ALISA merengus perlahan sambil menggosok matanya yang masih mengantuk. Jam di dinding menunjukkan pukul 6.40 pagi, suasana masih samar-samar, namun Mak Yam sudah mengetuk pintu biliknya berkali-kali macam nak roboh.
“Alisa, bangun cepat! Jangan nak sambung tidur lagi. Mak nak suruh kamu pergi pasar awal, nanti lambat habis barang!” jerit Mak Yam dengan suara lantang.
“Ya mak, Alisa tahulah. Baru lepas Subuh kot, nak tidur kejap pun tak boleh,” rungut Alisa perlahan sambil menarik selimut.
“Cepat! Mak dah siapkan senarai barang kat dapur!” laung Mak Yam sekali lagi dengan lebih kuat. “Bangun, Lisa!”
Dengan berat hati, Alisa bangun juga dari katil. Dia tahu Mak Yam sengaja mahu mengajarnya supaya tidak bermalas-malasan di kampung. Ini mesti dendam Mak Yam sebab sebelum ini Alisa memang terkenal sebagai anak yang kalau balik kampung memang langsung tak reti nak buat apa-apa.
“Huh! Tak apa, Lisa bagi chance mak buli Lisa,” omel Alisa sambil bersiap ala kadar.
Tak kuasa Alisa nak melaram cantik-cantik pergi ke pasar. Sudahlah dia masih mengantuk dan belum lagi cerita pasal penat. Semalam sehari suntuk Alisa terpaksa bertapa kat dapur semata-mata belajar resipi mi kari terangkat milik Mak Yam. Berapa kali percubaan baru Alisa berjaya siapkan seperti rasa mi kari Mak Yam. Tapi itu dia buat dalam keadaan kelam kabut dengan Mak Yam saja, macam mana kalau keadaan kelam kabut di warung nanti?
Baru fikir dah buat Alisa nak putus asa. Nak tarik balik persetujuan dengan Mak Yam semalam.
Lama Alisa berdiri depan cermin sambil berfikir apa yang akan terjadi padanya nanti.
“Come on, Lisa. Kau tak boleh mengalah. Jatuh sekali tak bermakna tak boleh bangkit lagi.” Alisa kembali bertekad.
Di pasar, Alisa bergegas ke sana ke sini sambil merujuk kertas senarai barang yang panjang berjela. Dalam masa 15 minit sahaja, kedua-dua tangannya sudah penuh dengan beg plastik berisi sayur-sayuran dan barang basah. Dia hampir terhuyung-hayang mengimbangi badannya.
Tiba-tiba, satu suara yang menjengkelkan datang menyapa.
“Wah, banyaknya beli barang! Nak tolong ke?” tegur seorang lelaki dengan nada sinis.
Alisa mendongak dan matanya membulat. Lelaki yang sama menyakitkan hatinya di perhentian bas semalam sedang berdiri di hadapannya dengan senyuman sinis.
“Tak payah! I boleh handle sendiri!” balas Alisa dingin.
“Yalah tu. Dah nampak senget badan kau tu. Kalau jatuh, malu pula nanti satu pasar tengok,” lelaki itu masih tak putus-putus mengusik sambil ketawa kecil.
“Senget ke, bengkok ke, bukan masalah you,” balas Alisa sambil memaling muka dan terus berjalan laju ke arah gerai menjual ikan. Namun, lelaki itu tetap mengekorinya.
“Eh, you ni ikut I buat apa?” Alisa mula hilang sabar.
“Excuse me? Siapa pulak ikut kau? Kebetulan arah kita sama je,” jawab lelaki itu selamba.
Dengan muka masam mencuka, Alisa memilih beberapa ekor ikan dengan pantas dan langsung tidak menoleh ke arah lelaki tersebut.
“Pandai juga kau pilih ikan ya. Aku ingat orang yang duduk bandar macam kau ni tahu beli ikan kat pasaraya aje,” lelaki itu menyindir.
Alisa terus mendengus kuat. “Excuse me? You ingat orang yang duduk bandar tak pernah pergi pasar ke? Kat pasaraya tu tetap kena pilih ikan sendiri. Biar I tunjuk kat you cara orang duduk bandar pilih ikan,” perli Alisa geram.
