KENDERAAN BMW milik Hanna siap diparkir berhadapan sebuah unit kondominium mewah. Tembok batu dengan logo bunga orkid menjadi penanda destinasi mereka. Tingkap yang besar, binaan modern dan gah, semua itu menjadi pelengkap kepada Kondominium Seri Regalia yang bakal menjadi kediaman Hanna Adelia.
“Kita dah sampai. Let’s go!” Hael bersemangat. Hanna terus turun dari kereta tanpa menunggu Hael membuka pintu untuknya. Dia tidaklah begitu kagum dengan pemandangan di hadapannya.
Hujan rintik-rintik hadir dibawa awan mendung.
“Eh, hujan pulak tiba-tiba. Bos, sekejap.” Hael berlari anak ke arah Hanna dengan membawa payung gelap yang diambil dari but kereta. Dia mengiringi langkah wanita itu sehingga ke ruang lobi.
Mereka disambut dengan haruman lavender yang menyenangkan serta bunyi pancuran air terjun binaan yang menjadi sebahagian dekorasi ruang lobi. Hanna mengambil tempat di sofa sementara menanti Hael memarkir kereta. Ketika melangkah masuk, Hanna terlihat tulisan kaligrafi yang bertulis ‘Seri Regalia’ dibingkaikan dan digantung di dinding. Tulisan itu mempunyai unsur khat yang sangat halus dan teliti.
“Bos. Cantikkan tempat ni?”
Hanna hanya mengangguk sambil tersenyum nipis.
“Inilah kondo paling mewah dekat Kuala Lumpur bos. Mahal, gah, modern. Orang kaya je tinggal sini, bos.” tambah Hael lagi.
“Hm, memang cantik. Tapi, awak pun tahu yang saya lagi suka tempat sunyi dan tenang. Lebih dekat dengan alam, lagi best.” balas Hanna bersahaja. Hael pula sudah menggaru kepala. Banyak kerenah bos aku hari ni.
“Nah, kunci untuk penthouse bos nanti.”
Hael menghulurkan kunci berwarna hitam dengan nombor yang tertera di atasnya kepada Hanna.
“Oh ya. Hael. Nanti, awak patah balik ke lapangan terbang tau. Saya ada tertinggal barang.”
Hael terasa seperti mahu cair seperti ais krim di situ juga. Dah sampai sini, baru nak bagitahu tertinggal barang? Oh, bosku yang bertuah. Dahlah jauh airport tu kalau nak patah balik, traffic jam lagi…
“Baik bos. Nanti saya retrieve barang bos ya, lepas tu terus bawa ke sini. Bos tunggu tau.”
Hanna mengangguk dan membalas dengan senyuman manis. Kehadiran Hael di sampingnya sangat menyenangkan. “Thanks, Hael. Saya naik dulu.”
“Okay bos.”
PENYAMBUT tetamu lelaki yang berusia lingkungan 20-an segera berdiri ketika melihat seorang jelitawan menghampiri kaunter khidmat pelanggan.
“Cik puan. Boleh saya bantu?”
Hanna mengeluarkan kunci hitam dari poketnya. “Err… Bilik saya nombor 52-2.”
Penyambut tetamu itu mengerut dahi. “Cik duduk tingkat 52? Boleh saya check ID cik?”
“ID? Oh.. Erm, beg saya tertinggal dekat airport la. Saya tak ada ID tu sekarang. Nanti assistant saya datang balik, dia tunjuk kat awak ya.” balas Hanna. Nampaknya, tanpa ID, dia belum boleh masuk ke bilik lagi. Hanna mula mengorak langkah menuju ke sofa semula.
Ting! Pintu lif terbuka. Muncul wajah seorang lelaki dengan rambut yang sedikit beruban. Dia adalah pemilik kepada Kondominium Seri Regalia.
“Eh, Hanna! Bila sampai?”
Hanna menoleh. “Uncle Fateh!” sapanya teruja.
