Bab 2

Romance Series 2041

“KAU sebagai isteri takkan tak nak pertahankan rumah tangga kau? Dulu bercinta semua benda nampak indahkan? Apa kata kau kembalikan semua tu. Syaitan seronok tau tengok runtuhnya rumah tangga yang manusia bina. Tak cium bau syurga tau isteri yang minta cerai,” kata Qalisha berceramah.

Zura hanya menunduk sahaja. Dia tahu Qalisha mahu menasihatinya, namun baginya Qalisha tidak memahami apa yang sedang dia alami. “Memang dah sepakat nak cerai.”

“Habis tu anak ni?” Laju saja Qalisha bertanya. Yang sebenarnya terlintas di hatinya rasa cemburu kerana Zura sudah mengandung terlebih dahulu sebelumnya. Sedangkan dia yang berkahwin terlebih dahulu.

“Aku jagalah. Tak ada hal lah. Nafkah masih dia yang akan bagi.”

“Tapi kau tak bagitahu dia lagi kan? Kau jangan jadi perempuan macam kat Twitter boleh? Yang asyik nak cari salah laki je. Kita ni pun kadang-kadang kena banyak perbaiki diri. Susah tau hidup tanpa suami dan seorang ayah untuk anak-anak,” sampuk Qalisha lagi. Pantang dia bila orang bercerai tidak memikirkan anak.

Elisa dan Aulia saling berpandangan sambil buat muka seperti tidak tahu untuk berkata apa.

“Aku bukan nak marah kau, tapi bagi peluang lagi okey kat Shahrin. Aku sebagai kawan yang dah kahwin ni, aku kena nasihatkan kau. Takkan nak mintak nasihat kat Aulia dengan Zura. Dorang bukan tahu apa pun.” Qalisha menggelengkan kepala.

Semua di situ membeku dan saling berpandangan.

“Sha?” panggil satu suara.

Wajah Qalisha terus manis. “Ya, biy.”

Taufiq muncul sambil mengendong beg kasutnya. Dia yang kacak berbaju jersey dan berseluar panjang muncul di ruang tamu. “I nak pergi main futsal. Balik lambat. You tidur je dulu.”

“Ala… I mana boleh tidur tanpa you. I tunggu you okey,” rengek Qalisha sengaja menunjukkan kebahagiaannya di hadapan kawan-kawannya yang lain.

“Up to you,” balas Taufiq dan sempat matanya mengerling salah seorang sahabat Qalisha di situ.

Qalisha tersenyum memandang kawan-kawannya. “Kejap eh nak hantar suami ke kereta.”

Terus saja Qalisha berlalu pergi keluar menemani Taufiq. Dia memendam rasa dengan perbuatan Taufiq yang terlalu bersahaja dan tidak mesra dengannya di hadapan sahabat-sahabatnya.

“Saya tak suka awak macam tadi tu.”

Berdecit mulut Taufiq dengan ocehan Qalisha sambil meletakkan begnya di dalam kereta. Terus saja dia masuk ke dalam kereta dan memandang Qalisha yang berada di luar kereta. “I memang balik lambat. Kalau tak nak kecewa jangan tunggu I.”

Sakit betul hati Qalisha dengan Taufiq. Dia perasan hari ini Taufiq seperti berangin sedikit dengannya. Mood Taufiq kelihatan seperti sedang berada dalam masalah. Qalisha hanya menghembus nafas kuat dan mengawal reaksinya. Dia perlu jaga air mukanya sebagai orang terpaling bahagia dan orang paling berjaya.

JANTUNG yang dipam hari ini lebih banyak daripada biasa. Ya, dia sengaja mahu jantungnya berdegup kencang kerana menelan sakitnya hati yang sedang dia lalui sekarang ini.

“Good game, bro.” Bahu Taufiq ditepuk oleh Borhan dari belakang.

Taufiq tersenyum dalam mencari nafasnya. Dia mengangguk sambil menogak air yang diisi dalam botol kegemarannya yang tertulis huruf R.

“R tu stand for what ha? Qalisha pun nama dia Putri Qalisha. R?” tanya Borhan penuh tanda tanya. Otaknya ligat berfikir.

Ketawa kecil Taufiq. “R adalah stand for rasa yang hilang?”

“Pergh, deep sangat tu,” sambung Borhan dengan ketawa ilainya.

“Dahlah, aku nak cau dulu. Sorry tak dapat lepak, nak balik dulu sebab esok banyak benda nak kena buat terutamanya turun site jumpa bapak kau,” kata Taufiq dan mencapai begnya.

“Weh, kejap!” Borhan menahan Taufiq sambil sedang mengingati sesuatu.

Taufiq angkat kepala sedikit dan menunggu kata-kata seterusnya. “Asal?”

“Kau ada check in kat Hotel Coral Paradise tak?”

Berubah wajah Taufiq, namun dikawalnya. “Hah?”

“Tak, sebab aku terserempak dengan wife kau kat depan lift.” Kata-kata daripada Borhan membuatkan Taufiq terdiam dan resah gelisah.

“Aku tak ada kat situ. Tak tahulah dia buat apa kat sana? Kau ada tanya dia tak?” tanya Taufiq semula dengan mengemas pegangannya pada beg.

Borhan mengangguk. “Dia kata dia tengah melawat kawan dia kat situ. Tapi kan… wife kau kata jangan bagitahu kau. Hehehe, mungkin dia takut aku salah sangka kut.”

Lega hati Taufiq ketika ini walaupun jantungnya laju juga. Siapalah yang beri info itu kepada isterinya?

MATA masing-masing sudah kuyu hanya Qalisha saja yang cergas dan seronok menonton televisyen.

“Sha, aku gerak dululah. Esok shift pagi,” kata Zura bangun dan terus mencapai beg tangannya.

Berubah wajah Qalisha. “Ala, staylah sini. Pergi kerja dari sini. Kat rumah bukan ada siapa pun nak sambut kau.”

Geram saja mereka bertiga dengan Qalisha yang selalu menganggap orang lain seperti tiada kehidupan.

“Aku pun nak kena gerak ni. Esok nak ke Slim River jumpa client kat sana. Kau pun rehatlah tadi dah beria dah kat event kau. Tidurlah, lagipun laki kau pun kata suruh tidur dulu jangan tunggu dia,” kata Elisa dan terus bangun memeluk Qalisha sebagai tanda dia mahu pulang jugak.

Wajah Qalisha jadi sedih, dia tidak suka duduk sorang-sorang. Terus harapannya ada pada Aulia. “Kau stay ya?”

Tergelak Aulia. “Tak dapatlah Sha. Semua orang balik. Tak acilah aku stay sini.”

“Ala, kau bukan ada laki pun kat rumah. Bujang lagi tak macam kitorang bertiga. Sunyi duduk sorang-sorang,” pujuk Qalisha yang suka membuatkan Aulia merasa serba salah.

Sentap juga Aulia dengan kenyataan Qalisha.

“Baik sunyi sebab duduk sorang-sorang daripada rasa sunyi walaupun dah ada berteman.” Kata-kata Aulia itu membuatkan Qalisha terdiam. Dia terasa dengan apa yang diucapkan oleh Aulia itu.

“Okeylah. Tak apa. Kejap lagi Taufiq sampailah, dia mana boleh tak ada aku. Thanks girlssss.” Suasana terus berubah ceria walah dalam hati Qalisha sangat geram dengan apa yang dikatakan oleh Aulia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience