SELESAI meletakkan sarapan atas meja dan bancuhkan kopi untuk Taufiq, terus saja Ameena pergi ke dapur untuk uruskan dapur. Dia risau jika petang ini dia pulang lambat dan tidak sempat menghidangkan makanan untuk Taufiq.
Malam tadi mereka sudah berbincang mengenai kerja baru Ameena yang akan bekerja dengan Clara dan Yuzi di pusat kecantikan dua sahabat baiknya ini. Selain ada pusat kecantikan mereka juga membuka butik pakaian untuk wanita.
“Lauk macam biasa ya. Saya dah masak. Wish me luck untuk first day. Awak kerja elok-elok okey?” kata Ameena sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman sebelum dia bergerak meninggalkan rumah.
Taufiq telan liur dan menghulurkan tangannya. Entah kenapa hatinya berat pula untuk melepaskan isterinya pergi ke kerja. Namun, dia pendamkan saja apa yang terbuku di hati. Bukankah dia sendiri yang menyuruh isterinya mencari kehidupan juga?
SELEPAS diterangkan tentang bagaimana pusat kecantikkan itu beroperasi. Terus saja Ameena bertemu dengan jabatan pemasaran kerana mereka bakal membuat acara dan promosi pada bulan hadapan.
Ameena selaku ketua bahagian pemasaran dan promosi juga merangkap kepada pereka grafik. Ya, dengar seperti banyak tugasannya. Namun semua itu adalah tugasan lamanya. Senang jika dia menjadi pereka grafik kerana dia tahu apa yang perlu direka.
Badan disandarkan kepada kerusi kerjanya. Dia menghelakan nafas.
Telefonnya dicapai dan melihat jika ada mesej masuk daripada Taufiq. Ternyata tidak.
Sememangnya mengenali Taufiq, dia bukanlah seorang yang suka membalas mesej. Dia lebih kepada terus menghubungi kerana katanya itu lebih cepat dan kurang tersalah komunikasi. Ya, ada benar apa yang dikatakan oleh Taufiq.
- Jangan lupa lunch.
Send!
Terus saja Ameena meneruskan kerja grafiknya. Kali ini dia berasa sangat bersemangat. Ya, seorang perempuan bila cinta dia akan cinta sungguh-sungguh terutama kepada suaminya. Apalagi yang seorang isteri ada selain suaminya saja?
HARI ini Taufiq mempunyai kerja lawatan luar. Dia perlu memastikan semuanya dalam keadaan baik sebelum pelanggan melihat hasil kerja pasukannya.
Baru saja dia membaca mesej daripada Ameena dan ingin membalasnya, terus sahaja panggilan daripada ibunya masuk.
“Ya, mak?” tanya Taufiq sambil mencari sudut untuk menjawab panggilan emaknya.
“Kat rumah tak ada siapa ya?” tanya Puan Leha.
“Tak ada, mak. Kenapa ya?” tanya Taufiq semula.
Terdengar keluhan daripada Puan Leha. “Mak kat depan rumah ni.”
“La, kenapa tu?” tanya Taufiq risau.
“Mak ada salah faham tadi dengan alang. Mak bukan nak marah-marah anak dia. Anak dia nakal sangat, kecik hati mak kena marah dengan alang. Terus mak keluar dari rumah mintak orang hantar ke rumah Fiq. Kat sini pun tak ada orang. Apalah nasib orang tua macam mak ni,” adu Puan Leha dengan nada yang sedih.
“Dahlah, mak.”
“Meen pergi mana? Merayau ke? Tak padan suri rumah,” kata Puan Leha.
Berdecit mulut Taufiq bila Puan Leha menuduh begitu kepada isterinya. “Meen dah start kerja sekarang ni.”
“Kerja? Kat mana?”
Serabut Taufiq ketika ini. Entahlah apa yang perlu dia fikirkan ketika ini. “Mak tunggu kejap.”
TERSENYUM Ameena melihat pemanggil yang menelefonnya. Terus saja dia menjawabnya sambil tersenyum panjang. “Helo, sayang.”
Taufiq di talian juga bersuara lembut. “Hai, tengah buat apa tu?”