Lelaki itu ketawa kecil, “Ni kena tunjuk kat satu kampung ni.”
Alisa memaling muka, malas melayan lebih lanjut. “Abang, kira semua cepat. Saya dah lambat ni,” arah Alisa kepada penjual ikan tanpa mahu tawar-menawar.
Belum pun sempat Alisa beredar, telinganya menangkap harga yang disebutkan kepada lelaki menjengkelkan itu. Matanya membulat semula.
“Sekejap! Kenapa harga ikan dia lebih murah daripada saya? Berat sama je tadi!” Alisa terus berpatah balik dan merungut dengan suara yang tinggi.
Penjual ikan terdiam, mula resah sambil memberi isyarat mata kepada lelaki itu.
“Relax lah. Aku dapat murah sebab aku regular customer abang ni. Kalau kau nak murah juga, kau kenalah selalu datang sini beli ikan kat abang ni,” jelas lelaki itu sambil tersenyum sinis.
“Ini pilih kasih namanya! Mentang-mentang regular customer, terus dapat diskaun! Tak adil betul!” Alisa semakin merungut tidak puas hati.
Lelaki itu ketawa lagi sambil mengambil ikannya. “Apa pula tak adil? Aku selalu support bisnes abang ni tau. That’s why abang ni baik bagi diskaun kat aku. Tulah siapa suruh kau jadi perantau tak support bisnes orang kampung.”
Alisa menjeling tajam. Sakit hati kerana lelaki itu tak habis-habis memerli dia. Memang muka dia nampak orang lupa daratan ke?
“Nak meniaga buat cara meniaga. Jangan nak pilih kasih. Belum tentu customer tu tak jadi pengkhianat beli kat orang lain,” balas Alisa geram.
Lelaki yang tak diketahui nama itu hanya tersengih. “Nak khianat apa? Abang ni sorang je jual ikan.”
Alisa tahan malu. Pasar di kampungnya bukan pasar besar yang mana ramai peniaga lain yang jual sama. Ini setakat pasar pagi kat dalam kampung saja. Kalau betul nak pergi pasar tani kena pergi jauh sikit dari kawasan kampungnya.
“Lain la kalau kau balik kampung ni nak jadi penjual ikan kat sini. Barulah aku boleh fikir nak jadi pengkhianat untuk setia beli kat kau pulak?” usik lelaki itu.
“Siapa nama you?” tanya Alisa tiba-tiba.
“Kaisar. Asal kau nak tahu.”
“Supaya senang I nak banned you datang beli kalau I jual ikan kat sini,” balas Alisa kerek.
Meletus tawa Kaisar buat Alisa makin sakit hati.
‘Siap kalau kau datang warung mak aku nanti. Aku charge kau mi kari semangkuk harga lobster,’ ujar Alisa dalam hati.
“Tak payah banned sebab aku pun tak ingin nak beli kat perempuan sombong macam kau. Kau tu pun bukan cantik macam Fazura!”
Tanpa menunggu balasan Alisa, Kaisar terus beredar meninggalkan Alisa yang masih berdiri kaku menahan geram.
Alisa menarik nafas panjang sambil berjalan keluar dari pasar. Dalam hatinya penuh sumpah seranah terhadap lelaki yang baru diketahui namanya itu. Tapi jauh di sudut hati, Alisa tahu, hidupnya di kampung kali ini pasti tidak tenang dengan adanya lelaki yang menyebalkan itu.
“Memang nasib aku lah jumpa orang annoying macam mamat tu. Kenapalah mesti ada lelaki macam tu kat kampung ni? Spoil betul pagi aku!” Alisa mengomel sendiri sambil berjalan pulang.
Dalam fikirannya mula timbul pelbagai strategi bagaimana mahu mengelakkan lelaki itu pada hari-hari akan datang. Namun, Alisa tahu dalam diam bahawa pertemuan ini bukanlah yang terakhir antara mereka berdua.
Dan tanpa disedari, hari-hari di kampung yang dia jangkakan tenang dan bosan, kini bertukar menjadi sesuatu yang penuh dengan drama.
"Kenapalah hidup aku tiba-tiba jadi macam drama pukul 10 malam ni?" rungut Alisa sendiri tanpa mengetahui bahawa drama hidupnya baru sahaja bermula.
Share this novel