Lelaki yang digelar Uncle Fateh itu menyambut Hanna dengan rasa teruja. Hanna ialah cucu kepada sahabat baiknya, jadi dia sangat berbesar hati jika Hanna mendiami unit di kondominiumnya.
“Tuan Fateh,” penyambut tetamu membongkokkan tubuh tanda hormat. Tuan Fateh memandang penyambut tetamu dan Hanna bersilih ganti. Kemudian, dia tersedar sesuatu.
“Eh, Hilmi! Kenapa Cik Hanna masih dekat lobi? Tunjukkan penthousenya sekaarng!” Tuan Fateh menguatkan suara. Hilmi terkejut.
“Tak apa uncle. Hilmi hanya menjalankan tugasnya saja. Saya tak ada ID, jadi saya just tunggu sampai assistant saya kembali dengan ID saya.”
“ID? Hanna Adellia tak perlukan ID!” Tuan Fateh mula menghukum Hilmi yang tampak seperti tikus melihat kucing. “Dia tetamu kehormat di sini. Lekas! Serahkan kunci dan bawa Cik Hanna ke biliknya sekarang.”
“Hael dah beri saya kunci ni.” Hanna menunjukkan kunci berwarna hitam kepada Hilmi dan Tuan Fateh. Tuan Fateh hanya mengangguk dan tersenyum, Hilmi pula menggigit jari. Dia tak sangka, jelitawan di hadapannya sudah mempunyai kunci peribadi bagi penthouse di situ. Nampaknya, dia dah mencari pasal dengan orang ternama. Ah, pasti aku akan dibuang kerja!
“Saya minta maaf Cik Hanna! Saya minta maaf sangat-sangat. Saya tunjukkan Cik Hanna ke penthouse ya.” Hilmi menunduk berkali-kali tanda hormat dan rasa bersalah.
“Hei, Hilmi. Awak jangan risau. Saya boleh ke sana sendiri. Terima kasih. Uncle Fateh, jangan hukum Hilmi ya. Dia jalankan tugas dengan amanah.” Penjelasan Hanna memberi ketenangan kepada Hilmi. Namun, dia sudah dibasah dengan peluh sejuk.
Tuan Fateh pula hanya tersenyum. Dia cukup mengagumi sifat Hanna yang tidak sombong dan sentiasa merendah diri.
Hanna berjalan ke dalam lif menuju ke tingkat 52 yang menempatkan penthousenya.
HILMI masih lagi tertanya-tanya, siapakah gerangan jelitawan yang mempunyai aura luar biasa itu. Melihat Tuan Fateh masih berdekatan, dia berbisik.
“Tuan Fateh. Siapa dia Cik Hanna tu?”
Tuan Fateh membalas dengan jelingan.
“Dia adalah wanita yang kamu harus hormati, bahkan tak ada sesiapa pun di sini yang boleh merendahkannya.”
“PUTIHNYA rumah ni…” Hanna mengeluh. Dia benci warna putih. Mengingatkannya dengan kenangan yang pedih.
Hospital…
Gaun perkahwinan…
Hanna memandang ke luar tingkap. Melihat pemandangannya, dia bermasam muka. “View pun muka nampak rumah jiran. Kena beli langsir tebal ni. Takut orang intai aku mandi.”
Hanna terus berjalan ke patio. “Apa? Bersambung dengan jiran sebelah?”
Ya, dia berkongsi ruang patio dan hanya dipisahkan dengan gelas kaca. Setelah selesai room tour, Hanna tidur sebentar.
DI kawasan lain di Kuala Lumpur. Sebuah bangunan berwarna hitam milik Syarikat Yusuf berdiri megah. Namun di bilik mesyuarat di tingkat paling tinggi, suasananya agak tegang.
“Sebelum saya terbang ke Jakarta, saya beri awak semua satu arahan mudah. Tamatkan kontrak bersama TJ Corps. Tapi kenapa jam tiga petang nanti, saya masih perlu berurusan dengan pengerusi mereka?”