“Kerjalah. Dah makan ke?” tanya Ameena terasa berbunga-bunga suaminya menghubunginya.
“Baru nak pergi makan dengan team sebab ada kerja luar kawasan ni. Hari ni balik. Hmm, awak kat office kan?” tanya Taufiq.
Ameena mengangguk walau Taufiq tidak nampak. “Ya, kenapa tu?”
“Boleh balik rumah kejap tak?” tanya Taufiq serba salah, namun dia perlukan pertolongan Ameena.
“Kenapa? Ada apa-apa ke?” tanya Ameena risau.
“Mak kat depan rumah. Mak bergaduh dengan alang. Dah gaduh, terus keluar rumah dan pergi rumah kita. Saya memang tak ada tinggal kunci kat mak. Boleh tak awak balik bukakan pintu untuk mak. Kesian pulak mak,” kata Taufqi separuh merayu. Dia risau dengan keadaan emaknya di luar rumah dalam keadaan panas ini.
Lama Ameena diam sebelum menjawab. “Baiklah. Saya balik kejap.”
“Terima kasih. Bye, apa-apa bagitahu,” balas Taufiq sebelum meletakkan telefon.
Ameena terus bersandar dengan penuh lelahnya. Kenapalah dia sering mengharapkan lebih daripada Taufiq.
Kecewa yang dia dapat.
Terus saja dia bangun dan mencapai beg tangannya dan menuju ke parkir kereta. Terpaksa dia mencuri-curi keluar untuk emak mertuanya.
“Pergi mana?” tanya Clara selepas bertembung dengan Ameena di pintu hadapan.
“Balik kejap. Mak mertua aku datang nak masuk rumah,” kata Ameena dengan wajah yang cuba dia maniskan.
Bulat mulut Clara sambil mengangguk. “Baik. Nanti masuk balik kan? Sebab kita ada meeting kan?”
“Yup masuk.”
Ameena memandu sehingga dia melihat seorang wanita tua berteduh pada pokok di hadapan rumah. Nasib baik di hadapan rumah ada pokok mangga dan ada tembok yang boleh duduk di situ.
Turun saja dari kereta, Puan Leha memandang Ameena. “Ingatkan Taufiq yang balik. Rupanya Meen. Maaf sebab ganggu Meen. Meen kerja kat mana?”
Ameena yang sedang membuka pintu pagar dan pintu kayu tersenyum memandang emak mertuanya. “Tempat kerja lama jugak.”
“Seronoklah tak payah buat kerja rumah,” kata Puan Leha sambil masuk dan terus duduk di sofa yang sama seperti sofa di rumahnya. Ah, lega.
“Mak dah makan ke? Kalau belum, kat dapur ada makanan. Meen dah masak dah. Mak makanlah tau, bilik hujung tu macam biasalah ada kain, tuala, bantal, telekung apa semua. Apa-apa mak bolehlah call Fiq atau Meen,” kata Ameena yang ingin cepat kerana sebentar lagi dia ada mesyuarat.
Puan Leha mengangguk. Dia merasa tidak suka pula bila menantunya ini sudah mula bekerja. Ingatkan bolehlah temannya di rumah ini.
Ameena menghulurkan tangan dan bersalaman dengan mertuanya itu. “Meen pergi dulu.”
Sebaik saja masuk ke dalam kereta keluhan dilepaskan oleh Ameena. Dia terus memandu menuju ke tempat kerjanya.
Mesyuarat berjalan dengan lancar, pada awal bulan hadapan pusat kecantikan mereka akan membuat promosi dan beberapa pakej untuk kesihatan dan kecantikan wanita. Yuzi menghampiri Ameena yang sibuk mencari design yang sesuai untuk acara ini.
“Clara kata kau balik rumah tadi?”
“Ya, mak mertua aku datang. Dia ingat aku ada kat rumah,” balas Ameena dan masih fokus dengan kerjanya.
Yuzi mengangguk. “Tumpang hari ni jelah kan?”
Terus saja kepala Ameena berpusing dan memandang Yuzi. Betul juga soalan Yuzi ini.
Share this novel