? Like what?”
“A kiss, for instance….” Elman sudah tergelak-gelak melihat muka Najla yang sudah merona merah. Sesaat kemudian bertalu-talu cubitan hinggap di badannya yang dibaluti varsity jacket. Indahnya saat itu. Ketika mereka bergurau-senda di bawah pohon itu, sakura mula menjatuhkan bunga-bunganya yang berwarna merah jambu ke Bumi. Suasana berubah menjadi damai lagi menyenangkan.
“Cakaplah betul-betul, main-main pulak dia. Merajuklah macam ni.” Najla dah tarik muncung itik. Tangan sudah bersilang di dada. Dia sudah tidak mengambil peduli pada bunga-bunga sakura yang sedang berguguran jatuh waktu itu.
“Alah sayang Elman ni. Tak mahulah merajuk. Okay..okay. Elman cakap yang betul sekarang ni.” Senang! Protes merajuk, sekejapan Elman akan mengalah. Najla tersenyum puas. Dia kembali menghadap Elman yang masih selesa berbaring.
“Hmm…I love stargazing. You know darl, masa Elman naik cruise dengan daddy dan mummy ke Krabi dulu, Elman selalu duduk dekat deck dan renung ke langit. Indahnya pemandangan waktu malam. Bintang-bintang berkerlipan…bertaburan di ruang angkasa. Rasa macam nak pegang-pegang je bintang-bintang tu. I love stars! Damn much!
Since that….Elman selalu berangan nak ada bintang-bintang di dalam bilik. Mesti best kan sayang. Bila baring, pandang siling, nampak bintang. Tak nampak bintang, nampak buruj pun jadilah. Hehehe…I know you will think how childish I am, dah besar panjang pun nak ada bintang bagai dalam bilik tapi…tu la impian Elman. Nak tengok bintang dalam bilik tidur Elman..dekat-dekat!”
Elman dah bertepuk tangan. Gembira sangat sebab dapat memberitahu Najla keinginannya yang satu itu. Najla tak terkata apa. Hanya matanya saja yang merenung kasih ke dalam anak mata Elman.
“Najla tak boleh bagi bintang dekat Elman tapi….Najla boleh berikan sesuatu yang mirip-mirip bintang tu pada Elman. Tapi Najla tak tahu Elman suka ke tidak hadiah yang Najla nak bagi tu. Harap sukalah ya.”
Sedar-sedar, pada hari lahirnya yang ke-24 tahun itu, Najla telah membuat kejutan padanya dengan menghadiahkan sekotak jigsaw puzzle bergambar bintang-bintang di angkasa dan origami berbentuk bintang yang diletakkan di dalam balang kaca. Bukan main seronok lagi Elman ketika menerima hadiah itu. Walaupun hadiah Najla itu tidaklah semahal mana, namun hadiah itulah yang paling disayangi dan dihargai Elman. Semuanya kerana Najla, cinta hatinya waktu itu!
Elman meraup muka berulangkali. Kejadian itu sudah 3 tahun berlalu namun ia semakin kerap mengasak fikirannya sejak berkahwin dengan Najla. Bingung. Elman tarik nafasnya kasar. Perasaan yang terbuai ketika berkunjung ke Yoyogi Park suatu masa dulu cuba diusir sejauh mungkin.
“Aku tak boleh cintakan dia seperti dulu. Tak..takkan sama sekali. Our love story is over, Najla. Aku takkan lupakan apa yang kau dah buat pada aku. Kau takkan pernah bahagia hidup dengan aku. Aku janji…selagi kau isteri aku, kau takkan kecap kebahagiaan itu. Aku janji…”
Elman mencapai briefcase yang terdampar di atas meja. Laju langkahnya dihayun menuju ke pintu. Dia mahu segera pulang menemui Najla. Sebelum pintu dibuka, sempat matanya melirik ke arah jigsaw puzzle bergambar bintang-bintang di angkasa yang dibingkai indah pada dinding pejabatnya. Elman mencebik. Daun pintu segera dikatup. Dia mahu lekas pulang. Raut wajah Najla bermain-main di matanya kini…..
Share this novel