Semua lelaki bersut hitam yang berkongsi ruangan itu menunduk. Tiada yang berani bersuara, apatah lagi bertentang mata dengan Tengku Alfian.
Melihat keadaan itu, Tengku Alfian memberi pandangan penuh makna kepada Amri di sisinya.
“Sekiranya tiada antara kamu yang memberi penjelasan, sila serahkan surat berhenti kerja kepada saya sebelum hujung hari.” jelas Amri. Amri memandang wajah mereka satu persatu. Terbit rasa kasihan, tapi siapa lagi yang harus memikul tanggungjawab atas kesalahan ini kalau bukan mereka semua?
“Bos.” Seseorang akhir bersuara. “Kami dah bekerja keras untuk tamatkan kontrak bersama TJ Corps. Tapi, pengerusinya degil. Dia masih berkeras mahu berjumpa bos untuk bincang pasal kontrak ni.”
“Hm,” Tengku Alfian mengangguk sekali. Kemudian berdiri dari kerusinya dan berlalu pergi. Meninggalkan semua yang di situ terpinga-pinga. Mereka, dah hilang kerjakah?
“Awak semua patut berterima kasih, ada seseorang yang selamatkan kerjaya kamu. Sila kembali ke ruang kerja masing-masing dan selamat bertugas.” Penjelasan Amri akhirnya memberi ketenangan kepada mereka semua. Amri turut berasa lega.
TOK! Tok!
“Masuk,”
Amri menolak pintu dengan sopan. “Tengku. Tengku perlukan apa-apa? Nak makan, nak minum?”
“Awak dah tahu siapa dia?”
Soalan Tengku Alfian buat Amri termanggu seketika. Dia? Siapa?
“Awak nak jawab soalan saya atau awak nak mengelamun?”
Amri terkejut lagi. Mahu pendek umur kalau dia asyik terkejut begitu. Automatik dia tahu siapa yang Tengku Alfian maksudkan.
“Nama beliau, Hanna Adellia, berumur 28 tahun. Beliau seorang model ternama dalam industri permodelan di Asia. Bergelar ‘Ratu Asia’ nombor satu selama enam tahun berturut-turut.”
Amri berdehem sekali, sebelum menyambung.
“Beliau akan hadir ke makan malam di Hotel Eon Vista malam ni. Juga, Cik Hanna baru tiba ke Kuala Lumpur pagi ini dan tinggal di Kondo Seri Regalia.”
Tengku Alfian mengeluh tanpa Amri sedar. Dia juga ada membeli seunit penthouse di kondominium yang sama.
“Beliau akan bersara dan menjalani kehidupan normal.”
Kehidupan normal?
“Itu saja setakat ni.”
Tengku Alfian mengangguk. “Awak boleh pergi.”
“Baik tengku!” Amri bersemangat, memberi tabik sebelum meninggalkan Tengku Alfian.
Meskipun luarannya kelihatan tenang, Tengku Alfian bingung dengan Amri. Tabik? Kenapa Amri kadang-kadang layannya macam jeneral perang? Dah menjadi pembantunya selama sepuluh tahun, tapi hal itu masih misteri buat Tengku Alfian.
Sedang asyik termenung, Tengku Alfian terpandang bagasi milik Cik Lipas, atau kini dia tahu namanya.
Hanna Adellia. Wanita bermata cantik seperti kolam madu yang jernih. Suaranya ketika dia meminta maaf. Ketika dia mengherdik. Malah memanggilnya ‘Tengku Biadap’. Semuanya berputar dalam fikiran Tengku Alfian. Dia biasanya mudah jijik dengan orang, tapi tidak wanita ini.
Ada satu perasaan pelik yang melingkar di hati Tengku Alfian. Perasaan apa, dia pun tak tahu.
Share this novel